Friday, September 12, 2008
Oleh:DR. RAHMAT HAROUN
TULISAN Mustafa Yusof (Utusan Malaysia, Sabtu 21 Julai) berjudul `Pelajar Melayu kecewakan pensyarah' mendorong saya untuk mencari beberapa rumusan.
Fenomena kemunduran Melayu bukan terbatas kepada pencapaian dan sikap mereka terhadap dunia akademik. Ia tidak terhad kepada kaum pelajar Melayu tetapi ia merangkumi setiap bidang yang diceburi oleh insan Melayu pada umumnya.
Demikian pula dalam bidang-bidang lain, di mana orang Melayu diberi dana mengurus bank, bank rugi, diberi kesempatan mengendali syarikat gergasi penerbangan nasional juga rugi, malah diberi keutamaan untuk menerajui korporat nasional dengan pemberian projek-projek mega yang sepatutnya menguntungkan, juga gulung tikar dan terpaksa diserahkan kepada kerajaan.
Apa yang kita hadapi sekarang ini harus diteliti melalui berbagai aspek dan faktor.
Faktor pertama ialah genetik.
`Genotip' bangsa merupakan pemurnian gen selama lebih 4,000 tahun. Sedangkan genotip Melayu, tidak sampai pun seribu tahun. Perkahwinan saudara rapat mempengaruhi ekspresi gen, lebih cenderung untuk menghasilkan baka yang kurang unggul. Amalan budaya perkahwinan kaum Cina bertentangan dengan kebiasaan perkahwinan orang Melayu yang lebih mementingkan kerabat terdekat. Orang Cina tidak kahwin dengan sheh atau surname (marga) yang sama. Stok Melayu menjadi lebih baik, bila ada haploid luaran (sama ada dari India, Arab, Eropah mahupun Cina).
Kedua, pemakanan dan pemantapan baka Melayu yang terbahagi kepada tiga peringkat iaitu pranatal, pascanatal dan pemakanan peringkat pertumbuhan. Apakah ada makanan bestari yang boleh membuat anak Melayu lebih pintar? Apakah pemakanan yang diamalkan oleh orang Melayu membuat mereka kurang cerdik dan kurang bersaing.
Untuk menghasilkan generasi Melayu yang cemerlang, persiapan harus dilaksanakan mulai pada malam konsepsi lagi. Pengumpulan semen suami lima hari sebelum jatuh subur isteri bertujuan memastikan baka suami dalam jumlah yang cukup tinggi sehingga saingan antara beratus juta spermatozoa yang dikeluarkan oleh lelaki mampu menghasilkan satu spermatozoa juara yang terunggul untuk mempersenyawakan telur wanita.
Seawalnya lapan minggu selepas kehamilan, saraf pendengaran di susunan saraf pusat otak embrio berkenaan mulai tumbuh dan berkembang. Usaha untuk berkomunikasi sehala dengan embrio tersebut perlu dilakukan oleh pasangan suami isteri melalui nyanyian, percakapan, membaca ayat suci yang ditujukan kepada rahim ibu. Komunikasi vokal dan verbal ini boleh merangsangkan dan perkembangan jaringan dendrit sel-sel di otak di segala penjuru otak embrio tersebut.
Makin banyak sel-sel otak (neuron) dan dendrit makin pintar individu berkenaan kelak. Ukuran kepintaran (IQ) individu berkenaan bergantung pada bilangan neuron yang berjumlah ratusan bilion dan jaringan dendrit yang menghubungi sel-sel otak itu (ibarat jaringan kawat telefon) yang dapat mencapai ribuan trilion dalam satu laluan saraf sahaja.
Sayangnya jika tidak dipupuk, jaringan-jaringan tersebut akan musnah dan akan kurang berhubung antara sel-sel saraf tersebut, maka kurang pintar orang itu. Maka amat penting komunikasi verbal dan vokal ini diteruskan sepanjang kehamilan. Dendangkan janin anda dengan alunan muzik kompleks seperti muzik klasik atau pendengaran ayat-ayat suci dan doa-doa hampir dengan rahim ibunya nescaya usaha anda untuk menghasilkan bayi yang pintar akan tercapai.
Di samping itu, ibu yang mengandung harus mengambil makanan bergizi tinggi dengan makro dan mikro yang seimbang sehingga dapat mendukung perkembangan otak janin yang lebih sempurna.
Di peringkat pascanatal, begitu anak Melayu itu lahir, pemberian susu ibu merupakan suatu keharusan yang mutlak kecuali susu ibu kering atau tidak mencukupi. Dikatakan kanak-kanak yang menerima susu ibu tidak hanya memiliki IQ yang tinggi daripada yang tidak, malah ukuran emosi (EQ) juga dikatakan lebih mantap kerana sentuhan-sentuhan keibuan mententeramkan bayi, memperkukuhkan jaringan antara sel-sel otak menjadi lebih ekstensif dan intensif. Bayi-bayi Melayu perlu diusap sekerap mungkin dengan maksud dan tujuan yang sama.
Penyebarluasan dan penumpuan dalaman jaringan sel-sel saraf diperkukuhkan lagi dengan pendedahan terhadap kesemua deria pancaindera sebaik sahaja bayi Melayu itu lahir ke dunia. Dahulunya di fasa pranatal, hanya perangsangan vokal dilaksanakan, di fasa pascanatal, bayi baru lahir dapat dirangsang otaknya melalui pelbagai pancaindera lain seperti visual, sentuhan, belaian, usapan, pengecapan dan pembauan. Tindakan ini dijangka akan menghasilkan ribuan trilion sambungan antara saraf dan antara dendrit. Jika tindakan sebegini tidak dilakukan secara berterusan, sambungan-sambungan ini akan putus sehingga tidak dapat menghasilkan mereka yang mempunyai IQ dan EQ tinggi.
Pendekatan perangsangan pancaindera ini bertujuan untuk membina ribuan trilion sambungan antara sel otak dan dendritnya ke tahap paling maksimum atau optimum.
Membiarkan kanak-kanak demam panas tinggi meskipun tanpa kejang-kejang boleh memutuskan sambungan yang telah terbina. Apatah lagi terjadi jangkitan sel otak seperti encephalitis dan meningitis, suhu badan yang sangat tinggi sahaja dapat memati berjuta sel otak dalam satu serangan. Bayi-bayi dan kanak-kanak kerana pengetahuan ibu bapa yang kurang terhadap bahaya tersebut dan kesempitan kewangan mungkin mengambil keputusan merawat sendiri sehingga mengakibatkan pemutusan sambungan-sambungan sel-sel otak.
Bayangkan berapa kerap bayi-bayi dan kanak-kanak Melayu mengalami panas badan yang dianggap enteng oleh sebahagian ibu bapa. Sedangkan kaum Cina mempunyai kedudukan kewangan yang baik di samping kesedaran kesihatan yang jauh lebih tinggi, maka sambungan saraf mereka jauh lebih terpelihara daripada kanak-kanak dan bayi Melayu.
Selain rangsangan sentuhan dan usapan, bayi-bayi baru lahir harus secepatnya dirangsang deria penglibatan mereka dengan ribuan warna. Jika anda ingin anak anda menjadi pelukis, dedahkan mereka dengan kekayaan warna-warni melalui pelbagai ikhtiar. Mata manusia dapat mengenal sejuta jenis warna. Setiap warna mempunyai memorinya sendiri di otak manusia. Setiap memori mempunyai jaringan masing-masing. Makin banyak warna yang didedahkan melalui pelbagai cara (mainan/cat dinding/warna pakaian dan sebagainya), makin banyak terbina jaringan yang menyalur keterangan untuk disimpan dan dikeluarkan dalam masa yang lebih pendek dari sekelip mata.
Begitu juga dengan deria kecapan di lidah kanak-kanak, ia perlu dirangsang agar mengelak prejudis terhadap makanan tertentu. Deria kecapan di lidah janganlah dibiasakan dengan rasa-rasa asas sahaja seperti manis, masin, masam, pahit dan pedas. Kalau itu sahaja yang diberi, dikemudian hari mereka terikat dengan keterbatasan cita rasa sehingga membuat mereka menolak makanan bergizi tinggi dan menjadi ketagihan pada satu atau hanya beberapa cita rasa asasi.
Pendedahan awal kepada rasa-rasa yang kompleks seperti buah-buahan dan sayur-sayuran dapat menghindarkan mereka daripada tidak meminati makanan-makanan tersebut. Umpamanya hirisan-hirisan timun, tomato dan buah-buahan diletakkan sahaja di atas lidah untuk diperkenalkan tanpa membenarkan mereka menelan pada bayi-bayi tetapi boleh dikunyah apabila diberikan kepada kanak-kanak yang lebih besar.
Proses perkenalan itu boleh diperkukuhkan dengan penyebutan nama bahan itu meskipun kita berhadapan dengan bayi seusia enam bulan. Dengan berbuat demikian, terakam tidak hanya isyarat melalui saraf pengecapan dalam masa yang sama, apabila bahan makan dibaukan ke hidung bayi, proses pengenalan itu menjadi cukup lengkap. Terpeta di memori otaknya dan dijangka berkekalan. Kaedah ini akan membuat kanak-kanak itu menjadi gemar dengan buah-buahan dan sayur-sayuran yang merupakan sumber mikro-nutrien and vitamin yang penting untuk metabolisme otak. Kelima-lima deria pancaindera dapat dimanipulasikan sehingga perangsangan optimum sel-sel otak tercapai melalui pengisian komputer hayat.
Pemakanan anak-anak Melayu berusia bawah 12 tahun hendaklah diberikan perhatian istimewa. Ternyata pemakanan yang berasaskan kanji atau karbohidrat serta gula berlebihan seperti yang diamalkan oleh orang Melayu mungkin menyebabkan mereka menjadi agak lembap.
Kadar protein makanan Melayu biasanya rendah dan ia perlu dipertingkatkan jika orang Melayu ingin pintar. Banyak ikan, banyak daging tanpa lemak, banyak ayam, susu dan lebih penting banyak makan produk-produk kacang soya seperti tahu, tempe dan tofu.
Lawatan ke sekolah-sekolah luar bandar, akan mendapati rata-rata ukuran fizikal mereka jauh lebih kerdil daripada orang Melayu bandar yang sedikit lebih baik dalam pengambilan protein dalam diet mereka.
Walaupun tidak menyetujui IQ seseorang ditentukan oleh saiz tengkoraknya, namun dipandang dari sudut survival, mereka bertubuh kasa dan besar seperti orang Barat itu mempunyai banyak kelebihan. Otot dan otak harus seiring untuk menjadi manusia cemerlang. Keunggulan otak dan otot harus seimbang, ini diperlihatkan oleh banyak pemain bola sepak Barat yang mempunyai kombinasi tersebut. Tanpa kecekapan otak yang bertindak pantas, kesempatan serpihan saat yang diambil dengan refleks otak akan menentukan kemenangan. Dengan kata lain bermain bola sepak secara cemerlang pun harus punyai IQ yang tinggi.
Langkah ketiga adalah mengenai pendidikan prasekolah. Untuk menghasilkan pelajar Melayu yang cemerlang, pendidikan prasekolah harus dimulai lebih awal. Secara formal, ia perlu dimulai pada usia 3 tahun. Sebenarnya seperti mana yang saya tekankan, pengajaran harus bermula pada masa dalam kandungan lagi secara tidak formal. Kajian (di luar negara) membuktikan kanak-kanak yang memulakan pendidikan seawal tiga tahun mencapai kecemerlangan akademik lebih tinggi dibandingkan mereka yang memulakan pendidikan pra-sekolah pada usia lima tahun. Demikian jugalah dengan penguasaan pelbagai bahasa dapat dipupuk secara lebih berkesan pada usia prasekolah tiga tahun.
Di Malaysia, pendidikan prasekolah bermula pada peringkat lima tahun. Ia perlu dapat pandangan serius para pendidikan semua. Sebelum keputusan itu boleh dibuat, kita perlu meninjau perbezaan prasekolah Melayu dan Cina kerana perbezaan itulah yang mencorak produk di peringkat tinggi kelak. Yang paling ketara ialah kanak-kanak Melayu diajar abjad rumi mahupun jawi berjumlah 26 sahaja. Sedangkan kanak-kanak Cina diajar tulisan kanji di mana penghafalan ciri-ciri kaligrafinya dapat merangsang lebih banyak rangkaian saraf di peringkat usia muda.
Dengan sendirinya di peringkat awal lagi, kanak-kanak Cina didedahkan kepada kompleksiti sedangkan kanak-kanak Melayu kepada simplisiti. Kanak-kanak tadika dikatakan boleh menguasai dan merakam antara 1,000-4,000 karakter Cina. Ini boleh menumpukan pendalaman dan menambah kepadatan jaringan dendrit antara sel-sel otak.
Keempat ialah mengenai sikap orang Melayu baik pelajar mahupun bukan pelajar. Di zaman penjajah dan di peringkat awal pascakemerdekaan, orang Melayu selalu diperolok-olokkan kerana sikap `tidak apa' mereka.
Mungkin banyak yang tidak setuju andainya saya mengatakan sikap dan perangai orang Melayu itu sebenarnya merupakan ekspresi genetik mereka. Melayu itu malas, Cina itu rajin. Suatu generalisasi yang tidak diterima dan yang diterima, bergantung kepada siapa kita bertanya. Apakah ciri-ciri rajin vesus malas itu terletak pada DNA kromosom atau DNA mitokondria?
Buat masa ini masih belum terjawab oleh mana-mana pakar genetik. Kalau kita mengandaikan kerajinan seseorang itu bergantung pada jumlah tenaga (dalam bentuk ATP) yang dimiliki sepanjang hari maka orang Cina diandaikan mempunyai tenaga yang lebih dan berpanjangan daripada orang Melayu. Dapat diibaratkan semacam bateri tahan lama dengan bateri jangka pendek. Kesimpulan nanti, berkesudahan dengan perbezaaan jumlah mitokondria Melayu yang kurang dibandingkan dengan orang Cina.
Sebagai contoh, (dan masih banyak contoh-contoh lain) di sebuah sekolah menengah harian di Selangor yang mempunyai jumlah pelajar Cina dan Melayu yang seimbang, sekolah tersebut telah menganjurkan maraton matematik yang dipanggil RelaMath di mana para pelajar dalam masa sebulan disuruh membuat penyelesaian matematik sebanyak mungkin.
Pelajar matematik terbaik Melayu menampilkan 300 penyelesaian matematik sedangkan pelajar matematik terbaik Cina mengatasi dengan 8,000 penyelesaian. Inilah yang dikatakan kekuatan innate (dalaman, tersembunyi dan sebahagian) sesuatu bangsa yang sudah tentu merupakan manifestasi perlembagaan genetik masing-masing.
Kelima, beberapa aspek budaya Melayu yang negatif perlu ditinggalkan. Budaya Melayu yang lemah-lembut tidak perlu ditonjol-tonjolkan. Barangkali itu merupakan propaganda penjajah yang tidak mahu orang Melayu bangun menentang mereka. Tidak juga saya menyetujui harus kurang ajar. Dalam mengejar kecemerlangan akademik, minda Melayu kerap terpengaruh oleh sebahagian peribahasa Melayu yang negatif. Di dunia akademik kelantangan menyuarakan pandangan atau pendapat yang bernas dianggap suatu kualiti yang terpuji. Sedangkan kebanyakan minda Melayu masih terkongkong dengan peribahasa, `diam-diam ubi berisi'.
Sebab itu pelajar-pelajar Melayu diam (dalam bidang akademiklah!). Secara bawah sedar, diam itu bermakna `mengikut resmi padi, makin berisi makin menunduk ke bumi'. Sebab itu orang luar sukar menilai pantas kemampuan akademik pelajar Melayu sehingga tampaknya seolah-olah mereka tidak tahu apa-apa. Sedangkan pelajar Melayu itu berharap seorang penilai itu harus mengorek tanah dahulu untuk mengetahui pelajar itu berisi atau sebaliknya. Diam bermakna berada dalam kawasan selamat.
Banyak eksekutif Melayu yang bekerja di bawah pengurus besar atau ketua eksekutif Barat, tidak dapat kenaikan pangkat oleh kerana orang Barat tidak berusaha menggali. Eksekutif bukan Melayu lebih vokal dan menurut ukuran Melayu, mereka lebih menunjuk-nunjuk.
Penampilan dan penonjolan diri bukanlah ciri Melayu yang terpuji. Terdapat psyche (jiwa) pelajar Melayu yang telah terbentuk melalui pendidikan ala madrasah atau sehala, Galilah ubi mereka, jadikan mereka tembikai berkulit durian.
Kebanyakan pelajar Melayu adalah late developer (berkembang lewat) sedangkan pelajar Cina early developer (berkembang awal). Sering saya ketemui late developer ini berjaya meraih ijazah falsafah kedoktoran (Ph.D) meskipun mengambil masa yang lama.
Untuk Melayu jadi cemerlang di pelbagai bidang, tidak ada formula mudah. Untuk mencapai matlamat itu, ia boleh terlaksana dengan mengelakkan perkahwinan kerabat terdekat, meningkatkan komunikasi dengan janin anda, perangsang otak yang optimum, memperbaiki taraf pemakanan pranatal, pascanatal dan pada peringkat pertumbuhan, pendidikan tadika mulai usia tiga tahun, pendedahan pelbagai bahasa di bawah lima tahun, peningkatan kadar protein dalam gizi dan merubah norma-norma Melayu ke arah yang lebih progresif dan proaktif.
* DR. RAHMAT HAROUN ialah seorang doktor perubatan di Kuah, Langkawi. 1
Senarai Tesis
# Pemikiran Melayu dalam seni ukiran kayu : tumpuan kepada tiga generasi pengukir / Mohammad Nazzri bin Ahmad. Dissertation (M.Malay Stud.) -- Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, 2002.
Seni persembahan Melayu : satu kajian terhadap organisasi keusahawanan seni / Farok bin Zakaria. Thesis (Ph.D.) -- Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, 2003.
# ASEAN free trade AREA (Afta) : kajian mengikut perspektif ekonomi Islam / Mohd Nazri Mohd Noor. Dissertation (M. Syariah) -- Jabatan Syariah dan Ekonomi, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, 2006.
#
# Entrepreneurship, economic organisation and the automobile industry : a study of the Asian model and Malaysian experience / Mohd Rosli Mohamad. Thesis (Ph.D.) -- Institut Pengajian Siswazah, Universiti Malaya, 2004.
Thursday, September 11, 2008
Sejarah Terengganu
Negeri Terengganu Darul Iman adalah salah sebuah negeri yang terletak di Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Ia terletak di antara garisan bujur 102.25 dengan 103.50 dan garisan lintang 4 hingga 5.50. Di bahagian utara dan barat lautnya bersempadan dengan Kelantan ; manakala di bahagian selatan dan barat daya pula bersempadan dengan Pahang.
Keluasan negeri Terengganu sekarang kira-kira 1,295,638.3 hektar / 1.295,512.1 hektar. Jaluran pantainya menganjur sejauh 225 kilometer dari utara ( Besut ) ke selatan ( Kemaman ). Sebelum tahun 1947 terdapat sembilan daerah di Terengganu ; Kuala Terengganu, Kemaman, Kemasik, Paka, Dungun, Marang, Hulu Terengganu, Besut Dan Setiu. Daerah dalam Negeri Terengganu dikurangkan kepada enam: Kuala Terengganu, Kemaman, Dungun, Marang, Hulu Terengganu Dan Besut. Kemudiannya pada 1 januari 1985, sebuah daerah baru iaitu Setiu telah dibentuk dan menjadikan ketujuh di negeri Terengganu. Tiap-tiap daerah ini di tadbirkan oleh Pegawai Daerah. Keluasan daerah tersebut : Kuala Terengganu,60,654.3 hektar ; Kemaman, 253,559.9 hektar ; Dungun, 273,503.1 hektar ; Marang, 66,654.3 hektar ; Hulu Terengganu, 387,462.6 hektar ; Setiu, 130,436.3 dan Besut, 123,367.8 hektar. Penduduk Terengganu bertambah dari setahun ke setahun. Pada tahun 1912 penduduk Terengganu berjumlah 153,765 orang. Pada tahun 1951 seramai 236,300 orang. Seterusnya meningkat lagi pada tahun 1959 ke angka 278,147 orang dan tahun 1960 seramai 306,942. Pada tahun 1963 berjumlah 339.816 orang dan pada tahun 1970 berjumlah 405,751 orang. Jumlah seterusnya meningkat pada tahun 1990 ke angka 756,300 orang. Kini (1998 ) penduduk Terengganu kira-kira 1 juta orang. Daripada jumlah ini 90 peratus adalah orang Melayu dan bakinya terdiri daripada orang Cina dan India.
Ibu negeri Terengganu ialah Kuala Terengganu. Kegiatan utama ekonomi ialah perikanan. Hasil petrolium menguatkan lagi ekonomi negeri.
Asal Usul Nama Terengganu
Setakat ini terdapat beberapa cerita yang dikaitkan dengan nama negeri Terengganu. Nama Terengganu itu dikaitkan dengan " Terangnya ganu ", " Taring anu ", dan " Terangan nu ". Kisah asal nama Terengganu ini melibatkan penduduk luar Terengganu ( Kelantan dan Pahang ) dan juga dari penduduk Terengganu sendiri. " Terangnya ganu " ini dikaitkan pula dengan peristiwa beberapa orang pelajar Kelantan tiba di Kuala yang kini dipanggil Kuala Terengganu melihat pelangi di langit. Mereka pun menyatakan " Terang sungguh ganu di sini ". Apabila pulang ke Kelantan mereka menyatakan di negeri jiran sungguh "terang ganunya ".
Sementara itu " Taring anu " dikatakan berasal daripada cerita yang dikisahkan oleh Sultan Terengganu yang kesembilan, Baginda Omar ( 1839 – 1876 ). Sebelum wujud nama negeri Terengganu, satu rombongan Pahang telah datang memburu di kawasan hulu. Apabila mereka tiba di satu tempat ( kini dikenali dengan Sungai Terengganu Mati ), salah seorang daripada rombongan itu berjumpa sebatang taring. Beliau pun bertanya kepada temannya, taring apa? Salah seorang daripadanya menyatakan – "Taring anu " kerana ia tidak dapat mengingatkan nama taring tersebut. Tidak lama kemudian, di antara mereka di dalam rombongan ini dapat memburu seekor rusa. Apabila dibawa pulang ke tempat mereka berkhemah, salah seorang daripada mereka bertanya tempat rusa itu diburu. Mereka yang berkenaan menyatakan berburu di "Taring anu ". Begitu juga apabila membawa pulang kayu gaharu dan ditanya tempatnya, mereka menyatakan di " Taring anu". Lama kelamaan dikenali dengan Terengganu.
Terdapat dua kisah asal nama Terengganu yang melibatkan penduduk tempatan. pertamanya kisah " Taring anu " yang berlaku di tempat lain ( bukan di hulu ). Kisah ini menyatakan yang " Taring anu " berasal daripada sebatang taring sebesar gading gajah dijumpai di sebuah pulau ( kini dikenali sebagai Pulau Duyung ) berhampiran Kuala Sungai. Ketua pulau tersebut menyembahkan kepada raja " taring anu tuanku ". Dengan itu kuala sungai itu disebut sebagai Kuala Sungai Taring anu. Kemudiannya Kuala Sungai Terengganu.
Sebuah kitab lagi berkait dengan salah sebuah sungai yang bernama Sungai Terengan. Kuala Sungai Terengan ini adalah pertemuan Sungai Kerbat dan Sungai Terengan. Dipercayai pada zaman silam sudah ada penduduk di sini. Mereka berulangalik menggunakan kedua-dua sungai ini. Oleh itu jika mereka bertolak dari Kuala Terengan, mereka akan menggunakan samada Sungai Terengan atau Sungai Kerbat. Jika ada di antara mereka bertanya hendak ke mana? Mereka akan menjawab sama ada ke " Terangan ni " atau " Terengan nu". Dengan itu lama kelamaan muncullah Terengganu.
Kedatangan Islam
Setakat ini tidak dapat dipastikan dengan tepat tarikh atau tahun dan dari mana kedatangan Islam ke Terengganu. Namun begitu pada Batu Bersurat Terengganu tercatat tahun Hijrah 702, bersamaan 1303. Tahun ini disetujui setakat ini tercatat di Batu Bersurat dan bukan bermakna Islam bermula di Terengganu pada tahun tersebut. Dengan ini bermakna Agama Islam telah bertapak di Terengganu sebelum tahun 1303. Perkembangan Islam di Terengganu sebelum tahun tersebut membolehkan penulis batu bersurat menulis jawi dan golongan tertentu di Terengganu boleh membaca jawi. Satu perkara yang menarik di sini, Terengganu adalah negeri yang terawal di Malaysia mengkanunkan undang-undang Islam.
Dalam pada itu terbukti pada kurun ke – 16 Sharif Muhammad Al-Baghdadi sudah berada di Kuala Berang. Kehadiran beliau ini sudah pasti ada kaitan dengan Agama Islam dan perdagangan. Beliau meninggal dunia di Batu Belah, Kuala Berang. Keturunan beliau, Abdul Malik bin Abdullah ( lebih dikenali sebagai Tuk Pulau Manis ) meneruskan kegiatan keagamaan di Terengganu. Setelah kira-kira 10 tahun menuntut di Mekah dan Madinah, di sekitar tahun 1690 Abdul Malik pulang ke Terengganu dan mengajar ilmu agama di Kuala Berang.
Sejarah Awal
Sejarah awal Terengganu adalah tidak jelas. Namun begitu terdapat catatan mengenai Terengganu oleh saudagar Cina, Chao Ju Kua pada tahun 1225 yang menyebut sebagai jajahan takluk Palembang. Dalam Negarakartagama, tulisan Prapanca dari Jawa pada tahun 1365, menyatakan Terengganu, Paka dan Dungun di bawah taklukan Majapahit. Berdasarkan bukti arkeologi seperti kapak batu dan tembikar yang dijumpai di Gunung Bewah terdapat manusia tinggal di situ sejak 4,000 tahun sebelum masihi. Pada Batu Bersurat Terengganu terdapat pula catatan nama Raja Mandalika. Seterusnya dalam sejarah Terengganu, terdapat pemerintahan bernama Megat Panji Alam dan juga Tun Telanai.
Terengganu kemudiannya disebut sebagai negeri di bawah pemerintahan kerajaan Johor. Pada ketika itu, dua orang pembesar Johor ; Laksamana dan Paduka Megat Seri Rama dihantar memerintah Terengganu. seterusnya Bendahara Hasan pula dihantar mentadbir Terengganu. Berikutnya Terengganu ditadbir oleh Tun Zain Indera. Kemudiannya oleh anak Tun Zain Indera, Tun Yuan, Tun Sulaiman dan Tun Ismail. Tun Sulaiman sebagai sultan di Pantai Layang ( Balik Bukit ), Tun Yuan sebagai Bendahara dan Tun Ismail sebagai Menteri Tersat.
Kesultanan Terengganu
Pengasas Kesultanan Terengganu pada hari ini ialah Sultan Zainal Abidin I. Baginda ialah putera Tun Habib Abdul Majid atau dikenali juga dengan panggilan Bendahara Padang Saujana. Mengikut buku Tuhfat al-Nafis karangan Raja Ali Haji, Tun Zainal Abidin ditabalkan sebagai Sultan Terengganu oleh Daeng Menampuk atau Raja Tua di atas pemerintahan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. Sumber yang lain pula dinyatakan Tun Zainal Abidin ditabalkan di atas tahta Kerajaan Negeri Terengganu oleh Phra Chau Yang, Raja Pattani.
Mengikut hikayat Johor serta Pahang, Tun Zainal Abidin datang ke Pattani setelah Paduka Raja Laksamana Wan Abdul Rahman dibunuh di Terengganu disekitar 1688. Ketika berada di Pattani, Tun Zainal Abidin dijadikan anak angkat oleh Raja Pattani, Phra Nang Chau Yang.
Tun Zainal Abidin menjadi Sultan Terengganu pada tahun 1708. Ini berdasarkan duit kupang emas Terengganu yang mencatatkan nama Sultan Zainal Abidin dan tahun 1120 hijrah ( bersamaan tahun 1708 ). Sultan Zainal Abidin I tidak lama bersemanyam di Tanjung Baru, Kuala Berang, berpindah ke Kota Batang Mahang, ke Langgar dan ke Pulau Manis. Kemudian berpindah lagi ke Chabang Tiga, Kuala Terengganu dan akhirnya di kawasan berhampiran Bukit Keledang ( kini dipanggil Kota Lama ).
Sultan Zainal Abidin I digantikan oleh putera baginda, Ku Tana Mansur dengan gelaran Sultan Mansur I pada tahun 1733, ketika berusia 7 tahun. Baginda memerintah Terengganu sehingga tahun 1794. Pada tahun 1739, Sultan Mansur Shah I berkahwin dengan Raja Bulang anak Daeng Chelak, Yamtuan Muda Johor Kedua. Berikutnya berkahwin pula dengan Raja Bakul, putera Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. Ketika menduduki takhta kerajaan Terengganu, Sultan Mansur I telah menghabiskan empat belas tahun (1746 – 1760 ) daripada masa pemerintahannya di Riau, terlibat dalam persaingan di antara orang Melayu dengan orang Bugis. Apabila pulang ke Terengganu pada 1760, baginda terlibat pula dalam politik Kelantan membantu Long Yunus, Putera Long Sulaiman Ibni Long Bahar, Yang DiPertuan Kelantan menduduki takhta kerajaan Kelantan pada tahun 1776.
Sultan Mansur di gantikan oleh putera baginda Sultan Zainal Abidin II (1794 – 1808 ). Pada masa pemerintahan baginda, berlaku peperangan dengan Kelantan yang dipimpin oleh Long Mahammad Ibni Long Yunus, Raja Kelantan. Terengganu dikalahkan dan seterusnya Kelantan berjaya membebaskan diri daripada naungan Terengganu. Seterusnya takhta kerajaan Terengganu diduduki oleh Sultan Ahmad (1808 – 1830 ), Sultan Abdul Rahman ( 1830 ), Sultan Daud ( 1830 – 1831 ), Sultan Mansur II ( 1831 – 1837 ), Sultan Muhammad ( 1837 – 1839 ), Baginda Omar (1839 – 1876 ). Baginda Omar pernah menduduki takhta kerajaan Terengganu pada tahun 1831 mengantikan Sultan Daud. Tetapi baginda diturunkan dari takhta kerajaan oleh Tengku Mansur dan seterusnya sebagai Sultan Mansur II. Sultan Mansur II digantikan oleh putera baginda, Sultan Muhammad. Pada tahun 1839, Baginda Omar berjaya mengalahkan Sultan Muhammad dan seterusnya menduduki takhta kerajaan Terengganu. ketika pemerintahan baginda, Terengganu berkembang maju.
Apabila Baginda Omar mangkat, takhta kerajaan Terengganu diduduki oleh Sultan Ahmad Shah II ( 1876 –1881 ). Sultan Ahmad Shah pula digantikan oleh putera baginda, Sultan Zainal Abidin III ( 1881–1918 ). Ketika pemerintahan baginda, British beberapa kali cuba melibatkan diri dalam kerajaan Terengganu. Pada tahun 1911, Sultan Zainal Abidin III meluluskan Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Negeri Terengganu yang di antara lain menyatakan Sultan Yang DiPertuan Besar Terengganu memiliki kuasa kerajaan dan jajahan serta adalah ketua tertinggi kerajaan Terengganu. Seterusnya takhta kerajaan digantikan oleh Sultan Muhammad Shah II ( 1918 – 1920) dan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah ( 1920 – 1942 ).
Menurut Warta Chahaya Timor No. 38 bertarikh 29 September 1942, apabila Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah telah mangkat pada 26 September 1942, Tengku Ali, yang dirujuk sebagai putera sulong baginda telah dilantik sebagai " Pemangku Sultan Sementara " oleh pihak pentadbiran Jepun pada 29 September 1942. Seterusnya Tengku Ali telah diberikan gelaran " Sultan " pada 30 September 1942 oleh Syuckokan atau Gabenor Jepun. Walau bagaimanapun perlantikan ini dinyatakan tidak menurut Undang-Undang Diri Bagi Negeri Terengganu 1911.
Tengku Seri Paduka Raja, Tengku Ismail diisytiharkan sebagai Sultan Terengganu pada pukul 9.00 pagi Ahad, 16 Disember 1945. Baginda seterusnya ditabalkan pada tahun 1949 dengan gelaran Sultan Ismail Nasaruddin Shah. Sultan Ismail Nasaruddin dilantik sebagai Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong ke – 6 dari 21 September 1965 hingga 20 September 1970. Dalam tempoh itu Duli Yang Amat Mulia Tengku Mahmud dilantik sebagai Pemangku Raja Terengganu. Apabila Sultan Ismail Nasaruddin Shah mangkat pada tahun 1979, takhta kerajaan Terengganu digantikan oleh putera baginda, Duli Yang Teramat Mulia Yang Dipertuan Muda Tengku Mahmud. Baginda menduduki takhta kerajaan Terengganu dengan gelaran Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah. Sultan Mahmud mangkat pada 15 Mei 1998 di Singapura. Dengan itu, takhta kerajaan Terengganu digantikan oleh putera baginda, Yang DiPertuan Muda Tengku Mizan.
Menghadapi Kuasa Siam
Kerajaan Siam menuntut Terengganu sebagai naungannya. Bunga Emas dan Bunga Perak yang dihantar oleh Terengganu tiap-tiap 3 tahun sekali dijadikan bukti kuasa Siam ke atas Terengganu. Namun sebenarnya Bunga Emas pertama kali dihantar pada tahun 1781, di masa pemerintahan Sultan Mansur Shah I sebagai tanda balasan hadiah yang diberikan oleh angkatan Siam kepada Sultan Mansur Shah I, kerana membantu angkatan Siam menyerang dan mengalahkan Legor pada tahun 1766.
Sultan Zainal Abidin III ( 1881 – 1918 ) menjelaskan kepada Gabenor SIR Frederick Weld yang datang melawat Terengganu pada tahun 1886 dan 1887, Bunga Emas yang dihantar ke Siam hanya sebagai tanda persahabatan dan bukannya sebagai ufti. Oleh kerana dakwaan Inggeris yang mempunyai hak ke atas Terengganu, kerajaan Siam telah menyerahkan Terengganu kepada Great Britain melalui perjanjian Bangkok 1909. Namun begitu kerajaan Terengganu dibawah Sultan Zainal Abidin III menolak perjanjian ini. Dengan itu perjanjian di antara Terengganu dengan Great Britain ditandatangani pada tahun 1910. Di antara syarat perjanjian ini, Terengganu menerima Wakil British.
Menghadapi Kuasa British
Pada tahun 1862, angkatan British di bawah Kolonel R. Macpherson membedil Kuala Terengganu. Pembedilan ini dilakukan kerana British mengesyaki Terengganu memberi bantuan kepada Wan Ahmad menentang abangnya Bendahara Wan Mutahir Pahang pada tahun 1857 – 1863. Hasrat British campurtangan di Terengganu akhirnya tercapai melalui Perjanjian Bangkok yang ditandatangani oleh Kerajaan Siam dan Great Britain pada 10 Mac 1909. Dengan berkuatkuasa perjanjian ini, Kerajaan Siam menyerahkan Terengganu kepada British.
W.L.Conlay dilantik sebagai Ejen British yang pertama di Terengganu. Sultan Zainal Abidin III menolak perjanjian ini dan tidak menerima perlantikan W.L.Conlay. Pertelingkahan Perjanjian Bangkok 1909 akhirnya selesai apabila Terengganu bersetuju menandatangani dengan Great Britain pada 22 April 1910. Dengan berkuatkuasa Perjanjian ini, Terengganu menerima secara rasminya perlantikan Ejen British.
Walaupun demikian, Ejen British tidak mempunyai kuasa di dalam pentadbiran negeri Melayu yang bebas. Seterusnya pada tahun 1911, Kerajaan Terengganu meluluskan Ubdang-Undang Bagi Diri Kerajaan Negeri Terengganu yang menyatakan Terengganu adalah negeri Melayu dan Islam.
British yang tidak puas hati dengan kedudukannya di Terengganu terus menjalankan usaha untuk melibatkan dalam pentadbiran Terengganu. Pada akhirnya British berjaya melalui perjanjian 24 Mei 1919. Perjanjian ini ditandatangani oleh Sultan Muhammad yang menggantikan ayahandanya Sultan Zainal Abidin III. Berkuatkuasa Perjanjian ini, Terengganu buat pertama kalinya menerima Penasihat British. Dalam artikel 11 Perjanjian ini dicatatkan bahawa Sultan Terengganu akan menerima Penasihat British, menyediakan tempat kediaman di Terengganu dan nasihatnya hendaklah diminta serta diikuti dalam semua perkara pentadbiran kecuali Agama Islam.
Tentangan Terhadap British
Penglibatan British dalam pentadbiran Terengganu dan diikuti dengan pengenalan peraturan baru membangkitkan tentangan pada tahun 1922,1925 dan 1928. Gerakan tentangani ini dipimpin oleh Haji Abdul Rahman bin Abdul Hamid ( lebih dikenali sebagai Haji Abdul Rahman Limbong ) dan disokong oleh penduduk Terengganu. Mereka yang terlibat dalam tentangan ini menyifatkan British dan segala peraturan baru yang diperkenal dan dikuatkuasakan ( selepas British campur tangan dalam pentadbiran Terengganu ) adalah peraturan kafir.
Haji Abdul Rahman Limbong telah dibawa ke muka pengadilan. Beliau didapati bersalah dengan menyebarkan ajaran sehingga mencetuskan kebangkitan 1928. Di atas nasihat Dato’ Seri Amar Di Raja Haji Ngah Muhammad, beliau dijatuhkan hukuman buang negeri ke Mekah. Haji Abdul Rahman Limbong meninggal dunia kerana sakit di Mekah pada 6 November 1929.
Kesedaran dan Perjuangan Kemerdekaan
Terengganu juga tidak ketinggalan dalam gerakan kesedaran dan perjuangan kemerdekaan. Pada Mei 1937, Kesatuan Melayu Muda ( KMM ) ditubuhkan didaftarkan pada Ogos 1938, dibawah pimpinan Ibrahim Haji Yaacob. Matlamat perjuangan Kesatuan Melayu Muda ialah menghindar orang Melayu daripada diperas oleh penjajah dan melahirkan semangat kebangsaan. Juga ingin membebaskan Tanah Melayu daripada penjajah dan bergabung dengan Indonesia mewujudkan " Melayu Raya " atau " Indonesia Raya ".
Kempen yang dilakukan oleh Presiden KMM, Ibrahim Haji Yaacob di sekitar tahun 1940 – 1941 ke seluruh Tanah Melayu telah berjaya menubuhkan cawangan KMM di Terengganu. Pertemuan Ibrahim Yaacob dengan beberapa orang pemuda di Grand Hotel, Kuala Terengganu membawa kepada penubuhan KMM. KMM cawangan Terengganu diketuai oleh Wan Daud Ahmad; Setiausahanya pula ialah Ibrahim bin Muhamad ( Ibrahim Fikri ). Di antara tokoh lain yang terlibat dalam pengasasan KMM di Terengganu ialah Muda bin Jalil, Ibrahim Sulaiman, Muda Kassim, Muda Rahim dan Zakaria Arshad. Wan Daud Ahmad ialah bekas pelajar Sekolah Inggeris Sultan Sulaiman dan Sekolah Arab Zainal Abidin. Ibrahim Fikri pula ialah bekas pelajar Sekolah Zainal Abidin. Kemudiannya KMM berkembang di daerah Besut. Di antara mereka yang terlibat dalam pembentukan KMM Besut ialah Mohamad Senari Yunus, Ibrahim bin Ismail dan Syeikh Ali bin Mohammad.
Pada tahun 1940 beberapa orang pepimpin KMM seperti Ibrahim Haji Yaacob dan beberapa orang pemimpin Kesatuan Melayu Muda; Ishak Haji Muhammad, Hassan bin Manan, Ahmad Boestaman dan Isa Mohd bin Mahmud ditahan oleh British kerana disyaki merancang pakatan menentang British dan bekerjasama dengan pihak Jepun. Namun demikian, pemimpin KMM Terengganu seperti Ibrahim Fikri dan Wan Daud Ahmad tidak ditahan. Apabila Jepun menguasai Tanah Melayu, KMM yang sedang berkembang dibubarkan pada tahun 1942. Berikutnya pemimpin KMM terlibat dalam Pembela Tanah Air ( PETA ), di bawah pimpinan Ibrahim Haji Yaacob. PETA Terengganu pula dipimpin oleh Ibrahim Fikri. Dalam gerakannya Ibrahim Fikri mendapat sokongan daripada Haji Muhammad Salleh bin Awang.
Pada tahun 1942 – 1945, Terengganu mengalami pendudukan Jepun. Dalam jangka masa ini Terengganu ditadbir oleh Tentera Jepun, 1942 – 1943 dan Pentadbiran Tentera Thai,1943 – 1945. Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah dikekalkan diatas takhta kerajaan Terengganu. Pada 18 Mac 1942, Manabu Kuji tiba di Kuala Terengganu untuk memegang jawatan Syuciji ( Gabenor ). Dengan mengekalkan bidang kuasa Sultan dalam hal yang berkaitan dengan agama, pentadbiran tentera Jepun membentuk pentadbiran Terengganu berasaskan kepada empat pejabat; Pejabat Guji Keimu-bu ( Pejabat khas untuk Tuan Syuciji Terengganu ), Pejabat Somu-bu ( Pejabat Am ), Pejabat Zaimu-bu (Pejabat Khazanah ) dan Pejabat Sangyo-bu ( Pejabat perniagaan ) serta Pejabat Kotsu-bu (Pejabat Pengangkutan).
Kemudiannya dalam tahun 1943, pentadbiran tentera Jepun memindahkan pentadbiran Terengganu kepada kerajaan Thai. Pada 15 Oktober 1943 ( 15 Oktober 2603 ), Gabenor dan pegawai-pegawai Thai tiba di Terengganu untuk mengambil alih teraju pentadbiran. Negeri Terengganu diserahkan oleh Kerajaan Dai Nippon kepada kerajaan Thai pada pukul 11.50 pagi, 18 Oktober 1943 ( 18 Oktober 2486).
Pentadbiran Thai di Terengganu berakhir setelah Jepun menyerah kalah kepada pihak Berikat pada 15 Ogos 1945. Dengan itu pada tahun 1945, Terengganu diletakkan di bawah Region 8, pentadbiran Pegawai Kanan Hal Ehwal Awam ( Senior Civil Affairs Officer ) Terengganu yang disandang oleh Leftenan Kolonel D. Headley. Sementara itu Kerajaan British sedang berusaha untuk memperkenalkan Malayan Union di Tanah Melayu. Pada 17 Oktober 1945, Parti Kebangsaan Melayu Malaya ( PKMM ) ditubuhkan di Ipoh, Perak oleh sekumpulan yang terlibat dalam perjuangan KMM. Cawangan KMM merebak ke seluruh Tanah Melayu termasuk Terengganu. PKMM cawangan Kuala Terengganu ditubuhkan di Chabang Tiga oleh Awang bin Ali dan Haji Abdul Latif. Apabila Ibrahim Fikri menyertai PKMM, setelah dibebaskan daripada tahanan pada April 1946, beliau dilantik sebagai Ketua PKMM. Berikutnya pada tahun 1947, beliau dilantik menganggotai Majlis Tertinggi Kerja PKMM. Cawangan PKMM berkembang di Terengganu, antaranya di Dungun dan Besut. Cawangan PKMM Kampung Raja, Besut ditubuhkan pada akhir 1945. Mereka yang terlibat ialah Wan Ahmad sebagai Yang DiPertua, Salleh bin Muhammad sebagai Setiausaha dan Haji Taib bin Abdullah sebagai Bendahari.
Cawangan PKMM Jertih ditubuhkan pada tahun 1946 oleh Ibrahim Ismail dan beberapa orang rakannya seperti A. Rahman bin Muhammad, Mohd Daud bin Samad dan Mohd Noor bin Awang; di Kuala Besut ditubuhkan oleh Yusof bin Embong dan rakannya Mohd Senari Yunos, Wan Hassan bin Muda dan Mohd Noor bin Ismail pada tahun 1947. PKMM juga ditubuhkan di Kemaman pada tahun 1946, dipimpin oleh Wan Yahya bin Haji Wan Muhammad. Angkatan Wanita Sedar cawangan Kuala Besut dengan Wan Zainun sebagai setiausahanya, dirasmikan penubuhannya di Kuala Besut pada tahun 1947. Di samping itu terdapat juga Persatuan Melayu Terengganu, Persatuan Melayu Besut, Persatuan Melayu Kemaman dan Persatuan Melayu Kemasik. Pada tahun 1947, Persatuan Melayu Terengganu dipimpin oleh Tengku Muhammad Pahang dan Persatuan Melayu Besut dipimpin oleh Tengku Lela Segera bin Tengku Nara Di Raja. Persatuan Melayu Kemasik pula dipimpin oleh Muhammad bin Jusoh.
Pada tahun 1946, kerajaan British mengambil keputusan memperkenalkan Malayan Union. Pengenalan Malayan Union mendapat bantahan daripada masyarakat Melayu. Tentangan ini pula berkisar di sekitar masalah kerakyatan dan kedudukan Raja-Raja Melayu. Akhbar Utusan Melayu dan Majlis turut memainkan peranan menentang Malayan Union. Terengganu juga turut melancarkan tunjuk perasaan menentang Malayan Union pada 24 Januari 1946. Persatuan Melayu Kemaman, Terengganu menghantar kawat kepada Pengerusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menentang Malayan Union. Pada 24 Januari 1946, Onn bin Jaafar melalui akhbar Majlis menggesa supaya orang Melayu mengadakan kongres se Tanah Melayu. Dalam Kongres Ketiga yang diadakan di Kelab Sultan Sulaiman pada 1 April 1946 beberapa orang telah dipilih untuk menggubal perlembagaan bagi United Malays National Organisation ( atau UMNO ). Akhirnya dalam perjumpaan 11 Mei 1946 dalam kongres yang berlangsung di Johor Bahru pada 11 – 12 Mei 1946, UMNO dengan rasminya dilahirkan dengan Onn Jaafar menjadi Presiden yang pertama. Berikutnya cawangan UMNO ditubuhkan di negeri-negeri di Tanah Melayu, termasuk Terengganu. menyedari adanya tentangan maka Kerajaan Bitish mengambil sikap berunding dengan orang-orang Melayu untuk merangka Perlembagaan baru.
Sultan Ismail Nasiruddin Shah menurunkan tandatangan ke atas Perjanjian Persekutuan pada 21 Januari 1948 dan Kerajaan British pula diwakili oleh Sir Gerard Edward James Gent. Pada 6 Jun 1949 Sultan Ismail Nasiruddin Shah dan Tengku Ampuan ditabalkan. Kini Terengganu bersama-sama negeri lain dalam Persekutuan Tanah Melayu menuju ke arah kerajaan sendiri. Pada 30 September 1952, Menteri Besar Terengganu mengumumkan di dalam Majlis Mesyuarat Negeri, pilihan wakil Majlis Perbandaran Kuala Terengganu akan diadakan pada tahun 1953. Pilihan raya ini adalah berdasarkan kepada Local Authority and Local Council Election Ordinance yang diluluskan oleh Majlis Perundangan Persekutuan (Federal Legislative Council ) pada 28 September 1950 dan 3 Julai 1952. Kawasan pilihan raya Majlis Perbandaran ini diwartakan dalam Warta Kerajaan pada 21 Januari 1953. Tiga kerusi diperuntukkan dalan pilihan raya ini; Kuala, Ladang dan Bukit Besar. Kemudiannya pilihan raya diadakan, ketiga-tiga kerusi ini dimenangi oleh calon Perikatan.
Perkembangan ke arah berkerajaan sendiri terus berjalan. Pada 7 September 1954, pengisytiharan mengenai pilihan raya bagi negeri dibuat. Pengisytiharan ini dibuat oleh Sultan Ismail Nasiruddin Shah dan ditandatangani oleh Menteri BesarTerengganu, Encik Kamaruddin Idris. Pilihan raya tersebut akan diadakan pada 29 Oktober 1954. Terengganu memperuntukkan 15 kawasan untuk pilihan raya tersebut. Lima belas kawasan tersebut ialah Kuala Besut, Hulu Besut, Setiu, Bandar Kuala Terengganu, Ladang, Bukit Besar, Kuala Terengganu Utara, Kuala Terengganu Barat, Kuala Terengganu Tengah, Kuala Terengganu Selatan, Hulu Terengganu, Marang, Dungun, Paka-Kemaman Utara dan Kemaman Selatan. Ketika penamaan calon, dua calon Perikatan menang tanpa bertanding.
Calon Perikatan yang menang tanpa bertanding ialah Encik Zainal Abidin bin Mohamed Amin, kawasan Hulu Besut dan Encik Mohamed Taha bin Embong,kawasan Paka- Kemaman Utara. Pilihan raya ini adalah pertama kali di Pantai Timur dan kedua selepas Johor di Pesekutuan Tanah Melayu. Dalam pilihan raya ini, pengundi datang mendaftar sebagai pemilih dan terus mengundi pada hari yang sama. Baki kerusi sebanyak 13 ditandingi oleh 14 calon Perikatan dan 10 calon Negara dan 9 calon Bebas. Dalam pilihan raya tersebut Parti Perikatan memenangi semua kerusi yang dipertandingkan.
Kemudiannya ketetapan telah dibuat untuk mengadakan pilihan raya Persekutuan pada tahun 1955. Seperti juga negeri-negeri lain di Tanah Melayu, Terengganu juga membuat persiapan untuk menghadapi pilihan raya tersebut. Tiga kawasan iaitu Terengganu Utara, Terengganu Tengah dan Terengganu Selatan akan dipertandingkan. UMNO Terengganu dikehendaki mengemukakan calon untuk bertanding dalam pilihan raya itu. Mereka yang dipilih ialah Dato’ Perwira Negara Haji Ali bin Long, Che Ibrahim Fikri dan Wan Yahya bin Haji Mohamed. Kemudiannya Dato’ Perwira Negara Haji Ali bin Long menarik diri daripada menjadi calon pilihan raya Persekutuan 1955. Dengan itu Jawatankuasa Perhubungan UMNO Terengganu bersidang sekali lagi pada 25 Mac 1955 dan sebulat suara bersetuju mencalonkan Engku Mohsein bin Abdul Kadir sebagai ganti calon dalam kawasan Terengganu Tengah. Che Ibrahim Fikri menentang Encik Muhammad Salleh bin Ahmad calon Parti Negara. Engku Mohsein bin Abdul Kadir; calon UMNO bertanding di kawasan Terengganu Tengah menentang calon Parti Negara, Encik Sulaiman bin Ali. Wan Yahya bin Haji Wan Mohamed, calon UMNO pula menentang Ibrahim bin Mat Noh, Parti Negara di kawasan Terengganu Selatan. Dalam pilihan raya yang berlangsung pada 27 Julai 1955 di tiga kawasan, Terengganu Utara, Terengganu Tengah dan Terengganu Selatan, Parti Perikatan berjaya mengalahkan calon Parti Negara. Dalam pilihan raya ini 52 kerusi dipertandingkan di seluruh Tanah Melayu. Parti Perikatan memenangi 51 kerusi dan hanya 1 kerusi sahaja dimenangi oleh Parti Islam SeMalaya ( PAS ) di kawasan Kerian, Perak. Kini Parti Perikatan membentuk kerajaan mentadbir Persekutuan Tanah Melayu. Sementara itu rundingan kemerdekaan diteruskan sehinggalah Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.
Wednesday, September 10, 2008
"Saya sudah habis edah," kata penyanyi Noraniza Idris apabila ditanya bilakah tarikh tepat dia bercerai dengan suami kedua yang masih mahu disembunyikan identitinya.
Tapi penyanyi yang digelar Ratu Pop Etnik itu enggan memberitahu tarikh tepat bilakah dia bercerai. Noraniza mengakui susah untuk dia berbicara banyak kerana status suaminya yang sudah mempunyai isteri semasa mengahwininya.
"Kalau saya cakap tarikh saya bercerai... nanti kamu bilang berapa hari saya berkahwin," jelasnya tenang dengan reaksi membayangkan tempoh perkahwinannya tidak panjang. Malah Noraniza juga menganggap dia masih belum mengenali sepenuhnya bekas suaminya itu.
Noraniza, 40, mengakui mengalami saat sukar semasa berkahwin, apatah lagi melakukan sesuatu yang bertentangan dengan prinsipnya. Dia sebenarnya tidak boleh menerima situasi berkongsi kasih, tapi pilih berkahwin yang membuatkan dia berada dalam situasi itu.
"Saya memang selalu pegang prinsip tidak mahu berkongsi kasih. Saya selalu cakap itu, tapi saya melakukannya juga... saya anggap ini satu dugaan Allah untuk saya. Tapi sekarang saya tenang dan boleh menerimanya dengan pasrah.
"Saya akui selepas bercerai kali kedua saya mahu menyembunyikan... saya terfikir apa pandangan orang apabila saya bercerai lagi. Orang akan mudah membuat anggapan salahnya datang dari kita, sebab itulah saya mahu berdiam diri dan menyimpan beban itu. Saya fikir dengan memendamnya saya boleh lari dari masalah.
"Sebenarnya sebaik sahaja saya memberitahu (kepada media) pasal perceraian kedua ini, saya terus rasa tenang dan masalah yang saya selalu fikirkan terus hilang. Itulah hikmah yang saya dapat apabila saya sedia memberitahu kebenaran," kata Noraniza.
Kesakitan yang dilalui kini tidak sekuat pengalaman semasa bercerai kali pertama dengan Fareez. Dia rasa suasana lain apabila tiba-tiba bersendirian. Kini kerja seninya banyak dan dia boleh memberi sepenuh tumpuan kepada pekerjaan. Apatah lagi ada projek mega menunggunya selepas ini.
Anak jadi penasihat
Noraniza mengakui anak sulungnya Mohammad Aliff Haiqal Mohammad Fauzi, 20, menjadi penasihat apabila dia berdepan dengan masalah. Aliff yang meminta dia memberitahu kedudukan sebenarnya demi kebaikan. Ternyata kadang-kadang nasihat anak remaja juga berguna untuk ibu bapa.
"Aliff meminta saya memberitahu perkara sebenar. Itulah saya yang sudah berusia 40 tahun ini kadang-kadang tak boleh berfikir perkara ringkas apabila berdepan dengan masalah," kata Noraniza.
Aliff pula redha dan sentiasa menyokong apa sahaja yang dilakukan oleh ibunya. Malah Aliff juga salah seorang Ahli Lembaga Pengarah syarikat Noraniza Idris Production Sdn. Bhd. (NIP) yang ditubuhkan pada 18 Januari 2008.
"Saya mahu mama berterus terang pasal statusnya... manalah tahu kalau ada seseorang yang benar-benar menyukainya selepas ini. Saya terima kalau mama ada jodoh lagi selepas ini dengan lelaki yang benar-benar menyintainya," kata Aliff.
Terus perjuang irama etnik
Noraniza ada cerita baru pasal dunia seninya. NIP menandatangani memorandom persefahaman (MoU) dengan Pro Sinar Event Management Sdn. Bhd. untuk menggerakkan pelbagai aktiviti yang menjurus kepada mengangkat irama etnik negara ini. Mereka menamakannya Serentak Seirama Ke Arah Kecemerlangan. Majlisnya diadakan di Hotel De Palma, Ampang, Selangor pada 9 September 2008 lalu.
Projek pertama gabungan tersebut ialah Jelajah Etnik... Noraniza Idris. Sebuah album istimewa yang bakal mengangkat kembali irama pop etnik akan diterbitkan. Selepas itu bakal diadakan penjelajahan mengetengahkan irama etnik ke peringkat yang lebih tinggi termasuk mempromosikan kepada pelancong luar negara. Malah Noraniza mengidamkan penjelajahan yang dijadualkan bermula tahun depan itu bakal dimuatkan dalam kalendar Kementerian Pelancongan Malaysia 2009.
"Album ini akan memuatkan sebuah lagu dalam dua versi iaitu etnik sepenuhnya dan fusion hasil gabungan dengan irama pop, rock, hip hop, world music dan sebagainya. Amy Search, Cat Farish, Yasin antara artis yang disenaraikan. Album ini akan diterbitkan hujung tahun ini.
"Apabila album diterbitkan barulah bermula jelajah etnik. Kami rancang mengadakan di enam negeri iaitu di Utara tanah air, Selatan tanah air, pantai Timur, kawasan tengah serta Sabah dan Sarawak. Ia bukan berbentuk konsert semata-mata sebaliknya bakal diisi dengan aktiviti pembelajaran yang mengetengahkan irama etnik," jelas Noraniza.
Noraniza juga bekerjasama dengan kumpulan Akasia merakam lagu raya terbaru berjudul Cinta Lebaran.
Oleh Roslah Othman
Tetamu kehormat, Datin Shuryani Shuib (kanan) tertarik melihat koleksi batik yang terdapat di Galeri Seri Endon.
MENARIK dan penuh kepelbagaian konsep. Itulah ungkapan sesuai menggambarkan rekaan lima pereka tempatan pada majlis minum petang sempena sambutan ulang tahun pertama Galeri Seri Endon dan kemerdekaan negara ke-51, baru-baru ini.
Rekaan penuh kontemporari dan kreatif itu memperlihatkan perkembangan menarik dalam industri fesyen tanah air di samping menonjolkan kreativiti pereka yang penuh berseni.
Dari warna, rekaan dan motif, pereka bebas berkarya tanpa membataskan pada sesuatu konsep bagi batik kontemporari rekaan mereka.
Lima pereka itu terdiri daripada Masrina Abdullah (juara Piala Seri Endon 2003), Azizi Hassan (ketiga 2003) Micheal Shu (kedua 2004), Zoey Tan (juara 2007) dan pereka dalam Galeri Seri Hendon sendiri, Shuiri Marlina (pemenang ketiga 2004).
Semua pereka berkenaan pernah memenangi pertandingan Piala Seri Endon dari 2003 hingga 2007, di samping menyertai pelbagai pertandingan rekaan fesyen yang lain.
Masrina yang cukup terkenal sebagai pereka yang sering menghasilkan motif batik melalui unsur penyamaran, bukan sahaja menonjolkan pendekatan berbeza, tetapi turut melahirkan rekaan indah dengan kelas tersendiri.
Koleksi Azizi Hassan yang juga pemilik Zizi Design ini tidak kurang mencuri tumpuan tetamu apabila cuba memperkenalkan sesuatu yang baru dan segar dalam rekaannya.
Penekanan pada pembentukan warna latar dalam rekaannya kali ini menyerlahkan lagi motif batik pada fabrik.
Tidak ketinggalan, pereka Micheal Shu mengetengahkan rekaan yang menggabungkan pembentukan warna latar dalam rekaan bagi menyerlahkan motif batik pada fabrik.
Sementara himpunan Zoey Tan juga tidak kurang menariknya dengan menampilkan rekaan yang cukup segar dan menawan.
Manakala himpunan batik Galeri Seri Endon turut memukau mata para tetamu dengan corak dan rekaan terkini. Himpunan yang diperagakan memperlihatkan warna hitam mendominasi rekaan hasil sentuhan pereka dalaman galeri itu sendiri iaitu Suhairi Marlina.
Majlis dimeriahkan lagi dengan kehadiran tetamu kehormat, isteri Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datin Shuryani Shuib serta Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Budi Penyayang (Penyayang), Datuk Leela Mohd. Ali.
Sebagai simbolik kepada majlis pada petang itu acara memotong kek turut diadakan sebagai simbolik kepada sambutan ulang tahun pertama pembukaan Galeri Seri Endon serta sambutan kemerdekaan negara ke-51 tahun.
|
Aksesori unik untuk yang berani mencuba
| |
| PUTERI AZREEN SHEENA HANIF |
Dirinya sememangnya kreatif. Selain daripada mahir menjahit manik, wanita kecil molek ini juga boleh mereka aksesori hiasan wanita yang unik lagi daring.
Bermula sejak berumur enam tahun lagi, minat kepada hiasan ini telah boleh dilihat. Rantai pemberian emak saudara telah dibuka dan digunting semula bagi menghasilkan barang hiasan yang lain, mengikut kreativitinya sendiri. Inilah yang mendorongnya hingga sekarang dalam menghasilkan pelbagai aksesori wanita seperti rantai, gelang, anting-anting, cincin dan bag charms.
Menggunakan jenama Adeen sempena nama timangannya sejak kecil lagi, Puteri Azreen Sheena Hanif, 36, berjaya membawa perniagaan aksesori batu semula jadinya menjelajah bukan sahaja di Lembah Klang malah telah sampai ke Seattle, Amerika Syarikat, menerusi kawan yang tinggal di sana yang membantu memasarkan produknya.
Berasal dari Shah Alam dan pernah bekerja dalam bidang peruncitan pakaian keluaran syarikat Sepanyol, Putei Azreen memberitahu, beliau sememangnya meminati dunia fesyen dan kerana itulah juga rekaan aksesori menjadi hala tujunya dalam menceburi bidang perniagaan.
“Kebanyakan idea dalam mereka cipta aksesori batu semula jadi ini datang daripada pemerhatian melalui pertunjukan fesyen dan majalah.
“Sebagai contoh, apabila melihat pertunjukan fesyen, saya boleh menggambarkan aksesori bagaimana sesuai untuk sesuatu pakaian yang digayakan. Begitu juga untuk menyesuaikan dengan motif kontemporari supaya tidak mereka aksesori yang ketinggalan zaman.
“Bagi yang berbaju kurung dan bertudung, aksesori yang sesuai harus dibuat bagi memberi gaya kepada pemakainya.
“Selalunya aksesori seperti rantai panjang tetapi tidak terlalu ringkas dengan rekaan unik sesuai dengan golongan ini. Ini akan memberi imej elegan kepada pemakainya,’’ kata ibu kepada dua orang cahayamata, Puteri Mysarah Iskandar, 9, dan Sulyman Shah Iskandar, 4.
Dalam penciptaan aksesori, katanya, konsepnya ialah mengeluarkan satu rekaan sahaja iaitu produk eksklusif, tiada dua yang sama dengannya.
“Justeru itu, pelanggan tidak akan memperoleh aksesori yang sama di tempat lain. Inilah yang istimewa aksesori Adeen.
“Bahkan pemilihan batu juga unik, dalam satu produk aksesori, terdapat pelbagai jenis batu, saiz dan warna yang menjadikan aksesori itu nampak berlainan daripada yang ada dalam pasaran.
“Kebanyakan aksesori rekaan saya berimej daring. Justeru, ia sesuai untuk mereka yang berani mencuba sesuatu yang berlainan dan unik,’’ jelasnya.
Kebanyakan batu seperti turquoise, smoky quartz, topaz, chalcedony, cat’s eye, tiger’s eye menjadi kegemarannya dalam mereka cipta aksesori Adeen.
“Bagi peminat yang ingin mendapatkan aksesori ini bolehlah datang ke Bangsar Shopping Centre setiap Sabtu dan Ahad di hujung bulan; Crown Princess Hotel, sebulan sekali dan Great Eastern Mall, empat bulan sekali.
“Di tiga tempat inilah saya menjual produk Adeen menerusi gerai yang disewa mengikut waktu yang ditetapkan. Walaupun tidak mempunyai premis tetap, tetapi alhamdulilah menerusi jualan seperti ini, barangan juga laris dijual,’’ kata bekas graduan undang-undang dari Rima College ini.
Ditanya sama ada menyimpan impian untuk mempunyai premis, Adeen berkata, mungkin dalam masa tiga tahun lagi.
Sekarang, kediamannya di Seksyen 14, Petaling Jaya dijadikan premis tetapnya bagi menerima pelanggan dan membuat aksesorinya.
Beliau memberitahu, dalam bulan puasa ini, telah banyak tempahan diterima daripada pelanggan yang mahukan aksesori untuk dipakai pada Aidilfitri.
“Kebanyakan mereka mahukan dalam bentuk set yang senang disesuaikan dengan baju raya. Kata mereka, aksesori Adeen memang unik dan berlainan, sebab itulah mereka menempah kerana tidak mahu sama dengan orang lain,’’ ujarnya yang boleh menyiapkan dua set aksesori sehari.
Kata Adeen, dalam mereka sesuatu aksesori, paling cepat untuk menyiapnya ialah satu jam dan paling lama ialah tiga hari. Semuanya bergantung kepada motif dan rekaannya.
“Saya juga ada menawarkan kelas bagi sesiapa yang berminat untuk mereka cipta aksesori, boleh hubungi 012-2059509 dengan bayaran di bawah RM100 berserta peralatan dan batu hiasan,’’ katanya dengan penuh yakin bahawa perniagaan aksesori ini mempunyai masa depan yang cerah terutamanya dalam mendapatkan pendapatan tambahan.
Aida popular dengan kubah sajian
| |
| JIKA pada mulanya dianggap ‘hijau’ tetapi Aida Melisa kini berjaya meletakkan diri antara individu penting di syarikat. |
BELIAU baru sahaja menamatkan pengajian dalam bidang pengurusan hartanah di salah sebuah universiti di selatan tanah air ketika mula-mula dipelawa menyertai Madetill Industries (M) Sdn. Bhd. (MIMSB) pada tahun 2004.Ketika itu dalam fikiran Aida Melisa M. Hanapiah, 27, sekadar untuk bekerja secara sambilan dan memenuhi jawatan sebagai pegawai pemasaran membantu bapa saudaranya, Harun Abdul Hassan, pemilik syarikat tempatan tunggal yang memasar dan membuat kubah sajian sejak lebih sedekad lalu.
Kini setelah empat tahun berada di syarikat tersebut, seluruh jiwanya bagai bersatu dengan pekerjaan yang dilakukan.
Berbanding awal penyertaan, beliau masih dianggap hijau dan kurang berpengalaman, kini berjaya meletakkan diri antara individu penting di syarikat yang telah membuka cabang perniagaan lain iaitu Madetill Event Management Sdn. Bhd. (MEMSB).
Penubuhan MEMSB bukan sahaja menyediakan khidmat jualan kubah sajian sebaliknya turut menyediakan khidmat sewa kubah sajian dan kerjasama dengan perkhidmatan katering.
Kini MEMSB semakin berkembang maju dan dikenali ramai sebagai satu-satunya syarikat bumiputera yang menawarkan perkhidmatan seumpamanya dari A hingga Z.Selain di Kuala Lumpur, MEMSB turut membuka cawangan di Kuantan, Pahang dan Sungai Petani, Kedah bagi memenuhi permintaan pelanggan di sana.“Adanya saya di sini kerana sokongan dan dorongan bapa saudara dan ibu saya sendiri, Rukiah Abdul Hassan yang bertindak sebagai Pengarah Urusan MEMSB,’’ ujarnya memulakan perbualan ketika ditemui baru-baru ini di ibu pejabat dan kilang MEMSB di Balakong, Selangor.
Menurut anak keempat daripada tujuh orang adik-beradik ini, setelah berada beberapa tahun di sana, hatinya semakin terbuka untuk terus sama-sama memaju dan mengembangkan perniagaan milik keluarganya itu.Tanpa ada prejudis, sebaliknya melihat kepada kesungguhan dan kerja keras, beliau telah dilantik sebagai Pengarah Bersama di MEMSB sejak dua tahun lalu.
Sambil mengakui penubuhan MEMSB adalah satu lagi petanda kepada cabaran besar yang perlu dihadapi demi memastikan syarikat tersebut terus dikenali ramai.
Sukar menyakinkan pelanggan
Ditanya tentang cabaran, kata anak kelahiran Kepong, Selangor ini.“Agak sukar menyakinkan pelanggan ketika itu. Ada yang kata sejauh manakah pengalaman dan pengetahuan saya berbanding mereka yang lebih berpengalaman untuk bercerita tentang sesuatu produk itu.’’Namun, berkat sokongan serta tunjuk ajar seorang lagi bapa saudaranya, Roslan Rahilah, yang ketika itu juga bertindak sebagai pegawai pemasaran beliau memberanikan diri untuk terus menemui pelanggan pada masa sama cuba belajar mengenali produk dan pembuatan.
Kata Aida Melisa, setelah benar-benar mengenali produk, ia bagaikan membangkitkan semangatnya untuk terus menyakinkan pelanggan bahawa produk keluaran tempatan juga setanding produk luar negara dari segi mutu dan rekaan.“Maklum balas daripada pengguna banyak membantu kami untuk sentiasa cuba meningkatkan keupayaan produk daripada semasa ke semasa sama ada daripada segi pembuatan dan reka bentuk agar apa yang dihasilkan benar-benar bermutu dan terjamin,’’ ujarnya lagi.
Akui Aida Melisa lagi, apa yang lebih membanggakan sehingga ke hari ini pelanggan mereka bukan sahaja terdiri daripada hotel-hotel, tetapi juga individu yang terlibat dalam industri katering dan individu.Bercerita mengenai perkhidmatan yang ditawarkan MEMSB, katanya, perkhidmatan sewaan kubah tersebut bermula apabila ada permintaan daripada pihak katerer untuk menyediakan 100 kubah bagi satu majlis perkahwinan tidak lama dulu.Memandangkan ia melibatkan kos yang tinggi, Madetill kemudiannya menyewakan sahaja kubah-kubah tersebut.
Lebih agresif
Dari situlah bermula perkhidmatan sewaan kubah secara lebih agresif antaranya peralatan majlis-majlis yang diperlukan seperti set pinggan mangkuk, kerusi, sarung kerusi, meja jamuan, alas meja, reben-reben yang diperlukan serta kanopi.Ditanya sejauh mana baik buruknya bekerja dalam sebuah keluarga, kata Aida Melisa meletakkan diri dan cuba memahami tanggungjawab masing-masing membolehkan beliau terus selesa bekerja bersama.
Sebagai individu yang terdidik dengan nilai-nilai kasih sayang dan saling menghormati, beliau percaya kepada ikatan keluarga yang memberi banyak kelebihan kepada syarikat ini untuk terus berkembang maju.‘‘Di pejabat saya menghormati mereka sebagai ketua, apabila di luar mereka tetap bapa saudara dan ibu,’’ ujarnya sambil tersenyum.Walaupun sudah bergelar isteri dan ibu, komitmen beliau terhadap tugas tidak pernah berubah, sebaliknya sentiasa cuba melakukan yang terbaik demi kemajuan syarikat.Apa yang penting kata wanita yang memegang prinsip melakukan kerja dengan penuh kesungguhan dan sentiasa berdoa ini mengakui pembahagian masa amat penting demi memastikan keseimbangan antara tugas dan rumah tangga.
