Friday, August 22, 2008

Berusaha menuju kesempurnaan

SEMPURNA bermaksud cukup, lengkap, tiada cacat celanya. Kesempurnaan juga bererti efektif dan efisien dalam melaksanakan tugas. Efektif bermaksud berhasil mencapai matlamat yang ditujui manakala efisien pula bermaksud menggunakan sebaik-baiknya tempoh masa yang ada dalam usaha mencapai matlamat tersebut.Konsep itqan dalam Islam juga merujuk kepada maksud sempurna atau konsep profesionalisme. Namun perkataan itqan itu mempunyai konotasi yang lebih luas dan holistik kerana ia bertaut kepada aspek ketauhidan kepada Allah SWT.Dalam kupasan minggu ini perkataan sempurna digunakan bagi memudahkan pemahaman pembaca, tetapi pada dasarnya, ia merujuk kepada konsep itqan yang dimaksudkan.

Bagi seseorang insan itu, kesempurnaan dalam menuju matlamat insan diciptakan ialah apabila ia berusaha untuk memenuhi segenap aspek kehidupannya di dunia ini sebagai ibadah kepada Allah SWT semata-mata, sebagaimana maksud ayat 56 surah Az-Zaariyat.

Kesempurnaan dalam bidang profesional

Faktor kesempurnaan semakin signifikan apabila dikaitkan dengan bidang profesional seperti kedoktoran dan kejuruteraan. Profesion sebagai doktor atau jurutera umpamanya, memerlukan kejituan serta ketelitian yang tinggi dalam tugasan mereka kerana ia melibatkan aspek kesihatan dan keselamatan orang ramai.Doktor yang merawat pesakit perlu berusaha memastikan kesempurnaan terhadap rawatan yang diberikan. Diagnosis penyakit perlu teliti, preskripsi ubat perlu sesuai, serta rekod perubatan perlu objektif demi memastikan kualiti kesihatan pesakit semakin meningkat selepas rawatan (dengan izin Allah).

Andai doktor cuai, penyakit bakal melarat, penyakit lain pula menghambat, dan kemudiannya pesakit semakin tenat. Emosi pesakit dan keluarga pula semakin meruntun. Kredibiliti doktor juga bakal dipersoal, malah mungkin dipertanggungjawabkan atas ketidaksempurnaan tugas yang dilaksanakan.Jurutera yang merencana pembinaan bangunan atau lebuh raya perlu berusaha memastikan kesempurnaan dalam pembinaan yang dirancangkan.

Bahan yang digunakan perlu berkualiti, reka bentuk yang dirancang perlu selamat serta mempunyai ketahanan untuk menanggung beban berat manusia dan kenderaan yang menggunakannya.Andai jurutera cuai, bangunan mungkin retak lantas mengundang bahaya buat penghuni serta sekitarnya. Ditakuti bahawa bangunan mungkin tumbang atau runtuh secara tiba-tiba lalu mengakibatkan ramai terkorban serta kehilangan harta benda.

Di kala itu sang jurutera dipertanggungjawabkan, punca kejadian dicari dan hukuman bakal menanti andai didapati bersalah. Sudah tentu kita tidak mahu tragedi tumbangnya kondominium Highland Towers 15 tahun lepas berulang lagi.

Kesempurnaan dalam pelajaran

Bagi remaja yang masih menempuhi pelajaran, sifat kesempurnaan itu akan membantu ke arah mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Kesempurnaan dalam pelajaran perlu bermula sejak awal tahun persekolahan atau semester dan bukannya hanya apabila tempoh peperiksaan semakin menghampiri.Dari segi tugasan, implementasi sempurna terhadap pelajaran bermaksud tugasan dilaksanakan dengan betul dan lengkap pada waktunya. Tugasan juga mungkin dilaksanakan atas inisiatif sendiri atau perbincangan bersama rakan tetapi bukannya dengan meniru secara bulat-bulat daripada mana-mana rujukan sekalipun.

Kesempurnaan juga merangkumi inisiatif sendiri dalam melakukan latih tubi serta pembacaan yang intensif terhadap bahan berkaitan peperiksaan. Justeru, bersifat proaktif dengan kaedah belajar sendiri merupakan langkah utama dalam mempersiapkan diri untuk menghadapi peperiksaan.Di samping itu, aktif dalam kegiatan kokurikulum yang tidak menjejaskan pelajaran serta halaqah juga menjurus ke arah kesempurnaan dalam pembentukan watak seseorang pelajar itu.

Kesempurnaan yang berimbang

Kesempurnaan bukan sahaja berkaitan perkara yang dihuraikan di atas tetapi juga meliputi segenap aspek dalam kehidupan insan. Kesempurnaan dalam sesuatu aspek sahaja tetapi mengabaikan aspek lain tidak dapat menghasilkan kecemerlangan yang holistik bagi seseorang insan itu serta insan lain di dalam lingkungan pengaruhnya.

Bagi mereka yang berkerjaya dan berkeluarga misalannya, kesempurnaan dalam kerjaya melalui dedikasi masa dan tenaga bakal membuahkan hasil dalam bentuk kenaikan pangkat, pendapatan yang lebih tinggi atau sebagainya.

Namun jika tuntutan berkerjaya mengatasi tanggungjawab sebagai seorang Muslim contohnya solat ditinggalkan kerana terlalu sibuk dengan tugasan kerja, adakah kita masih menuju kesempurnaan dalam aspek pembangunan diri sebagai seorang Muslim?

Dan jika kesibukan terhadap kerjaya menyebabkan kurangnya masa untuk bersama keluarga dan mendidik mereka, anak-anak bakal membesar dan 'terdidik' dengan acuan di kaca televisyen, permainan video, internet dan rakan sebaya dalam usaha mereka memenuhi kesunyian akibat kurangnya tumpuan ibu bapa.

Tetapi apabila anak-anak terlibat dengan pelbagai gejala sosial maka adakah kita masih menuju kesempurnaan dalam pembinaan keluarga yang bahagia dan mithali? Adakah kesempurnaan dalam kerjaya mampu menebus kepincangan keluarga sendiri? Sudah tentu jawapannya tidak.

Justeru usaha menuju kesempurnaan berkaitan sesuatu aspek itu perlu berimbang dengan keperluan mencapai kesempurnaan dalam aspek lain agar kita berhasil menuju kesempurnaan dalam kualiti kehidupan secara keseluruhannya.

Berusaha menuju kesempurnaan

Dalam usaha kita menuju kesempurnaan, kita seharusnya memahami hakikat bahawa sifat kesempurnaan yang hakiki itu hanya menjadi milik Allah SWT. Kita sebagai hamba-Nya yang lemah hanya mampu berusaha dengan sebaik mungkin dengan izin Allah dalam mencapai sesuatu.

Hasil reka cipta dan kerja tangan manusia tidak akan dapat menandingi sebarang elemen alam ciptaan Allah. Sebagai contoh, robot yang menyerupai manusia atau humanoid versi terkini dikatakan mampu untuk berjalan serta berlari.

Secara umumnya kemampuan fizikalnya untuk berlari hampir menyamai keupayaan manusia untuk berlari. Tetapi jika ada bahagian robot yang rosak, robot tidak mampu memperbaiki diri sendiri, walhal sistem tubuh manusia mampu menjana penyembuhan sendiri terhadap luka yang dihadapi.Manusia diberikan keupayaan berfikir yang ada keterbatasannya serta memerlukan pedoman wahyu Ilahi untuk memandu kehidupan di dunia ini. Pemahaman terhadap hakikat ini seharusnya mewujudkan rasa ketundukan dan kehambaan kepada Allah yang Maha Berkuasa lagi Maha Bijaksana.Manusia itu sendiri bersifat lalai maka akan sahaja melakukan kesilapan. Namun sebaik-baik manusia ialah mereka yang mempelajari kesilapan mereka dan tidak mengulanginya lagi. Namun kita dituntut untuk berusaha untuk menghampiri serta menuju kesempurnaan kerana ia akan membawa kebaikan secara keseluruhannya.

Memperkasakan industri pertanian

KUALA LUMPUR: Dasar perindustrian negara ke arah menjadikan Malaysia negara maju, sebenarnya bukan mahu menjadikan sektor pertanian ketinggalan hingga tidak menjadi tonggak pertumbuhan, tetapi ia dilihat begitu.Dan krisis makanan dunia serta kemelut bekalan beras yang melanda negara ini buat beberapa ketika barubaru ini membuatkan kita semakin terdesak untuk memperkasa industri pertanian.Kerajaan begitu komited dan telus ke arah usaha ini, antaranya menjadikan Sarawak sebagai jelapang padi yang baru serta pelbagai insentif untuk menaikkan hasil tuaian padi.Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia pula bertindak proaktif dengan melancarkan kempen "Bumi Hijau" bagi menggalakkan rakyat bercucuktanam termasuk sayur, ulamulaman dan herba serta menternak ikan dan ayam bagi kegunaan sendiri.

Dua sub sektor pertanian

Sektor pertanian terbahagi kepada dua subsektor iaitu tanaman industri seperti kelapa sawit, getah, koko dan lada hitam dan tanaman makanan yang terdiri daripada padi, sayuran, buahbuahan, perikanan dan akuakulktur serta ternakan.Menurut Dr Amin Mahir, Ketua Laboratori Dasar Perniagaantani dan Pengurusan, Institut Kajian Dasar Pertanian dan Makanan, Universiti Putra Malaysia (UPM), pertumbuhan subsektor tanaman makanan tidaklah sepantas tanaman industri.Selepas kemerdekaan, mulai tahun 60an hingga 70an, katanya, kerajaan melabur lebih daripada RM1 bilion untuk pembangunan perparitan dan saliran bagi penanaman padi.Bagaimanapun, kata beliau, pertumbuhan ekonomi negara yang pesat menyebabkan keutamaan diberi kepada tanaman industri yang mempunyai potensi untuk menjana pendapatan eksport.

Keperluan meningkat

Keperluan makanan sesebuah negara akan meningkat dengan pertambahan penduduk, tambahan pula Malaysia mengamalkan dasar ekonomi terbuka di mana berlaku pengaliran masuk orang asing sama ada pelancong atau pekerja di samping pendatang tanpa izin.

Krisis bekalan beras yang berlaku sebelum ini, meskipun dapat ditampung dengan menambah import menjadikan negara semakin perlu meningkatkan tahap sara diri.Dalam hal ini, Dr Amin yang juga pensyarah kanan Jabatan Perniagaantani dan Sistem Maklumat, Fakulti Pertanian UPM merujuk kepada bil import makanan negara yang mencecah RM23 bilion (2007)."Ini adalah ketirisan yang agak besar dan usaha untuk meminimumkan ketirisan ini perlu disokong semua pihak," tegasnya.

Dasar yang konsisten

Usaha memperkasa semula sektor pertanian terutama subsektor makanan memerlukan dasar yang konsisten dan berterusan tanpa mengira kepimpinan di samping komitmen kerajaan yang tinggi dari segi sumber dan dana.

Dalam menyuarakan pandangan itu, Dr Amin berkata sumber perlu diperuntukkan secukupnya agar projek yang dirancang dapat dilaksanakan dengan berkesan kerana sebelum ini ada projek tidak dapat dijalankan kerana kekurangan sumber."Keperluan sosialpolitikekonomi dari aspek sumber terutama dana perlu diseimbangkan," katanya.Dalam hal ini, katanya, kerajaan negeri juga perlu memberi komitmen dengan menyediakan lebih tanah yang sesuai untuk pengeluaran makanan.

Peranan GLC

Syarikat yang berkaitan dengan kerajaan (GLC), harus turut memainkan peranan yang lebih besar."Sebagai contoh Felda mempunyai keluasan kelapa sawit yang terbesar iaitu 690 ribu hektar. Ladang ini boleh diintegrasikan dengan ternakan lembu daging atau kambing.Cuba kita bayangkan populasi ternakan jika terlaksananya ladang integrasi ini."Saya kira tahap sara diri daging lembu yang sekarang ini hanya 26 peratus bukan sahaja dapat dinaikkan tetapi kita mungkin dapat mengeksport pula daging tersebut dalam jangka masa panjang. Meskipun ladang integrasi ini telah dimulakan, ia harus diperluaskan," jelasnya.Pada masa yang sama, katanya, isu kenaikan kos makanan ternakan perlu diberi perhatian yang serius. Dr Amin turut mencadangkan GLC yang bukan berasaskan pertanian seperti Tenaga Nasional atau Petronas mempelbagaikan aktiviti dengan melabur dalam pengeluaran makanan.

Katanya Penunjuk Pencapaian Utama (KPI) GLC berkenaan perlu disemak semula dengan mengambil kira sumbangan mereka terhadap dasar jaminan makanan negara."Saya kira ini dapat membantu usaha kerajaan untuk meningkatkan pengeluaran makanan negara dan seterusnya menyumbang kepada dasar jaminan makanan di samping mengurangkan pergantungan kepada import, berkemungkinan kita mengeksport," katanya.

Tak perlu banding

Dr Amin berkata manamana pihak tidak perlu membandingkan pencapaian Malaysia dalam pembangunan pertanian dengan negara lain termasuk Thailand.Kata beliau, dalam pengeluaran minyak sawit, Malaysia telah lama jauh ke hadapan dan tidak dapat ditandingi negara lain."Tetapi Thailand pula adalah pengeksport utama beras dunia. Inilah maksud saya, keutamaan dalam dasar yang berbeza. Jika Thailand berhasrat menjadi 'kitchen to the world', kita mempunyai aspirasi menjadi hab makanan halal.

"Jadi saya kira kita tak perlu bersaing dengan mereka. Apa yang harus kita lakukan ialah memperkukuhkan lagi subsektor makanan dengan meningkatkan pengeluaran dan mampu memenuhi permintaan domestik dan sekali gus mengurangkan pergantungan kepada import," tegasnya.Bagaimanapun, Dr Amin berkata tidak ada salahnya jika Malaysia mengkaji faktor kejayaan sesuatu negara untuk mengambil apa yang boleh dicontohi.Dasar Pertanian Negara, katanya, menggariskan keutamaan komoditi makanan yang perlu diberi tumpuan, manakala Pelan Induk Perindustrian menunjukkan bagaimana pertalian industri harus berlaku antara pengeluaran makanan dan penambahan nilai."Cuma apa yang saya nampak ialah terdapat masalah pelaksanaannya. Sebagai contoh pembabitan sektor swasta dalam perladangan tanaman makanan masih belum mencapai suatu tahap yang diharapkan," kata Dr Amin.

Nilai semula

Krisis makanan dunia jelas membuka mata kita untuk menilai semula dasar dan pengeluaran makanan terutama beras.Dunia pernah mengalami krisis makanan pada tahun 1970an tetapi krisis makanan kini berbeza puncanya, kata Dr Amin.Sekarang, jelasnya, tanaman makanan bukan lagi berfungsi sebagai makanan manusia tetapi juga digunakan untuk makanan ternakan dan yang terbaru untuk menghasilkan bahan bakar bio."Persaingan ini mengakibatkan penghasilan makanan manusia terhad dan melonjakkan harga barang makanan. Amerika Syarikat, pengeluar utama jagung dan gandum memberi insentif penanaman jagung untuk penghasilan ethanol (bahan bakar bio) mengakibatkan pengurangan kawasan untuk tanaman gandum.

"Kesannya, kenaikan harga gandum dan harga beras. Kenaikan harga minyak dan kejatuhan nilai dolar Amerika memburukkan lagi keadaan. Kita perlu berhatihati dengan biodiesel kita kerana ia berkemungkinan menaikkan harga minyak masak," tambah Dr Amin.

Cabaran menanti

Ketika kerajaan mengorak langkah memperkasa sektor pertanian negara, Dr Amin berkata terdapat beberapa kekangan yang perlu diberi perhatian.Beliau menyebut persaingan sumber antara sektor pertanian dan sektor lain sebagai satu daripada kekangan itu.

"Tanah adalah sumber penting dalam pertanian. Begitu juga bagi sektor lain seperti perumahan dan pembuatan.Dalam persaingan ini, sektor pertanian yang tewas. Bukan sahaja pembukaan kawasan baru, kawasan pertanian sedia ada pun telah banyak ditukar kepada kawasan perumahan atau perkilangan."Tanah juga hak kerajaan negeri. Jika pun terdapat kerjasama dengan kerajaan pusat, masalah seperti ketiadaan prasarana yang mencukupi di kawasan tanah yang diperuntukkan atau tanah yang diperuntukkan adalah tanah bermasalah seperti tanah masam, berbatu atau tanah yang boleh ditenggelami air laut apabila air laut pasang," jelasnya.Bidang pertanian juga kurang diminati terutama golongan muda tempatan dan ada yang menganggap pekerjaan tani menawarkan pendapatan rendah, kotor, kerja berat dan tradisional.

"Walaupun ramai di antara mereka anak petani, peneroka atau nelayan, melihatkan keadaan ibu bapa mereka, ditambah dengan tiada galakan ibu bapa, mereka ini lebih cenderung bekerja makan gaji," katanya.Pertanian juga sering dikaitkan dengan kemiskinan. Justeru, rakyat negara ini perlu mengubah minda selaras dengan yang diuaruarkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, 'Pertanian adalah perniagaan.'Dalam hal ini, Dr Amin turut menekankan bahawa pembangunan seimbang antara sektor pertanian dan sektor perindustrian menuntut peruntukan kewangan serta pelaksanaan dasar yang sama rata.

Yang pasti semua ini memerlukan keazaman yang tinggi untuk memperkasa pembangunan pertanian dan menjadikan sektor pertanian pengeksport utama negara menjelang 2010! BERNAMA

Harga Minyak turun - kerajaan awalkan pengumuman

Harga petrol RON97 turun 15 sen
Aug 22, 08 5:27pm

Kerajaan mengumumkan penurunan harga runcit petrol RON97 sebanyak 15 sen kepada 2.55 sen seliter berkuatkuasa esok.Pada masa ini, harga minyak petrol RON97 adalah RM2.70 seliter.Manakala harga runcit petrol RON92 akan dikurangkan sebanyak 22 sen iaitu daripada RM2.62 seliter kepada RM2.40 seliter.Harga diesel pula diturunkan 8 sen, daripada RM2.58 kepada RM2.50 seliter.Penurunan harga bahan bakar itu berkuatkuasa mulai tengah malam ini.Pengumuman tersebut dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam satu kenyataan hari ini.

bm version fuel petrol diesel price hike reduction 220808

Berikut adalah kenyataan penuh

Jemaah Menteri hari ini telah mengambil keputusan untuk mempercepatkan tarikh penguatkuasaan pelarasan harga petrol baru. Keputusan ini diambil setelah mengambil kira penurunan harga minyak dunia sejak beberapa minggu kebelakangan ini serta peningkatan kadar inflasi ke tahap lebih tinggi pada bulan Julai 2008.Sehubungan itu, Kerajaan ingin mengumumkan bahawa harga runcit petrol RON97 akan dikurangkan sebanyak 15 sen iaitu daripada RM2.70 seliter kepada RM2.55 seliter.Pada masa yang sama, harga runcit petrol RON92 akan dikurangkan sebanyak 22 sen iaitu daripada RM2.62 seliter kepada RM2.40 seliter. Harga-harga berkenaan ditentukan dengan mengambil kira harga sebenar petrol daripada 1 Ogos 2008 hingga 21 Ogos 2008, serta penetapan subsidi 30 sen seliter, untuk kedua-dua RON97 dan RON92.Di samping itu, Kabinet juga mengambil keputusan untuk mengurangkan harga runcit diesel sebanyak 8 sen seliter, iaitu daripada RM2.58 seliter kepada RM2.50 seliter.

Berdasarkan harga RM2.50 seliter ini, subsidi yang ditanggung oleh Kerajaan untuk diesel ialah sebanyak 50 sen setiap liter. Pelarasan harga runcit petrol dan diesel ini akan berkuatkuasa mulai esok, 23 Ogos 2008.Sebagaimana yang diumumkan hari ini, Indeks Harga Pengguna (CPI) bagi bulan Julai 2008 berbanding Julai 2007 meningkat pada kadar 8.5 peratus.Adalah menjadi harapan Kerajaan agar pengurangan harga petrol dan diesel ini akan dapat membantu meringankan beban pengguna serta mengurangkan tekanan inflasi, terutamanya kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Keputusan Kerajaan ini juga dibuat berdasarkan perkembangan ekonomi semasa.

Pada 1 Ogos 2008, Kerajaan telah mengumumkan bahawa harga runcit petrol sehingga akhir tahun ini akan diselaraskan pada 1 haribulan setiap bulan, dengan penetapan subsidi 30 sen seliter.

Namun, formula pelarasan harga pam ini hanya akan dilaksanakan sekiranya harga runcit bagi petrol kurang daripada RM2.70 seliter. Sekiranya harga pasaran bagi petrol melebihi RM2.70 seliter, maka harga akan tetap berada pada RM2.70 seliter.