Wednesday, July 23, 2008

Proton mesti belajar daripada isu Mercedes

pembelian 14 buah kereta jenis Mercedes model E200 Kompressor untuk kegunaan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Trengganu seperti mematikan semangat rakyat yang sedang bergembira meraikan 100 hari Datuk Ahmad Said menjadi Menteri Besar. Ia juga menjejas keriangan menyambut pengumuman wang royalti yang akan dikembalikan oleh Kerajaan Pusat kepada Kerajaan Terengganu. Maka bermulalah forum rakyat di seluruh pelosok Terengganu malah di seluruh negara yang turut memberi reaksi mereka.Majoriti rakyat sama ada yang pernah menggunakan Perdana V6 Eksekutif atau tidak memberikan pendapat tidak bersetuju dengan langkah kerajaan negeri. Isu pembelian 14 kereta ini seolah-olah menenggelamkan semua hasrat baik Menteri Besar tersebut dalam usaha memperjuangkan pembangunan negeri Terengganu.

Apakah wajar pembelian ini?

Pekeliling kerajaan tahun 1998 telah memutuskan bahawa bagi menghadapi kemerosotan ekonomi dan penurunan nilai ringgit Malaysia pada masa tersebut, maka pembelian semua produk keluaran tempatan diberikan keutamaan.Arahan ini merangkumi pembelian kenderaan rasmi kerajaan mengikut kelayakan. Arahan ini juga diguna pakai oleh kebanyakan syarikat milik kerajaan (GLC) sebagai tanda menyokong langkah kerajaan. Walaupun begitu GLC terpaksa membeli Proton Perdana Eksekutif dengan harga yang sangat tinggi kerana GLC terpaksa membayar cukai bagi setiap kenderaan yang dibeli.

Hakikat yang mesti kita terima ialah jika diberi peluang memilih kenderaan dengan jumlah wang yang sama, banyak pilihan boleh dibeli di pasaran. Malangnya peluang memilih hanya terpakai bagi organisasi bukan kerajaan.Apa pun alasan sama ada dari segi kelemahan kualiti kereta Proton atau kelebihan jenama yang lain, ia tidak akan mengetepikan arahan pekeliling kerajaan yang masih berkuat kuasa. Malah jika dikatakan penjimatan minyak yang bakal dijimatkan oleh enjin 1800cc Mercedes Kompressor berbanding dengan enjin 2000cc Perdana V6 Eksekutif, ia masih tidak dapat merasionalkan pembelian tersebut.Merujuk kepada pembelian kereta Mercedes E200 Kompressor yang dibuat oleh Kerajaan Negeri Trengganu, maka saya teringat bagaimana tindakan seorang Ketua Pengarah sebuah agensi kerajaan bertaraf gred Utama B yang layak menggunakan kereta Mercedes 200E model 124.

Namun, Ketua Pengarah tersebut mengetepikan arahan pekeliling berkenaan sebaliknya telah membeli sebuah kereta Mercedes 230E model 124 import terpakai yang dibaik pulih dengan harga yang lebih murah daripada harga sebuah kereta Mercedes 200E yang baru.Di pandang dari segi penjimatan, maka tidak dapat dinafikan bahawa kerajaan dapat berjimat dengan pengorbanan seorang ketua pengarah yang sanggup membeli kenderaan import terpakai yang dibaik pulih.Di akhir episod pembelian ini, kerajaan berpendapat bahawa soal penjimatan bukanlah isu utama dalam pembelian kenderaan rasmi, tetapi ia hendaklah mengikut kelayakan jawatan. Akibat daripada arahan tersebut, kereta Mercedes 230E itu terpaksa dijual dengan harga yang lebih murah berbanding dengan harga semasa pembelian dan kerajaan terpaksa pula berbelanja membeli sebuah kereta Mercedes 200E mengikut kelayakan jawatan ketua pengarah tersebut.Berdasarkan kepada prinsip dan rujukan yang sama, saya berpendapat bahawa apa pun alasan yang diberikan oleh Kerajaan Terengganu untuk mewajarkan pembelian 14 buah Mercedes E200 Kompressor ini, ia hendaklah tidak bertentangan dengan pekeliling yang berkaitan dengan pembelian kereta rasmi yang masih diguna pakai kecuali keadaan di sebaliknya.

Saya percaya Penasihat Undang-Undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri yang menganggotai Majlis Mesyuarat Negeri pasti telah memberi nasihat masing-masing sebelum keputusan pembelian dilakukan.Apa pun keputusan Kabinet mengenai pembelian ini, sesuatu yang harus dipertimbangkan juga adalah dasar kerajaan terhadap pembelian kenderaan rasmi. Proton tidak seharusnya berpayung di bawah dasar yang dikuatkuasakan oleh kerajaan.

Proton juga tidak harus bersandarkan kepada semangat patriotik rakyat agar berbangga dengan kenderaan nasional. Proton harus menerima hakikat bahawa Proton Perdana V6 Eksekutif yang dikeluarkannya terlalu mahal, mempunyai banyak masalah termasuk kotak gear dan alat ganti yang mahal.Proton mesti memberikan tempoh jaminan yang lebih panjang kepada beberapa komponen kereta yang dikeluarkan. Lebih dari itu Proton mesti terima hakikat bahawa nilai jualan semula Proton khasnya model Perdana V6 Eksekutif terlalu rendah dan merugikan mana-mana organisasi yang membelinya.Hakikatnya, jika Kerajaan Terengganu dibenar meneruskan penggunaan kereta Mercedes yang telah dibelinya, maka selepas lima tahun digunakan, setiap kereta tersebut boleh dijual dengan harga yang membolehkan sebuah Proton Perdana Baru dibeli akibat tingginya nilai jualan balik.

Proton mesti sedar bahawa status dan model Eksekutif ini tidak langsung menjadi kebanggaan penjawat jawatan, khasnya apabila mereka diberi pilihan membeli kenderaan tersebut apabila sampai usia persaraan.Jika semua agensi kerajaan diberi pilihan memilih kenderaan setaraf dengan Proton Perdana V6 Eksekutif, maka sudah pasti pilihan yang dibuat tidak menyebelahi proton dan mereka akan membeli kereta yang tidak sepanjang Perdana Eksekutif.Semoga tindakan Kerajaan Negeri Terengganu ini walaupun mungkin didapati tidak tepat akan membuka mata pembuat dasar dalam menggubal dasar khasnya dasar kereta nasional agar setiap dasar digubal dengan lebih rasional.

Senggara kereta Idris Jusoh tertinggi

KUALA LUMPUR 23 Julai - Kos penyenggaraan kereta Proton Perdana V6 Executive barisan Exco Terengganu sepanjang 2004 sehingga 2008 menunjukkan kenderaan bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh mencatatkan perbelanjaan tertinggi iaitu sebanyak RM235,123.08.

Sementara itu, kenderaan dengan nombor pendaftaran TAG 6996 yang digunakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Toh Chin Yaw, mencatatkan perbelanjaan kedua tertinggi sebanyak RM175,229.79. sepanjang tempoh itu.

Dalam tempoh empat tahun itu juga, kenderaan jabatan yang digunakan oleh Pengerusi Biro Pertanian, Datuk Mohd. Jidin Shafie mencatatkan kos penyenggaraan ketiga tertinggi iaitu pada kadar RM95,178.15. Kenderaan bernombor pendaftaran TT 7 itu telah dibeli oleh Mohd. Jidin.

Kenderaan yang digunakan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dengan nombor pendaftaran TAG 8228 (TAK 415) pula mencatatkan kos selenggara keempat tertinggi sepanjang tempoh empat tahun tersebut iaitu sebanyak RM92,995.18.

Dalam pada itu, kos menyenggara Proton Perdana V6 Executive paling rendah sepanjang tempoh itu ialah yang digunakan oleh Datuk Wan Hisham Wan Salleh iaitu sebanyak RM15,069.32.

Seperti Mohd. Jidin, Wan Hisham juga telah membeli kenderaan bernombor pendaftaran TT 6 berkenaan.

Isu Mercedes sebagai kenderaan rasmi - Kerajaan Terengganu Tunggu Surat Daripada Kabinet


Ahmad Said menunjukkan Surat Pekeliling Perbendaharaan Bil. 1 Tahun 2008 berkaitan Tatacara Perolehan Kenderaan yang membenarkan pembelian Mercedes E200 Kompressor pada mesyuarat Exco kerajaan Terengganu yang diadakan di Hotel Le Meridian, Kuala Lumpur, semalam.– Gambar IZHAM JAAFAR


PUTRAJAYA 23 Julai – Kabinet tidak membenarkan kerajaan negeri Terengganu menggunakan kereta Mercedes E200 Kompressor sebagai kenderaan rasmi baru Menteri Besar, Exco dan para pegawai kanan kerajaan negeri itu.

Menurut sumber, apabila isu pembelian 14 buah kereta Mercedes itu ditimbulkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, Kabinet mahu kerajaan negeri yang diketuai Menteri Besar, Datuk Ahmad Said mengutamakan kereta nasional Proton Perdana V6 Executive sedia ada.

“Kabinet menolak keputusan kerajaan negeri untuk menggantikan Proton Perdana V6 Executive dengan Mercedes E200 Kompressor.

“Kalau dibenarkan, Jemaah Menteri khuatir langkah kerajaan negeri Terengganu itu akan diikuti negeri-negeri lain. Wakil rakyat tidak boleh menonjol-nonjolkan kemewahan,” kata sumber itu kepada Utusan Malaysia.Sumber itu bagaimanapun berkata, Kabinet menyerahkan kepada kerajaan negeri Terengganu untuk menentukan status pembelian kesemua 14 kereta Mercedes E200 Kompressor berkenaan.“Kabinet tidak mengulas sama ada perlu kerajaan negeri jual balik kereta-kereta itu tetapi yang diputuskan ialah Kabinet mahukan kereta nasional kekal sebagai kenderaan rasmi pegawai kanan negeri itu,” katanya.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat pasca-Kabinet kementeriannya di sini berkata, tiada keputusan baru dibuat oleh Kabinet mengenai pertukaran kenderaan rasmi Exco dan pegawai kanan negeri.Beliau berkata, kerajaan negeri Terengganu mungkin salah faham mengenai maksud yang terkandung dalam Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 1 Tahun 2008 Para 6 (II) berkaitan penggunaan kereta nasional.“Memang ada Arahan Perbendaharaan yang membolehkan pembelian kenderaan yang dipasang dalam negara tetapi bagi anggota pentadbiran, ia khusus kepada kenderaan Proton Perdana Executive. Mungkin itu yang jadi salah faham,” katanya.

Beliau menambah: “Mereka mungkin tak baca, untuk anggota pentadbiran maknanya menteri, timbalan menteri, setiausaha parlimen, setiausaha politik dan juga ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri perlu pakai Proton Perdana, bukan terbuka kepada kenderaan yang dipasang di dalam negara.”Shahrir berkata, kadang-kadang ada keperluan bagi kegunaan jabatan untuk menggunakan kenderaan pacuan empat roda.“Jadi, jika nak beli jip, tidak boleh beli jip yang diimport tetapi mesti jip yang dipasang sepenuhnya dalam negara,” ujarnya.Menurut beliau, jika kereta keluaran Proton mempunyai masalah seperti mudah rosak yang memerlukan kos penyenggaraan yang tinggi seperti yang didakwa oleh kerajaan negeri Terengganu, ia sepatutnya dirujuk kepada Proton untuk membolehkan syarikat kereta nasional itu memperbaiki produk mereka.Kerajaan negeri Terengganu baru-baru ini telah membeli 14 buah kereta Mercedes E200 Kompressor dengan kos RM3.43 juta bagi menggantikan Proton Perdana V6 Executive yang baru sahaja dibeli pada tahun 2004.Langkah itu dipertahankan oleh Ahmad, Menteri Besar Terengganu, yang mendakwa kereta keluaran Proton amat rendah kualitinya dan ia dijadikan alasan pembelian tersebut.Walaupun setiap satu kereta Mercedes tersebut dibeli pada harga RM245,000 yang dikatakan lebih murah daripada harga pasaran, namun banyak pihak mengecam kerajaan Terengganu yang membuat pembelian berkenaan kerana ia bertentangan dengan arahan kerajaan Pusat yang menyarankan semua pihak berjimat cermat.

Island Hopping


Pulau Kerengga (dirakam dari sudut Pulau Belit) akan dijadikan taman rama-rama.
- Gambar AZLAN BAHRUM


HULU TERENGGANU 23 Julai - Tasik Kenyir yang kini lebih dikenali sebagai syurga kaki pancing akan ditambah nilai tarikannya sebagai destinasi percutian keluarga melalui perancangan kerajaan negeri untuk memperkenalkan program Island Hopping tahun depan.Island Hopping akan menjadikan Tasik Kenyir sebagai hab pelancongan di Terengganu kerana ia menyediakan program yang sesuai untuk semua golongan bagi mempopularkan dan memastikan pelancong dari dalam dan luar negara terus datang ke negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, melalui program itu, 10 buah pulau kecil yang terdapat di bahagian utara Tasik Kenyir akan dibangunkan mengikut tema tertentu sebagai tarikan pengunjung.Menurutnya, pembangunan pulau-pulau itu akan dilaksanakan oleh Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) dan antara pembangunan yang dirancang ialah pembinaan Taman Eko-Kenyir seluas 61 hektar di Pulau Selimbar, Pulau Tekak Kecil dan Pulau Kuala Tekak."Selain itu, sebuah taman orkid seluas 2.7 hektar juga akan disediakan di Pulau Hulu Selimbar, Pulau Hilir Selimbar dan Pulau Belit manakala Taman Tropika seluas 5.5 hektar akan dibina di Pulau Tekak Besar," katanya selepas melakukan lawatan ke Tasik Kenyir baru-baru ini.

Beliau memberitahu, tarikan lain adalah pembinaan taman rama-rama seluas 1.4 hektar di Pulau Kerengga Kecil dan Pulau Kerengga serta taman burung seluas 1.7 hektar di Pulau Terengganu Mati.Menurutnya, sebuah jambatan berbentuk separuh rama-rama akan dibina untuk menghubungkan Pulau Kerengga dengan Pulau Kerengga Kecil bagi memudahkan pelancong menjelajah kawasan itu manakala laluan kanopi akan disediakan untuk pengunjung menikmati panorama Taman Tropika dari puncak pepohon.Untuk taman orkid pula jelasnya, antara jenis orkid yang akan ditanam ialah dari hibrid tempatan dan juga luar negara.

Jelasnya, program Island Hopping merupakan fasa pertama program pembangunan Tasik Kenyir dan RM50 juta diperuntukkan untuk tujuan itu tahun depan dan ia akan ditambah mengikut keperluan."Projek ini akan dimulakan dalam tempoh dua hingga tiga bulan lagi dan sebuah syarikat jururunding dilantik untuk setiap tema yang akan dibangunkan," ujarnya.

Katanya, projek berkenaan dijangka siap menjelang Ogos tahun depan dan untuk kemudahan pengunjung, kerajaan negeri telah menempah dua buah bot setiap sebuah bernilai RM700,000 sebagai pengangkutan ke pulau-pulau berkenaan.Menurutnya, kerajaan negeri juga sedang mencari kawasan yang sesuai untuk dibangunkan taman tema air di sekitar pulau-pulau berkenaan sebagai tarikan utama kepada pengunjung.Beliau memberitahu, untuk kemudahan pelancong dari Timur Tengah pula, kerajaan negeri sedang mengenal pasti air terjun yang khusus untuk golongan wanita.Ahmad percaya pembangunan Tasik Kenyir ini dengan sendirinya akan menarik pelabur untuk membuka lebih banyak resort apabila ramai pengunjung melawat tasik ini berikutan tarikan-tarikan yang disediakan.Katanya, berikutan cadangan pembangunan Tasik Kenyir ini, beberapa pelabur dari Britain, Brunei dan Timur Tengah menunjukkan minat untuk melabur di tasik itu dan pemilihan akan dibuat oleh kerajaan negeri berdasarkan kesesuaiannya.Menurutnya, Tasik Kenyir berpotensi besar menarik pengunjung dan sehingga Jun tahun ini seramai 72,000 pelancong telah mengunjungi tasik itu.

"Kita jangka dengan pembangunan tasik ini jumlah pengunjung akan meningkat sehingga empat kali ganda pada masa akan datang," ujarnya.