SEPERTI kebanyakan wanita lain, tugas rutin Zainon Deraman, 45, pada setiap petang ialah menyediakan minum petang dengan membancuh air kopi atau menggoreng pisang untuk keluarganya.Walaupun bekerja di sebuah kedai makan di Kemasik, Kemaman, Terengganu dari pukul 6.30 pagi hingga 2 petang, tanggungjawab terhadap suami, Azhari Muda, 50, dan lima anak tidak pernah diabaikan.Selain tugas harian tersebut, Zainon juga biasanya gemar menonton televisyen bagi mengisi masa yang terluang pada waktu petang.Namun, sejak lebih setahun yang lalu, beliau sudah mempunyai aktiviti lain. Ia juga bukan sesuatu yang biasa dilakukan oleh wanita separuh usia sepertinya.Sebaik menyiapkan makanan dan minuman petang untuk keluarga, Zainon akan bersiap-siap dengan pakaian sukan.
Dia akan bergegas ke padang di Kampung Bukit Kukuran, Kemasik untuk bermain bola sepak kira-kira pukul 5 petang. Mereka biasanya berlatih sehingga dua jam.Namun, wanita ini tidak keseorangann. Terdapat 30 pemain yang kesemuanya sama jantina dengan Zainon. Daripada jumlah tersebut lebih 10 orang berusia lebih 40-an, manakala selebihnya gadis-gadis sunti kampung tersebut.Jika dahulu padang di kampung itu menjadi medan kepada pemuda-pemuda kampung mempamerkan aksi permainan bola sepak mereka, ia sudah bertukar tangan dan menjadi 'gelanggang rasmi' kepada golongan bergelar ibu dan anak gadis pula menendang bola di situ.
Mungkin di tempat lain, suasana padang bola dipenuhi wanita bermain bola sepak agak asing, sebaliknya di Kampung Bukit Kukuran ia sudah jadi fenomena biasa yang tidak lagi menjadi buah mulut.Bagaimanapun, bagi Zainon menukar persepsi masyarakat terhadap wanita yang bermain bola sepak bukan perkara mudah apatah lagi apabila membabitkan golongan seusianya."Suami saya sendiri pada mulanya tak senang apabila saya main bola sepak di padang ini. Dia kata tak elok perempuan berumur macam saya berlari dan menendang bola."Saya faham, mungkin orang lain akan berfikiran begitu dan tak boleh salahkan mereka seratus-peratus."Tapi hendak bagi suami faham kena ambil masa sikit. Macam suami saya dah lama-lama dia tidak marah dan izinkan saya main bola sepak dengan kawan-kawan sekampung," katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Selain Zainon, pemain wanita lain yang membarisi pasukan kampung itu yang diberi nama Mama FC termasuklah Rohana Razak, 43, dan adiknya, Nora, 40.
Kalau dulu Rohana gemar bermain bola jaring tetapi pada masa ini sukan tersebut sudah 'terpinggir' dari hatinya dan diganti dengan bola sepak.
Tidak hairanlah kerana terlalu minat bermain bola sepak adakalanya beliau meninggalkan gerainya yang menjual makanan ringan di Pantai Kemasik untuk dijaga suami atau anak-anaknya dan bergegas ke padang bola.
Menurut Rohana, tidak salah untuk wanita sepertinya bermain bola sepak. Ini kerana ia bukan sahaja dapat mengisi masa lapang tetapi juga dapat mengeluarkan peluh dan menambah kecergasan."Memang ada rasa penat, biasalah tu. Tapi sejak main bola rasa lebih cergas dan badan rasa ringan," ujar ibu kepada tujuh anak itu.Rohana memberitahu, walaupun ketagih bermain bola sepak, urusan rumah tangga dan tanggungjawab sebagai suri rumah tidak pernah diabaikan.Anak-anaknya juga memberi sokongan dengan menyorak aksi ibu mereka dari tepi padang. Bagi Nora pula, bola sepak bukanlah asing kerana tetapi telah lama meminati sukan nombor satu dunia itu.
Nama-nama bintang bola sepak tanah air seperti Allahyarham Mokhtar Dahari, Zainal Abidin Hassan dan Dollah Salleh sentiasa dalam ingatannya setiap kali memperkatakan topik bola sepak.Malah, bola sepak musim baru Liga Perdana England sememangnya ditunggu-tunggu dan akan diikuti sehingga tamat musim. Bagi Nora, beliau tidak kisah memerah tenaga dan adakalanya terpaksa bertarung dengan kakaknya, Rohana. Malah dengan anak gadisnya sendiri, Norazlin Sabri, 17, di padang bola.Adat permainan adakalanya si anak mengasari si ibu dan begitulah sebaliknya. Namun atas semangat kesukanan, tidak pernah mengganggu kemesraan hubungan antara mereka.Pasukan Mama FC juga bukan sekadar bermain bola sepak untuk mengisi masa lapang, tetapi mereka turut bertanding dalam kejohanan bola sepak wanita di sekitar Kemaman.Kerap juga perlawanan persahabatan diadakan dengan pasukan dari kampung-kampung berdekatan yang juga memiliki pasukan bola sepak yang diwakili 'mak cik-mak cik'.
Menurut seorang pemain Mama FC, Tuan Wook Badariah Tuan Mat, 44, mereka pernah menjadi naib juara Karnival Sukan Merdeka Kemaman pada tahun lalu, selain merangkul tempat ketiga dalam beberapa pertandingan lain.Ujarnya, apabila menjelang sesuatu pertandingan, jurulatih pasukan Mama FC, Wan Mohd. Fauzi Wan Ali akan banyak memberi bimbingan dan merancang taktik yang akan digunakan."Kami ada jersi sendiri yang akan dipakai semasa pertandingan. Kalau ada kejohanan di sekitar kawasan ini, memang kami akan masuk.
"Para pemain memang bersemangat dan ada antaranya yang tak berniaga semata-mata kerana nak main bola sepak pada hari kejohanan," katanya yang berharap supaya lebih banyak pertandingan diadakan untuk golongan wanita.