INDUSTRI komunikasi dan pengiklanan mempunyai misi tersendiri untuk melahirkan individu-individu berfikiran jauh serta berkemampuan mencetuskan idea di luar kotak pemikiran.
Elemen itu penting dalam menyebarkan mesej-mesej kesedaran menyentuh soal kemanusiaan dan nilai-nilai murni yang dapat diselami masyarakat umum menerusi media cetak serta elektronik termasuk televisyen, radio serta internet dengan berkesan.
Malah, kebanyakan agensi pengiklanan cenderung memilih kelompok anak-anak muda yang bersemangat tinggi (selain berbakat besar) bagi memecahkan corak pemikiran lapuk sekali gus mampu menonjolkan kreativiti `berhaluan kiri’ bagi memastikan kehendak klien dipenuhi menerusi idea-idea bernas, unik dan asli.
Sebahagian besar pula mengambil langkah menyediakan persekitaran kondusif di pejabat dengan mencari pakar pereka hiasan dalaman agar pasukan kreatif masing-masing dapat berfungsi jauh lebih baik dan berkesan dalam suasana kerja yang mampu merangsang daya pemikiran kreatif serta berinovatif.
Menurut Timbalan Pengerusi McCann Worldgroup (McCann), Lee Szu Hung, pihaknya mahu memberikan ruang kreatif yang tidak terbatas untuk pereka grafiknya agar mereka bebas berkarya dalam suasana selesa seperti di rumah.
Ini kerana, sebagai kumpulan syarikat pemasaran jenama dan komunikasi global terkemuka, McCann berpegang teguh pada prinsip Truth Well Told atau kebenaran yang disampaikan dengan jelas dengan perspektif segar.
Katanya, konsep itu diperkenalkan sejak lebih 100 tahun lalu oleh pengasas McCann dan kini tenaga kreatif di sebalik kejayaan kumpulan pengiklanan cuba menghidupkannya semula kerana falsafah itu perlu diserapkan dalam menyampaikan kebenaran mengenai produk klien dengan tarikan baru.
“Kita mahu mengembangkan organisasi yang menghargai bakat muda tempatan yang sentiasa mencari kebenaran menerusi persektif baru untuk mempamerkan hasil kerja mereka.
“Falsafah kebenaran yang disampaikan dengan jelas atau betul itu menjadi sumber ilham kepada mereka untuk membuat kajian tentang produk klien melalui nilai maklumat yang dikumpulkan menerusi pemahaman sifat manusia dan kebijaksanaan menyelidik,'' katanya pada majlis rumah terbuka McCann Worldgroup, baru- baru ini.
Sementara itu, Pengarah Kreatif Eksekutif McCann, Hwang Ean Hwa pula menjelaskan, di samping membantu golongan muda yang berbakat dalam bidang seni pihaknya juga mahu mewujudkan suasana yang mampu merangsang minda pasukan kreatifnya agar kakitangan syarikat itu berasa selesa seperti bekerja di rumah sendiri.
Jelas beliau, sesiapa sahaja pasti bersemangat dan tidak mempunyai masalah untuk melahirkan idea-idea bernas apabila dikelilingi pelbagai hasil seni yang unik.
“McCann mempunyai kumpulan anak-anak muda yang bersemangat tinggi oleh itu kami cuba menampilkan hiasan dalaman yang sederhana malah dinding dan lantai juga tidak ‘dirosakkan’ dengan warna-warna terang kerana mahu mengekalkan suasana tenang kerana kakitangan mencetus keseronokan, bukanlah pejabat yang berwarna-warni.
“Oleh itu, hasil lukisan yang tergantung pada dinding dan barang-barang antik diperoleh daripada rakan-rakan kami sendiri. Ia diharap dapat memberikan inspirasi kepada kakitangan seolah-olah berada hampir di padang permainan.
“Tujuannya adalah supaya kakitangan kami boleh bekerja dan bermain dengan bersungguh-sungguh kerana pejabat ini bagaikan rumah buat kami semua untuk mereka cipta idea-idea menarik untuk klien dan kepuasan kami sendiri juga,'' ujarnya sambil tersenyum.
Tambah Ean Hwa, ciri-ciri ruang letak pejabat berkenaan juga mengikut konsep terbuka untuk membuka minda pasukan kreatif McCann agar lebih telus, jujur dan memahami manusia menerusi pemerhatian serta komunikasi.