Saturday, August 23, 2008

Lelaki kuat temberang?

Oleh Shamshul Azree Samshir


Helah atau mahu elak krisis dengan si dia?

SEORANG rakan baru-baru ini gelabah apabila teman wanitanya menemui anting-anting terselit di celah kerusi penumpang hadapan di dalam kereta yang dipinjamkan kepada kekasihnya itu. Berpeluh Adam (bukan nama sebenar) menjelaskan kepada buah hatinya bagaimana aksesori itu boleh berada di situ. Adam yang teringat insiden keluar makan bersama rakan sepejabat, Linda (bukan nama sebenar) - gadis manis awal 20-an, ranggi, bergaya dan 'free hair', sehari sebelum 'diserang' teman wanitanya, pantas mencari alasan logik untuk menutup tembelangnya.Awak jangan fikir bukan-bukan, itu anting-anting milik adik perempuan saya, Sarah (bukan identiti sebenar). Tak percaya tanya dia sendiri,” kata Adam memujuk teman wanitanya yang mungkin mula curiga dengan sikap Adam.

Lucu, sebaik memutuskan talian telefon bersama kekasihnya, Adam pantas menekan kekunci telefon bagi menghubungi Sarah. Sudah tentu adiknya itu perlu dijadikan ‘pelakon tambahan’ dalam ‘menjayakan’ satu lagi episod ‘kantoi’ dalam hidup Adam. Insiden Adam ini seperti biasa terjadi dalam kehidupan lelaki. Apakah lelaki sebenarnya kaki temberang seperti didakwa wanita? Mengapa lelaki cenderung menipu pasangannya? Apakah mahu mengelak krisis, lelaki lebih rela menipu dan memutar belitkan fakta sedangkan kadang kala, kebenaran yang cuba disembunyikan tidak memberi kesan buruk kepada hubungan andainya tembelang lelaki pecah?

Bukan semua lelaki suka menipu. Malah perbuatan menipu tidak baik diamalkan kerana ia tidak memberi kebaikan. Sindrom ‘bohong sunat’ misalnya, jika terus diamalkan, lambat laun akan terbongkar juga helah lelaki. Tidak dinafikan lelaki kadang kala cenderung menipu kerana tidak tahan dengan bebelan dan syak wasangka wanita, lebih-lebih lagi jika perkara yang dibangkitkan pasangan dianggap remeh oleh lelaki.Ada lelaki menipu tanpa niat. Bagi mereka, lebih baik tipu daripada teman wanita bermasam muka, naik angin atau mula bertengkar. Namun, dalam situasi seperti ini, bukanlah lebih baik lelaki menceritakan perkara sebenar? Jika pasangan saling mengenali diri masing-masing, sudah tentu segala prasangka atau andaian buruk dapat ditepis.

Mengulas isu lelaki dan kecenderungan menipu, pakar motivasi Dr H M Tuah Iskandar berkata, tabiat menipu sebenarnya bukan isu gender tetapi ‘masalah hati’ yang dialami semua manusia.
Sehubungan itu, tidak wajar jika ada pihak melabelkan sikap buruk ini sebagai sifat sesuatu gender. Contohnya, melabel golongan lelaki sebagai golongan yang suka menipu. “Ramai juga wanita yang suka menipu. Saya sering menerima kes di mana lelaki mengadu bahawa mereka ditipu wanita. Cuma, kerana sifat ego yang dimiliki lelaki, tidak ramai yang mahu mendedahkan mereka sebenarnya pernah ditipu wanita. “Sebab itulah kita lebih kerap mendengar kes lelaki menipu berbanding kes wanita sedangkan kecenderungan untuk menipu ini hampir sama antara lelaki mahupun perempuan,” katanya ketika dihubungi XY - Ikon Lelaki.

Kata Dr H M Tuah, ada beberapa faktor mendorong lelaki menipu. Dalam soal perhubungan misalnya, ada lelaki bangga apabila berjaya menjalin hubungan dengan ramai wanita. “Mereka akan merasakan diri mereka ‘jaguh’ bila mampu berbuat sedemikian. Namun, untuk melindungi perbuatannya serta takut dipersalahkan, mereka selalunya akan menabur janji dan juga menipu wanita yang menjalinkan hubungan dengan mereka,” ujarnya. Dr H M Tuah menambah, menipu juga boleh dianggap sebagai ‘bakat semula jadi’ kerana ia memerlukan daya kreativiti.

“Sesetengah orang yang suka menipu memiliki bakat ini. Ia bergantung kepada langkah pertama mereka untuk menipu. Jika penipuan mereka itu menjadi, mereka akan berasa seronok dan menganggap diri hebat dalam soal ini. “Dari situ, mereka akan mengulangi perbuatan negatif ini sama ada pada waktu yang berkepentingan ataupun suka-suka. Tidak kurang juga yang seronok dan ketagih untuk menipu. Mereka tidak rasa bersalah melakukannya. “Saya tidak setuju jika segelintir mengatakan mereka menipu demi untuk menyelamatkan keadaan atau tidak mahu sesebuah konflik berpanjangan. Perbuatan menipu sebenarnya tidak akan menyelesaikan masalah, bahkan membuatkan ia semakin teruk bila penipuan itu terbongkar,” katanya.

Dr H M Tuah berpesan, baik lelaki atau wanita, kedua-dua gender ini harus menjauhi amalan menipu kerana ia hanya mengundang sengsara.

Tepuk dada tanyalah selera...

Alasan tipu lapuk bagi lelaki...

  • On the way - sedangkan baru menekan butang lif untuk turun dari pejabat.

  • Kredit telefon bimbit habis - sedangkan tiada masa menghubungi kekasih.

  • Jalan sesak - sedangkan kamu memang lewat.

  • Over time - sebenarnya rakan-rakan mengajak menonton perlawanan bola sepak di kedai mamak.

  • Mesyuarat - alasan mudah tidak menjawab telefon.


  • Eksklusif: Bahagian 1: Lelaki Melayu dulu dan sekarang

    Oleh Diyanah Anuar
    diyanah@bharian.com.my


    Abhinav Sharma, Pengarah Perancangan Strategik McCann Erickson.

    Personaliti maskulin tradisional

    PERNAHKAH anda terfikir perbezaan lelaki Malaysia sekarang dengan jejaka yang hidup lebih 50 tahun lalu? Secara kasar, kelainan itu mungkin tidak ketara kerana dikaburi peranan lelaki yang dikatakan terus dominan berbanding wanita. Namun, jika diamati, cetusan evolusi berlaku dalam kehidupan lelaki dari zaman ke zaman hingga membentuk ciri-ciri lelaki yang dilihat pada hari ini. Sebelum ini, tidak ramai berminat menyingkap fasa perubahan atau perkembangan lelaki baik dari aspek apa sekalipun. Ini kerana fokus selalu diberi kepada wanita di mana perubahan dan perkembangan mereka mungkin lebih menarik untuk diambil peduli.Namun, sejak 'kuasa' lelaki makin melebar - tidak lagi terbatas dalam kelompok keluarga dan kerjaya sebaliknya dalam pelbagai aspek gaya hidup dan sosial, agensi pengiklanan terkemuka, McCann Erickson Malaysia 'terpanggil' untuk menyelidik evolusi lelaki Malaysia.


    Agensi itu berkongsi hasil kajian menariknya bersama XY - Ikon Lelaki dengan memberi fokus kepada evolusi lelaki Melayu di Malaysia, sejak era sebelum merdeka, pasca merdeka hingga hari ini.

    Bermula dengan cerita lelaki sebelum merdeka yang digelar 'Lelaki Tradisional' dalam penyelidikan ini, Pengarah Perancangan Strategik McCann Erickson, Abhinav Sharma menamakan bekas Perdana Menteri, Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj; Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein; Allahyarham Tun Hussein Onn hingga Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai individu yang melambangkan ciri lelaki Melayu tradisional.

    Tan Sri P Ramlee

    Antara ciri lelaki tradisional yang dilihat pada barisan tokoh ini adalah kuasa dimiliki mereka, tanggungjawab selaku pemimpin serta semangat melindungi negara. Kata Abhinav, keluarga generasi pertama dan kedua di Malaysia yang menempuh kepayahan hidup pada zaman peperangan, lazimnya memiliki anggota keluarga atau anak yang ramai.

    Setiap anak lelaki yang lahir dalam keluarga besar pada tempoh sukar seperti ini biasanya sukar menerima perhatian saksama daripada ibu bapa mereka, terutama dari bapa. "Anak lelaki ini akan membesar secara berdikari dan belajar mengenai sesuatu menerusi pemerhatian dan contoh yang diperoleh dari orang tua."Anak lelaki sulung akan mengikut jejak langkah bapa dan kedudukan lelaki sebagai jantina yang hebat dan pendukung kehormatan keluarga terus menjadi tradisi.


    "Definisi kelelakian yang dipelajari mereka adalah seseorang yang tanggungjawab memelihara kehormatan keluarga dan tradisi ini perlu terus diperturunkan; mempunyai tekad dan keazaman tinggi; boleh membuatkan orang lain takut; akan dihormati; mampu menyara keluarga; sentiasa setia dan hormat kepada yang lebih tua; jujur dan bertanggungjawab serta mampu memiliki lebih daripada seorang isteri," terang Abhinav. Abhinav menambah, selain ciri maskulin pada lelaki tradisional yang dijelaskannya, ada juga lelaki tradisional berjiwa lebih lembut. Contoh terbaik, aktor lagenda Melayu, Allahyarham Tan Sri P Ramlee. Seniman Negara ini dilihat memiliki ciri serupa seperti keazaman yang kuat untuk berjaya dalam industri hiburan; dihormati dan dikenali serta pernah berkahwin dan bercerai lebih daripada sekali. Generasi kedua iaitu lelaki yang membesar dalam acuan tradisional akan meneruskan tradisi bapa tradisional pada keluarganya pula. Mereka adalah individu yang setia; tindakan mereka tidak boleh dipersoalkan; patuh kepada peraturan; tahu apa yang terbaik; pelindung; chauvinistik; tegas dalam soal disiplin serta dihormati. Kata Abhinav, masyarakat Asia ketika itu bersifat patriachal (kebapaan). Tiada siapa boleh mempertikai atau membantah sebarang arahan dan keputusan yang sudah diputuskan bapa.

    "Namun, selepas taraf hidup menjadi semakin baik, nilai tradisi yang diwarisi dari generasi sebelumnya sedikit terkikis oleh kemodenan. "Anak lelaki generasi kedua ini menghadapi dilema sama ada hendak mengikut tradisi bapanya atau meneruskan perjalanan kehidupan dengan identiti dan caranya sendiri," katanya. Pada masa yang sama, golongan anak ini harus melakukan sesuatu yang dapat membanggakan bapa mereka. Mengikut persepsi masyarakat ketika itu, apa yang dapat membuatkan seseorang bapa berbangga dengan anaknya adalah keputusan cemerlang dalam peperiksaan (pangkat A dalam semua subjek) serta menduduki jawatan profesional seperti doktor, peguam dan jurutera.

    Anak kepada lelaki tradisional biasanya akan berjaya dalam akademik dan memilih laluan karier konvensional kerana takut serta menghormati bapa mereka. "Kehidupan anak lelaki yang dibesarkan dalam lingkungan tradisional ini dilihat menghadapi bermacam 'tekanan' dalam hidup mereka. Menurut 'parameter tradisional', mereka perlu menunjukkan prestasi terbaik di sekolah; menuntut di universiti ternama; tamat pengajian dan memperoleh kerjaya berpendapatan stabil; memiliki kereta dan rumah sendiri; harus mampu dari segi kewangan untuk berkahwin dan membina sebuah keluarga. "Satu-satunya contoh atau role model yang dilihat golongan lelaki generasi kedua ini adalah bapa mereka. Justeru, tidak hairanlah jika ramai di antara mereka yang tetap mengikut jejak langkah bapa mereka biarpun minat dan kecenderungan sebenar mereka adalah berbeza," katanya.

    Menyentuh mengenai kajian agensi itu, Abhinav berkata, pihaknya sentiasa membuat penyelidikan seumpama itu bagi mengenalpasti corak dan kehendak pasaran. "Ini menjadi maklumat berguna kepada pelanggan kami untuk memasarkan produk mereka. "Seiring dengan kuasa beli golongan lelaki yang dilihat kian menyamai kuasa beli yang sebelum ini didominasi wanita, kami mengambil langkah strategik untuk membuat kajian mengenai lelaki tempatan," katanya. Kata Abhinav, tinjauan dan kajian ini dilakukan dalam tempoh lima hingga enam bulan berdasarkan soal selidik terhadap 300 responden lelaki pelbagai etnik dan sumber kajian sekunder.

    Kereta terpakai




    MINGGU lalu, kita telah berbincang mengenai beberapa tip dan prosedur membeli sebuah kereta baru. Kali ini, kita akan melihat beberapa faktor penting sebelum anda membuat keputusan membeli kereta terpakai, atau lebih popular, kita sebut sebagai kereta 2nd hand.

    Kereta terpakai biasanya dijual jauh lebih murah berbanding kereta yang didaftar baru, walaupun pada tahun yang sama. Begitupun, beberapa perkara perlu diberi perhatian sebelum anda membuat keputusan untuk membeli sebuah kereta terpakai.Pertama dan yang paling penting ialah keadaan kereta itu sendiri. Pemandu dan pemilik terdiri daripada pelbagai latar belakang dan corak pemanduan.Ada orang yang betul-betul menjaga kereta, servis, dibasuh dan dicuci kerap, serta jadual penyelenggaraan yang dipatuhi. Sebahagian yang lain pula, hanya menganggap kereta sebagai alat pengangkutan dari A - B, jadi ia dijaga setakat yang perlu sahaja.Malah ada orang yang tidak mengambil peduli langsung. Asalkan kereta boleh dihidupkan, isi minyak dan jalan.Kondisi kereta yang baik tentulah menjadi keutamaan. Kondisi ini juga perlu diteliti khasnya di bahagian enjin. Jika anda kurang arif tentang sesebuah kereta, minta pertolongan dari mereka yang berpengalaman atau mekanik untuk memeriksa keadaan enjin.

    Hidupkan enjin untuk beberapa ketika bagi melihat sebarang kerosakan yang boleh dikesan dari peringkat awal. Cuba tekan pedal minyak dan dengar sebarang bunyi yang tidak sepatutnya.


    ENJIN kereta terpakai mempunyai jangka hayat yang panjang jika ia diselenggarakan secara berkala.


    Teliti kesan tumpahan atau bekas lelehan minyak atau sebarang pelincir. Pastikan juga alat penghawa dingin berfungsi, motor elektrik dan bahagian mekanikal yang boleh diperiksa semasa keadaan statik diteliti.

    Jangan sekali-kali membeli kereta berdasarkan keadaan luaran dan enjin yang kelihatan bersih/senyap semata-mata. Cuba minta pandu uji kereta tersebut. Bawa pada kelajuan sederhana 40-60km/j dan dengar sebarang bunyi.

    Jika kenderaan tersebut bertransmisi automatik, dengar sebarang bunyi yang tidak menyenangkan sewaktu gear ditukar secara menaik (D1-D4), kemudian menurun dari D4 - D1. Kotak gear yang baik selalunya akan menukar gear secara lembut dan lancar.

    Tanda-tanda awal penyakit transmisi automatik boleh dikesan menerusi gear hold yang lama. Biasanya terjadi pada gear 2 dan 3 sebelum ia jerking untuk masuk ke gear seterusnya.

    Dalam kes yang lebih teruk, gear terakhir atau overdrive tidak dikunci, jadi transmisi tersebut hanya berada dalam posisi D3 sahaja. Mereka yang mahir biasanya dapat membezakan situasi ini dengan memerhatikan takat putaran enjin (rpm) berbanding kelajuan.Jika kereta yang hendak dibeli masih menyimpan rekod servis dan pembaikan, ia adalah satu bonus untuk anda. Sekurang-kurangnya anda tahu jadual penyelenggaraan dan bengkel mana ia diselenggara.


    PEMBELIAN kereta terpakai boleh memberi penjimatan besar jika kena caranya.


    Rekod penyelengaraan major seperti penukaran talisawat enjin (timing belt), pam air, servis radiator dan penghawa dingin dan bahagian lain boleh dijadikan asas untuk penjagaan seterusnya.

    Rekod servis ini juga membolehkan anda (dan mekanik anda) menyemak sebarang kerosakan yang pernah dibaiki. Jadi, jika berlaku sebarang masalah di kemudian hari, ia boleh dijadikan rujukan.

    Pastikan kereta yang hendak dibeli tidak pernah terlibat dalam kemalangan serius. Kemalangan kecil adalah perkara lazim, namun selagi ia tidak melibatkan kerangka, ia masih boleh dipandu dengan selamat.Awasi juga 'kereta sambung' atau 'kereta potong'. Ia boleh diperiksa menerusi tiang A, bawah lantai pemandu hadapan dan juga lantai penumpang belakang. Sekali lagi, bawa mereka yang pakar jika anda was-was dan kurang yakin. Kereta yang disambung ini tidak selamat berada di jalan raya.

    Kereta yang masih dalam jaminan (warranty period) adalah satu bonus tambahan. Pun begitu, sila semak dengan pengeluar sama ada jaminan tersebut boleh dibawa ke hadapan walaupun setelah bertukar pemilik.Ini kerana ada sesetengah jaminan bukan diberikan oleh pengeluar, sebaliknya oleh pihak insurans berdasarkan perjanjian asal. Jadi, jaminan tersebut tidak disambung sekiranya kereta ditukar milik kepada nama lain.Setelah berpuas hati dengan keadaan kenderaan secara keseluruhannya, tiba masanya melihat dokumen kenderaan tersebut. Bagi kereta terpakai belum daftar (unregistered), dokumen yang wajib ada ialah permit import (AP) yang harus dilampirkan bersama-sama untuk tujuan pendaftaran kenderaan.


    BAWA rakan yang tahu mengenai kereta untuk mengetahui kondisi kenderaan terpakai yang ingin dibeli.


    Sila teliti dokumen AP ini di bahagian cukai. Pastikan duti kastam sudah dijelaskan. Pastikan juga maklumat kapasiti enjin dan tahun dibuat kerana nilai kereta adalah berdasarkan tahun dibuat.Bagi kereta terpakai recond sudah daftar pula, pastikan salinan geran dan AP adalah sama maklumatnya. Geran harus dilampirkan bersama AP untuk tujuan pinjaman bank.Bagi kereta terpakai dalam prosedur biasa pula, cuba semak dengan teliti geran tersebut. Dengan nombor kenderaan itu juga, anda boleh menyemak sejarah pemilikan dan rekod di Jabatan Pengangkutan Jalan.

    Jangan sekali-kali membeli kereta terpakai tanpa melihat terlebih dahulu gerannya. Ada kes kereta yang dijual dua kali, pembeli kedua tidak mengetahui bahawa kereta tersebut sebenarnya masih dalam pembiayaan pihak bank oleh pemilik lain.Jika anda membeli daripada individu, pastikan juga bahawa kereta tersebut tidak mempunyai baki hutang melebihi harga jualan atau nilai pinjaman.Melainkan penjual bersetuju untuk menyelesaikan kadar perbezaan pinjaman dan nilai penyelesaian penuh (full settlement amount). Jika anda membuat pinjaman semula, maklumat ini boleh diperoleh menerusi bank peminjam anda. Penyelesaian (settlement) akan diuruskan oleh bank anda dengan peminjam lama.Pinjaman bagi kereta terpakai biasanya berbeza mengikut bank. Setiap institusi pinjaman mempunyai maklumat kadar pasaran yang berbeza sedikit antara satu sama lain. Untuk model-model kurang popular pula, perbezaan ini mungkin mencecah puluhan ribu ringgit.

    Begitu juga dengan kadar faedah yang dikenakan. Justeru, dinasihatkan supaya anda melakukan survey, bank mana yang memberikan faedah paling rendah dengan margin pinjaman dan bayaran balik yang munasabah.Proses pinjaman bagi kategori ini (tidak melibatkan kereta terpakai dari pengedar kereta terpakai) biasanya disebut sebagai walk-in atau direct-case. Ia biasanya mengambil masa yang lama berbanding proses menerusi wakil penjual. Malah, sesetengah bank tidak menerima kes pinjaman secara direct-case kerana sebab-sebab tertentu.

    Kos-kos lain yang perlu anda tanggung ketika membeli kereta terpakai termasuklah bayaran untuk proses penukaran hak milik, insurans dan pemeriksaaan PUSPAKOM.Ia mungkin kedengaran agak rumit, namun menguruskan sendiri pinjaman ini menjanjikan penjimatan yang banyak berbanding wakil penjual yang kadangkala mengenakan bayaran terselindung yang tidak anda sedari.

    Norazlina, Datuk Y selamat diijabkabul


    NORAZLINA mesra di samping Yusof selepas mereka sah menjadi suami isteri di Kangar malam tadi.


    KANGAR - Personaliti televisyen, Norazlina Redzuan, 37, selamat dinikahkan dengan jejaka pilihannya, Datuk Yusof Annuar Yaacob, 43, di Kangar, pukul 9.30 malam tadi.

    Norazlina yang lebih mesra dengan panggilan 'Alin' kelihatan ayu berbaju kebaya moden putih dan berselendang serta tenang sepanjang majlis sebelum menitiskan air mata sebaik semuanya selesai.Yusof yang juga Ketua Pegawai Eksekutif TM International dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Telekom Malaysia dinikahkan oleh bapa Alin sendiri, Datuk Redzuan Sheikh Ahmad dengan sekali lafaz.Alin menerima mas kahwin RM30,000 beserta cincin berlian bernilai RM85,000 sebagai hadiah perkahwinan daripada Yusof yang sinonim dengan gelaran 'Datuk Y'.

    Upacara tersebut dilangsungkan di hadapan Imam Masjid Al-Ariffin Padang Katong, Ku Mahamad Ku Hamid dan turut disaksikan oleh Ahli Parlimen Kangar, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad yang juga bapa saudara pengantin perempuan.Majlis resepsi pihak perempuan akan berlangsung di Dewan Warisan, Jalan Kolam Air, Kangar hari ini manakala pihak lelaki pula di sebuah hotel di ibu kota pada 29 Ogos ini.

    Bolehkah Malaysia?


    PINGAT perak Sukan Olimpik 2008 hadiah dari Lee Chong Wei untuk semua rakyat Malaysia.


    ESOK Sukan Olimpik Beijing 2008 akan melabuhkan tirainya secara rasmi, semua atlet hebat dari seluruh dunia akan pulang ke negara masing-masing dengan membawa kenangan manis, pahit, suka dan duka.

    Sehingga artikel ini ditulis kontinjen negara hanya berjaya meraih sebutir pingat perak menerusi pemain badminton perseorangan negara Lee Chong Wei yang tewas kepada pemain tuan rumah Lin Dan dalam perlawanan akhir.

    Walaupun negara kita mempunyai kemudahan sukan yang terbaik di rantau ini, tetapi pingat emas yang diidamkan sejak sekian lama masih belum muncul, malah negara kecil dan miskin seperti Panama, Kenya, Ethiopia dan beberapa negara jiran megah dengan pingat emas yang dimenangi mereka.

    Seluruh rakyat Malaysia masih tertanya-tanya di manakah tahap atlet negara sekarang? Adakah prestasi mereka masih lagi di takuk lama atau semakin meningkat?

    Malah ada yang sudah membuat congakan kemampuan kita di Sukan Olimpik London 2012, apa yang membimbangkan ramalan untuk empat tahun akan datang prestasi atlet negara akan berada pada tahap yang sama.Bagaimanapun orang nombor satu dalam bidang sukan, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob sudah memberi bayangan bahawa program menyediakan atlet untuk Olimpik 2012 akan disegerakan sebaik Sukan Olimpik Beijing tamat.Beliau berkata, antara langkah yang dibuat ialah mengenal pasti muka-muka baru untuk menggantikan tempat muka lama sekarang.Katanya, kerajaan juga akan mengadakan perbincangan dengan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk menganjurkan mini Sukan Olimpik sebagai pentas untuk memilih bakat-bakat yang berpotensi mewakili negara.

    “Kita juga akan menambah pendedahan atlet dalam kejohanan. Sebagai contoh, atlet Eropah diberikan pendedahan sekurang-kurangnya dalam 10 kejohanan antarabangsa sebelum bertanding ke Olimpik,” katanya.Saranan beliau amat bertepatan sekali mungkin pada masa depan akan lahir lebih banyak lagi atlet berbakat seperti Azizulhasni Awang (lumba basikal), Pandelela Rinong (terjun) Cheng Chu Sian (memanah) dan Lee Hup Wei (lompat tinggi).Siapa tahu pada 2012 nanti mereka mampu untuk mengukir kejayaan dan mencipta sejarah menamatkan penantian negara memenangi pingat emas pertama Olimpik.

    Badminton perlu Chong Wei ‘baru’

    Pujian harus diberikan kepada atlet kelahiran Bukit Mertajam, Pulau Pinang Lee Chong Wei selepas menamatkan kemarau pingat negara di Sukan Olimpik selepas gagal memenangi sebarang pingat di Sydney 2000 dan Athens 2004.Mungkin gugup beraksi di hadapan ribuan penyokong tuan rumah dan strategi yang kurang menjadi membuatkan Chong Wei terlepas untuk menghadiahkan negara pingat emas pertama Olimpik.

    Menurut Pensyarah Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Hamdan Ahmad berkata, kekalahan yang dialami Chong Wei hanya disebabkan oleh masalah psikologi, di mana pemain itu kurang mempunyai motivasi diri.‘‘Jika semuanya berada dalam keadaan baik termasuk sudut fizikal dan mental tidak mustahil Chong Wei boleh memberikan pingat emas buat negara, tetapi dia perlu pelbagaikan corak permaianan agar mudah memerangkap lawan.‘‘Dalam masa yang sama kita juga perlu mencari lebih banyak ‘Chong Wei’ seperti negara China dan Indonesia yang mempunyai banyak pemain muda yang berbakat,’’ katanya.

    Prestasi Malaysia di Beijing memberangsangkan

    Menurut Hamdan, prestasi atlet negara di Beijing boleh diklasifikasikan sebagai memberangsangkan atau sederhana.‘‘Di temasya besar seperti Olimpik kita perlu menggandakan usaha dan mempertingkatkan kemahiran setanding dengan atlet dari negara lain.‘‘Tidak mustahil jika ini mampu dilakukan dengan penuh disiplin kita mampu untuk mengutip pingat dalam beberapa jenis sukan seperti lumba basikal dan memanah,’’ katanya

    Jelas Hamdan semuanya terletak kepada atlet untuk mempertingkatkan kemahiran mereka terutama sekali menjelang Sukan Olimpik 2012 London.‘‘Disiplin dan menjaga pemakanan (diet) serta latihan keras adalah kunci kepada kejayaan atlet, itu yang dilakukan oleh atlet dunia yang lain walaupun dari mana-mana negara tidak kira miskin, tengah berperang, mundur, maju dan sebagainya.‘‘Perkara ini dapat dilihat dengan jelas apabila pemain skuasy negara Datuk Nicol Ann David sentiasa mementingkan disiplin dan latihan yang keras sama seperti pemain bola sepak era 70-an dan 80-an,’’ katanya.Rekod kebangsaan di Olimpik belum memadai

    Jika dilihat dari sudut realistik atlet renang negara sukar untuk memberi saingan kepada perenang handalan dunia yang lain, apatah lagi untuk memenangi lebih dari satu pingat emas seperti yang dilakukan oleh perenang Amerika Syarikat, Michael Phelps dan ratu renang Australia Stephanie Rice.Bagaimanapun Daniel Bego dan Siow Yi Ting tidak mahu pulang ke tanah air dengan tangan kosong apabila masing-masing berjaya memperbaharui rekod kebangsaan yang dicatatkan mereka sendiri sebelum ini.Daniel Bego berjaya memperbaharui rekod kebangsaan dalam acara 200 meter gaya bebas 1:50.92 saat memadamkan rekod lamanya 1:51.05s, sementara Yi Ting pula cemerlang dalam acara 200 meter kuak lentang dengan rekod kebangsaan 2:29.21s.Badang negara Amirul Hamizan Ibrahim kembali ke arena pertandingan antarabangsa dan pentas Olimpik menjadi saksi kebangkitannya selepas berjaya memecah rekod kebangsaan kategori 56 kilogram untuk berada di tempat kelapan.Melihat pencapaian yang dilakukan oleh atlet-atlet tersebut menimbulkan satu pertanyaan, adakah atlet negara sudah mempertingkatkan kemampuan mereka di arena antarabangsa?

    Penganalisis sukan Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim berpendapat tidak banyak perubahan yang dapat dilihat sejak dahulu lagi.‘‘Kita hanya mampu berbangga dengan pencapaian hebat di Sukan Komanwel sahaja tetapi tidak di Sukan Olimpik.‘‘Pungutan pingat yang dikutip masih sama sahaja, kita pernah memenangi pingat perak sebelum ini di Sukan Olimpik Atlanta 1996 dan sekarang kita menang pingat perak juga dalam acara yang sama, badminton,’’ katanya.Ujarnya, atlet dari acara lain masih belum bersedia dan lebih malang sukan yang dahulunya mengangkat martabat negara seperti hoki merosot teruk.Ditanya adakah semua ini disebabkan oleh faktor fizikal dan mental atlet Malaysia itu sendiri, katanya semua adalah disebabkan pegawai yang mengusahakan badan-badan sukan itu sendiri.

    ‘‘Mereka terdiri dari individu yang tidak mengetahui pengetahuan dan pengalaman tentang sukan serta mempunyai agenda lain.‘‘Ini akan menimbulkan pelbagai masalah di antara orang tertinggi di dalam badan sukan sehingga mengganggu perkembangan prestasi atlet dan sukar untuk mencapai matlamat,’’ katanya.Jelasnya, badminton dan hoki mempunyai peluang untuk bersinar pada masa akan datang jika bahagian pentadbiran sukan itu mampu untuk menggilap atlet baru.

    Lumba basikal dan memanah beri saingan

    Sebelum tiba di Beijing atlet lumba basikal dan memanah dikatakan mampu untuk memberi saingan sengit kepada lawan mereka yang lebih handal, ternyata telahan tersebut benar belaka.

    Dalam acara pemanah recurve individu pemanah negara, Cheng Chu Sian berjaya mara hingga ke suku akhir selepas menewaskan jaguh dari Korea Selatan Lee Chang-Hwan di pusingan ketiga tetapi nasib tidak menyebelahinya apabila tewas di pusingan suku akhir kepada pemanah Rusia, Bair Badenov.Sementara itu dalam recurve berpasukan Chu Sian dan dua lagi rakannya Mohamad Marbawi Sulaiman serta Wan Khalmizan Abd. Aziz tewas di peringkat suku akhir kepada pemenang pingat perak Itali, ternyata skuad pemanah berada pada kelasnya yang tersendiri.

    Pembawa bendera kontinjen negara di Sukan Olimpik Beijing, Azizulhasni Awang berjaya mencuri tumpuan selepas hanya ketinggalan separuh tayar kepada pelumba sensasi Britain Chris Hoy dalam acara pecut suku akhir.Selepa memperlihatkan perlumbaan yang bertenaga itu Azizulhasni dihambur pujian oleh pelumba dan pegawai negara lain sekali gus mengubat kekecewaannya gagal memenangi pingat dalam acara keirin bersama seorang lagi pelumba negara Josiah Ng.

    Tiada kejutan dari olahraga, menembak, terjun dan pelayaran

    Seperti yang dijangka atlet olahraga yang dibarisi oleh Roslinda Samsu (lompat bergalah) dan Lee Hup Wei (lompat tinggi) tidak mampu untuk mara ke pusingan akhir apatah lagi untuk menghampiri pencapaian jaguh Rusia Yelena Isinbayeva serta Andrey Silnov.Selepas gagal melayakkan diri ke pusingan akhir kedua-dua atlet yang memenangi pingat emas di Sukan SEA Korat tahun lepas ini juga gagal memperbaharui rekod kebangsaan milik mereka sendiri.

    Malah satu-satunya sandaran pingat dalam olahraga Yuan Yu Fang pula tidak mampu untuk menamatkan acaranya 20 kilometer jalan kaki akibat masalah sakit perut.Begitu juga dengan penembak tunggal negara Hasli Izwan Amir Hasan yang sekadar menamatkan saingannya di tempat ke-15 keseluruhan dalam acara acara 25 meter rapid fire pistol sekali gus gagal menempatkan diri ke pusingan akhir.

    Barisan penerjun negara Elizabeth Jimie, Leong Mun Yee dan Pandelela Rinong masih jauh ketinggalan dengan atlet antarabangsa yang lain, memandangkan umur mereka yang masih muda mungkin London 2012 akan menjadi mengubat kekecewaan mereka.Sukan Olimpik kali keempat tidak memberi sebarang kenangan manis buat atlet pelayaran Dr. Kevin Lim yang pernah beraksi di temasya ini pada tahun 1996, 2000 dan 2004, selepas menamatkan cabaran perlumbaan laser di tangga ke-38.

    Persiapan awal London 2012

    Walau apa pun keputusannya para atlet harus mengambil iktibar dan contoh kejayaan atlet lain, tidak jauh iaitu dari negara jiran seperti Thailand, Indonesia dan Vietnam.Mereka sudah bersedia dari segi mental dan fizikal malah tidak gentar dengan cabaran atlet dari benua Eropah dan Afrika serta Amerika Syarikat.Sudah sampai masanya kita melahir dan mengasah bakat atlet muda yang bukan sahaja setanding tetapi lebih hebat dari Lee Chong Wei, Azizulhasni dan Cheng Chu Sian.