Kreativiti ciptaan hidupan dasar laut yang melatari kereta berhias Terengganu membawa pasukan Terengganu dinobatkan johan utama atau Anugerah Perdana dalam pertandingan Pesta Flora Malaysia yang berlangsung di Dataran Bandaraya, Johor Bahru, Johor, kelmarin (26 Julai). Apa yang menarik, kejayaan itu membuktikan tuah `pasukan Terengganu’ yang sememangnya bersedia dengan segala parasarana serta sebarang penganjuran bertepatan dengan Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2008 yang sedang rancak dipromosi di seluruh negeri dan luar negara.
Beca berhias dari Terengganu turut menyerikan lagi perarakan sempena Pesta Flora Malaysia di Johor Bahru.
Sebanyak 16 pasukan menyertai pertandingan dan perarakan kereta berhias pada kali ini yang menampilkan pelbagai tema dan warna-warni yang bermula pada jam 9.30 pagi yang turut disiarkan secara langsung menerusi saluran RTM1. Turut berkenaan berangkat menyaksikan pertandingan penuh gemilang itu, Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin serta Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah. Hadir sama, Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dan isteri, Datin Seri Jeanne Abdullah. Lebih 20,000 pengunjung termasuk pelancong luar terpukau dengan keindahan dan konsep yang menghiasi setiap kereta berhias yang turut diiringi para penari dan penggiat pelancongan negeri masing-masing. Selain Sekretariat TMT 2008, Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Terengganu, Tourism Malaysia Terengganu, pastinya individu yang paling berbangga dengan kejayaan Terengganu adalah `orang kuat pelancongan’, iaitu Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Datuk Za’abar Mohd Adib yang turut mengiringi pasukan Terengganu ke pertandingan itu.
Menteri Pelancongan, Datuk Azalina Othman diiringi Pengurus Besar MTPN Terengganu, Encik Fadhil Abdul Ghani melihat pembikinan kereta berhias Terengganu yang menyertai Pesta Flora Malaysia di Johor Bahru.
Datuk Za’abar berkata, kejayaan itu penting dan membuktikan komitmen kami dalam menjayakan TMT 2008 yang bertemakan `Terengganu..Di mana Alam Semula Jadi Memayungi Warisan. “Kami memang bersungguh-sungguh mahu menang dan ternyata tema kereta berhias Terengganu yang menonjolkan keindahan alam serta kehidupan marin seperti replika penyu dan ikan nemo membawa kejayaan kepada Terengganu,” katanya.