Wednesday, September 3, 2008

kenali simbol tandas-tandas luar negara...

Mengapa kita tidak wujudkan identiti sendiri mengenai simbol tandas .. lihatlah identiti tandas diluar negara ... mengapa kita tidak tiru dengan simbol tandas bagi lelaki berbaju melayu dan wanita berbaju kurung... fikir-fikirkanlah ...

Iran


China


France


Netherlands


Japan




Korea


Spain


USA-Georgia state

Illusi Gincu Vs Bibir.




BIBIR penuh, lembap dan mulus menjadi impian wanita. Justeru, tidak hairanlah ada yang sanggup berhabis wang walaupun terpaksa melalui proses mengerikan seperti pembedahan mahupun suntikan. Bagaimanapun, pembedahan dan suntikan kini bukan satu-satunya cara untuk mendapatkan bentuk bibir diinginkan.

Hasil kemajuan teknologi kecantikan hari ini, wanita boleh memiliki segala kecantikan diidamkan tanpa perlu menahan kesakitan akibat pembedahan mahupun suntikan. Pakar kosmetik kini lebih bijak menghasilkan bahan solekan dengan kos lebih murah dan mudah serta mampu dimiliki setiap wanita.

Teknologi terkini tawar gincu unik bantu wanita peroleh wajah lebih menawan.

DUNIA gincu mengalami banyak perubahan. Bermula dengan makan sirih bagi meninggalkan kesan merah pada bibir, ia beralih kepada gincu kertas yang ditekap pada bibir sehinggalah kepada kompak jejari, cecair dan krim. Pada 2001, gincu mengalami peralihan teknologi bagi mengekalkan gincu lebih lama menggunakan bahan berasaskan silikon.

Bagi membentuk bibir lebih cantik, penggaris bibir diperkenalkan sekitar 1980-an dengan warna bertentangan dengan gincu anda. Justeru, teknik membentuk bibir dengan penggaris bibir berwarna berbeza sudah dianggap ketinggalan zaman.

Kini pelbagai jenama termasuk Avon tampil dengan teknologi terkini yang menampakkan bibir lebih gebu dan penuh tanpa memerlukan seseorang itu menjalani prosedur menakutkan seperti menyuntik dengan kolagen atau melakukan pembedahan plastik bagi membolehkan bbir tampak seksi seperti Angelina Jolie ataupun Cameron Diaz.

Aspalin Sirat, Pengurus Pemasaran Malaysia dan Vietnam, Avon Cosmetics (M) Sdn Bhd.

Pengurus Pemasaran Malaysia dan Vietnam, Avon Cosmetics (M) Sdn Bhd, Aspalin Sirat, berkata Avon menghasilkan gincu Ultra Moisture Rich Mousse untuk ilusi bibir penuh, seksi tetapi pada masa sama memelihara kesihatan bibir pemakainya.

Katanya, teknologi unik digelar `soft lips' yang memberikan teknik dua dalam satu iaitu lembapan serta warna kepada bibir pemakainya selain terhasil menerusi rumusan lembapan yang dihasil menerusi bahan seperti gel polymeric, gel jojoba, kacang soya, asid amino serta L-Proline, membolehkan ia memberikan 43 peratus kadar lembapan pada bibir.

"Aliran terkini mencipta pelbagai teknologi hebat dalam penghasilan gincu yang memberikan kebaikan kepada pengguna. Sungguhpun mungkin wanita tidak menjadikan ia faktor utama dalam usaha memiliki sebatang gincu, sedikit sebanyak ia sebagai nilai tambahan kepada pengguna untuk tampil cantik, pada masa yang sama, menjaga kesihatan bibir tanpa menggunakan salap bibir dan sebagainya.

"Gandingan rona lebih cerah untuk bahan pelembap dan rona lebih gelap untuk gincu, bagi mendapatkan sapuan penuh dan ilusi bibir lebih tebal dan seksi. Sekiranya anda penggemar pengilat bibir kerana teksturnya yang tidak terlalu berat dan pekat, inilah gincu yang tepat buat anda. Hanya satu sapuan, sudah cukup untuk menggantikan mana-mana gincu dan pengilat bibir yang anda miliki," katanya.


Himpunan terkini ini ada 10 warna yang dijangka hangat di pasaran, termasuk rona merah saga, warna tanah serta merah lembut yang amat sesuai untuk semua jenis kulit.

Gincu yang pertama seumpamanya dihasilkan itu boleh dimiliki pada harga RM27.90 saja.

Anda perlu menimbang tiga peraturan asas memilih gincu. Pertama, bibir kecil atau nipis sebaiknya memilih warna terang kerana ia boleh membuatkan bibir lebih menyerlah. Kedua, elakkan warna gelap pada bibir yang kecil dan ketiga, bibir yang penuh boleh menggunakan apa saja warna, tetapi warna lembut lebih baik agar bibir tidak begitu menonjol.

Memilih warna gincu sesuai juga penting bagi memastikan anda tampil cantik semula jadi. Pemilihan perlu berdasarkan warna kulit dan juga bibir. Kebiasaannya bibir berwarna cerah, merah pucat dan coklat. Bibir berkulit cerah sebaiknya menggunakan tona yang tidak terlalu pucat. Warna lembut seperti merah jambu dan pic sangat sesuai untuk bibir ini.

Mereka yang memiliki bibir merah pucat sangat bertuah kerana mudah untuk menyesuaikan dengan kebanyakan gincu. Perkara utama yang harus ditekankan ialah memastikan ia tidak terlalu terang kerana tona kulit anda akan menutupinya. Pilih warna seperti beri, ceri dan merah keunguan. Kulit coklat dan gelap sebaiknya memilih warna lebih terang seperti plum, rasberi dan merah yang boleh menyerlahkan bibir anda. Elakkan warna tipis kerana ia bertentangan dengan tona kulit anda.

Selain Avon, Maybelline New York juga tampil dengan gincu kesan tiga dimensi membolehkan bibir anda kelihatan lebih menawan, penuh dan mulus. Gincu dengan formula air dan kolagen ini menjadi rahsia bibir bersinar dan penuh sebaik disapu pada bibir anda.

Kesan tiga dimensi membantu menyelesaikan masalah bibir yang lazim dihadapi wanita seperti kilauan yang mendatar tanpa dimensi, bibir kering dengan garis halus yang kelihatan kasar, bibir kelihatan lebam dan tidak sekata yang menyebabkan kurang bersinar walaupun selepas disapu gincu.

Rumusan berbentuk gel bubble yang terdapat pada gincu ini memberikan warna dimensi pelbagai dan memberikan ilusi bibir penuh bersinar. Kandungan akua kolagen mengurangkan masalah bibir kering dengan garis halus yang jelas. Akua kolagen menyegarkan semula bibir dan secara tidak langsung mengurangkan kemunculan garis halus ini.

Gincu Watershine 3D Collagen memperkenalkan 12 warna merah menarik seperti merah hati, merah gelap, merah jambu, merah kecoklatan. Ia boleh didapati pada harga RM28.90 setiap satu.

INFO: Panduan memilih gincu

  • Kebanyakan wanita juga mengadu kilauan gincu tidak tahan lama walaupun selepas disapu hanya beberapa minit. Ini disebabkan keadaan bibir yang kering menyebabkan gincu jadi berkeping. Bagi mengatasi masalah ini, rumusan khas bagi 'mengunci' kilauan mengaktifkan semula kilauan dengan hanya mengemam bibir anda.

  • Anda tidak perlu bimbang jika mempunyai tona bibir tidak sekata. Ini adalah perkara biasa dan berlaku kepada kebanyakan orang. Sememangnya terdapat faktor lain yang menyebabkan keadaan ini seperti anemia atau sememangnya anda memiliki lebih pigmen gelap. Bibir hitam pula disebabkan tabiat merokok yang sebaiknya dielakkan untuk mendapatkan bibir merah secara semula jadi. Bagi mengatasi masalah tona tidak sekata, formula minyak semula jadi dan akua kolagen melembutkan permukaan bibir dan memudahkan sapuan gincu.
  • Cara didik anak berpuasa.


    MUDAH TERPENGARUH: Jangan biarkan anak yang berpuasa melihat adiknya makan.

    Kanak-kanak perlu dilatih sedari kecil untuk jalani rutin berlapar dan dahaga

    MENDIDIK anak berpuasa bukan perkara mudah bagi sesetengah ibu bapa. Pasti ada ibu bapa yang tidak sampai hati melihat anak merengek meminta makanan. Malah, ada juga yang tidak membenarkan anak berpuasa kerana bimbang anak akan kelaparan atau mendapat natijah kerana perut kosong sepanjang hari tanpa makanan.

    Hakikatnya, berpuasa adalah wajib bagi individu beragama Islam, akil baligh dan waras. Kanak-kanak juga digalakkan berpuasa sekiranya mereka berkemampuan dan dilatih sejak kecil. Apabila kanak-kanak diajar berpuasa sejak kecil, ada banyak kebaikan seperti memberi 'rehat' kepada usus dan organ dalaman daripada memproses makanan sepanjang hari. Seperti individu dewasa yang berasa satu kemenangan apabila berjaya menyelesaikan ibadat puasa selepas sehari suntuk menahan lapar dan dahaga, kanak-anak juga akan merasai perkara yang sama, lebih-lebih lagi apabila ibu bapa menjanjikan ganjaran tertentu sekiranya mereka berjaya berpuasa sehingga sebulan.

    Justeru, kebijaksanaan mendidik anak berpuasa terletak di tangan ibu bapa bagi mendisiplinkan si anak berminat melakukan ibadat berkenaan.

    Guru sekolah di Hulu Langat, Zalina Nasir, 41, mempunyai cara istimewa bagi mendidik anak lelakinya belajar berpuasa. Seperti ketika dilatih ibunya dulu dengan penuh tanggungjawab, beliau melakukan hal yang sama terhadap Aqeef Aiman, empat tahun.

    DORONGAN: Zalina membacakan buku cerita supaya Aiman tidak terlalu memikirkan soal makanan

    "Aiman memang bayi yang sihat sejak kecil. Dia sentiasa berselera terhadap makanan. Jadi, saya dan suami terpaksa mengikut rentaknya untuk melatih dia berpuasa. Pada mulanya memang dia mengadu susah, tetapi saya pujuk dan terangkan kebaikan berpuasa kepadanya," katanya.

    Zalina yang mengajar pada sesi pagi berkata, beliau menawarkan ganjaran berbentuk makanan kepada Aiman bagi meningkatkan semangat anaknya untuk berpuasa kerana mengetahui Aiman gemar makan.

    "Memang dia berselera pada semua jenis makanan, terutama aiskrim. Begitupun, saya tetap mengawasi jumlah makanan yang diambil supaya tidak memudaratkan Aiman. Jadi, dia berpeluang makan semua yang diingini, tetapi dengan jumlah yang sedikit," katanya.

    Zalina rajin menerangkan pada Aiman kebaikan berpuasa seperti sesiapa yang rajin berpuasa akan mendapat pahala yang diberikan Allah. Selain itu, Aiman juga diberitahu Tuhan sayang kepada orang yang rajin berpuasa dan jika berpuasa, makanan tidak boleh diambil selagi belum tiba waktu berbuka.

    Beliau berkata, pada peringkat awal percubaan melatih Aiman, beliau tidak membenarkan Aiman makan selama tiga jam. Apabila tiga jam pertama berjaya dilakukan, beliau akan menambah sebanyak tiga jam lagi. Jadi dengan pertambahan masa sedikit demi sedikit, Aiman tidak rasa terbeban walaupun kerap bertanya bilakah beliau boleh makan.

    "Kadang-kadang Aiman sendiri rajin bertanya apakah makanan yang dia akan dapat sekiranya berjaya puasa penuh. Saya tahu dia teringin makan banyak jenis makanan, tetapi pada peringkat usia sebegini, tarikan utama dia adalah aiskrim. Tahun depan, dia akan mencecah usia lima tahun dan saya akan pastikan dia berupaya berpuasa.

    "Buat masa ini, dia hanya berjaya sehingga jam 2 petang saja. Apabila melihat adiknya, Ain Najwa, menjamah makanan, dia juga teringin menikmatinya," katanya.

    Zalina dan suami, Hamka Istamar, sedaya upaya memastikan makanan tidak diletakkan di atas meja atau di tempat yang Aiman mudah mencapainya bagi memastikan anak mereka berjaya memanjangkan tempoh puasa percubaan dan teknik berkenaan agak berkesan kerana Aiman akan leka bermain sekiranya permintaannya untuk makan tidak dilayan.

    INFO: Latih anak berpuasa

    • Pastikan tiada makanan didedahkan kepada anak.

    • Setiap kali anak meminta makanan, cuba lengahkan permintaan anak.

    • Janjikan ganjaran yang baik seperti Tuhan sayang orang yang berpuasa.

    • Jangan paksa anak berpuasa kerana setiap kanak-kanak mempunyai daya ketahanan diri yang berbeza.

    • Cuba beri tempoh masa tertentu kepada anak supaya dia dapat menyesuaikan diri tanpa makan selama beberapa jam terlebih dulu.

    • Cuba layan setiap pertanyaan anak supaya dia tidak terlalu memikirkan mengenai makanan.

    • Berlembut dengan anak supaya dia tidak rasa tertekan untuk melakukan puasa.

    Kurma - Antara khasiat & Faedahnya



    BERKHASIAT: Kurma kaya serat dan mengandung
    pelbagai zat yang sesuai untuk badan.


    RAMADAN dan kurma seakan sinonim walaupun buah yang dikatakan berasal dari tanah Arab itu boleh didapati pada bila-bila masa saja di pasar raya. Malah, kurma juga menjadi buah yang wajib dibawa balik jemaah setiap kali menunaikan rukun haji yang kelima selain pemanis mulut ketika berbuka puasa.

    Berdasarkan senario berkenaan, kita mengetahui bahawa kurma mempunyai keistimewaan tersendiri selain sesuai dinikmati pada bila-bila masa.

    Pengarah Institut Kajian Rantau Asia Barat (IKRAB), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Siti Rugayah Tibek, berkata pada zaman Rasulullah SAW, hanya buah itu saja yang boleh didapati dengan begitu mudah, justeru kurma menjadi buah kesukaan masyarakat Arab.

    “Tuhan jadikan setiap negara itu ada keistimewaan masing-masing. Seperti negara kita yang terkenal dengan durian, tanah Arab pula memang tersohor dengan kurma atau tamar. Ada pelbagai jenis kurma sama ada yang kering atau pun yang segar. Semuanya ada khasiat tersendiri dan boleh dimakan oleh semua peringkat usia,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

    Kandungan kurma yang kaya serat membuatkan ia baik dijadikan menu penting untuk diet. Termasuk dalam kategori pokok berpelepah atau palma, kurma kaya zat besi, kalsium, fosforus, sodium, potasium, vitamin A dan C serta niasin. Memandangkan zat besi yang terkandung pada buah berkenaan jugalah menyebabkan wanita berpantang sesuai menjadikan kurma sebagai hidangan mereka tanpa keraguan, selain sesuai untuk berpuasa.

    “Dari segi logiknya, zat yang ada pada kurma boleh membuatkan badan mendapat tenaga mencukupi walaupun hanya dimakan sebiji dan segelas air. Sebab itulah ada individu yang memilih berbuka puasa dengan hanya sebiji kurma dan badan sudah berupaya mendapat tenaga kembali selepas sehari suntuk berpuasa,” katanya.

    Justeru, katanya, wanita berpantang digalakkan meminum jus kurma atau memakan kurma kerana zat dan galian yang terkandung dalam buah berwarna coklat kehitaman itu berupaya mengembalikan kekuatan badan, malah badan akan berasa lebih segar dan bertenaga sekiranya diambil secara berkala.

    Katanya, sejak zaman Rasulullah dulu lagi, kurma sudah mencipta sejarah tersendiri kerana seribu satu kebaikan yang ada padanya. Ada kisah meriwayatkan ketika Sayyidatina Aishah dikunjungi peminta sedekah, Rasulullah menyarankan Aisyah memberikan separuh daripada kurma itu kepada hamba berkenaan kerana ia sudah mencukupi untuk Aisyah dan juga kepada hamba itu.

    “Daripada kisah berkenaan, teladan yang boleh kita ambil ialah betapa kurma itu kaya dengan khasiat. Walaupun hanya sedikit saja dimakan, anda akan mendapat manfaat yang sangat bagus. Kalau kurma itu tidak baik, Rasulullah tidak akan menyarankan umatnya memakan buah berkenaan,” katanya.

    Selaras dengan kehebatan Islam yang tidak menyusahkan umatnya, kurma adalah buah yang memancarkan sebaik-baik kejadian Allah bagi manusia untuk menilai anugerah yang tidak terhingga kerana hanya dengan buah yang kecil itu, ia dapat membekalkan pelbagai jenis zat yang diperlukan badan.

    “Saranan saya, kurma boleh dijadikan bekal ketika bermusafir atau menghadapi perjalanan jauh. Zat yang terkandung pada kurma boleh mengembalikan kekuatan badan. Tambahan pula, kurma kering senang dibawa ke mana saja tanpa perlu risau ia buruk atau berkulat. Bagi yang mengetahui kebaikan kurma, menu bersahur juga digantikan dengan tiga biji kurma,” katanya.

    Kini dengan adanya reka cipta dalam dunia masakan, kurma boleh dinikmati pelbagai cara. Ia tidak hanya dimakan sebagai buah semata-mata kerana ada pakar masakan mula menjadikan kurma sebagai bahan utama dalam resipi yang dicipta. Peniaga juga memberi wajah baru kepada kurma dengan membuang biji dan digantikan dengan badam, dipakej dengan cara yang menarik dan kemas.

    INFO: Kurma

    • Nama saintifik kurma ialah phoenix dactylifera L.

    • Mengandungi karbohidrat yang tinggi dan membekalkan tenaga kepada manusia.

    • Boleh dijadikan jem, sirap dan halwa.

    • Kurma yang terdapat di pasaran antaranya kurma nabi, kurma madu, kurma merah dan kurma ajwa.

    • Selain kaya zat besi, kurma juga kaya kalium yang berfungsi menstabilkan tekanan darah dan mencegah risiko lumpuh separuh badan.

    • Pengambilan kurma boleh mengurangkan panas badan.

    • Boleh meningkatkan daya pemikiran kanak-kanak.

    • Kurma kaya zat besi, kalsium, fosforus, sodium, potasium, vitamin A dan C.

    Kisah Kasut Vs Kaki

    Rahsia sepasang kasut

    Oleh Hidayah Mohammad
    hidayah@bharian.com.my




    KASUT cantik bergaya selalunya tidak membekalkan ciri-ciri keselesaan kepada pemakainya. Orang kata, sakit macam mana sekali pun, asalkan ada gaya. Secara tidak langsung, wajah anggun 'rosak' dek memakai kasut sempit, ketat mahupun terlalu tinggi kerana kesakitan mampu terpancar pada wajah.

    Kebanyakan wanita dan juga lelaki dewasa tidak menyedari bahawa saiz ataupun potongan kasut tidak bersesuaian mampu memberi kesan buruk pada anggota badan. Selain sakit pada kulit ketika memakainya, kesan pada dalaman badan boleh berlaku dalam jangka masa panjang malah mengambil masa lama untuk sembuh.

    Lebih-lebih lagi jika anda banyak berjalan terutama pada musim perayaan ini. Jangan biarkan kasut menjadi punca anda tidak dapat menikmati Aidilfitri dengan gembira. Paling penting, jangan amalkan kecantikan melalui penderitaan! TAHAP kesedaran orang ramai mengenai punca dan penyelesaian terhadap masalah sakit kaki masih berada pada peringkat rendah. Maka, tidak hairanlah dianggarkan kira 80 hingga 90 peratus orang dewasa di Malaysia menderita akibat sakit kaki.

    Pakar kaki ortoprostetik untuk jenama Schein Orthopaedics dari Jerman, Guido Fahrentrapp, berkata berdasarkan kajian yang dijalankan, jumlah peratusan berkenaan mendapati sesetengah daripada mereka menderita masalah kaki serius seperti sindrom kaki diabetik atau reumatisme.

    BERI PENERANGAN: Guido dan Daniel (kanan) bersama arca tulang, bentuk kaki bermasalah dan beberapa produk kasut serta tapak dalam kasut yang dihasilkan dari Schein Orthopaedics.

    Bagaimanapun, katanya, peratusan selebihnya pula mempunyai masalah sakit pada kaki yang disebabkan oleh pemakaian kasut salah.

    “Lazimnya, pemilihan kasut salah boleh mengakibatkan masalah pada kaki, lutut dan tulang belakang. Malah, selain itu gejala ini boleh mengakibatkan juga kesakitan pada punggung, betis serta masalah peredaran darah dalam badan,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

    Beliau yang juga pakar kraf dalam bidang menghasilkan kasut, tapak dalam kasut serta kaki palsu berkata, kedua-dua tapak kaki manusia selalunya tidak sama dan sempurna. Ada antara manusia mempunyai kaki pengkar atau kaki yang bengkok ke dalam. Mereka yang menderita akibat lengkung kaki tinggi, lengkung kaki rendah, kaki leper, tumit pecah dan juga bunion sukar mendapatkan kasut yang bersesuaian.

    “Rekaan kasut terkini yang nampak lebih cantik mendorong masyarakat membelinya sehingga mengabaikan kesan masa depan terhadap kesakitan kaki. Walaupun nampak cantik dengan tawaran lebih baik, masyarakat seharusnya perlu menitikberatkan soal keselesaan.

    “Pemakaian kasut yang tidak berpadanan atau keras secara tidak langsung mengubah bentuk asal kaki. Masalah perubahan bentuk asal kaki berlaku juga disebabkan beberapa faktor lain antaranya kasut terlalu tinggi serta tidak ruang cukup untuk kulit kaki bernafas.

    “Namun begitu, jangan terkejut kerana perubahan itu juga boleh berlaku disebabkan oleh faktor genetik. Sekiranya sejarah keluarga sebelum ini ada menunjukkan keluarga mempunyai masalah kaki, maka tidak hairan ada keluarga seterusnya mengalami masalah sama,” katanya.

    Guido berkata, selalunya kesakitan pada tapak kaki itu dibiarkan saja. Paling tidak pun mereka sekadar pergi mendapatkan urutan atau melakukan refleksologi. Namun, kaedah mengurut saja tidak akan membantu memulihkan kesakitan kaki atau badan sekiranya masih lagi menggunakan kasut sama serta tidak bersesuaian.

    Bagi menangani masalah sakit dan perubahan bentuk kaki yang mendadak, beliau menyarankan supaya memakai kasut yang mempunyai tapak luar dan bahagian dalam yang lembut. Setidak-tidaknya, menggunakan tapak dalam kasut yang lembut.

    Sedia khidmat pemeriksaan kaki

    Schein Orthopaedics menawarkan khidmat pemeriksaan imbasan kaki dan khidmat nasihat dengan analisa cara berjalan yang terperinci di semua kedainya. Jenama terkenal dari Jerman itu menyediakan kedai kasut yang mengkhusus dalam membekalkan kasut dan tapak dalam kasut ortopedik untuk mereka yang mempunyai masalah kaki.

    Pengarah Urusan ScheinOrthopaedics (M) Sdn Bhd, Daniel Berkemeier, berkata kedai kasut berkenaan menawarkan khidmat membantu memberi nasihat dan penyelesaian kepada masalah kaki

    “Biarpun masalah kaki yang dihidapi adalah lazim, ia juga tidak diberi perhatian. Oleh sebab itu, Schein Orthopaedics menawarkan perkhidmatan berkenaan bagi mengurangkan kesakitan pada kaki mereka dengan melakukan pemeriksaan imbasan menerusi teknologi yang disediakan khusus.

    “Sasaran Schein Orthopaedics terdiri daripada semua peringkat tidak kira dewasa mahupun kanak-kanak. Malah, kita turut membantu mereka yang gemar bersukan kerana golongan ini lebih banyak mengamali masalah sakit kaki,” katanya.

    Daniel berkata, Guido bertanggungjawab dalam membuat pemeriksaan pelanggan bagi menghuraikan secara terperinci masalah penyakit kaki pelanggan yang membuat pemeriksaan. Dalam kes tertentu, Guido akan bekerjasama dengan doktor dan pakar terapi yang lain serta menggunakan pendekatan yang lebih holistik ini diambil bagi mendapatkan hasil yang terbaik untuk pesakit.

    Selain memberi khidmat pemeriksaan kaki, malah ScheinOrthopaedics turut menawarkan pelbagai jenis kasut selesa (comfort shoes), kasut Diabetik dan Ortopedik (Diabetic and Rheumatoid-Shoes), tapak dalam Ortopedik (Orthopaedic Inserts) dan kasut pemulihan kanak-kanak (Corrective Children shoes).

    Mereka yang menderita akibat pelbagai masalah kaki, lutut atau tulang belakang berikutan terbabit dalam aktiviti yang membabitkan tekanan terhadap kaki boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada kedai berkenaan.