

BANYAK yang diperkatakan tentang keterbukaan dan toleransi calon Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama berhubung dasar luar yang diperjuangkannya sepanjang kempen dalam Parti Demokrat terutamanya dalam konteks perhubungan dengan negara Islam.
Obama sering disebut-sebut sebagai seorang yang sangat bertentangan dengan mana-mana Presiden AS sebelum ini apabila bersedia untuk berunding secara peribadi dengan negara-negara musuh AS seperti Cuba dan Venezuela, meskipun masih ragu-ragu untuk berbicara dengan Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad.Dengan imej bersih dan positif, revolusi yang dilaungkan Obama bukan sahaja berjaya meyakinkan rakyat AS yang semakin jelik terhadap peperangan, tetapi juga dengan mudah menarik perhatian masyarakat seluruh dunia.
Malangnya, sebaik pasti menjadi calon Parti Demokrat dalam persaingan menuju ke White House, nada ketegasan Obama berhubung dasar luarnya sedikit berubah.Obama dikatakan tidak bersedia untuk menemui Ahmadinejad sehingga selesainya pilihan raya Presiden Iran yang dijadualkan pada 2009. Ia sekali gus menjadi senjata utama calon Presiden daripada wakil Parti Republikan, John McCain menghentamnya dengan menuduh Obama tidak mempunyai pendirian yang jelas berhubung dasar luar AS.Malah, kesediaan Obama untuk berbincang dengan pemimpin Cuba dan Venezuela serta kumpulan yang dilabel pengganas seperti Hamas dan Hizbullah juga dikritik hebat oleh McCain yang menganggap tindakan Obama itu seolah-olah mengiktiraf kelompok pengganas tersebut.Namun, Obama menempelak tuduhan lawannya dengan pendirian bahawa kesediaan untuk berunding itu tidak lebih daripada hanya untuk memberi peluang kepada negara-negara berkenaan terutamanya Iran untuk memperjelaskan mengenai program nuklear mereka tanpa sebarang tekanan.Tempoh pertemuan yang ditetapkan sehingga 2009 itu pula jelas Obama, bagi menunggu keputusan pilihan raya Presiden Iran memandangkan kedudukan Ahmadinejad kini terancam ekoran penentangan dalam negara termasuk daripada ketua program nuklear Iran, Ali Larijani.Pentingnya dasar luar dalam setiap pendirian calon Presiden AS, seperti yang dijelaskan oleh Pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Abdul Rahim Anuar, menjadi faktor penentu kepada kemenangan Obama atau McCain dalam usaha menduduki White House.Ini kerana jelas beliau, ketika sentimen Islamophobia masih boleh dirasai di segenap pelosok negara itu kini, rakyat AS mengharapkan kepada satu dasar luar yang benar-benar mampu melindungi mereka.
"Justeru, bukanlah sesuatu yang menghairankan apabila Obama dilihat sedikit berubah berhubung dasar luar negara yang diperjuangkannya kerana dalam memenangi hati masyarakat kulit putih, Obama tidak boleh terlalu menonjolkan diri sebagai pembela Islam atau anti Yahudi," katanya.Selain dasar luar, seperkara yang menarik perhatian dalam kubu Parti Demokrat menjelang pemilihan Presiden ialah siapakah yang akan mengisi kerusi Naib Presiden seterusnya bergandingan dengan Obama.Meskipun ketika ini ramai yang menjangkakan Obama tidak akan sekali-kali memilih pesaing utamanya dalam kubu sendiri iaitu Hillary Clinton, namun penganalisis politik berpendapat, ketokohan bekas Wanita Pertama AS itu tidak wajar dipandang sebelah mata.
Ini kerana bagi penganalisis, gandingan Obama-Hillary sebenarnya membentuk satu benteng yang sangat berpengaruh bagi Parti Demokrat meraih keyakinan rakyat AS kerana kedua-dua tokoh itu mempunyai titik kekuatan yang berbeza.Obama sebelum ini sering dirujuk sebagai pahlawan kepada golongan kulit hitam, kumpulan pekerja, golongan muda dan berpendidikan serta profesional, manakala Hillary pula merupakan wirawati kepada golongan kulit putih, pesara dan wanita.
Dengan munculnya desas-desus itu, Senator Virgina, Jim Webb yang disebut-sebut bakal bergandingan dengan Obama sebelum ini hampir pasti menjadi taruhan Parti Demokrat dalam pilihan raya Presiden kelak.Veteran Perang Vietnam lulusan Annapolis itu dikatakan calon orang nombor dua yang paling ideal kerana kebijaksanaannya dalam merencana keamanan sosial, satu kelebihan yang tidak dimiliki oleh Obama.Nama lain yang turut dicadangkan oleh pasukan pemilih yang diketuai oleh bekas Ketua Pegawai Eksekutif Fannie Mae yang juga orang dalam Washinton, Jim Johnson ialah Senator Joseph Biden Jr. dan bekas Senator Georgia Sam Nunn yang merupakan pakar dalam hubungan luar negara.
Cerita yang agak berbeza bagaimanapun berlegar di kubu Parti Republikan, apabila calon Presidennya, McCain langsung tidak tercabar apabila mengesahkan persaingannya menuju ke White House selepas mengalahkan Gabenor Mike Huckabee di Texas, Ohio, Rhode Island dan Vermont dalam pemilihan pendahuluan parti itu, awal bulan lalu.Sangat jelas dalam dasar luar negaranya, McCain tidak pernah ragu dengan pendirian untuk meneruskan dasar yang dilaksanakan oleh ketuanya iaitu Presiden George W. Bush.
McCain juga terkenal kerana sokongannya terhadap perang yang dilancarkan oleh AS terutamanya di Iraq serta pernah menyuarakan pendapat Washington sewajarnya berada di negara Teluk itu sehingga 100 tahun.Merupakan musuh utama kepada program pembangunan nuklear di Iran, McCain turut melabelkan program itu sebagai satu bentuk keganasan yang lebih dahsyat daripada mana-mana kumpulan pengganas di dunia.
Dalam memilih wakil Naib Presidennya, McCain dikatakan lebih berminat untuk digandingkan bersama calon muda, bersemangat patriotik dan perwatakan menarik bagi mengimbangi pengaruh yang dibawakan oleh Obama.McCain juga dikatakan memerlukan pembantu yang sangat pantas bekerja dan berpengalaman dalam melaksanakan agenda dan visi negara.
Dengan kriteria seperti itu penganalisis berpendapat, individu yang selayaknya bergandingan dengan McCain ialah bekas Gabenor Massachussetts, Mitt Romney yang juga seorang usahawan berjaya selain sangat berpengalaman dalam perundangan dan hubungan luar negara.Selain Romney, nama lain yang disebut bakal bergandingan dengan McCain ialah Gabenor, Florida Charlie Crist dan Gabenor Louisiana, Bobby Jindal.