Wednesday, September 24, 2008

Gaya Moden dengan fesyen tradisional




MASA berlalu dengan pantas, diam tidak diam hanya seminggu lagi umat Islam akan menyambut Syawal. Saya percaya, kebanyakan sudah pun membuat persiapan, menempah atau pun membeli baju baru untuk digayakan pada hari lebaran. Bagaimanapun, mungkin ada juga yang belum berkesempatan untuk berbuat demikian.

Usah risau, pada masa ini ada banyak pilihan pakaian siap yang dijual. Pilih saja yang mana satu berkenan di hati. Menjadi persoalan sekarang, apakah gaya fesyen yang ingin anda tampilkan pada hari lebaran?

Selain fesyen pakaian tradisional, baju kurung dan kebaya, anda juga tampak manis serta sopan apabila menggayakan rekaan kontemporari. Justeru, apa kata lebaran kali ini anda menggayakan fesyen pakaian yang mempunyai sentuhan gabungan nuansa tradisional dan moden yang diinspirasikan daripada aneka ragam dan mempunyai elemen segar. Gabungan itu mungkin boleh dibuat sama ada dari segi potongan, fabrik digunakan ataupun penampilan rekaan hiasan yang indah dan anggun seperti motif sulaman, hiasan manik dan kristal mahupun corak pada fabrik. Penerapan aspirasi seperti itu dalam rekaan bukan saja memperlihatkan gaya harmoni tetapi mampu menyerlahkan gaya yang lebih menarik.

Misalnya, aplikasi bahan linen, sifon, renda dan satin pada pakaian memang menampilkan kesan mewah. Jadi, untuk menyuntik gaya tradisional dan moden, anda boleh memilih potongan kebaya yang digandingkan dengan sarung daripada satin polos. Bagi yang ingin menggayakan batik pula mungkin boleh memadankan potongan baju kurung kontemporari berpotongan leher nehru dengan kain sarung batik. Gaya anda lebih segar jika baju yang dipadankan dengan sarung itu diserikan dengan hiasan sulaman. Namun, semua terpulang kepada anda apa yang lebih penting anda tetap bergaya cantik di pagi Syawal

Busana Muslimah kian gah

Oleh Nor Affizar Ibrahim
affizar@bharian.com.my




ARUS perubahan dunia fesyen di Barat tidak dinafikan, sentiasa disanjungi dan dikagumi kerana setiap tahun atau musim ada saja pembaharuan yang dibawa serta dicipta pereka fesyen. Namun, melihat lebih terperinci perkembangan fesyen di Malaysia ia juga tidak kurang hebat dan boleh dibanggakan, bahkan ada keunikan tersendiri.

Antara keunikan fesyen di negara ini ialah perkembangan rekaan busana yang menutup aurat atau Muslimah, dikhususkan untuk umat Islam. Biarpun, perkembangan semasa menyaksikan pelbagai perubahan dalam aliran fesyen terkini, kebanyakan umat Islam di negara ini masih berpaksikan hakikat yang kemodenan itu tidak pernah menghakis nilai syariat.

Justeru, bagi yang berpegang pada nilai itu rekaan busana gaya Muslimah yang menutup aurat dan menyerlahkan ciri kesopanan tetap menjadi pilihan. Dengan adanya permintaan itu, secara tidak langsung industri busana Muslimah semakin pesat sehingga merancakkan lagi lakaran dunia fesyennya yang tersendiri. KESEDARAN semakin tinggi masyarakat terhadap tuntutan memilih busana yang menyerlahkan ciri Muslimah dan penuh kesopanan bukan sekadar menjadi suatu adat, sebaliknya ia seiring dengan tuntutan agama. Maka itulah juga menyebabkan mengapa rekaan busana Muslimah kini semakin mendapat perhatian.

Apa yang lebih menarik, perkembangan fesyen semasa menyaksikan pelbagai gaya pilihan busana menutup aurat yang diketengahkan. Pilihan bukan saja semakin banyak, tetapi memenuhi aspirasi wanita yang bertudung litup untuk bergaya lebih menarik, anggun dan menawan.

GAYA Manis dan sopan sesuai digayakan pada hari raya.

Pemborong pakaian koleksi busana Muslimah dan Tudung, Idaman Hawa Sdn Bhd, Jeffery Azemi, berkata perkembangan fesyen rekaan busana Muslimah yang diilhamkan oleh pereka tempatan kini seiring dengan fesyen antarabangsa yang lebih canggih, malah rekaan yang ditampilkan bukan saja memenuhi cita rasa umat Islam di negara ini, tetapi juga dari rantau lain.

Justeru, beliau berkata, wanita yang bertudung litup tidak boleh mengehadkan pemikiran bahawa gaya bertudung itu membosankan kerana ia adalah penyebab utama yang membantutkan keinginan bergaya cantik dan deria fesyen seseorang itu.

“Wanita Islam yang bertudung khususnya tidak lagi terhad dengan pakaian seperti baju kurung dan kebaya kerana sejak kebelakangan ini, beberapa pereka fesyen giat mencipta pakaian yang sesuai untuk mereka. Hakikatnya, wanita bertudung boleh bergaya mengikut arus aliran dan pada masa sama kesopanan tetap dijulang tinggi,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Jeffery Azemi yang juga pereka busana Muslimah berkata, apa yang menarik pada masa kini pelbagai cetusan rekaan idea kontemporari fesyen Muslimah diketengahkan. Rekaan bukan saja menutup aurat dan sopan, tetapi lebih menyerlahkan gaya kewanitaan dan menjadikan si pemakainya tampak ayu apabila menggayakannya.

Katanya, berbanding dulu kebanyakan pereka fesyen busana Muslimah lebih senang menonjolkan jubah yang ditampilkan dengan rekaan gedoboh serta langsung tidak mengikut potongan badan. Selain itu jubah konvensional juga dilihat menggunakan warna suram seperti hitam, kelabu, biru pekat dan hijau tua, manakala pilihan fabrik adalah tebal serta tidak selesa atau sesuai dipakai dengan keadaan iklim di negara ini.

“Rekaan busana Muslimah pada masa kini lebih banyak menerapkan unsur kontemporari. Bagi rekaan jubah misalnya, untuk tidak kelihatan terlalu besar dan longgar, potongan jubah hari ini kebanyakan berlisu pada bahagian depan dan belakang. Malah, bagi menampilkan gaya lebih menarik dan anggun ada jubah yang menggunakan rekaan dwi lapis dengan gaya potongan istimewa pada bahagian tertentu seperti lengan, bahagian depan dan sebagainya.

“Begitu juga dengan pilihan fabrik lebih selesa, lembut dan menawan. Bahkan, kebanyakan rekaan jubah menggunakan fabrik bermutu dan setanding dengan rekaan pakaian lain. Ini termasuklah, penggunaan fabrik seperti sifon, sutera sifon, denim lembut dan sebagainya,” katanya.

Jeffery berkata, apa yang penting ialah wanita yang memilih fesyen bertudung litup mestilah bijak menyesuaikan penampilan dan tidak keterlaluan bergaya sehingga terkeluar daripada landasan niat sebenar. Ilham kreatif fesyen menutup aurat yang segar diketengahkan mesti selari dengan tuntutan agama dan pada masa sama, masih boleh tampil anggun serta lebih ceria dengan pemilihan warna harmoni.

Katanya, penggemar aliran fesyen yang berciri sopan dalam busana kontemporari sewajarnya memerlukan sedikit ilmu untuk bergaya supaya pakaian itu mampu menyerlahkan diri yang sebenar.

Melengkapkan gaya, Jeffery berkata, pilihan tudung juga perlulah bijak, manakala gaya memakai atau mengikatnya seharusnya dipelajari supaya lebih berseri dan tampak sempurna apabila menggayakan pakaian busana Muslimah.

“Pada masa kini tudung daripada fabrik jersi antara yang paling popular. Tudung daripada fabrik ini bukan saja mudah diikat dan dibentuk tetapi juga lebih selesa dipakai. Malah, fabriknya juga lembut dan jatuh cantik beralun apabila dipakai. Selain menampilkan gaya kreatif mengikat tudung untuk bergaya lebih menarik, seseorang itu juga mesti memberanikan diri untuk menyuai padankan warna tudung dan pakaiannya.

“Tidak kira selendang panjang, tudung empat segi, tiga segi dan sebagainya, semuanya boleh diikat dengan cara menarik dan tampak lebih kreatif jika digandingkan dengan dua rona warna serasi. Walaupun tudung polos, ia juga boleh kelihatan berseri jika bijak dan berani mengadunkan warna,” katanya.

Untuk pilihan lebih luas dan menceriakan sambutan Syawal, Jeffery berkata, Idaman Hawa tidak ketinggalan turut menampilkan beberapa koleksi fesyen pakaian baru. Koleksi pakaian baru yang diketengahkan merangkumi, fesyen pakaian potongan jubah, blaus yang digandingkan dengan celana dan baju kurung dan boleh didapati dari saiz kecil hinggalah untuk yang bertubuh besar.

Katanya, koleksi pakaian baru lebih banyak mengetengahkan konsep suai padan dan kebanyakan didatangkan dengan elemen corak abstrak bagi memperlihatkan gaya baru untuk mereka yang bertudung litup.

Pelukan Kasih ..

GAMA meletakkan garis panduan bahawa 24 jam yang diperuntukkan memang cukup buat ibu bapa memanfaatkan sepenuhnya waktu untuk mencari rezeki, beribadat dan rehat yang mencukupi selain merancang perkara berfaedah untuk kebaikan keluarga tercinta.

Namun, ada yang tersasar kerana terlalu mengejar kebendaaan hingga melupakan tanggungjawab dan amanah membina keluarga.

Kembalilah bermuhasabah supaya anak-anak dan keluarga tidak jauh tersisih. Jika anda baru saja membina keluarga, panduan berikut mungkin boleh digunakan untuk memperoleh kebahagiaan keluarga yang diingini:

Jalankan peranan sebagai ibu bapa.
  • Amalkan cara berkomunikasi yang baik (dengan pasangan, anak, ahli keluarga dan rakan). Pilih perkataan yang sesuai dan hormatilah orang lain.

    Jadilah pendengar yang baik. Belajarlah mendengar supaya orang lain boleh bercakap dan belajarlah bercakap supaya orang lain mahu mendengar.

  • Wujudkan suasana rumah tangga positif.

    Belajar mengendali sikap negatif ahli keluarga tanpa diri sendiri bersikap negatif. Pupuk hubungan sebaik mungkin sesama pasangan dan anak. Selesaikan sebarang salah faham dan konflik dengan segera.

  • Amalkan sikap terbuka, jangan lokek meluahkan kasih sayang.

    Katakan ‘sayang’ atau ‘saya ambil berat mengenai diri...’ kepada orang yang disayangi. Beri pelukan untuk menunjukkan kasih sayang kerana satu pelukan sehari akan menceriakan anda sepanjang hari.

    Berikan kad ucapan atau nota kepada ahli keluarga sekerap mungkin.

  • Kemahiran daya tindakan

    Setiap perkahwinan akan mengalami pelbagai peringkat dan bentuk permasalahan rumah tangga. Pasangan suami isteri yang lebih peka dan bersedia akan dapat menghadapi sebarang cabaran.

    Hasilnya, tekanan emosi akibat masalah rumah tangga akan dapat dikurangkan. Sebenarnya, mempelajari kemahiran daya tindak yang berkesan akan membantu menangani masalah rumah tangga dan mengelakkan keretakan rumah tangga.

  • Amalkan kemahiran daya tindak yang lain seperti berdoa, bertafakur, senaman pernafasan, teknik rehat, senaman fizikal atau bergurau senda untuk mengurangkan tekanan dalam keluarga.

  • Masalah keluarga

    Analisis masalah sama ada situasi itu boleh diubah atau sebaliknya. Jika situasi boleh diubah, kenal pasti masalah contohnya anak tidak lagi minat bersekolah. Antara cara mengatasi masalah termasuk berbincang dengan guru, anak, bertanyakan anak mengenai masalahnya atau dapatkan bantuan profesional.

  • Buat pilihan untuk bertindak

    Bagi situasi tidak boleh berubah misalnya kematian ahli keluarga, cuba ubah pengertian situasi berkenaan. Contohnya, anggap kematian sesuatu yang semula jadi atau Tuhan lebih menyayanginya.

    Ibu bapa yang mempunyai kesihatan mental yang baik dapat berkomunikasi dengan pasangan, anak, ahli keluarga, jiran dan masyarakat sekeliling dengan harmoni.

    Memupuk kasih sayang dalam keluarga penting bagi mencapai keharmonian perkahwinan dan hidup berkeluarga yang bahagia. Amalan ini mewujudkan suasana kekeluargaan yang menyokong ke arah kebaikan kesihatan mental seisi sekeluarga.

  • Kendali emosi anda

    Kongsi perasaan dengan orang yang boleh dipercayai. Tingkatkan kekuatan kerohanian contohnya dengan bersembahyang, bertafakur, amalan membaca kitab agama dan lakukan perkara bermanfaat.

    Amalkan bicara diri yang positif seperti ‘saya bagus’, ‘saya boleh’ dan ‘saya penyayang’. Elakkan bercakap atau bertindak dalam keadaan yang marah.
  •