Wednesday, September 10, 2008

Utusan Online

10 September 2008 / 10 Ramadan 1429
Kumpulan utusan Hubungi Kami Jom Iklan! Arkib Berita
FEMININ

Aksesori unik untuk yang berani mencuba


PUTERI AZREEN SHEENA HANIF


Dirinya sememangnya kreatif. Selain daripada mahir menjahit manik, wanita kecil molek ini juga boleh mereka aksesori hiasan wanita yang unik lagi daring.

Bermula sejak berumur enam tahun lagi, minat kepada hiasan ini telah boleh dilihat. Rantai pemberian emak saudara telah dibuka dan digunting semula bagi menghasilkan barang hiasan yang lain, mengikut kreativitinya sendiri. Inilah yang mendorongnya hingga sekarang dalam menghasilkan pelbagai aksesori wanita seperti rantai, gelang, anting-anting, cincin dan bag charms.

Menggunakan jenama Adeen sempena nama timangannya sejak kecil lagi, Puteri Azreen Sheena Hanif, 36, berjaya membawa perniagaan aksesori batu semula jadinya menjelajah bukan sahaja di Lembah Klang malah telah sampai ke Seattle, Amerika Syarikat, menerusi kawan yang tinggal di sana yang membantu memasarkan produknya.

Berasal dari Shah Alam dan pernah bekerja dalam bidang peruncitan pakaian keluaran syarikat Sepanyol, Putei Azreen memberitahu, beliau sememangnya meminati dunia fesyen dan kerana itulah juga rekaan aksesori menjadi hala tujunya dalam menceburi bidang perniagaan.

“Kebanyakan idea dalam mereka cipta aksesori batu semula jadi ini datang daripada pemerhatian melalui pertunjukan fesyen dan majalah.

“Sebagai contoh, apabila melihat pertunjukan fesyen, saya boleh menggambarkan aksesori bagaimana sesuai untuk sesuatu pakaian yang digayakan. Begitu juga untuk menyesuaikan dengan motif kontemporari supaya tidak mereka aksesori yang ketinggalan zaman.

“Bagi yang berbaju kurung dan bertudung, aksesori yang sesuai harus dibuat bagi memberi gaya kepada pemakainya.

“Selalunya aksesori seperti rantai panjang tetapi tidak terlalu ringkas dengan rekaan unik sesuai dengan golongan ini. Ini akan memberi imej elegan kepada pemakainya,’’ kata ibu kepada dua orang cahayamata, Puteri Mysarah Iskandar, 9, dan Sulyman Shah Iskandar, 4.

Dalam penciptaan aksesori, katanya, konsepnya ialah mengeluarkan satu rekaan sahaja iaitu produk eksklusif, tiada dua yang sama dengannya.

“Justeru itu, pelanggan tidak akan memperoleh aksesori yang sama di tempat lain. Inilah yang istimewa aksesori Adeen.

“Bahkan pemilihan batu juga unik, dalam satu produk aksesori, terdapat pelbagai jenis batu, saiz dan warna yang menjadikan aksesori itu nampak berlainan daripada yang ada dalam pasaran.

“Kebanyakan aksesori rekaan saya berimej daring. Justeru, ia sesuai untuk mereka yang berani mencuba sesuatu yang berlainan dan unik,’’ jelasnya.

Kebanyakan batu seperti turquoise, smoky quartz, topaz, chalcedony, cat’s eye, tiger’s eye menjadi kegemarannya dalam mereka cipta aksesori Adeen.

“Bagi peminat yang ingin mendapatkan aksesori ini bolehlah datang ke Bangsar Shopping Centre setiap Sabtu dan Ahad di hujung bulan; Crown Princess Hotel, sebulan sekali dan Great Eastern Mall, empat bulan sekali.

“Di tiga tempat inilah saya menjual produk Adeen menerusi gerai yang disewa mengikut waktu yang ditetapkan. Walaupun tidak mempunyai premis tetap, tetapi alhamdulilah menerusi jualan seperti ini, barangan juga laris dijual,’’ kata bekas graduan undang-undang dari Rima College ini.

Ditanya sama ada menyimpan impian untuk mempunyai premis, Adeen berkata, mungkin dalam masa tiga tahun lagi.

Sekarang, kediamannya di Seksyen 14, Petaling Jaya dijadikan premis tetapnya bagi menerima pelanggan dan membuat aksesorinya.

Beliau memberitahu, dalam bulan puasa ini, telah banyak tempahan diterima daripada pelanggan yang mahukan aksesori untuk dipakai pada Aidilfitri.

“Kebanyakan mereka mahukan dalam bentuk set yang senang disesuaikan dengan baju raya. Kata mereka, aksesori Adeen memang unik dan berlainan, sebab itulah mereka menempah kerana tidak mahu sama dengan orang lain,’’ ujarnya yang boleh menyiapkan dua set aksesori sehari.

Kata Adeen, dalam mereka sesuatu aksesori, paling cepat untuk menyiapnya ialah satu jam dan paling lama ialah tiga hari. Semuanya bergantung kepada motif dan rekaannya.

“Saya juga ada menawarkan kelas bagi sesiapa yang berminat untuk mereka cipta aksesori, boleh hubungi 012-2059509 dengan bayaran di bawah RM100 berserta peralatan dan batu hiasan,’’ katanya dengan penuh yakin bahawa perniagaan aksesori ini mempunyai masa depan yang cerah terutamanya dalam mendapatkan pendapatan tambahan.

No comments: