PEUGEOT, jenama kereta terkenal Perancis mungkin agak tenggelam di Malaysia sebelum ini terutamanya membabitkan segmen kereta kelas pertengahan. Ini kerana segmen itu, ketika ini banyak didominasi oleh pengeluar kereta dari Jepun.Namun kini, Peugeot seakan mendapat nafas baru di negara ini apabila mula menampilkan model-model terbaru mereka di pasaran tempatan bagi memenuhi selera serta cita rasa orang ramai masa kini.Model-model segar dan 'bertenaga' Peugeot kini, bukan sahaja menjadi idaman para peminat setianya malah, mulai mendapat tempat di kalangan orang ramai.
|
SUSUN atur papan pemuka pada model Peugeot 308 begitu menawan. |
Melalui penampilan model-model terbaru dengan gaya Eropah yang lebih inovatif, Peugeot pastinya akan berupaya memenuhi selera generasi masa kini yang mahukan kereta-kereta yang versatil untuk apa jua tujuan.
Antara model Peugeot yang popular termasuklah 308 yang mula diperkenalkan pada September 2007. Model yang terdiri daripada beberapa versi itu antaranya versi berprestasi tinggi iaitu Peugeot 308 THP 175 yang mampu memecut dari 0 hingga 100 kilometer sejam hanya dalam masa 8.3 saat.
Berbekalkan enjin berkuasa 1.6 liter turbo, ia mampu menghasilkan kuasa sehingga 175 kuasa kuda pada 6,000 rpm dengan tork 240 Nm pada 1,600 rpm.Menariknya, enjin kereta ini adalah sama dengan kereta Mini Cooper S yang dibangunkan secara bersama antara PSA Peugeot Citroen dan BMW.Dengan saiz kereta yang kompak, 308 THP 175 mudah untuk dipandu dan mampu memecut bagai 'lipas kudung' bukan sahaja di jalan lurus, malah di jalan berliku serta berbukit.Ia terbukti melalui sesi pandu uji di Sardinia, Itali baru-baru ini. Dilengkapi dengan sistem suspensi yang membolehkan kereta mengambil selekoh dengan stabil pada kelajuan tinggi, ia antara rahsia keistimewaan jentera ini.
|
PANEL kawalan tersusun rapi. |
Pastinya, 308 THP 175 tidak akan menghadapi banyak masalah untuk memotong. Dengan daya pecutannya yang tinggi. Bahkan, urusan memotong menjadi sesuatu yang menyeronokkan kerana ia boleh memecut dengan pantas walaupun pada keadaan kereta sudah perlahan lantaran terpaksa mengikut kereta di hadapan.
Malah, ketika sesi pandu uji kereta itu di bahagian utara Pulau Sardinia, Itali, kawalan dan pemanduan kereta itu amat lancar sehinggakan penulis tidak menyedari telah menempuh perjalanan sejauh 140 kilometer dari Olbia ke Poltu Quatu.
Selain memiliki enjin berkuasa, 308 THP 175 juga tampil dengan imej elegan yang lebih garang dengan gril bahagian depannya bagaikan mulut yang sedang ternganga.
Peugeot 308 THP 175 juga mempunyai reka bentuk yang lebih aerodinamik dengan gaya inovatif mengkagumkan bagi memastikan pemandunya berada di kelas tersendiri dengan kereta gaya Eropah.
Bahagian dalaman kereta ini dilengkapkan dengan kemasan tempat duduk sporty separuh kulit, alat navigasi satelit, sistem pengesan tekanan pada tayar selain dilengkapi lampu depan xenon.
|
RINGKAS, kemas dan mudah dilihat. |
Dari segi keselamatan pula, ia menyediakan tujuh beg udara dan sistem brek antikekunci (ABS).Paling menarik, walaupun kereta ini penuh bertenaga, namun kadar penggunaan minyaknya sangat menarik iaitu hanya memerlukan 7.6 liter minyak untuk perjalanan 100 kilometer.
Bagi mereka yang terdiri daripada keluarga besar pula, Peugeot menawarkan sebuah lagi model daripada keluarga 308 iaitu Peugeot 308 SW yang bersifat seperti sebuah station wagon. Namun secara fizikalnya ia lebih mirip kepada sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) tetapi dengan gaya yang lebih versatil.
Apa tidaknya, ia boleh memuatkan sehingga tujuh penumpang sama spereti sebuah MPV dan tidak seperti station wagon konvensional yang hanya mampu membawa lima penumpang kerana ia lebih tertumpu untuk membawa lebih muatan.Bagi model Pegeot 308 SW, ia didatangkan dalam dua versi iaitu yang dijana oleh enjin 1.6 liter petrol dan satu lagi oleh enjin diesel juga berkuasa 1.6 HDi liter. Semua enjin berkuasa diesel itu dilengkapkan dengan sistem penapis khusus (FAP) yang menepati piawaian pengeluaran asap Euro 4.
Model ini juga dilengkapi dengan pelbagai ciri mewah antaranya ialah bahagian bumbungnya yang menyediakan bumbung panorama kaca yang membolehkan ia dibuka dari bahagian depan hingga ke belakang. Keadaan itu membolehkan pemandu serta penumpang Peugeot 308SW menikmati panorama luar dengan mudah berbanding sunroof biasa yang lebih kecil di bahagian depan pemandu.Model itu juga turut dilengkapi dengan kemasan dalaman yang menarik bermula daripada susun atur panel meter sehinggalah ke tempat duduknya yang direka khusus untuk keselesaan. Paling penting 308SW menyediakan ruang dalaman yang cukup luas bukan sahaja untuk penumpang malah untuk mengisi barang.Menariknya, hampir semua tempat duduknya boleh diubah atau dilipat bagi membolehkan pelbagai muatan besar dimasukkan ke dalam kenderaan itu dengan mudah.Ciri-ciri asas yang tersedia pada semua model ini ialah stering berkuasa, beg udara untuk pemandu dan semua penumpangnya sama ada di depan dan di belakang, sistem anti brake spin (ABS) dengan EBFD dan EBA serta sistem kunci berpusat kawalan jauh.Pemanduan bagi kedua-dua model 308 SW ini memang menyeronokkan. Jika selama ini ramai yang beranggapan bahawa kereta berenjin diesel agak kurang dari segi kuasanya, namun tidak kepada Peugeot 308 SW HDi yang nyata mempunyai kuasa menakjubkan.Malah, kuasa pecutannya lebih baik berbanding model yang sama berenjin petrol. Ketika pemanduan, pemandu serta penumpang bagai langsung tidak menyedari bahawa kereta yang dipandu itu sebenarnya berkuasa diesel. Bagaimanapun ketika berhenti, trade mark enjin diesel pada kereta itu mungkin tidak dapat dielakkan melalui bunyi enjinnya.
Melalui pelbagai model terbaru yang kini mula memasuki pasaran negara, tidak hairanlah, kereta-kereta keluaran negara Perancis itu kini mula menarik perhatian ramai terutamanya kepada mereka yang meminati kenderaan Eropah serta mementingkan prestij.
Melalui syarikat francais Peugeot di Malaysia iaitu Nasim Sdn. Bhd., model-model kereta terbabit iaitu dari keluarga 308 dijangka akan dibawa masuk ke negara ini mulai Oktober ini.
Bagaimanapun menurut Pengarah Urusan Nasim, Samson A. George, setakat ini hanya model Peugeot 308 lima pintu hatchback yang akan dibawa masuk ke pasaran tempatan manakala bagi model-model lain seperti 308 THP 175 serta 308 SW akan bergantung kepada permintaan.