Friday, June 6, 2008

AL AMIN Kids ilham suci Anizah

DARI JURUTERA KE PEREKA FESYEN


Anizah Zainuddin di samping suami, Nasaruddin Abu Bakar di hadapan Butik AL AMIN Kids yang terletak di SACC Mall, Shah Alam, Selangor.

KEPAYAHAN mencari dan memperoleh pakaian Muslimah untuk keempat-empat anak perempuannya, menyebabkan jurutera elektrik di Jabatan Kerja Raya (JKR) mengambil keputusan melepaskan jawatan yang disandang selama tujuh tahun demi menghasilkan rekaan pakaiannya sendiri, sekali gus memberi pilihan dan kemudahan kepada kaum ibu sepertinya.

Pun begitu, keputusan tersebut bukan mudah bagi graduan Kejuruteraan Elektrik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Ir. Anizah Zainudin, 33 tahun, lebih-lebih lagi setelah memiliki pekerjaan selesa serta bergaji lumayan.Wartawan, ZUARIDA MOHYIN dan jurufoto, SHAIFUDIN MOHD. NOR menemubual ibu muda berasal dari Kuala Selangor ini berkongsi pengalaman beliau menubuhkan butik busana Muslim yang bercita rasa moden khas buat kanak-kanak dengan menggunakan jenama AL AMIN Kids di kedainya yang terletak di SACC Mall, Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

MEGA: Adakah anda pernah terfikir berkecimpung dalam dunia perniagaan sebelum ini dan apakah yang membuka jalan anda ke arah bergelar usahawan?

ANIZAH: Langsung tidak pernah. Ini kerana, semenjak zaman persekolahan lagi saya selalu diingatkan supaya belajar bersungguh-sungguh dan kemudian mencari kerja yang baik.Keinginan bergelar usahawan didorong oleh kesukaran mencari pakaian kanak-kanak yang menepati tuntutan syariat berpakaian Muslim, terutamanya menjelang hari raya.Ia secara tidak langsung, mencetuskan satu idea untuk membuka bisnes berkaitan, selain memberi kemudahan dan mendidik cara pemakaian kanak-kanak Muslim pada peringkat awal lagi. Malah apa yang saya lakukan ini adalah satu fardu kifayah.Semangat saya semakin berkobar-kobar apabila melihat pendapatan suami, Nasaruddin Abu Bakar, 34, hasil daripada mengusahakan bisnes pengendalian takaful mengalahkan kita yang makan gaji.

Dari situ saya dapat lihat kebenaran saranan Baginda Rasulullah SAW bahawa: Sembilan daripada 10 punca pendapatan adalah daripada sumber perniagaan. Apatah lagi, suami selalu memberi galakan dan sokongan terutamanya daripada segi pemasaran.Berdasarkan beberapa faktor di atas, mendorong saya untuk menubuhkan perniagaan pakaian AL AMIN Kids. Cetusan atau ilham penubuhannya datang pada Mei 2007 dan direalisasikan dua bulan kemudian.Alhamdulillah, kini AL AMIN Kids mempunyai pelbagai pilihan koleksi pakaian merangkumi pakaian untuk majlis hari lahir, perayaan, sukan, ibadah, kasual, santai dan majlis keraian serta aksesori daripada umur dua hingga 14 tahun terutamanya bagi kanak-kanak perempuan. Pun begitu, terdapat juga koleksi pakaian kanak-kanak lelaki tetapi tidaklah banyak sangat. Ini kerana pakaian kanak-kanak lelaki tidaklah menghadapi masalah berkaitan syariat berpakaian di dalam Islam.

Bagi mereka yang berminat dengan koleksi pakaian AL AMIN Kids tetapi tinggal di luar Shah Alam, ada tidak dibuka cawangan-cawangan lain bagi memberi kemudahan kepada pelanggan anda?

ANIZAH: Kami memang mengalu-alukan kunjungan pelanggan dan untuk memastikan koleksi AL AMIN Kids sampai kepada semua, kami mempunyai stokis dan pengedar. Bagi penduduk sekitar Lembah Klang, selain ke Shah Alam, mereka juga boleh berkunjung ke Giant Bandar Kinrara, Puchong atau ke Tesco Selayang.Kami juga mempunyai stokis negeri di Kemaman, Terengganu. Manakala beberapa pengedar di Kedah, Negeri Sembilan, Pahang, Johor, Kelantan, Perak dan Petaling Jaya.Saya juga menggalakkan mereka yang berminat untuk menjadi stokis atau pengedar agar menghubungi pejabat di talian 03-5519 9488 atau layari laman web www.Alaminkids.com. Dalam penghasilan pakaian-pakaian berjenama AL AMIN Kids, selain menitikberatkan faktor syariat, apa lagi aspek yang anda ambil kira?

ANIZAH: Berbalik kepada tujuan asal saya membuka perniagaan ini ialah kerana kesukaran untuk mendapatkan pakaian terutamanya buat anak-anak perempuan saya.

Kini, alhamdulillah usaha ini bukan sahaja memudahkan, saya tetapi sekurang-kurangnya telah memberi kemudahan kepada mereka yang lain serta mendidik generasi Muslim kita dalam aspek berpakaian menepati tuntutan syariat.Di samping itu, AL AMIN Kids turut memastikan setiap rekaan dan material yang dipilih akan memberi keselesaan kepada kanak-kanak. Penggunaan rona-rona warna yang lembut menjadi keutamaan saya.AL AMIN Kids juga menawarkan harga yang berpatutan selain menyediakan pelbagai keistimewaan dan promosi kepada setiap ahlinya. Ini bertepatan dengan konsep yang dibawa iaitu Selesa, Sesuai dan Mampu Milik (Cool, Proper and Affordable). Daripada jawatan yang disandang sebelum ini, tentunya anda menghadapi dilema untuk melepaskannya, apatah lagi diketahui bahawa dunia perniagaan berisiko tinggi. Oleh itu, apakah persediaan yang anda lakukan bagi menyakinkan diri mengharungi cabaran dalam dunia perniagaan?

ANIZAH: Saya akui seronok bekerja walaupun dengan pendapatan gaji bulanan. Ini terbukti apabila saya pernah menerima anugerah Pekerja Cemerlang 2005. Selain bertitik-tolak daripada kepayahan memperoleh pakaian bersesuaian untuk anak-anak, saya mula nampak masa depan luas sekiranya kita berniaga sendiri ialah daripada apa yang diusahakan suami.
Suami, Nasaruddin Abu Bakar, 34 tahun, bukan sahaja membuktikan bahawa perniagaan takaful yang diusahakan membawa pulangan yang lumayan, beliau turut berjaya melahirkan penggerak-penggerak ejen takaful yang berjaya.Malah sebelum terjun dalam dunia perniagaan, saya terlebih dahulu belajar membuat pasaran dengan menjual takaful. Alhamdulillah dalam tempoh beberapa bulan di bawah seliaan dan tunjuk ajar suami, saya lebih berkeyakinan dan selepas mendapat lampu hijau daripadanya, saya tidak menoleh ke belakang dan terus rebut peluang ini.

Yang pasti, suami selalu latih saya untuk berniaga dan motivasi itu datang daripadanya.
Alhamdulillah, sungguhpun belum sampai setahun usia AL AMIN Kids, sambutannya sudah nampak ketara di mana ruang permintaannya adalah tinggi.Memanglah ada yang beranggapan langkah yang diambil ini bukanlah satu langkah bijak, tetapi desakan hati yang mahu menyumbang sesuatu yang lebih bermakna, mengatasi segalanya.Tambahan pula, keyakinan itu semakin menjadi-jadi selepas sekembalinya saya dan suami dari Mekah kerana menunaikan haji.

Sebelum ini, saya terlintas membuka perniagaan aksesori kereta tetapi berkat doa di Tanah Suci, hati saya terdorong untuk membuat bisnes pakaian kanak-kanak.Pun begitu dengan bermodalkan RM80,000, tekad dibulatkan tetapi atas niat untuk membangunkan ummah dan bukan aspek material yang menjadi keutamaan semata-mata. Bersama suami kami bersama-sama menerajui syarikat Fokas Fikir Sdn. Bhd.

Apakah perancangan anda seterusnya?

ANIZAH: Mengakui bahawa anak-anak adalah amanah Allah. Lantaran itu, harapan kami semoga jenama AL AMIN Kids dapat memberi pelbagai pilihan fesyen kepada kanak-kanak Muslim dan mendapat sokongan daripada semua pihak.Ia bertepatan dengan pemilihan nama jenama AL AMIN Kids iaitu bersempena dengan gelaran Rasulullah SAW iaitu 'Al-Amin' yang bermaksud amanah.Insya-Allah, saya juga dalam perancangan untuk mempelbagaikan rekaan dengan berusaha mencari idea-idea baru dan segar. Di samping itu, saya juga merancang untuk menyediakan pakaian untuk remaja.Bagi saya kepuasan pelanggan adalah kepuasan saya juga.

Zabidi rampas gelaran pecut - Siti Fatima ungguli gelaran 100 meter wanita

Zabidi - Siti Fatima ungguli gelaran 100 meter SUKMA 2008


JUARA baru... Atlet Terengganu, Mohd. Zabidi Ghazali meraikan kejayaannya mengungguli larian 100 meter lelaki Sukma XII di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, semalam.

KUALA TERENGGANU – Atlet tuan rumah, Mohd. Zabidi Ghazali dan Siti Fatima Mohamad dari Johor merampas gelaran raja dan ratu pecut 100 meter akhir Sukan Malaysia XII, semalam.Mohd. Zabidi dan Siti Fatima yang merupakan atlet kebangsaan mencatat kepantasan 10.57s saat dan 11.82s.

Dalam pada itu, Terengganu mula menunjukkan taring apabila menduduki tempat teratas pungutan pingat emas dengan memintas Sarawak pada hari keenam temasya.Majoriti emas Terengganu disumbangkan oleh pasukan kanu yang beraksi di Taman Rekreasi Tasik Putri, Bukit Besi, Dungun selepas menyapu bersih enam emas.Malah, atlet lontar peluru tuan rumah, Adi Alifuddin Hussein juga berjaya memadamkan rekod lama kejohanan yang dilakukannya sendiri selepas berjaya melakukan lontaran sejauh 15.87 meter untuk menggondol emas.


pelari pecut Johor, Siti Fatimah Mohamad (kiri) mencecah garisan penamat untuk pingat emas 100 meter wanita di Kuala Terengganu, semalam.


Sementara itu, kepantasan larian 11.82s Siti Fatima, semalam memadam rekod kejohanan milik sendiri yang dicatatnya dalam saringan separuh akhir, kelmarin.Pingat perak pula dimenangi pelari Pulau Pinang, Nor Jannah Jamaluddin manakala gangsa, Siti Nurhayati Zulkifli dari Wialayah Persekutuan.Mohd. Zabidi pula mencatat masa terbaik peribadi untuk memenangi emas dengan menewaskan juara bertahan, Mohd. Latif Nyat (10.64s) dari Johor, manakala Daniel Azwan Amar dari Perlis ketiga (10.82s).

Sementara itu, atlet Selangor, Lee Hup Wei memadamkan rekod 14 tahun lompat tinggi kejohanan dengan melakukan lompatan 2.20m, mengatasi catatan yang di buat Loh Kum Zee 2.15m di Sukma 1994 Perak.Acara renang sekali lagi menyaksikan Foo Jian Beng memecahkan rekod kebangsaan melalui kategori 50 meter renang gaya bebas dengan catatan 23.45 saat, memadam rekod lama kejohanan milik Allan Ong pada Kejohanan Terbuka Kuala Lumpur.Ini merupakan kali kedua Jian Beng memadamkan rekod kebangsaan milik Allan selepas berjaya kali pertama melalui 100m gaya bebas.Secara keseluruhan, tuan rumah masih selesa di tangga teratas ekoran acara renang dan wushu yang didominasi peserta Sarawak sudah berakhir.Apa pun, hari ini tumpuan pasti terarah ke acara olahraga di mana kategori 400m lari berpagar lelaki dan wanita, 1,500m lelaki dan wanita, 4X100m lelaki dan wanita akan diadakan dan kemungkinan lebih banyak rekod yang bakal dipecahkan.

Usahawan SDSI Perlu Fahami Gelagat Pasaran

EKSPO SDSI TERENGGANU 2008 - DARI DAERAH KE GLOBAL

Klik Untuk Besarkan Gambar
Dato' Mohamed bersama Dato' Mohd Hashim melihat kehalusan songket buatan Terengganu ketika melawat gerai Exspo SDSI. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Usahawan di negeri ini disarankan agar sentiasa memahami gelagat pasaran dan pembeli bagi memastikan produk yang diusahakan mendapat tempat dalam pasaran dan hasilnya tidak sia-sia. “Perniagaan bukan suatu yang statik tetapi ianya suatu proses perubahan yang pragmatik,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi Negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera di majlis Perasmian Ekspo Satu Daerah Satu Industri (SDSI) di Pusat Dagangan Terengganu (TTC), Kuala Terengganu, petang kelmarin (22 April). Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, YB Dr A Rahman Mokhtar; Timbalan Ketua Setiausaha, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Dato’ Mohd Hashim Abdullah dan Pengurus Besar Yayasan Pembangunan Usahawan, Haji Mustafa Khalid. Seramai 83 usahawan SDSI melibatkan 94 booth jualan menyertai ekspo kali ini, sekaligus memberi peluang usahawan SDSI terlibat lebih berdaya saing untuk memasarkan produk masing-masing. Katanya, Ekspo SDSI merupakan platfrom terbaik bagi memperkenalkan produk dari setiap daerah yang dibangunkan dan seterusnya memberi laluan kepada usahawan ini memasarkan hasil keluaran mereka kepada bilangan pelanggan yang ramai. “Kerajaan akan berusaha membangunkan negeri ini sebagai satu destinasi perniagaan yang menarik dan produk-produk SDSI akan diberi nilai tambah dan daya kualiti bagi menempah nama sebagai produk global,” katanya. Sementara itu, Setiu menampilkan kelainan dengan mengenengahkan urutan tradisional dan mandian wap herba melalui Pusat Rawatan Alternatif (PRA) yang beroperasi di Kampung Nyatoh, Setiu. Encik Ali Salleh,63, adalah antara 21 tukang urut (12 lelaki dan sembilan wanita) yang bertugas sepenuh masa di PRA dan semua petugas mengikuti beberapa siri kursus berkaitan sebelum diterima bekerja. Katanya, peluang menyertai Ekspo SDSI ternyata memberi ruang lebih luas kepada orang ramai mendapatkan khidmat urut dari PRA dan dalam tempoh dua bulan beroperasi PRA telah dikunjungi lebih 400 pelangan. Puan Ruzilah Abu Bakar, 50, dari Kampung Rhu Muda, Marang juga turut melahirkan harapan untuk mendapat peluang lebih luas bagi memasarkan produknya iaitu batik dan barangan hasil laut seperti keropok, ikan bilis, ikan kering dan sebagainya yang selama ini hanya dibeli oleh penduduk tempatan. “Hasrat meluaskan perniagaan sudah lama dipendamkan, namun sehingga ini masih tercari-cari peluang, moga dengan penyertaan di Ekspo SDSI hari ini, masa depan perniagaan saya lebih baik selepas ini,”katanya. Unit Komunikasi Negeri

Klik Untuk Besarkan Gambar
Majlis Perasmian Ekspo Satu Daerah Satu Industri di Pusat Dagangan Terengganu disempurnakan oleh Dato' Mohamed Awang Tera.
Klik Untuk Besarkan Gambar
Encik Ali Salleh dan Puan Ruzilah Abu Bakar.

Lahirnya seorang lagi jaguhan Malaysia di SUKMA Terengganu

Mohd Zabidi Raja Pecut Sukma XII Terengganu

Klik Untuk Besarkan Gambar
Pelari Terengganu, Mohd Zabidi mengangkat tangan selepas berjaya memecut emas dalam acara 100m lelaki. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Oleh : Zulkipli Putra. Atlet tuan rumah, Mohd Zabidi Ghazali, 18,dari Terengganu dinobatkan sebagai Raja Pecut Sukan Malaysia (SUKMA) ke-XII 2008 selepas memenangi pingat emas acara 100m lelaki yang diadakan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kompleks Sukan Negeri Gong Badak, malam tadi. (5 Jun). Mohd Zabidi mencatat masa 10.57s menewaskan juara bertahan, Mohd Latif Nyat dari Johor yang mencatat masa 10.64s untuk pingat perak. Manakala pingat gangsa dimenangi Daniel Azwan Amar Nand dari Perlis dengan catatan masa 10.82s. Ketika ditemui, Mohd Zabidi agak terkilan kerana tidak berjaya menyamai rekod kejohanan iaitu 10.33s yang masih dipegang Watson Nyambek sejak 12 tahun lalu. “Ini pingat emas untuk Terengganu. Saya rasa bangga kerana berjaya membuat kejutan kali ini walaupun agak jauh masa catatan rekod kejohanan. Apa yang penting, saya perlu berlatih lebih gigih lagi untuk terus mencapai kejayaan,” katanya ringkas. Sementara itu, Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said yakin Terengganu bakal menjadi kuasa baru dalam temasya sukan dwi tahunan itu pada masa akan datang berdasarkan pencapaian membanggakan atlet Terengganu dalam Sukma XII 2008. Katanya, semangat juang ditunjukkan atlet Terengganu pada Sukma kali ini, meletakkan kontinjen Terengganu dalam kelompok teratas pungutan pingat, malah berjaya mengatasi Selangor yang merupakan juara keseluruhan pada beberapa temasya itu sebelum ini. "Terengganu semakin hampir untuk mencapai sasaran 35 pingat emas. Pencapaian kali ini jauh lebih baik daripada pungutan pingat pada Sukma lepas di Alor Setar apabila kita meraih 15 pingat emas,” katanya. Unit Komunikasi Negeri.

Klik Untuk Besarkan Gambar
Detik gembira buat Mohd Zabidi selepas dinobatkan sebagai Raja Pecut Sukma XII 2008 dengan catatan masa 10.57s.