Oleh: ROSLI MANAH
"Saya sudah habis edah," kata penyanyi Noraniza Idris apabila ditanya bilakah tarikh tepat dia bercerai dengan suami kedua yang masih mahu disembunyikan identitinya.
Tapi penyanyi yang digelar Ratu Pop Etnik itu enggan memberitahu tarikh tepat bilakah dia bercerai. Noraniza mengakui susah untuk dia berbicara banyak kerana status suaminya yang sudah mempunyai isteri semasa mengahwininya.
"Kalau saya cakap tarikh saya bercerai... nanti kamu bilang berapa hari saya berkahwin," jelasnya tenang dengan reaksi membayangkan tempoh perkahwinannya tidak panjang. Malah Noraniza juga menganggap dia masih belum mengenali sepenuhnya bekas suaminya itu.
Noraniza, 40, mengakui mengalami saat sukar semasa berkahwin, apatah lagi melakukan sesuatu yang bertentangan dengan prinsipnya. Dia sebenarnya tidak boleh menerima situasi berkongsi kasih, tapi pilih berkahwin yang membuatkan dia berada dalam situasi itu.
"Saya memang selalu pegang prinsip tidak mahu berkongsi kasih. Saya selalu cakap itu, tapi saya melakukannya juga... saya anggap ini satu dugaan Allah untuk saya. Tapi sekarang saya tenang dan boleh menerimanya dengan pasrah.
"Saya akui selepas bercerai kali kedua saya mahu menyembunyikan... saya terfikir apa pandangan orang apabila saya bercerai lagi. Orang akan mudah membuat anggapan salahnya datang dari kita, sebab itulah saya mahu berdiam diri dan menyimpan beban itu. Saya fikir dengan memendamnya saya boleh lari dari masalah.
"Sebenarnya sebaik sahaja saya memberitahu (kepada media) pasal perceraian kedua ini, saya terus rasa tenang dan masalah yang saya selalu fikirkan terus hilang. Itulah hikmah yang saya dapat apabila saya sedia memberitahu kebenaran," kata Noraniza.
Kesakitan yang dilalui kini tidak sekuat pengalaman semasa bercerai kali pertama dengan Fareez. Dia rasa suasana lain apabila tiba-tiba bersendirian. Kini kerja seninya banyak dan dia boleh memberi sepenuh tumpuan kepada pekerjaan. Apatah lagi ada projek mega menunggunya selepas ini.
Anak jadi penasihat
Noraniza mengakui anak sulungnya Mohammad Aliff Haiqal Mohammad Fauzi, 20, menjadi penasihat apabila dia berdepan dengan masalah. Aliff yang meminta dia memberitahu kedudukan sebenarnya demi kebaikan. Ternyata kadang-kadang nasihat anak remaja juga berguna untuk ibu bapa.
"Aliff meminta saya memberitahu perkara sebenar. Itulah saya yang sudah berusia 40 tahun ini kadang-kadang tak boleh berfikir perkara ringkas apabila berdepan dengan masalah," kata Noraniza.
Aliff pula redha dan sentiasa menyokong apa sahaja yang dilakukan oleh ibunya. Malah Aliff juga salah seorang Ahli Lembaga Pengarah syarikat Noraniza Idris Production Sdn. Bhd. (NIP) yang ditubuhkan pada 18 Januari 2008.
"Saya mahu mama berterus terang pasal statusnya... manalah tahu kalau ada seseorang yang benar-benar menyukainya selepas ini. Saya terima kalau mama ada jodoh lagi selepas ini dengan lelaki yang benar-benar menyintainya," kata Aliff.
Terus perjuang irama etnik
Noraniza ada cerita baru pasal dunia seninya. NIP menandatangani memorandom persefahaman (MoU) dengan Pro Sinar Event Management Sdn. Bhd. untuk menggerakkan pelbagai aktiviti yang menjurus kepada mengangkat irama etnik negara ini. Mereka menamakannya Serentak Seirama Ke Arah Kecemerlangan. Majlisnya diadakan di Hotel De Palma, Ampang, Selangor pada 9 September 2008 lalu.
Projek pertama gabungan tersebut ialah Jelajah Etnik... Noraniza Idris. Sebuah album istimewa yang bakal mengangkat kembali irama pop etnik akan diterbitkan. Selepas itu bakal diadakan penjelajahan mengetengahkan irama etnik ke peringkat yang lebih tinggi termasuk mempromosikan kepada pelancong luar negara. Malah Noraniza mengidamkan penjelajahan yang dijadualkan bermula tahun depan itu bakal dimuatkan dalam kalendar Kementerian Pelancongan Malaysia 2009.
"Album ini akan memuatkan sebuah lagu dalam dua versi iaitu etnik sepenuhnya dan fusion hasil gabungan dengan irama pop, rock, hip hop, world music dan sebagainya. Amy Search, Cat Farish, Yasin antara artis yang disenaraikan. Album ini akan diterbitkan hujung tahun ini.
"Apabila album diterbitkan barulah bermula jelajah etnik. Kami rancang mengadakan di enam negeri iaitu di Utara tanah air, Selatan tanah air, pantai Timur, kawasan tengah serta Sabah dan Sarawak. Ia bukan berbentuk konsert semata-mata sebaliknya bakal diisi dengan aktiviti pembelajaran yang mengetengahkan irama etnik," jelas Noraniza.
Noraniza juga bekerjasama dengan kumpulan Akasia merakam lagu raya terbaru berjudul Cinta Lebaran.
Wednesday, September 10, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment