Wednesday, September 10, 2008

Aida popular dengan kubah sajian


JIKA pada mulanya dianggap ‘hijau’ tetapi Aida Melisa kini berjaya meletakkan diri antara individu penting di syarikat.


BELIAU baru sahaja menamatkan pengajian dalam bidang pengurusan hartanah di salah sebuah universiti di selatan tanah air ketika mula-mula dipelawa menyertai Madetill Industries (M) Sdn. Bhd. (MIMSB) pada tahun 2004.Ketika itu dalam fikiran Aida Melisa M. Hanapiah, 27, sekadar untuk bekerja secara sambilan dan memenuhi jawatan sebagai pegawai pemasaran membantu bapa saudaranya, Harun Abdul Hassan, pemilik syarikat tempatan tunggal yang memasar dan membuat kubah sajian sejak lebih sedekad lalu.

Kini setelah empat tahun berada di syarikat tersebut, seluruh jiwanya bagai bersatu dengan pekerjaan yang dilakukan.

Berbanding awal penyertaan, beliau masih dianggap hijau dan kurang berpengalaman, kini berjaya meletakkan diri antara individu penting di syarikat yang telah membuka cabang perniagaan lain iaitu Madetill Event Management Sdn. Bhd. (MEMSB).

Penubuhan MEMSB bukan sahaja menyediakan khidmat jualan kubah sajian sebaliknya turut menyediakan khidmat sewa kubah sajian dan kerjasama dengan perkhidmatan katering.

Kini MEMSB semakin berkembang maju dan dikenali ramai sebagai satu-satunya syarikat bumiputera yang menawarkan perkhidmatan seumpamanya dari A hingga Z.Selain di Kuala Lumpur, MEMSB turut membuka cawangan di Kuantan, Pahang dan Sungai Petani, Kedah bagi memenuhi permintaan pelanggan di sana.“Adanya saya di sini kerana sokongan dan dorongan bapa saudara dan ibu saya sendiri, Rukiah Abdul Hassan yang bertindak sebagai Pengarah Urusan MEMSB,’’ ujarnya memulakan perbualan ketika ditemui baru-baru ini di ibu pejabat dan kilang MEMSB di Balakong, Selangor.

Menurut anak keempat daripada tujuh orang adik-beradik ini, setelah berada beberapa tahun di sana, hatinya semakin terbuka untuk terus sama-sama memaju dan mengembangkan perniagaan milik keluarganya itu.Tanpa ada prejudis, sebaliknya melihat kepada kesungguhan dan kerja keras, beliau telah dilantik sebagai Pengarah Bersama di MEMSB sejak dua tahun lalu.

Sambil mengakui penubuhan MEMSB adalah satu lagi petanda kepada cabaran besar yang perlu dihadapi demi memastikan syarikat tersebut terus dikenali ramai.

Sukar menyakinkan pelanggan
Ditanya tentang cabaran, kata anak kelahiran Kepong, Selangor ini.“Agak sukar menyakinkan pelanggan ketika itu. Ada yang kata sejauh manakah pengalaman dan pengetahuan saya berbanding mereka yang lebih berpengalaman untuk bercerita tentang sesuatu produk itu.’’Namun, berkat sokongan serta tunjuk ajar seorang lagi bapa saudaranya, Roslan Rahilah, yang ketika itu juga bertindak sebagai pegawai pemasaran beliau memberanikan diri untuk terus menemui pelanggan pada masa sama cuba belajar mengenali produk dan pembuatan.

Kata Aida Melisa, setelah benar-benar mengenali produk, ia bagaikan membangkitkan semangatnya untuk terus menyakinkan pelanggan bahawa produk keluaran tempatan juga setanding produk luar negara dari segi mutu dan rekaan.“Maklum balas daripada pengguna banyak membantu kami untuk sentiasa cuba meningkatkan keupayaan produk daripada semasa ke semasa sama ada daripada segi pembuatan dan reka bentuk agar apa yang dihasilkan benar-benar bermutu dan terjamin,’’ ujarnya lagi.

Akui Aida Melisa lagi, apa yang lebih membanggakan sehingga ke hari ini pelanggan mereka bukan sahaja terdiri daripada hotel-hotel, tetapi juga individu yang terlibat dalam industri katering dan individu.Bercerita mengenai perkhidmatan yang ditawarkan MEMSB, katanya, perkhidmatan sewaan kubah tersebut bermula apabila ada permintaan daripada pihak katerer untuk menyediakan 100 kubah bagi satu majlis perkahwinan tidak lama dulu.Memandangkan ia melibatkan kos yang tinggi, Madetill kemudiannya menyewakan sahaja kubah-kubah tersebut.

Lebih agresif
Dari situlah bermula perkhidmatan sewaan kubah secara lebih agresif antaranya peralatan majlis-majlis yang diperlukan seperti set pinggan mangkuk, kerusi, sarung kerusi, meja jamuan, alas meja, reben-reben yang diperlukan serta kanopi.Ditanya sejauh mana baik buruknya bekerja dalam sebuah keluarga, kata Aida Melisa meletakkan diri dan cuba memahami tanggungjawab masing-masing membolehkan beliau terus selesa bekerja bersama.

Sebagai individu yang terdidik dengan nilai-nilai kasih sayang dan saling menghormati, beliau percaya kepada ikatan keluarga yang memberi banyak kelebihan kepada syarikat ini untuk terus berkembang maju.‘‘Di pejabat saya menghormati mereka sebagai ketua, apabila di luar mereka tetap bapa saudara dan ibu,’’ ujarnya sambil tersenyum.Walaupun sudah bergelar isteri dan ibu, komitmen beliau terhadap tugas tidak pernah berubah, sebaliknya sentiasa cuba melakukan yang terbaik demi kemajuan syarikat.Apa yang penting kata wanita yang memegang prinsip melakukan kerja dengan penuh kesungguhan dan sentiasa berdoa ini mengakui pembahagian masa amat penting demi memastikan keseimbangan antara tugas dan rumah tangga.

No comments: