Sunday, August 31, 2008

Mata aset paling berharga

Setelah dilantik sebagai duta jam tangan Roscani, bagaimana rutin Farah Asyikin?





Apabila lagu-lagu seperti 1,000 Penipuan, Fantasi, Cinta, Get Happy dan Dari Sini Ke Bintang-Bintang berkumandang di radio, wajah penyanyi genit Farah Asyikin pasti terlintas di fikiran.

Kelunakan suara dan energi persembahannya tidak boleh disanggah lagi apabila gelaran Artis Wanita Terbaik di Anugerah Planet Muzik 2008 berjaya menjadi miliknya.

Pada awal pembabitan Farah dalam bidang seni, wanita 29 tahun itu muncul dengan lagu Kembali Lagi Di Sisimu dalam projek album Bebas terbitan Salem Cool Planet. Bagaimanapun, Farah terus menyepikan diri selepas itu.

Tidak lama kemudian, nama Farah Asyikin melonjak semula dengan kemunculannya dalam program realiti Malaysian Idol 2 (MI2) dan One In A Million (OIAM) sekali gus memberikan kekuatan pada dirinya untuk terus meraih kedudukan dalam industri seni tanah air.

Dihambat dengan beberapa kontroversi terutamanya mengenai kegagalan rumah tangganya, Farah cekal meneruskan kariernya.

Farah berkongsi serba sedikit pengalaman hidup dan penjagaan kecantikan bersama Stailo! baru-baru ini.

Stailo!: Bagaimana definisi cantik seorang wanita?

Farah: Kecantikan adalah sesuatu yang subjektif. Ia dinilai dari segi dalaman dan luaran. Bagi saya, keyakinan diri yang optimum dan hati adalah kecantikan mutlak seorang wanita.

Kita perlu yakin terhadap kehebatan diri sendiri. Usah membandingkan diri sendiri dengan orang lain. Selain kecantikan fizikal, hati yang tulus ikhlas dan pemikiran bernas penting.

Selain menyanyi, apakah aset paling berharga Farah?

Hmmm...tentunya mata. Mata umpama aset berharga dalam hidup saya.

Perhubungan mata penting sekali supaya lagu yang disampaikan indah didengari. Ia juga memaparkan kejujuran saya terhadap audiens.

Selain itu, keluarga juga aset saya. Tanpa sokongan kedua-dua ibu bapa dan adik-beradik maka mustahil bagi saya untuk sampai ke tahap ini.




Bagaimanakah Farah berhadapan dengan kontroversi peribadi dan kerjaya?

Bagi menghadapi tekanan, biasanya saya akan meluangkan masa melakukan meditasi. Meditasi dapat menenangkan jiwa.

Seutas tasbih istimewa turut disimpan walau di mana jua berada untuk melakukan meditasi apabila menghadapi tekanan. Saya juga akan meluangkan masa bersama ahli keluarga dengan meluahkan perasaan atau masalah yang dihadapi supaya beban yang dipikul akan ringan.

Koleksi aksesori kegemaran Farah?

Saya gemar mengumpul gelang tangan. Setiap kali membeli-belah pasti akan membeli pelbagai jenis gelang tangan yang sepadan dengan baju-baju yang dibeli.

Biasanya, saya suka gelang yang bersaiz besar jenama British India dan Cat Wiskers.

Kebanyakan koleksi baju pula terdiri daripada warna hitam, maka saya lebih banyak membeli gelang tangan berwarna terang.

Sehingga kini, kira-kira 30 jenis gelang tangan telah memenuhi almari saya. Bedak kompak dan pengilat bibir merupakan teman setia saya. Kedua-dua produk ini sentiasa berada dalam beg tangan.

Apakah pengalaman yang dikutip sebagai duta jam tangan Ruscani?

Rutin harian Farah berubah sama sekali. Saya terima tawaran ini kerana Roscani merupakan jenama yang sudah ada nama dan bertahan lama di pasaran antarabangsa.

Selepas ini saya akan sibuk dengan sesi jelajah ke seluruh negara yang dirancang oleh pihak Roscani. Saya juga akan mengadakan promosi di beberapa negara Asia lain. Saya akan memikul tugas sebagai duta Roscani ini selama setahun.

Portal mengasuh anak

Laman sesawang istimewa ini menjadi wadah perkongsian maklumat para ibu dengan pakar-pakar perubatan dan wanita lain.




SUHU badan yang agak panas, dengan tangisan tanpa henti seorang bayi boleh membuatkan mana-mana ibu gusar melihat anaknya yang tidak berdaya menyuarakan kesihatan yang dialami.

"Pada mulanya saya menyangka ia mungkin kerana anak saya sedang tumbuh gigi ataupun perutnya berangin.

"Kegusaran saya bertambah dan terlintas di hati persoalan mungkinkah ia sesuatu yang lebih serius?" kata Ritzzamoni Rosli, 30, mengimbau semula peristiwa yang berlaku pada anaknya Ros Aqidah Rosaimi yang kini berusia setahun.

Mengakui tidak mengetahui sebarang maklumat mengenai penyakit pneumonia, Ritzzamoni dan suaminya, Rosaimi Yusoff, 34, tidak menyangka jangkitan paru-paru itu akan berlaku pada anak mereka yang pada ketika itu berusia tiga bulan.

Selepas tiga hari, bayi tersebut tidur selama empat jam tanpa sedar dan akan menangis kuat apabila disusukan.

"Pada ketika itu, saya sedar yang dia mempunyai kesukaran bernafas dan terus membawanya ke klinik untuk diperiksa. Di sana, doktor menyarankan agar saya membawa Ros Aqidah ke hospital untuk pemeriksaan lanjut," kata Ritzzamoni yang memaklumkan anaknya kemudian dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi.

"Waktu Ros Aqidah berada di hospital merupakan saat yang sukar untuk kami, terutama apabila melihat anak kita sakit dan kita sebagai ibu tidak terdaya membantunya.


IBU BAPA boleh bertanya soalan kepada pakar perubatan atau berkongsi pengalaman dengan ibu bapa lain menerusi laman web ini.


Tidak mahu hanya melihat, ibu ini kemudian mengambil langkah proaktif dengan membuat kajian sendiri mengenai penyakit pneumonia.

"Melalui bacaan yang dibuat, saya mendapati terdapat vaksin yang direka khas untuk memberikan perlindungan kepada bayi dan kanak-kanak terhadap penyakit itu.

"Setelah Ros Aqidah sembuh, saya dan suami mengambil langkah agar anak-anak kami tidak mengalami nasib yang serupa dengan mendapatkan imunisasi yang diperlukan," kata beliau yang mengakui sungguhpun ia agak mahal, tetapi ia adalah suatu perkara berbaloi berbanding melihat anak yang terlantar sakit.

Semenjak peristiwa itu, Ritzzamoni, memegang hasrat untuk berkongsi pengalaman dan ilmu yang dimiliki kepada ibu bapa lain.

"Saya mengesyorkan agar orang ramai mendapat seberapa banyak maklumat yang boleh, bukan sahaja melalui perbicaraan dengan pakar-pakar perubatan, tetapi juga pengalaman ibu bapa lain dan bahan-bahan bacaan yang ada.

"Pengalaman yang ditimba harus dikongsi agar kesedihan dan kegusaran yang sama tidak berlaku pada keluarga lain, serta mereka mendapat sokongan yang diperlukan," kata Ritzzamoni semasa pelancaran ProActive Parent Group (PAG), sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO) yang membolehkan ibu bapa di negara ini berkongsi pelbagai topik seperti kesihatan, pendidikan, pemakanan dan isu keselamatan demi kesejahteraan anak-anak mereka yang diadakan di Petaling Jaya, baru-baru ini.


VIMALA SIVA


PAG juga merupakan sebuah NGO yang berusaha secara kolektif untuk memperjuangkan isu kanak-kanak di Malaysia.

Organisasi itu berteras pada empat rukun 'P' dalam bahasa Inggeris. Prinsip tersebut merupakan prinsip asas PAG dalam membentuk asas keluarga bahagia, dengan setiap rukun menggalakkan asuhan positif dan pendidikan anak-anak.

*Protect my body atau lindungi badan saya - Menyentuh mengenai pemakanan kanak-kanak

*Protect my mind atau lindungi minda saya - Berkenaan pendidikan dan pengkayaan mental kanak-kanak.

*Protect my family atau lindungi keluarga saya - Membincangkan isu keselamatan kanak-kanak

*Protect my life atau lindungi hidup saya - Memberi pendedahan mengenai kesihatan kanak-kanak.

Maklumat dan sumber kolektif ini akan disebarkan melalui portal www.PAGonline. org untuk dikongsi dan kegunaan orang ramai dan ahli-ahli PAG.

"Kewujudan portal seumpama ini adalah amat berguna kepada sesiapa sahaja kerana jika tidak sekarang, suatu hari kelak kita semua akan menjadi ibu bapa ataupun penjaga.

"Berkongsi ilmu dan pengalaman memberikan pendedahan yang amat berguna kepada mereka yang lain kerana ada kalanya kita tidak dapat bertanya pakar-pakar perubatan mengenai masalah yang dihadapi," kata Ritzzamoni.

Sentimen yang sama turut diperkatakan oleh Vimala Siva Wilkinson, ibu kepada dua orang cahaya mata dan juga jurucakap tetamu PAG.

"PAG menjadi wadah saluran untuk ibu bapa belajar dan berkongsi pengetahuan, membantu ibu bapa lain dan diri mereka sendiri agar lebih prihatin dan bertanggungjawab.

"Organisasi ini meluaskan wawasan kami dengan menyediakan saluran untuk ibu bapa berkongsi petua dan nasihat berkaitan asuhan anak-anak dalam persekitaran semasa, sambil membaca kandungan interaktif percuma di laman web," kata Vimala.

Tambah beliau, "PAG percaya bahawa adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa, pembekal perkhidmatan kesihatan, NGO, pembuat dasar dan media untuk mempengaruhi pendedahan kanak-kanak kepada 4P.

"Sumber yang ditawarkan memberi keupayaan kepada semua untuk dikongsi bersama keluarga dan anak-anak."

Selain kandungan rencana yang disiarkan dari semasa ke semasa, ahli-ahli PAG juga boleh memuat turun bahan pembelajaran untuk anak-anak dan berinteraksi dengan ibu bapa lain menerusi forum dalam talian.

"PAG adalah panggilan untuk bertindak kepada semua - untuk membantu menangkis tanggapan karut tentang kanak-kanak dan menyediakan alat campur tangan awal yang berharga kepada ibu bapa dan penjaga," kata Bruce Langoulant, Pengerusi The Meningitis Centre Australia dalam satu kenyataan.

Beliau menambah, "Jika PAG dapat mempengaruhi sekurang-kurangnya seorang ibu bapa atau penjaga supaya mengambil tindakan untuk melindungi keluarga mereka, bermakna kita sudah berjaya."


PERTEMUAN ahli-ahli PAG dalam satu majlis pelancaran laman web khas untuk ibu bapa tentang teknik asuhan dan menjaga anak dengan baik.


Sementara itu, Azrina Zizal, ahli panel pengasas PAG menambah: "PAG menyediakan alat yang berguna untuk ibu bapa di Malaysia, terutama ibu bapa muda, yang sentiasa dicabar dalam mengasuh anak-anak mereka pada zaman ini.

"Saya berharap ibu bapa seronok menyertai PAG kerana laman web ini adalah untuk mereka."

Mencari damai melalui taubat





BERTAUBAT daripada dosa dan kesalahan merupakan kaedah terbaik untuk mengembalikan ketenteraman jiwa.

Dorongan dan anjuran untuk bertaubat dalam al-Quran sangat jelas. Firman Allah: 'Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang taubat dan menyukai orang-orang yang menyucikan diri' - Surah al-Baqarah: 222.

Nabi Adam pernah melanggar perintah Allah dan melakukan taubat. Firman Allah: 'Wahai Adam! Tinggallah engkau dan isterimu dalam syurga, dan makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai, dan janganlah kamu hampiri pokok ini; (jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu dari golongan orang-orang yang zalim.'

'Setelah itu maka syaitan menggelincirkan mereka berdua dari syurga itu dan menyebabkan mereka dikeluarkan dari nikmat yang mereka telah berada di dalamnya dan Kami berfirman: 'Turunlah kamu! Sebahagian dari kamu menjadi musuh kepada sebahagian yang lain dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di Bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati). Kemudian Adam menerima dari Tuhannya beberapa kalimah (kata-kata pengakuan taubat yang diamalkannya), lalu Allah menerima taubatnya; sesungguhnya Allah, Dialah yang Maha Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha Mengasihani.




'Kami berfirman lagi: 'Turunlah kamu semuanya dari syurga itu! Kemudian jika datang kepada kamu petunjuk dariKu (melalui rasul-rasul dan kitab-kitab yang diturunkan kepada mereka), maka sesiapa yang mengikuti petunjukKu itu nescaya tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita' - Surah al-Baqarah: 35- 38).

Nabi Musa juga pernah bertaubat daripada kesalahannya kepada Allah. Ketika Allah berbicara kepada Nabi Musa dan membuatnya boleh mendengar kata-kata-Nya, Nabi Musa meminta agar dia boleh melihat Allah, sesuatu yang tidak mungkin dapat dilakukan oleh sesiapa. Dia berkata, 'Tuhanku, perlihatkanlah kepadaku agar aku dapat melihat Engkau' - Surah al-'Araf: 143.

Lalu Allah menegur permintaannya dengan firman; 'Wahai Musa! Sesungguhnya Aku memilihmu melebihi umat manusia (yang ada pada zamanmu), dengan membawa perutusan-Ku (Kitab Taurat) dan dengan KalamKu; oleh itu, terimalah apa yang Aku kurniakan kepadamu, dan jadikanlah dirimu dari orang-orang yang bersyukur' - Surah al-'Araf: 144.

Selain Nabi Adam dan Nabi Musa, nabi-nabi yang lain turut pernah memohon keampunan Allah kerana ujian yang dilalui.

Taubat memberi kesan psikologi yang sangat bermakna kepada individu. Seluruh kehidupannya berubah biar pun sebelumnya dia merupakan seorang yang lalai.

Kisah Dinar Al-Ayyar yang derhaka kepada ibunya dapat dijadikan contoh. Dinar Al-Ayyar, sebenarnya dia seorang lelaki sangat tidak mengendahkan nasihat daripada ibunya.

Jarang sekali kata-kata nasihat, teguran kasih-sayang dan suruhan yang baik diikut oleh beliau. Ketika Dinar al-Ayyar melewati kawasan kubur yang di dalamnya berselerakan tulang dia mengutip satu daripada tulang berkenaan dan didapati telah reput.

Terdetik di hatinya, 'Ah! Beginilah akhirnya setiap orang yang hidup. Tak terkecuali diriku, tulangnya akan rosak dan tubuhnya menjadi debu. Mengapa aku masih selalu melakukan dosa?'

Dia berfikir panjang dan mula mengimbas dosanya kepada ibu yang sangat mengambil berat dirinya lalu memohon maaf. Ketika meninggal dunia ramai orang yang mengunjungi jenazahnya.

Kisah dan cerita mengenai orang, kaum dan masyarakat yang bertaubat telah banyak kita dengar.

Pelbagai keadaan yang berlaku kepada mereka sebelumnya yang membuatkan mereka sedar, mula mencari arah dan kembali kepada Tuhan.

Dalam hati setiap daripada kita, jauh di sudut hati, keinginan untuk mengakui kesalahan dan kehidupan sentiasa membuak-buak dan ternanti-nanti masa yang sesuai.

Penyesalan yang bersungguh-sungguh, berjanji untuk tidak lagi mengulangi perbuatan jahat yang mendatangkan dosa dan maksiat kepada Allah, insya-Allah akan diterima taubatnya kerana janji Allah dalam firmannya yang bermaksud: 'Dan Dialah yang menerima taubat dari hamba-hambaNya dan memaafkan kesalahan' - Surah asy-Syura: 25.

Galakkan untuk segera bertaubat adalah untuk meraih tempat yang mulia di sisi Allah. 'Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa' - Surah ali-Imran: 133.

Rahsia tapak tangan lelaki




Gusar dengan sikap mahupun identiti diri si dia yang diketemu beberapa hari lalu? Atau masih mencari kebenaran dalam perhubungan yang baru terjalin? Itu antara masalah yang melanda segelintir kaum wanita hari ini.

Tidak perlu bersusah payah untuk mengorek rahsia dirinya dengan memaksa si dia berterus-terang dengan setiap tindakannya. Cuba amati rahsia telapak tangannya secara diam-diam.

Menurut pakar palmistry (membaca garis tangan) dan penulis buku Read His Hands, Know His Heart, Marion Gale, dengan hanya melihat telapak tangan lelaki, seseorang boleh mengetahui rahsia hati seorang lelaki.

"Jika ingin mengetahui karakter lelaki sebelum kamu menjalinkan hubungan serius, terokalah telapak tangan kanannya," ujar Gale.

Earth hand

Sekiranya si dia mempunyai telapak tangan dengan bahagian tengahnya berbentuk bujur dengan ukuran jari-jemari yang pendek, ini membawa erti si dia tergolong dalam kumpulan earth hand.

Lelaki ini kebiasaannya bersifat konservatif. Ia juga mempunyai pemikiran yang tinggi dan kestabilan dalam hidup.

Jika kamu berjaya menemui lelaki earth hand di tengah-tengah kota metropolitan, kemungkinan besar mereka memiliki rumah yang besar dengan halaman yang cukup luas untuk menyalurkan hobinya dalam aktiviti berkebun. Dia juga seorang lelaki yang gemar memasak dan bijak menyediakan sesuatu hidangan.

Water hand

Telapak tangan berbentuk segi panjang, dengan saiz jarinya berukuran panjang. Lelaki ini tergolong sebagai lelaki yang baik hati, sabar dan gemar menelaah bahan-bahan bacaan.

Bahkan, dia amat cenderung dengan panggilan ulat buku. Lelaki water hand juga mempunyai keperibadian yang tenang.

Kamu lebih banyak menemui mereka di acara-acara kebudayaan daripada bersosial di kelab-kelab malam atau bar.

Air hand

Lelaki air hand memiliki telapak tangan berbentuk bujur tetapi dengan jari-jari tangan yang panjang. Lelaki jenis ini mudah mempelajari hal-hal yang baru dan berwawasan dengan melakukan aktiviti mengembara ke kota atau negara lain.

Disebabkan dia mempunyai hobi yang ekstrem, lelaki ini sangat teratur dalam setiap perjalanan hidupnya.

Dia juga senang mendalami hobi baru. Hanya dengan sebuah perbualan yang bijak, lelaki ini mudah tertarik kepada kamu.

Fire hand

Lelaki dengan telapak tangan berbentuk segi panjang dengan jari-jari tangan pendek, kebiasaannya cepat berasa gelisah apabila duduk dalam suatu jangka masa yang lama.

Dia sangat menyukai perkara-perkara berbaur tentangan, sehingga tenaga lelakinya akan disalurkan.

Meskipun begitu, si fire hand ini sebenarnya berkeperibadian tingi dan seorang yang mudah bergaul. Tidak hairanlah, kerana dia mempunyai ramai teman yang begitu mengambil berat terhadapnya.

Sekiranya kamu tidak bersikap bossy terhadapnya, dia pasti akan 'menenggelamkan' dirinya dalam hubungan yang penuh keterujaan bersama kamu.

Keperluan telefon bimbit


pertimbangkan faktor usia anak, kos telefon bimbit dan perkhidmatannya sebelum mereka menggunakannya.


BERADA dalam persekitaran yang in bermaksud bercampur dengan kanak-kanak popular, dijemput ke majlis-majlis keramaian atau mengenakan fesyen terkini.

Dengan kecanggihan dunia teknologi maklumat, telefon bimbit sudah menjadi kaedah terbaru untuk remaja berhubung. Jadi, jika anak anda tidak mempunyai sebuah telefon bimbit, dia mungkin kelihatan seolah-olah ketinggalan zaman.

Biar pun anak perempuan mungkin akan menyifatkan keperluannya untuk memiliki sebuah telefon bimbit sebagai cool, kebanyakan ibu bapa lebih mementingkan soal keselamatan ketika membeli sebuah telefon bimbit.

Sebelum anda membeli telefon, mungkin anda perlu pertimbangkan juga faktor usia anak, kos telefon bimbit dan perkhidmatannya.

Anda juga perlu memastikan adakah anak anda cukup matang untuk mematuhi peraturan atau etika yang ditetapkan.

Biar pun belum ada formula tepat untuk menggunakan telefon bimbit, purata umur mereka yang memperoleh telefon bimbit adalah antara 14 hingga 16 tahun.

Untuk mengenal pasti sama ada anak anda memerlukan sebuah telefon bimbit atau pun tidak, pertimbangkan juga gaya hidupnya.

Jika dia banyak menghabiskan masa di rumah atau di depan komputer, menonton televisyen atau bergayut pada telefon, maka, telefon bimbit mungkin bukan satu keperluan.

Pada masa yang sama, jika tumpuannya banyak dihabiskan untuk latihan-latihan bersukan atau aktiviti selepas waktu bersekolah, anda mungkin memerlukan telefon bimbit untuk berhubung.

Dewasa ini, telefon-telefon bimbit dilengkapi dengan pelbagai kemudahan tambahan. Antaranya kamera, pemain video, perakam dan sebagainya.

Telefon bimbit kini membolehkan anda memuat turun lagu, menghantar sistem pesanan ringkas (SMS) mahu pun melayari laman-laman web.

Namun, pastikan anda tidak dikejutkan dengan bil telefon yang diterima. Letakkan beberapa syarat penting.

Pastikan anda memberitahu anak tentang perkhidmatan telefon yang anda bayar dan yang perlu ditanggung oleh anak.

Mungkin perkhidmatan prabayar alternatif terbaik untuk memastikan kos panggilan tidak melebihi kemampuan masing-masing.

Jangan sesekali membuat andaian bahawa anak perempuan tahu etika menggunakan telefon bimbit.

Ramai di kalangan orang dewasa juga menghadapi masalah dalam soal ini. Jadi, tidak mustahil jika anak anda masih memerlukan bantuan ibu bapa dalam aspek ini.

Tunjukkan kepada anak bahawa telefon perlu ditutup apabila berada di tempat-tempat yang boleh menganggu orang lain khasnya di panggung wayang, rumah ibadat dan bilik darjah.

Anak juga perlu dinasihatkan supaya tidak bergayut di telefon.

Keselamatan telefon bimbitKebanyakan ibu bapa akan menyimpan telefon bimbit anak mereka untuk memastikan ia selamat. Tetapi, tindakan menggunakan telefon bimbit untuk menghantar dan menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) atau imej adalah sama dengan menggunakan sebuah komputer.

Telefon bimbit turut mendedahkan kanak-kanak kepada risiko spam, jenayah dalam talian, pembuli siber dan virus-virus telefon.

Maklumat-maklumat dalam telefon bimbit dengan mudahnya mendedahkan anak kepada risiko ini jika ia turut dibekalkan dengan kemudahan Internet.

Setakat ini, perisian pelindung virus masih banyak yang perlu dipertingkatkan kualitinya.

Jadi, ibu bapa perlu lebih peka terhadap keselamatan anak apabila menggunakan kemudahan Internet menerusi telefon bimbit.

Berikan peringatan di bawah kepada anak:

* Jangan sesekali memberi nombor telefon kepada orang yang tidak dikenali.

* Elakkan membalas SMS kepada penghantar yang tidak dikenali.

* Hanya melayari laman-laman web yang dibenarkan ketika menggunakan komputer di rumah.

* Belajar cara menghalang panggilan yang tidak dikehendaki.

* Gunakan alat bebas tangan ketika memandu.

Raja Buah - Bagaimana gred penentu kualiti buah?

Gred penentu kualiti buah

Kriteria yang selalu diambil kira dalam pemilihan durian adalah dari segi bentuk, duri, isi dan kulitnya.


DURIAN D24 yang dipegang oleh Norhaiman Shah ini mempunyai rasa lemak manis dan sedikit pahit.


KEBIASAANNYA musim durian bermula dari bulan Mei hingga Julai. Menurut Pembantu Pertanian, Taman Pertanian Universiti (TPU), Universiti Putra Malaysia (UPM), Norhaiman Shah Ismail, UPM akan menjadi tumpuan."Di UPM, kami mengkategorikan durian kepada dua jenis iaitu gred A dan gred B," katanya.Kategori A pada kebiasaannya meliputi durian D24, D2, D16, D96, D98,D99, D123 dan banyak lagi. Kriteria yang selalu diambil kira dalam pemilihan durian adalah dari segi bentuk, duri, isi, dan kulitnya.


DURIAN D148 atau paduka mempunyai isi yang berwarna kuning keemasan.

Contohnya, durian D2 atau Dato Nina telah didaftarkan di ladang UPM pada tahun 1934. Ia berasal dari Melaka.Durian D2 menjadi tarikan utama penggemar raja buah kerana buahnya sederhana besar dan berwarna hijau gangsa. Durinya pendek, berkulit nipis dan sukar dibuka. Lebih-lebih lagi jika ia baru luruh dari pokok.

Selain itu, tangkainya pendek dan besar. Manakala isinya berwarna kuning keemasan. Mutu buahnya sangat baik jika dibandingkan dengan jenis lain. Apa yang penting, rasanya lemak dan manis.Bagi durian D24, ia berasal dari Bukit Merah Reservoir Perak. Ia mempunyai bentuk yang bujur dan sederhana besar. Warna kulitnya hijau muda dan berkulit nipis. Durinya sangat tajam, halus dan sama di sekeliling buah.


ORANG ramai datang seawal pukul 8.30 pagi untuk membeli durian di UPM.

Kulitnya sukar dikopek. Isinya sangat tebal. Mutunya sangat baik, rasa lemak manis dan sedikit pahit.D148 atau paduka adalah sejenis durian yang berasal dari Kampung Gajah, Perak.

Buahnya sederhana besar, bulat dan durinya sangat halus. Ulas berwarna kuning, mutunya sederhana dan mempunyai manis.Bagi kategori B pula, berbiji besar, isinya nipis dan berwarna putih. Rasanya juga sedikit tawar berbanding durian gred A.Durian Siam turut menjadi pilihan kerana rasanya yang manis dan lemak. Warna kulit hijau keperangan.Manakala durian Balik Pulau turut menjadi pilihan penggemar durian.
Ulas buahnya mengikut durian tersebut iaitu bujur panjang.D88 atau biasanya dipanggil Bangkok 8 adalah jenis durian dari Thailand. Buahnya berbentuk bujur dan sangat besar.


ULAS durian Balik Pulau berbentuk bujur panjang.

Isinya juga sangat tebal dan adakalanya berair sedikit. Warnanya kuning, masak tidak sama rata dan rasanya sangat manis.Lain pula dengan D96 Bangkok A yang dikeluarkan oleh Jabatan Pertanian UPM. Buahnya sangat besar dan berwarna gangsa bila cukup matang. Hujungnya bengkok sedikit dan durinya pendek serta rapat. Isinya berwarna kuning oren dan tebal. Rasanya lemak manis dan mutu isinya sangat baik.Tangkai juga mempengaruhi jenis-jenis durian. Ada beberapa jenis tangkai durian antaranya berbentuk silinder, panjang, kecil, besar, warna kuning dan kehijauan.

Kebanyakan ulas durian mengikut baka asalnya. Jika buah durian tersebut bulat maka ulasnya juga bulat.Jika buahnya lonjong, begitu juga isinya.Menurut Penolong Pegawai Pertanian Firdaus Kardi, pokok-pokok yang ditanam di UPM kesemuanya mempunyai 34 klon. Di ladang lima sahaja terdapat 552 pokok durian yang ditanam pada jarak 12 meter darab 12 meter.



Baja yang digunakan bagi menyuburkan durian ini ialah MPK blue Special 1212172.Pengutipan durian di ladang biasanya dilakukan enam kali, tiga kali pada waktu siang dan tiga kali waktu malam.Semburan racun serangga dan rumpai turut dilakukan dua kali setahun bagi mengawal populasi serangga dan koya tumbuhan putih yang terdapat pada batang pokok durian.UPM turut menjual durian kepada orang ramai pada harga yang murah. Bagi durian gred A ia dijual pada harga RM3.50 sekilogram dan bagi gred B dijual RM2.50 sekilogram

Durian Kunyit - Hanya di Gua Musang sahaja.

Durian kunyit yang isinya kuning keemasan mampu mencecah harga hingga RM28 sekilogram.



PERTAMA kali melawat ke sebuah dusun durian kunyit di Gua Musang, Kelantan, timbul tanda tanya apa istimewanya dusun tersebut berbanding dusun-dusun durian lain di seluruh negara.

Bersama jurugambar, HAFIZ JOHARI, kami menyusuri jalan raya sejauh lebih 200 kilometer dari Kota Bharu menerusi Kuala Krai ke pekan Gua Musang.Sehari sebelumnya, penulis telah membuat temu janji dengan pemilik dusun tersebut, Tina Chong, 40.Pada hari yang dijanjikan kami diundang ke kediamannya sebelum dibawa ke dusunnya yang terletak di Kampung Pulai, lebih kurang 15 kilometer dari pekan Gua Musang. Ia mengambil masa hampir 45 minit.Untuk ke dusunnya, kami terpaksa meredah kawasan yang dilitupi hutan hujan Khatulistiwa yang belum terusik kecuali beberapa projek kuari yang kelihatan rakus menarah bukit.

Perjalanan ke dusun tersebut sejauh lima kilometer dari jalan utama hanya boleh menggunakan kenderaan pacuan empat roda. Ini kerana laluannya begitu sukar dan mencabar apabila terpaksa melalui lereng-lereng bukit, jalan berbatu dan berlumpur.Kami mengagumi kebolehan Tina kerana selain mengusahakan dusun durian, beliau begitu cekap mengendalikan kenderaan pacuan empat roda.Detik paling mencabar ialah apabila kami terpaksa merentasi sebatang sungai yang hanya menggunakan dua batang kayu selebar tayar kenderaan tersebut yang dijadikan titi.


DURIAN kunyit memerlukan 100 hari untuk masak dan gugur selepas ia mula berputik.

Setelah mengharungi perjalanan yang cukup mencabar, kami bagaikan tergamam dan teruja dengan keindahan dusun tersebut.Selain keindahan buah-buah durian yang berjuntaian di dahan pokok, dusun tersebut begitu bersih dan dijaga rapi tanpa rumput dan lalang.Tina yang sangat mesra mula bercerita tentang dusunnya yang berkeluasan 10 hektar itu. Kebanyakannya ditanam dengan durian kunyit.Selain itu, dusun tersebut juga mempunyai pokok buah-buahan lain antaranya durian D24, durian kampung, rambutan, duku dan dokong.

"Saya menggemari buah durian sejak kecil dan pernah memasang impian untuk memiliki kebun durian sendiri suatu masa dulu."Pada mulanya kebun ini dimiliki oleh kakak saya tetapi 10 tahun lalu beliau menyatakan hasrat untuk menjual dusun tersebut dan saya tidak melepaskan peluang untuk memilikinya," kata Tina.Dusunnya itu memiliki lebih 300 pokok durian kunyit. Buahnya boleh dijual pada harga yang sangat tinggi iaitu mencecah RM28 sekilogram.Bersama adiknya Jenny Chong, 36, dan rakan kongsi mereka, Chong Wan Yoong, 46, hampir 90 peratus daripada hasil kebun itu terutama durian kunyit dieksport ke luar negara termasuklah Singapura.Penjagaan yang rumit Jenny memberitahu, Wan Yoong, bertanggungjawab sepenuhnya dalam aktiviti penjagaan dusun tersebut. Penjagaan durian kunyit sangat rumit kerana ia terlalu sensitif terhadap cuaca selain proses pembajaan yang berterusan diperlukan.

Jelasnya, hujan lebat dan angin kuat boleh merencatkan proses tumbesaran pokok selain bunga yang terlalu lemah dan mudah gugur jika ditiup angin kencang."Sebab itu, durian ini bukan tiap-tiap tahun ada, memang susah untuk menjadi. Bila ia berbunga, masa itu kita kena jaga betul-betul kalau tidak bunganya akan gugur."Kadang-kadang kita tengok bunganya lebat tetapi jika hujan lebat atau angin kencang semua akan gugur. Proses pembajaan juga diperlukan untuk mengelak daripada ancaman penyakit," ujarnya musim durian kunyit bermula dari bulan Jun hingga Ogos.


JENNY CHONG (kiri), Chong Wan Yoong dan Tina mengusahakan dusun durian kunyit di Gua Musang sejak sedekad yang lalu.

Jelas Tina, durian kunyit memerlukan 100 hari dari tempoh ia mula berputik untuk masak dan gugur. Buah yang baik boleh mencapai berat sehingga tiga kilogram sebiji.

Katanya, bermula daripada ia berputik, proses penjagaan rapi amat diperlukan kerana jika tidak buah akan gugur sebelum tempoh matangnya.Seperti kebun-kebun lain, dusun juga tidak terlepas daripada ancaman binatang buas, sementelah ia berada jauh ke dalam hutan.Jelas Tina, beliau terpaksa menggunakan pelbagai cara untuk menghalang binatang buas daripada menceroboh dusunnya dan memakan buah-buah yang gugur.

"Memang banyak, selalunya gajah, babi hutan dan harimau yang masuk. Kami biasa gunakan mercun untuk menghalau dan sekarang saya sedang membina pagar-pagar yang lebih kukuh untuk menghalang haiwan liar."Ketika musim durian kami adakalanya terpaksa tidur di dalam pondok di dusun untuk menjaga tanaman dan buah-buahan," kata bekas peragawati sambilan dan pendandan rambut profesional ini.Bercerita mengenai keenakan durian kunyit Tina memberitahu, mungkin tidak ramai yang mengetahuinya kecuali jika disebut Musang King.Durian tersebut dijual di pasar raya-pasar raya dipek dan dijual mengikut ulas.


SIAPA sangka, Tina sebelum ini merupakan seorang pendandan rambut profesional dan bekas peragawati sambilan.


Kepada penggemarnya, harga bukan satu masalah tetapi adakalanya mungkin membuatkan kita terfikir, betulkah dua ulas durian Musang King harganya sampai RM15?"Durian ini dikenali sebagai durian kunyit kerana warna isinya yang kekuningan seakan kunyit selain rasanya yang berbeza daripada durian biasa serta tekstur isinya."Saya difahamkan, Musang King adalah spesies yang sama dengan durian kunyit."Kononnya durian jenis ini hanya ada di Gua Musang manakala King pula merujuk pada 'gelaran' raja buah-buahan itu," ujar wanita yang masih bujang ini.Tina memberitahu, dusunnya mampu mengeluarkan sehingga dua tan durian kunyit untuk tempoh tiga bulan setiap musim dan mampu memperoleh pendapatan sehingga RM300,000," ujar Tina.

Palin berwibawa sebagai Naib Presiden ..


PALIN menyampaikan ucapan dalam satu kempen di Consol Energy Park, Washington kelmarin.

ST. LOUIS - Gabenor Alaska yang dicalonkan untuk menjadi Naib Presiden Amerika Syarikat (AS) daripada Parti Republikan, Sarah Palin membuktikan beliau mampu membawa masuk limpahan sumbangan wang untuk kempen pilihan raya Presiden AS.Kejayaan itu dibuktikan apabila kempen Senator John McCain berjaya meningkat sebanyak AS$7 juta (RM23.84 juta) pada hari pertama selepas Palin diumumkan sebagai calon Naib Presiden AS daripada Parti Republikan.

"Jumlah itu adalah lebih banyak daripada yang kita peroleh dalam tempoh suku keempat 2007," kata Setiausaha Akhbar, Brooke Buchanan."Beliau (Palin) merupakan berita hebat," jelasnya.Kempen McCain yang menjadi calon Presiden AS daripada Parti Republikan mendapat lebih AS$4.5 juta (RM15.32 juta) menerusi talian dan AS$2.3 juta (RM7.83 juta) lagi menerusi e-mel serta telefon pada hari pertama setelah McCain mengumumkan Palin sebagai regunya di Ohio pada Jumaat lalu.Mereka akan menentang saingan terdekat iaitu Senator Barack Obama yang menampilkan Senator Joe Biden sebagai calon Naib Presiden daripada Parti Demokrat.

Jumlah wang itu juga adalah yang tertinggi pernah dikumpulan sejak McCain melancarkan kempen pilihan raya.Pilihan raya Presiden AS akan diadakan pada 4 November depan bagi mencari pengganti George W. Bush yang bakal menamatkan penggal pemerintahannya.Sebelum ini, nama Palin tidak diketahui oleh kebanyakan penduduk di AS walaupun beliau merupakan gabenor Alaska

Merdeka, Merdeka

Sambutan merdeka tetap meriah


KONTINJEN yang dibarisi kereta Lotus ini antara yang menarik perhatian pada perbarisan Hari Kemerdekaan ke-51 di Dataran Merdeka semalam.


KUALA LUMPUR - Walaupun perbarisan Hari Kemerdekaan ke-51 semalam disambut dengan penuh kesederhanaan, wajah ribuan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum jelas puas dan berbangga dengan pencapaian negara sejak mencapai kemerdekaan.Perarakan bertemakan 'Perpaduan Teras Kejayaan' yang berlangsung di Dataran Merdeka itu, disertai 16,433 orang dan bermula 7.30 pagi.Menariknya sebelum acara bermula, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memandu sendiri Proton Persona berkuasa elektrik berwarna putih dengan isteri, Datin Seri Jeanne Abdullah manakala Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memandu Proton Savvy merah dengan turut dinaiki Datin Seri Rosmah Mansor.


Seorang pengunjung, Maimun Husin hadir dengan
berpakaian Jalur Gemilang.


Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah pula berkenan mencemar duli dan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama Rejimen Askar Melayu Diraja.Acara diteruskan dengan persembahan padang oleh seramai 1,850 pelajar sekolah yang melakukan pelbagai kawad formasi antaranya persembahan senam robik, formasi Soyuz serta tarian tradisional.Selepas itu, bermulalah acara perbarisan yang menyaksikan 42 kontijen dimulai oleh perarakan membawa Jalur Gemilang raksasa oleh pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).


WAJAH bersemangat kontinjen TUDM di Dataran Merdeka semalam.


Acara perbarisan itu turut diselang-seli dengan persembahan kereta berhias dan persembahan di udara oleh pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) termasuk tiga pesawat Sukhoi SU-30MKM serta beberapa pesawat Hawk dan MIG-29.

Ambang Merdeka 51

Gambar-gambar pilihan sambutan Ambang Merdeka di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur malam tadi.

Penari-penari dengan pakaian tradisi beberapa kaum di negeri ini memaparkan nombor 51 bersempena sambutan Kemerdekaan ke-51negara ketika sambutan Ambang Merdeka peringkat Negeri Sarawak di Panggung Udara, Jalan Taman Budaya, Kuching malam tadi. -fotoBERNAMA

Orang ramai menunjukkan poster "Merdeka" ketika hadir pada sambutan Ambang Merdeka di Taman Kuala Lumpur City Centre (KLCC) di sini, malam tadi. -fotoBERNAMA

Persembahan bunga api menjadi kemuncak sambutan Ambang Merdeka di Dataran Merdeka yang menerangi ruang udara ibu kota. - fotoBERNAMA

Persembahan bunga api menjadi kemuncak sambutan Ambang Merdeka di Dataran Merdeka yang menerangi ruang udara ibu kota. - fotoBERNAMA

Lagi persembahan bunga api menjadi kemuncak sambutan Ambang Merdeka di Dataran Merdeka yang menerangi ruang udara ibu kota. - fotoBERNAMA

Tiga anak beranak dengan pakaian melambangkan Jalur Gemilang di Kuala Lumpur malam tadi.



Sambutan Merdeka 51 bukti Malaysia Berjaya

Sambutan Hari Kemerdekaan teraskan perpaduan
31-08-2008 12:49:08 PM

PEMANDANGAN sambutan Hari Kemerdekaan Ke-51 di Dataran Merdeka bermula dengan perbarisan masuk Jalur Gemilang di hadapan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah, hari ini. --fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Perbarisan ulang tahun ke-51 ulang tahun kemerdekaan negara peringkat nasional di Dataran Merdeka di sini hari ini bukan sahaja meliputi pelbagai bangsa dan agama, malah juga merangkumi pelbagai peringkat umur.

Buat pertama kali kontinjen paling muda, seramai 150 pelajar pra sekolah turut menyertai perbarisan dan perarakan raksaksa ini yang disertai 16,433 peserta termasuk pesara polis.

Bertemakan "Perpaduan Teras Kejayaan", perhimpunan perbarisan bermula sebaik sahaja keberangkatan tiba Yang diPertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin serta Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah.

Sebelum itu Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bersama isteri Datin Seri Jeanne Abdullah tiba dengan memandu sendiri kereta elektrik inisiatif Malaysia Proton Persona putih.

Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor tiba dengan memandu sendiri kereta Proton Savvy berwarna merah.

Acara perhimpunan dan perbarisan dimulakan dengan berkumandangnya lagu NegaraKu yang turut diiringi dengan lintas hormat udara oleh helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dengan membawa Jalur Gemilang dan bendera Angkatan Tentera Malaysia sambil melepaskan asap berwarna merah, biru dan kuning, warna bendera Malaysia.

Tuanku Mizan turut berkenan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota Satu Rejimen Askar Melayu Diraja.

Majlis diteruskan dengan upacara menaikkan Jalur Gemilang serentak dengan nyanyian lagu "Negaraku" dan tembakan meriam 14 das.
Acara seterusnya diikuti dengan lagulagu patriotik Jalur Gemilang, Cemerlang, Gemilang, Terbilang, dan lagu tema sambutan "Perpaduan Teras Kejayaan", disampaikan oleh 2,000 peserta kumpulan koir dari institusi perguruan.

Upacara bacaan ikrar "Rukun Negara" dilakukan oleh tujuh pelajar sekolah menengah yang mewakili pelbagai kaum di negara ini diketuai oleh Mohd Hafizul Akhmal Azeman yang disusuli dengan laungan "Merdeka" sebanyak tujuh kali.

Dataran Merdeka kemudiannya bertukar suasana menjadi lebih meriah apabila seramai 2,880 orang pelajar sekolah menyajikan persembahan padang yang penuh warnawarni bertemakan "Perpaduan Teras Kejayaan" yang merangkumi gabungan persembahan puisidra (puisi dan drama), kawad formasi dan seni mempertahankan diri serta senamrobik yang diselang seli dengan pembentukan 'grafik manusia' oleh para pelajar sekolah sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Perbarisan dimulakan dengan perarakan Jalur Gemilang raksaksa dan bendera negeri oleh pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) termasuk kontinjen 30 tokoh negara dalam pelbagai bidang.

Mereka termasuk angkasawan negara Datuk Dr. Sheikh Muszapahar Shukor, jurulatih badminton negara Datuk Misbun Sidek, aktivis masyarakat Tan Sri Lee Lam Thye dan aktivis alam sekitar Karam Singh Walia yang diarak dengan kereta buatan nasional sebagai penghargaan atas sumbangan mereka kepada negara.

Perbarisan hampir dua jam yang berakhir pada pukul 10.10 pagi ini turut disaksikan ribuan rakyat Malaysia termasuk pelancong yang mula membanjiri Dataran Merdeka seawal pukul 6.30 pagi selain jutaan lagi yang menonton menerusi siaran langsung di televisyen.

Di TERENGGANU, buat julung kalinya sambutan Hari Kebangsaan diadakan di Taman Bandar Chukai, Kemaman dengan disertai 220 pasukan terdiri daripada pelajar sekolah rendah dan menengah, pasukan tentera, polis, jabatan kerajaan dan badan berkanun, Jawatankuasa Keselamatan, Kemajuan dan Kebajikan Kampung (JKKKK) dan sektor swasta.

Turut berangkat ke majlis tersebut ialah Ahli Majlis Penasihat Pemangku Raja Tengku Sri Laksamana Raja serta isteri dan Menteri Besar Datuk Ahmad Said bersama barisan Exco dan ketuaketua jabatan.

Selain perarakan yang disertai oleh 10,000 orang, beberapa persembahan diadakan termasuk persembahan tarian perang oleh Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), lompat tali berirama oleh pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kompleks Gong Badak, dan senaman Tai Chi oleh kakitangan Yayasan Pembangunan Keluarga.

Di SABAH, 150 kontinjen yang terdiri daripada pelajar sekolah, institusi pengajian tinggi, kakitangan kerajaan dan swasta dan badan bukan kerajaan dan 17 kumpulan berkenderaan menyertai acara perbarisan Hari Kebangsaan di Kota Kinabalu.

Majlis sambutan itu dihadiri Yang diPertua Negeri Tun Ahmad Shah Abdullah.

Turut hadir Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman dan menterimenteri kerajaan negeri yang lain.

Pelbagai acara diadakan bagi memeriahkan sambutan itu termasuk persembahan puisi dan kebudayaan oleh kakitangan Lembaga Kebudayaan Sabah.

sambutan Merdeka 51

SENARAI GAMBAR TERPILIH SAMBUTAN HARI KEMERDEKAAN KE-51 DI SELURUH NEGARA

Pelajar-pelajar yang menyertai perbarisan Kemerdekaan Ke-51 di Dataran Merdeka membuat formasi tema sambutan kali ini iaitu Perpaduan Teras Kejayaan di Dataran Merdeka hari ini. -fotoBERNAMA

Sebahagian daripada peserta yang membuat persembahan sempena perbarisan Hari Kemerdekaan Ke-51 di Dataran Merdeka hari ini. -fotoBERNAMA

Sebahagian daripada peserta yang membuat persembahan sempena perbarisan Hari Kemerdekaan Ke-51 di Dataran Merdeka hari ini. -fotoBERNAMA

Mohd Shaari Bakar bersama isteri Fauziah Habesah serta kedua-dua anaknya Mohd Alif Azuan, 4, (kiri) dan Mohd Faris Syahmi,10, memakai baju Jalur Gemilang ketika menyaksikan perarakan dan perbarisan sempena Hari Kemerdekaan ke-51 peringkat negeri di Stadium Negeri hari ini. Shaari berkata isterinya mengambil masa kira-kira tiga hari untuk menyiapkan empat pasang baju tersebut dengan menggunakan 100 Jalur Gemilang kecil dan besar. Sebanyak 85 kontinjen menyertai perarakan dan perbarisan yang terdiri daripada agensi dan Jabatan Kerajaan Persekutuan dan Negeri, Badan-badan Berkanun, sektor swasta serta Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan. --fotoBERNAMA

Subaini Md Saleem, 31, (kanan) dan Nor Hasirah Said, 32, begitu gembira sambil mendukung anak mereka yang dilahirkan pada sambutan kemerdekaan ke-51 di Hospital Bersalin Pulau Pinang hari ini. Subaini melahirkan anak perempuan seberat 2.7 kilogram pada pukul 6.08 pagi manakala Nor Hasirah melahirkan anak lelaki seberat 3.1 kilogram pada 5.17 pagi. Bayi-bayi tersebut adalah antara lima bayi yang dilahirkan di hospital itu setakat tengah hari tadi. -- fotoBERNAMA

Para peserta yang terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah ceria ketika membuat persembahan sempena perbarisan Hari Kebangsaan ke-51 di Dataran Merdeka, hari ini. Seramai 2,880 pelajar sekolah menyertai perbarisan ini dan menyajikan penonton dengan persembahan penuh warna-warni seperti Puisidra, kawad formasi dan seni mempertahankan diri. Tema sambutan kali ini adalah Perpaduan Teras Kejayaan. --fotoBERNAMA

Pemain Badminton Perseorangan Nombor Satu negara yang memenangi pingat Perak pada temasya Sukan Ollimpik Beijing 2008 Datuk Lee Chong Wei turut menyertai perarakan dan perbarisan sempena Hari Kemerdekaan Ke-51 di Dataran Merdeka. -fotoBERNAMA

Merdeka 51

SENARAI GAMBAR TERPILIH SAMBUTAN HARI KEMERDEKAAN KE-51 DI SELURUH NEGARA

Sebahagian dari peserta yang menyertai perarakan sempena sambutan Hari Kemerdekaan yang ke-51 peringkat Negeri Sembilan di Jalan Yam Tuan yang berhadapan dengan Bangunan Majlis Perbandaran Seremban (MPS). Sebanyak 58 kontinjen yang terdiri daripada parti politik, jabatan dan agensi kerajaan, badan bukan kerajaan, pertubuhan sukarela, badan swasta, polis dan tentera menyertai perbarisan kali ini. Turut serta ialah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Ja'afar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman dan Tunku Ampuan Negeri Sembilan Tuanku Najihah Tunku Besar Burhanuddin. --fotoBERNAMA

Seramai 20 anggota Kelab Anak Merdeka Negeri Sembilan yang lahir pada 31 Ogos memotong kek harijadi mereka sambil turut menyambut Hari Kemerdekaan Ke-51 di Seremban hari ini. Mereka diraikan dalam satu majlis khas yang dianjurkan Jabatan Penerangan Negeri Sembilan. Turut hadir ialah Ketua Pengarah Penerangan Datuk Abdullah Morad. Anggota Kelab Anak Merdeka itu berusia dari 51 tahun sehinggalah yang termuda, Azian Azwin Anuar, 1 tahun, (kiri). --fotoBERNAMA

Kereta lembu yang menjadi pengangkutan utama ketika tahun 1950-an turut menyertai perarakan dan perbarisan sempena Hari Kemerdekaan peringkat negeri yang diadakan di Bandar Hilir hari ini. Sebanyak 125 kontinjen yang terdiri dari pasukan polis, tentera, jabatan dan agensi kerajaan, pasukan beruniform, Badan Bukan Kerajaan dan syarikat swasta melibatkan 9,378 peserta menyertai perarakan itu. --fotoBERNAMA

TABIK HORMAT ... Aksi Mohd Iqbar Zarif Suhaimi, 7, memberikan tabik hormat kepada peserta perbarisan sambil mengibarkan Jalur Gemilang menarik perhatian ketika beliau menyaksikan perbarisan dan perarakan sempena Hari Kemerdekaan peringkat negeri yang diadakan di Bandar Hilir di sini. -fotoBERNAMA

Seorang pengunjung Maimun Husin, 43, hadir dengan berpakaian Jalur Gemilang pada perarakan dan perbarisan sempena Hari kemerdekaan ke-51 di Dataran Merdeka hari ini. Menurut Maimun semangat merdeka sudah sebati dalam jiwanya menyebabkan dia sanggup memakai baju kurung Jalur gemilang lengkap dengan tudung. --fotoBERNAMA