Wednesday, September 10, 2008

Galeri Seri Endon rai pereka batik

Oleh Roslah Othman


Tetamu kehormat, Datin Shuryani Shuib (kanan) tertarik melihat koleksi batik yang terdapat di Galeri Seri Endon.

MENARIK dan penuh kepelbagaian konsep. Itulah ungkapan sesuai menggambarkan rekaan lima pereka tempatan pada majlis minum petang sempena sambutan ulang tahun pertama Galeri Seri Endon dan kemerdekaan negara ke-51, baru-baru ini.

Rekaan penuh kontemporari dan kreatif itu memperlihatkan perkembangan menarik dalam industri fesyen tanah air di samping menonjolkan kreativiti pereka yang penuh berseni.

Dari warna, rekaan dan motif, pereka bebas berkarya tanpa membataskan pada sesuatu konsep bagi batik kontemporari rekaan mereka.

Lima pereka itu terdiri daripada Masrina Abdullah (juara Piala Seri Endon 2003), Azizi Hassan (ketiga 2003) Micheal Shu (kedua 2004), Zoey Tan (juara 2007) dan pereka dalam Galeri Seri Hendon sendiri, Shuiri Marlina (pemenang ketiga 2004).

Semua pereka berkenaan pernah memenangi pertandingan Piala Seri Endon dari 2003 hingga 2007, di samping menyertai pelbagai pertandingan rekaan fesyen yang lain.

Masrina yang cukup terkenal sebagai pereka yang sering menghasilkan motif batik melalui unsur penyamaran, bukan sahaja menonjolkan pendekatan berbeza, tetapi turut melahirkan rekaan indah dengan kelas tersendiri.

Koleksi Azizi Hassan yang juga pemilik Zizi Design ini tidak kurang mencuri tumpuan tetamu apabila cuba memperkenalkan sesuatu yang baru dan segar dalam rekaannya.

Penekanan pada pembentukan warna latar dalam rekaannya kali ini menyerlahkan lagi motif batik pada fabrik.

Tidak ketinggalan, pereka Micheal Shu mengetengahkan rekaan yang menggabungkan pembentukan warna latar dalam rekaan bagi menyerlahkan motif batik pada fabrik.

Sementara himpunan Zoey Tan juga tidak kurang menariknya dengan menampilkan rekaan yang cukup segar dan menawan.

Manakala himpunan batik Galeri Seri Endon turut memukau mata para tetamu dengan corak dan rekaan terkini. Himpunan yang diperagakan memperlihatkan warna hitam mendominasi rekaan hasil sentuhan pereka dalaman galeri itu sendiri iaitu Suhairi Marlina.

Majlis dimeriahkan lagi dengan kehadiran tetamu kehormat, isteri Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datin Shuryani Shuib serta Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Budi Penyayang (Penyayang), Datuk Leela Mohd. Ali.

Sebagai simbolik kepada majlis pada petang itu acara memotong kek turut diadakan sebagai simbolik kepada sambutan ulang tahun pertama pembukaan Galeri Seri Endon serta sambutan kemerdekaan negara ke-51 tahun.

No comments: