Tuesday, July 15, 2008

Menara berputar: Bangunan unik

Susunan Bennie Zie Fauzi
bennie@bharian.com.my


DYNAMIC TOWER Dubai yang bergerak setiap saat, seni bina kreatif terbaru daripada arkitek Itali.

Reka bentuk menyanggah tradisi, tarik perhatian dunia

APABILA menyebut bangunan, tentunya dibayangkan berciri pencakar langit, empat persegi, dikukuhkan dengan kerangka keluli selain dilengkapi tingkap kaca jernih.

Tingginya yang menyapu awan dengan keluasan menyamai berpuluh-puluh padang bola sedikit sebanyak mengehadkan imaginasi kita bahawa ada segelintir pencakar langit menawarkan seni bina pelik lagi menakjubkan.

Menara Bergerak, Dubai

Dilancarkan pada 24 Jun lalu, arkitek Itali, Dr David Fisher mengumumkan pembinaan menara pertama di dunia yang bergerak setiap saat. Bangunan yang menghadap ke laut itu dirancang didirikan di beberapa lokasi di dunia bermula dengan Dubai, Moscow diikuti New York.

Menurut Dynamic Group, syarikat yang akan membina bangunan yang dinamakan Dynamic Tower Dubai setinggi 420 meter itu bakal menempatkan 80 tingkat unit pangsapuri dengan keluasan 124 meter persegi manakala villa pula seluas 1,200 meter persegi. Setiap unit kediaman dilengkapi tempat meletak kereta dalam rumah.

BANGUNAN Bakul (Amerika Syarikat)

Keunikan seni bina menara itu adalah ciri aras lantai yang berpusing mengikut hala bebas sekali gus mewujudkan perspektif pandangan berbeza.

Dynamic Tower mesra alam dan bangunan pertama di dunia direka dengan keupayaan menjana elektrik sendiri melalui turbin angin yang dipasang di setiap tingkat.

"Setiap aras dijangka mengambil masa tujuh hari untuk disiapkan. Ini revolusi baru seni bina. Mulai hari ini, bangunan bukan lagi disempurnakan di tapak projek tetapi di kilang," katanya yang berpengalaman 30 tahun menzahirkan bangunan teknologi terkehadapan di bandar besar seperti London, New York, Hong Kong, Paris dan Dubai.

Bangunan Bakul (The Basket Building) di Amerika Syarikat

THE CROOKED HOUSE di Poland, menjadi tarikan pelancong.

Mulanya hanya angan-angan tetapi menjadi nyata apabila Dave Longaberger, pengasas syarikat Longaberger membina bangunan pejabat berbentuk bakul bertangkai.

Longaberger percaya itu adalah ilham terbaik daripadanya. Beliau yakin kewujudan bangunan itu akan menarik perhatian dan menambah rezekinya namun sebaliknya reputasi Longaberger jatuh merudum.

Bukan saja bank, arkitek malah syarikat pemaju mentertawakannya dan beliau dituduh cuba berlawak. Tidak cukup itu, pekerjanya juga lari meninggalkannya.

Longaberger bagaimanapun tidak berputus asa sebaliknya mengambil keputusan mengekalkan bangunan berkenaan. Cita-citanya termakbul apabila bangunan itu dibuka untuk operasi pada 17 Disember 1997.

The Dancing House, Republik Czech

Bangunan pejabat yang terletak di pinggir bandar Prague ini diilhamkan arkitek kelahiran Croatia, Vlado Milunic dengan kerjasama arkitek Kanada, Frank Gehry. Bangunan itu dibina di atas tapak bangunan bersejarah yang musnah ketika pengeboman Prague pada 1945. Kerja pembinaan bermula pada 1994 berakhir dua tahun kemudian.

Reka bentuk bangunan yang menyanggah tradisi itu menimbulkan kontroversi. Mujur Presiden Czech, Vaclav Havel, yang sekian lama menetap di sebelah tapak bangunan itu menyuarakan sokongan peribadinya. Dia yakin The Dancing House bakal menjadi pusat budaya tersohor.

Asalnya, dinamakan Fred and Ginger bersempena pewarisnya Fred Astaire dan Ginger Rogers. Namun ditukar selepas mendapati seni bina bangunan berkenaan mirip seorang perawan sedang berdansa.

Milunic dan Gehry menerapkan gaya Neo Baroque, Neo Gothic dan Art Nouveau yang menjadi tanda pengenalan seni bina bangunan di Prague. Restoran Perancis di puncak bangunan menawarkan pemandangan seluruh bandar.

Rumah Piano di China

Terletak di Wilayah An Hui, China. Untuk ke aras atas, pengunjung perlu menaiki tangga bergerak di dalam biola kaca. Bangunan ini menyediakan prospek cerah terhadap pelan pembangunan dan kemajuan bandar kerana mewujudkan daya tarikan baru pelancongan di daerah itu.

Pustaka Kansas City di Amerika Syarikat

Bangunan kutub khanah paling mengagumkan di Amerika Syarikat. Warga tempatan diberi peluang memilih judul buku yang memberi pengaruh besar terhadap bandar Kansas selain pernah memenangi anugerah untuk diabadikan pada dinding tempat meletak kereta.

Bangunan Robot (Thailand)

Bangunan yang terletak di zon perniagaan Sathorn, Bangkok ini sebenarnya ibu pejabat bank United Oversea. Diilhamkan arkitek Sumet Jumsai mewakili kecanggihan sistem pengkomputeran perbankan negara gajah putih itu.

Seni binanya menampilkan pertentangan gaya antara neo klasikal dan teknologi tinggi pasca moden.

Ciri muka bangunan yang landai, dilengkapi antena dan sepasang mata di bangunan teratas menjadikannya mirip robot gergasi.

Siap dibina pada 1986, bangunan ini menjadi contoh mutakhir seni bina moden di Bangkok. Kemunculannya meraih perhatian antarabangsa dan diberi kritikan membina.

Bangunan Biru di Belanda

Pihak pentadbiran Delfshaven, Rotterdam meminta Schildersbedrijf N&F Hijnen menyediakan pelan baru bagi bangunan terbiar yang bakal dirobohkan. Perjanjian dengan kawasan kejiranan di situ ialah warna biru bangunan berkenaan dikekalkan selagi belum ada pelan pembangunan baru.

Oleh kerana usia yang sudah berabad, seni bina bangunan ini dianggap paling ketinggalan zaman di Rotterdam. Malah kewujudannya langsung tidak diberi perhatian. Namun, sebaik ditambah satu lapisan lagi 0.002 milimeter cat biru, bangunan ini diisytiharkan paling popular di Rotterdam dan sering diabadikan dalam foto kenangan.

The Crooked House di Poland

Arkitek Poland, Szotynscy Zaleski, menzahirkan Crooked House seni bina pusat membeli-belah selepas mendapat ilham daripada ilustrasi dongeng kanak-kanak Jan Marcin Szancer.

Berkeluasan 4,000 meter persegi, pusat membeli-belah yang terletak di Rezydent, Sopot, Poland ini kini menjadi salah satu daya tarikan pelancong ke Poland.

Sam Kee, bangunan paling nipis di Kanada.

Terletak di 8 West Pender Street ini adalah bangunan dua aras dengan ukur lebar cuma 1.5 meter. Sejarah bangunan ini sama luar biasa dengan struktur seni binanya.

Menurut cerita, Chang Toy pemilik hartanahnya diminta penduduk Vancouver menyerahkan seluas dua meter kawasannya untuk pembangunan Pender Street. Tiada ganti rugi diberikan sedangkan baki tanah tidak seluas mana. Toy kemudiannya mengupah seorang arkitek tampil dengan ilham binaan menakjubkan termasuk menjadi bangunan tunggal dilengkapi lorong pejalan kaki kaca di Chinatown.

Selain Dynamic Tower, bangunan kreatif di dunia di pilih oleh laman web http://www.oddee.com

FAKTA: Dynamic Tower

  • Setiap tingkat berpusing mengikut kelajuan berbeza.

  • 20 tingkat pertama memuatkan unit pejabat, tingkat 21 sehingga 35 menempatkan hotel mewah, 36 hingga 70 mengandungi unit kediaman pangsapuri dan 10 tingkat selebihnya menawarkan villa mewah.

  • Pembinaannya menuntut pembabitan 80 juruteknik dan 2,000 pekerja binaan.

  • Dilancarkan arkiteknya, David Fisher pada 24 Jun lalu dan dijangka siap menjelang 2010.

  • Impian Fisher membina bangunan menakjubkan ini menerima sokongan Naib Presiden Emiriah Arab Bersatu, Sultan Sheikh Mohammed Bin Rashid Al Maktoum.

  • Fisher mendapatkan kerjasama arkitek dan jurutera berpengalaman dari United Kingdom dan India.
  • SMS cara baru memikat

    Pesanan kata-kata menawan lelaki mampu cairkan hati wanita

    LONDON: Lelaki tidak perlu menjadi pemidato hebat untuk memikat wanita, sebaliknya kemampuan golongan itu melontarkan cetusan rasa menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) boleh menjadi faktor utama 'mencairkan' hati perempuan. Inilah hasil tinjauan pendapat terbaru mendakwa lelaki yang mampu menghantar SMS penuh dengan kata-kata menawan dan berani, terbukti lebih mudah menawan wanita, termasuk kalangan jelitawan, lapor akhbar Daily Star, semalam. Malah, hasil tinjauan itu mendakwa, secara puratanya, lebih tiga daripada setiap empat wanita dengan mudahnya menilai karakter lelaki diminati menerusi SMS yang dihantarnya.

    Cara PM menangani stres


    Jeanne Abdullah sentiasa berusaha menyenangkan hati suaminya.


    SETIAP orang akan dilanda stres apatah lagi sebagai pemimpin. Cuma caranya berbeza bagi seseorang itu menangani stres. Tidak terkecuali bagi Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

    Beliau mempunyai cara tersendiri untuk meredakan stres sama ada yang berkaitan dengan tugasnya sebagai Perdana Menteri atau masalah politik.

    Menurut Datin Seri Jeanne Abdullah, dua pendekatan yang sering diambil oleh suaminya ketika stres ialah sembahyang sunat dua rakaat dan membaca al-Quran.

    ‘‘Bila-bila masa jika Pak Lah stres atau risau dia buat sembahyang sunat dua rakaat. Lepas sembahyang ambil al-Quran dan baca,’’ kata Jeanne dalam temu bual eksklusif bersama majalah i Sihat di kediamannya di Seri Perdana baru-baru ini.

    ‘‘Pak Lah ini orangnya penyabar dan lembut. Beliau tidak pernah menunjukkan kemarahannya. Kalau beliau marah pun...beliau hanya diam sahaja..,’’ kata Jeanne ketika bercakap mengenai gaya hidup sihat yang menjadi amalan beliau sekeluarga.

    Menurut Jeanne, jika ada masa terluang, Pak Lah akan mengajaknya berjalan kaki keliling kawasan kediaman mereka sambil menyaksikan kehijauan taman dan kuntuman bunga-bunga segar yang mengharum.

    Jelasnya, Pak Lah juga suka memancing tetapi hobi ini kini sangat jarang dapat dilakukannya kerana jadual harian beliau padat dengan program rasmi dan tidak rasmi di dalam serta luar negara.

    ‘‘We are happy family..suka ketawa…suka joke each others. Inilah caranya mengawal ‘minda jangan stres’. Bila minda cergas, tubuh jadi sihat. Sudah pasti boleh lupakan masalah. Fikiran tidak terganggu. Riak wajah boleh mencerminkan ‘apa yang terpendam’ di jiwa. Kena kawal minda dengan bijak,’’ ujarnya jujur.

    Jelas Jeanne, sebagai isteri sudah menjadi tanggungjawab beliau untuk terus menceriakan suami terutama apabila berdepan dengan stres pekerjaan atau masalah yang berkaitan dengan politik semasa.

    ‘‘Bagi saya di luar rumah Pak Lah adalah Perdana Menteri. Tetapi apabila Pak Lah pulang ke rumah, beliau adalah suami saya. Sebab itu bila Pak Lah balik, saya tak nak bertanya kepada beliau apa-apa yang terjadi di pejabat. Saya hanya cerita benda-benda lain.

    ‘‘Ada banyak perkara yang boleh kita cerita. Sembang-sembang. Kita tidak ada langsung cerita pasal kerja. Pak Lah pula seorang suami yang sangat memahami, bersifat pengasih kepada keluarga dan amat penyabar,’’ ujarnya ikhlas. Mahligai yang dibina bersama Pak Lah sejak 9 Jun 2007 lalu terus meniti bahagia. Wanita low profil yang menawan hati Pak Lah ini semakin bijak memainkan peranannya sebagai ibu dan isteri kepada ketua kerajaan negara ini.

    mendidik

    Menurut Jeanne, suaminya seorang yang berfikiran terbuka dan suka mendidik.

    Jelas Jeanne, beliau boleh bercerita apa sahaja dengan Pak Lah termasuk mengenai minat terhadap seni gubahan atau landskap sehinggakan bersembang mengenai cerita televisyen dan resipi baru untuk masakan.

    ‘‘Sebab itu saya tidak merasakan bahawa saya melayan ‘seorang PM’ tetapi seorang suami yang sangat dikasihi serta membahagiakan. Cuma Pak Lah sangat sibuk dan mempunyai jadual harian yang sangat padat. Apapun saya sangat memahami dan sentiasa berusaha menyenangkan hati Pak Lah,’’ jelasnya lagi..

    Akui wanita yang penuh dengan kasih sayang ini, dalam mengekalkan keceriaan hidup berumah tangga, hanya isteri yang mengetahui bagaimana cara untuk membahagiakan suami.

    Nasihat Jeanne, paling penting setiap orang adalah perlu bijak mengawal stres dan elakkan minda terganggu.

    Katanya, stres boleh merosakkan seri wajah dan menjadikan tubuh tidak bermaya.

    ‘‘Jika minda sihat kita boleh melupakan stres yang melanda fikiran,’’ katanya dalam pertemuan hampir satu setengah jam itu.Sepanjang pertemuan dengan Wanita Pertama Malaysia itu, Jeanne sentiasa riang, ceria serta santai.Penampilan Jeanne kini semakin anggun. Dengan selendang yang menutupi sebahagian daripada rambutnya sewaktu mengiringi suami atau atur caranya sendiri, menyerlahkan lagi kelembutan serta keayuannya sebagai wanita Timur.

    Persoalan yang ‘bermain di minda, bagaimanakah caranya wanita bertubuh molek ini menjaga kesihatan dan menceriakan seorang suami berjawatan PM serta juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang ada waktunya tampak tenang tetapi ada juga dicuit ‘ombak-ombak nakal politik’ yang menguji kecekalan beliau sebagai pemimpin nombor satu neara.Tanpa mengelak menjawab sebarang persoalan yang diajukan kepadanya, Jeanne tenang berkongsi cerita sambil memberi tip-tip eksklusifnya mengenai cara menjaga ‘ketenangan minda suami’ dan mengekalkan kecergasan serta kesihatan keluarga.Temu bual penuh dan tip-tip istimewa daripada wanita VVIP ini disiarkan dalam i Sihat keluaran Ogos 2008 yang kini berada di pasaran.i Sihat terbitan Utusan Karya Sdn. Bhd. kini berwajah baru dengan tagline ‘Cergas, Ceria, Bergaya’. Dapatkan keluaran terbaru di pasaran dengan harga RM5.50 senaskhah.Majalah berusia dua tahun ini, menampilkan Jeanne sebagai penghias muka depan sempena Hari Wanita 2008.Pelbagai informasi kesihatan, kaedah rawatan penyakit serta tip gaya hidup sihat dimuatkan dalam majalah ini. Mereka yang melanggan i Sihat selama setahun akan menerima produk Dr. Backbone yang bernilai RM67.80. Sebarang pertanyaan untuk langganan bolehlah menghubungi 03-89243888 sambungan 3845/3843/3935.

    Di sebalik cita-cita politik

    RAMAI pakar motivasi mengatakan bahawa seseorang individu yang ingin berjaya perlu mempunyai impian yang biasa disebut sebagai matlamat atau cita-cita.Orang yang sering mempunyai cita-cita biasanya disebut dalam istilah orang putih sebagai ambitious. Dalam semua keadaan iaitu sekiranya kita ingin mencapai kejayaan, maka perlunya cita-cita dalam diri agar ia akan menjadi titik hala tuju atau penentu kepada landasan tindakan bagi mencapainya.

    Bagaimanapun, dalam politik, ahli politik agak berbeza dari segi cita-citanya. Kebiasaannya juga apabila seseorang individu terjun dalam bidang politik, maka matlamat atau cita-citanya bukan kerana dia ingin menjadi ketua politik yang kelak akan mendapat nama, pangkat dan kuasa. Acap kali dakwaan yang kedengaran dari mulut kebanyakan orang politik ialah berkhidmat untuk rakyat.Rupanya sikap ambitious dalam politik begitu berbahaya kerana aura daripada sikap tersebut boleh menimbulkan tekanan yang secara tidak sedar turut mampu meretakkan landasan perjalanan yang kononnya berkhidmat untuk rakyat.Demikianlah apabila kita melihat mana-mana parti politik dalam negara kita diresapi dengan sikap 'ambitious' ini. Boleh dikatakan hampir kesemua ahli politik ada sikap ambitious yang menghala kepada pencapaian satu tahap di mana pada peringkat tersebut seseorang ada kuasa dan pengaruh. Hanya pengaruh dan kuasa sahaja yang boleh 'menjual' segala apa yang diinginkan untuk membangunkan rakyat dan negara.

    Apabila kita kaitkan sikap ambitious ini dengan gelora politik semasa, nampaknya parti-parti politik di negara kita sedang menghidapi sindrom ini.Jika kita melihat kepada perkembangan terbaru Pakatan Rakyat, parti Pas seakan terperangkap atau tersepit dengan cita-citanya ingin mengurangkan sokongan orang Melayu kepada UMNO. Ini terbukti apabila setelah lebih kurang empat bulan berbulan madu dengan kejayaan semasa pilihan raya lalu, Pas kini merasakan dirinya 'diperbodohkan' oleh parti-parti dalam Pakatan Rakyat.

    Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula yang terlalu ghairah dengan cita-cita menubuhkan kerajaan kini tertekan dengan pelbagai dakwaan perundangan selain berdepan dengan kehilangan sokongan rakyat akibat janji manifesto yang belum tertunai serta bakal menghadapi keretakan sekiranya Pas benar-benar 'merajuk'.Sama ada Pas, PKR atau DAP, parti-parti mungkin tidak terlalu kisah dengan keadaan yang berlaku kerana sepanjang lima tahun ini, mereka sudah bergelar pemerintah. Ramai ahli mereka sudah bergelar Yang Berhormat. Pilihan raya akan datang mereka akan bergabung semula.Di dalam UMNO, bulan Julai sehingga Disember ini merupakan tempoh masa kepada ahli-ahli untuk melakukan perubahan parti. Maka sudah tentu, sikap ambitious di kalangan mereka yang ingin bertanding akan sentiasa membara. Ini biasa berlaku.Namun, UMNO harus matang dengan mengambil kira pengalaman lampau. Politik wang, ampu-mengampu dan melobi merupakan kesan daripada sikap 'ambitious' yang tidak mampu dikawal ahli. UMNO tidak mempunyai masalah dengan Pas dan PKR kerana rakyat sudah maklum dengan gelagat parti ini yang terlalu mengejar kuasa bukan untuk kepentingan negara.

    Apa yang dibimbangkan apabila sikap ambitious di kalangan ahli-ahli akan merosakkan parti UMNO itu sendiri. Disebabkan sikap gelojoh terhadap kedudukan dalam parti jugalah bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir semasa menjadi Presiden UMNO sentiasa mengingatkan ahli bahawa UMNO tidak akan lemah disebabkan kekuatan parti lain tetapi UMNO akan hancur hanya disebabkan oleh sikap ahlinya sendiri.Oleh itu, menjelang pemilihan Disember ini ahli UMNO perlu tenang dan bijak menentukan masa depan parti dengan melakukan pemilihan tanpa mengikut petunjuk-petunjuk atau apa juga mesej yang diberikan sebelum tempoh pemilihan berlaku. Orang yang ambitious akan memberikan mesej dalam pelbagai bentuk sekiranya ingin melobi undi daripada ahli-ahli. Yang penting juga semua ahli UMNO perlu benar-benar ikhlas dalam diri untuk melakukan perubahan dalaman parti.

    Pandangan Tun M mengenai Keputusan Paklah!

    | | Comments (434) | TrackBacks (0) | Previous Blog

    Saya percaya ramai daripada ahli UMNO dan orang ramai juga berasa lega apabila Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi mengisytiharkan yang dianya akan letak jawatan sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri pada Jun 2010. Pengisytiharannya di hadapan pemimpin-pemimpin UMNO dari seluruh Negara disambut dengan tepukan gemuruh. Dia juga memilih Dato Seri Najib Tun Razak sebagai penggantinya.Saya tidak hendak pertikai samada ini menurut tradisi UMNO atau tidak. Tetapi saya ingin tarik perhatian kepada keadaan dalam parti UMNO, parti Barisan Nasional dan Negara menjelang pilihanraya ke-13 hanya empat setengah tahun lagi.Umum tahu bahawa UMNO, BN dan parti-parti komponennya sudah rosak teruk dan tidak mendapat kepercayaan daripada rakyat lagi setelah lima tahun Dato Seri Abdullah menerajui Parti dan Kerajaan. Buktinya ialah kekalahan teruk BN dalam Pilihanraya Umum ke-12, 2008. Belum pernah BN kalah sebegini dalam sebelas Pilihanraya Umum yang terdahulu, termasuk pada tahun 1969.

    Kerja untuk memulihkan parti-parti dan kepercayaan rakyat sebelum Pilihanraya Umum ke-13 memerlukan masa yang panjang. Masa yang ada hanyalah empat setengah tahun jika tidak kurang daripada itu.Kenyataan yang dibuat oleh Dato Seri Abdullah bermakna dalam masa yang singkat ini, walaupun Dato Seri Najib mengambilalih pada Jun 2010; UMNO, BN dan Kerajaan akan dipimpin oleh dua pemimpin, masing-masing dengan masalah masing-masing dalam hanya dua setengah tahun bagi tiap satu.Masa ini terlalu singkat untuk berusaha memulih semula parti BN, UMNO, MCA, MIC, Gerakan, PPP dan lain-lain. Sesungguhnya selain daripada parti-parti di Sabah dan Sarawak semua parti BN di Semenanjung telah ditolak oleh rakyat dan perlu rawatan luar biasa.

    Keadaan politik dan peristiwa selepas Pilihanraya Umum ke-12 bergolak dan tidak menentu. Sebenarnya kurang kepercayaan keapada BN menambah kerana mesej rakyat kepada pemimpin tertinggi Kerajaan tidak dipedulikan olehnya. Pemimpin ini ternampak khayal dan berada dalam keadaan menidakkan kenyataan.Dengan Dato Seri Abdullah menerus kepimpinannya hingga Jun 2010, pemulihan tidak dapat dimulakan kerana beliau tidak faham kehendak rakyat - iaitu beliau berhenti daripada mengepalai parti dan Kerajaan.

    Jika Dato Seri Najib ambil alih pada Jun 2010 dia hanya mempunyai dua setengah tahun untuk pulihkan UMNO, pulihkan BN dan menolong memulih parti-parti komponen dalam BN.Kerja ini bukan mudah. Ia berkehendakkan Dato Seri Najib dan semua pemimpin UMNO dan BN turun padang untuk menjelaskan tindakan yang akan diambil oleh mereka untuk memperbaiki kerosakan dalam parti-parti mereka dan pemerintahan yang dilakukan oleh Dato Seri Abdullah.Dimasa yang sama mereka perlu bertindak untuk memulih ekonomi Negara. Dalam tiga empat tahun yang menyusul ekonomi dunia akan alami huru-hara kerana kenaikan harga minyak, bahan mentah dan makanan. Amerika Syarikat akan terus menghadapi krisis kewangan disebabkan hutang Amerika Syarikat yang tidak dapat dibayar dan kemelesetan ekonominya.Dalam Negara inflasi luar biasa akan berlaku disertai oleh pengangguran yang tinggi. Perniagaan runcit dan industri perkhidmatan akan tergugat. Kenaikan harga barang dan makanan akan diikuti dengan lebih ramai kes muflis dan penutupan perniagaan.Semua ini perlu ditangani oleh Dato Seri Najib dan anggota Kabinet daripada BN dalam dua setengah tahun. Ini tidak boleh jadi kerja sambilan. Ia berkehendak tumpuan sepenuh masa.Apakah Dato Seri Najib mampu menangani semua masalah-masalah ini disamping memulihkan parti-parti? Sebenarnya kredibiliti Dato Seri Najib telah banyak merosot sejak dia menjadi Timbalan Perdana Menteri dibawah pimpinan Dato Seri Abdullah.

    Dahulu Dato Seri Najib merupakan bintang yang gemilang di antara Menteri-Menteri Kabinet. Tetapi oleh kerana dia tunduk rendah kepada Dato Seri Abdullah, dengan selalunya mengia apa sahaja yang dikata dan dibuat oleh Dato Seri Abdullah, pandangan tinggi rakyat kepadanya sudah jatuh merudum. Dia perlu masa untuk memperbaiki semula imejnya. Jika daripada sekarang hingga Jun 2010 dia masih dilihat sebagai "Mr Yes" yang utama, mustahil dia akan dapat pulih imejnya.Kenyataannya yang dia berasa terharu kerana kepercayaan Dato Seri Abdullah kepadanya tidak meyakinkan sesiapa yang dia boleh ubah sikapnya. Dia akan dilihat sebagai pemimpin yang lemah yang mudah dikongkong oleh Dato Seri Abdullah. Apakah ada jaminan yang dia akan dapat bebaskan dirinya daripada Dato Seri Abdullah setelah mengambil alih? Sukar bagi kita mempercayai yang dia mampu.

    Di masa yang sama banyak tuduhan yang dilemparkan terhadapnya.Dalam keadaan ini pemulihan UMNO, BN, MCA , MIC, Gerakan dan PPP tidak mungkin dijayakan sebelum Pilihanraya Umum ke-13.Dato Seri Abdullah harus tahu bahawa akhirnya rakyat yang akan menentukan siapa menang dan siapa kalah.Hari ini Dato Seri Abdullah boleh paksa, ugut, sogok ahli dan pemimpin UMNO untuk ikut kehendaknya, untuk sokong apa sahaja yang dikatakan olehnya, atau yang dibuat olehnya.Tetapi seperti pada Pilihanraya Umum ke-12, ahli UMNO dan BN, penyokong biasa UMNO dan BN dan mereka yang secara terbuka pandang jijik kepada kepimpinannya akan tolak UMNO dan BN.Percayalah jika UMNO dan BN hendak dipulih supaya tidak kalah lebih teruk dalam Pilihanraya Umum ke-13 berbanding Pilihanraya Umum ke-12 Dato Seri Abdullah perlu letak jawatan sekarang juga.

    Biarlah ada pertandingan untuk jawatan-jawatan presiden, timbalan presiden dan lain-lain dalam Mesyuarat Agong Disember ini.Siapa juga yang dipilih hendaklah diasingkan daripada Dato Seri Abdullah supaya pengaruhnya dan ketamakan konco-konconya tidak lagi dapat merosakkan Negara.Apabila ini berlaku maka kepemimpinan baru dan seluruh jentera parti boleh digerak dengan semangat yang baru untuk berusaha menarik balik ahli dan penyokong yang telah undi parti lawan atau merosakkan undi pada Pilihanraya Umum ke-12.Kerajaan perlu disusun semula supaya dapat menghadapi dan mengatasi masalah ketidakstabilan politik, masalah ekonomi yang telah rosak dan tekanan politik dan ekonomi dari luar negeri.Ahli UMNO yang sudah di sedapkan oleh kenyataan Dato Seri Abdullah perlu fikir dengan mendalam.Jika kerana diri sendiri hendak senang Parti UMNO biar dihancurkan, generasi sekarang dan akan datang akan kutuk kamu. Janganlah kerana duit RM100, kain pulikat dan sejadah, bangsa sendiri dijual.

    Janganlah utamakan kepentingan diri, keinginan untuk jadi menteri, untuk mendapat kontrak bagi diri sendiri, maka bangsa dan maruah dijual.Ingatlah beberapa Menteri Besar yang begitu yakin mereka akan terus jadi MB, akan terus mengagih peluang jadi Exco, peluang untuk kekayaan dan dengan itu menyatakan dengan kuat sokongan mereka kepada Dato Seri Abdullah, Presiden UMNO, hari ini jadi ketua pembangkang, terpaksa tinggal mahligai mereka dan tidak boleh beri gula-gula kepada yang mencium tangan mereka.Dan Dato Seri Abdullah sendiri harus ingat parti lawan hanya memerlukan 30 kerusi sahaja lagi untuk menang pilihanraya. Sokongan oleh ahli yang setia secara buta tuli tidak mencukupi untuk menang. Sokongan penyokong yang bukan ahli diperlukan.Di masa yang sama jikalau calon-calon parti komponen tidak menang kerana orang Cina dan India tidak suka pada Dato Seri, justeru itu menolak MCA, MIC, Gerakan dan PPP, BN tidak akan menang Pilihanraya Umum ke-13, Dato Seri tidak akan dapat memberi gula-gula lagi.

    Ingatlah kalau UMNO kalah Pilihanraya Umum ke-13, ia tidak akan kembali berkuasa walau siapa pun yang memimpinnya.Sedarlah akan hakikat ini semua. Jika Dato Seri kalah, UMNO dan BN kalah, generasi ini dan akan datang akan kutuk Dato Seri, pemimpin dan ahli-ahli UMNO.

    Ratu Venezuela dinobat Miss Universe 2008


    Dayana Mendoza melambai ke arah penonton selepas dimahkotakan sebagai Miss Universe 2008 pada pertandingan akhir kali ke-57 di pusat peranginan Nha Trang, Vietnam, semalam.


    NHA TRANG, Vietnam 14 Julai - Ratu Cantik Venezuela, Dayana Mendoza, 22, dinobatkan sebagai Miss Universe 2008 apabila berjaya mengetepikan empat peserta lain pada peringkat akhir pertandingan ratu cantik berprestij tersebut di sini, hari ini.

    Mendoza yang menjadi peserta pilihan di kalangan pemerhati dan pelayar Internet pertandingan itu, diiktiraf sebagai pemenang selepas memuaskan hati para juru ketika menjawab soalan mengenai perbezaan antara lelaki dan wanita.

    Beliau yang mengenakan gaun malam berwarna kuning itu tidak dapat menahan air mata selepas pengacara majlis yang juga hos talkshow terkemuka Amerika Syarikat (AS), Jerry Springer mengumumkan namanya sebagai pemenang.

    Gadis manis itu berjaya mengenepikan saingan peserta Colombia, Taliana Targas; Republik Dominica, Marianne Cruz Gonzales; Rusia, Vera Krasova dan Mexico, Elisa Najera pada peringkat akhir tersebut.

    Mendoza turut memenangi pelbagai hadiah menarik termasuk wang tunai, kontrak setahun untuk mempromosikan Miss Universe, pakej pelancongan ke seluruh dunia, sebuah apartmen mewah di New York selain pakaian dan kosmetik berjenama terkenal.

    Bagaimanapun, pertandingan tersebut dikejutkan dengan insiden melibatkan peserta Amerika Syarikat (AS), Crystle Stewart yang terjatuh sewaktu menggayakan gaun malam.

    Pada tahun lalu sewaktu pertandingan di Mexico, Ratu AS ketika itu, Rachel Smith turut tergelincir dan jatuh terduduk, juga sewaktu menggayakan gaun malam.

    Venezuela sememangnya terkenal dengan pertandingan ratu cantik yang diadakan termasuk di peringkat kampung, sekolah malah di penjara.

    Peserta dari negara itu sebelum ini pernah merangkul empat gelaran Miss Universe dan lima gelaran Miss World.

    Vietnam menjadi negara komunis pertama di dunia yang menjadi tuan rumah acara yang ditonton oleh ratusan juta penonton.

    "Keadaan di Vietnam juga seperti di Venezuela. Tetapi tidak kira apa yang berlaku, anda tetap mempunyai alasan untuk memberikan senyuman kerana kita berkongsi bagi menjadikan negara kita hebat. Saya suka Vietnam," katanya.