Sunday, June 29, 2008

Anwar kreatif cipta kontroversi – Khairy

(Sumber Utusan Malaysia) TEMERLOH 29 Jun – Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menyifatkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim seorang ahli politik yang `kreatif’ dalam meraih simpati masyarakat terhadapnya.

Katanya, bekas Timbalan Perdana Menteri itu sanggup melakukan apa sahaja taktik untuk menarik perhatian masyarakat kononnya nyawanya terancam.‘‘Saya sendiri tidak menolak kemungkinan Anwar sendiri yang menyuruh pembantunya itu membuat laporan polis dan ini adalah satu taktik konspirasi beliau untuk meraih simpati orang ramai,” kata Khairy.Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa menghadiri perjumpaan dengan ahli-ahli Pemuda UMNO Bahagian Temerloh, di sini hari ini.Beliau mengulas laporan akhbar mengenai tindakan seorang pemuda yang membuat laporan polis mendakwa dia diliwat oleh Anwar di ibu negara.

Pemuda berusia 23 tahun itu dan merupakan pembantu khas kepada Anwar telah membuat laporan di Balai Polis Travers pada pukul 5.45 petang Khamis lalu.‘‘Kononnya nyawa (Anwar) diancam, Anwar kini berlindung di Kedutaan Turki dan taktiknya bersembunyi di kedutaan asing mengiyakan pandangan sesetengah pihak selama ini beliau bersekongkol dan bekerjasama dengan kuasa asing.‘‘Sepatutnya, jika benar nyawanya terancam, Anwar hendaklah membuat laporan polis dan bukannya berselindung di kedutaan asing di negara sendiri,” kata beliau.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan taktik tersebut dan sebaliknya biarlah polis membuat siasatan mengenai dakwaan tersebut.

Otak-otak Che Wan - Otak-Otak Kemaman

Otak-otak Che Wan dijual hampir 5,000 keping sehari. Kerana kelainan rempah dan isi ikan yang segar, pelanggan datang seawal pukul 12 tengah hari biarpun ia hanya dibuka 2 petang.




PERTAMA kali dibawa ke warung Otak-otak Che Wan di Pantai Teluk Mak Nik, Kemaman, Terengganu, mata membuntang melihat longgokan 'sarung' otak-otak yang ditinggalkan pelanggan di atas meja.Ada kira-kira 20 buah meja di warung ini, tiada satu pun yang kosong. Jam di tangan baru menunjukkan pukul 4.30 petang. Niat hati untuk membeli dan membawa balik otak-otak yang menjadi kegemaran ramai itu juga dikecewakan."Maaflah dik. otak-otak sudah habis. Satar pun dah tak ada. Adik cubalah mi calong kami," pujuk salah seorang pekerja restoran itu.


RESIPI rempah otak-otak Che Wan yang kini menjadi sebutan merupakan inisiatif Tengku Sulong, seorang keturunan kerabat diraja Terengganu.

Alasan datang dari jauh iaitu Kuala Lumpur tidak dapat menyelamatkan keadaan. Bukan tidak mahu menerima cadangan itu, tetapi teringin benar mengetahui punca 'kegilaan' orang ramai terhadapnya.Menjenguk ke gerai otak-otak yang berbaris di sebelah kiri dan kanannya, suasana tidak semeriah restoran ini. Pelanggan datang bertali arus dan tidak pernah putus."Kami bukan tidak mahu menambah stok tetapi menyediakan 5,000 keping otak-otak sehari sungguh memenatkan. Bukan sekadar membakar, tetapi proses pembuatan melibatkan penyediaan rempah, isi ikan dan membungkusnya."Itu belum termasuk menyediakan 3,000 bungkus satar dan memenuhi tempahan daripada luar," jelas pengusaha otak-otak jenama Che Wan, Che Wan Sainah Che Wan Aziz, 47.Mula beroperasi dari pukul 2 petang hingga 7 malam setiap hari, kunjungan krew EKSTRA ke restoran itu bagaimanapun menyaksikan pelanggan datang seawal 12 tengah hari.

CHE WAN SAINAH berharap produknya boleh diedar ke luar negara suatu hari nanti.


"Kalau pelanggan datang terlalu awal, kami juga terpaksa menolak kerana bekalan otak-otak dan satar hanya akan dihantar ke sini pada pukul 2 petang," kata Sainah.Wanita ini menggunakan khidmat orang kampung untuk membungkus otak-otak dan satar di rumah masing-masing.Saya dapat melihat bagaimana sebuah bas yang dipenuhi pelancong asing 'dikecewakan' kerana mereka datang satu jam lebih awal dari waktu operasinya.Menurut Sainah, kelainan otak-otak Che Wan terletak pada rempahnya yang dihasilkan sendiri berbanding kebanyakan peniaga lain yang mendapatkan rempah daripada pengeluar tertentu. Ikan yang digunakan pula ialah ikan tenggiri yang segar dan terpilih."Sebanyak 16 kilogram ikan tenggiri digunakan untuk menyediakan semaksimum 5,000 keping otak-otak sehari. Semua kerja penyediaan dilakukan secara manual termasuk untuk mengasingkan isi ikan daripada tulangnya," jelas Sainah.


ANAK-ANAK berusia seawal 10 tahun tidak melepaskan peluang memeriahkan aktiviti di restoran yang sentiasa sibuk ini.


Malah untuk mengawal kualiti Sainah, memastikan tiada lebihan otak-otak semalam dijual kepada pelanggan pada keesokan harinya.

Katanya, biarlah 35 sen yang dibelanjakan pelanggan untuk setiap keping otak-otak itu berbaloi dan diingati setiap kali berkunjung ke Kemaman.Mendapatkan bekalan ikan daripada dua pembekal tetap, 100 kilogram ikan tenggiri diperlukan untuk memenuhi keperluan pembuatan otak-otak selama empat hari dan 100 kilogram ikan 'satar' untuk keperluan membuat satar sehari."Dengar seperti banyak tetapi daripada 100 kilogram itu, hanya 30 kilogram isi ikan satar yang dapat diperoleh," ujar Sainah.Tatkala daun kelapa yang garing terbakar dikopek, aroma rempahnya menyusup rongga hidung, galak merangsang perembesan jus gaster di dalam perut.


PELANGGAN datang mencari otak-otak dan satar seawal pukul 12 tengah hari.


Keasyikan menikmati isi ikan bersalut rempah ini bagaikan tidak berpenghujung, malah boleh membuatkan seseorang itu ketagihan.Patutlah pengunjung tidak segan untuk menempah hidangan tambahan sehingga berlonggok sarung otak-otak di atas meja!

Terlibat dalam perusahaan ini sejak 28 tahun lalu, Sainah berkongsi perkembangan perniagaan keluarganya ini.Menurut beliau, otak-otak yang dijual ini sebenarnya diperturunkan oleh dua generasi terdahulu.

"Sewaktu zaman mak saya, kami hidup susah. Kami daripada keluarga nelayan walaupun datuk saya, Tengku Sulong, ialah daripada keturunan kerabat diraja Terengganu. Saya pernah menolong mak membakar otak-otak di atas tanah dan menjajanya di Kampung Tengah, Kemaman."Berbekalkan modal RM40, mak dan ayah buka kedai dan berhutang dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk menyewa tapak kedai."Hendak buat pinjaman dengan bank, kami tidak ada apa-apa untuk dicagarkan. Keuntungan kami pada waktu itu hanyalah RM15 sehari," kenangnya.Sepanjang membesar, Sainah tidak pernah berhenti membantu ibu dan bapanya mengusahakan kedai mereka. Mempelajari kesusahan itu, keluarganya bagaikan dilatih untuk berjimat cermat sehingga membolehkan mereka menyimpan sebanyak RM300 sebulan.


MI calong buatan Che Wan Nik menambah daya tarikan restoran ini.


"Pada waktu itu kami simpan duit di bawah bantal saja," tambah anak ketiga daripada tujuh adik-beradik ini.Pada tahun 1994, sebidang tanah dibeli di Pantai Teluk Mak Nik pada harga RM26,000. Tidak ada barang kemas di badan, mereka berhabis RM50,000 pula untuk membuka restoran yang pada hari ini menjadi destinasi sesiapa saja yang singgah di Kemaman.Restoran yang berupa seperti sebuah medan selera ini bukan sekadar menjual otak-otak dan satar tetapi turut menghidangkan mi calong, nasi air, sotong celup tepung, pais, dan produk berasaskan ikan yang lain seperti keropok keping dan ikan kering.Menariknya, setiap produk yang ditawarkan dikendalikan oleh individu yang merupakan ahli keluarga Sainah sendiri.

Suami Sainah, Alias Jambol, 50, seorang bekas kakitangan Jabatan Perikanan Kemaman, membantunya menyediakan dan membakar otak-otak. Kakak iparnya, Che Wan Nik Che Wan Long, merupakan pengusaha mi calong, mi kari dan nasi air yang cukup enak dan istimewa kerana menggunakan resipinya sendiri.Sotong dan ikan goreng yang berbalut tepung rangup dan berempah juga menggunakan resipi ciptaan adik angkat Sainah, Sharifah Mazlina Syed Sohor.

Pais, ikan yang dikukus bersama sambal, yang dinikmati bersama pulut daun palas dan merupakan resipi ibu Sainah, Tuan Senong Tuan Hitam, kini dipraktik anak sulungnya, Shamrol Izrat, 29.Kaunter air pula diusahakan Sainah sendiri sementara gerai produk berasaskan ikan merupakan idea adiknya, Che Wan Sujuha.Hanya adiknya yang keempat, Che Wan Salmi berhijrah ke Kuala Lumpur dan mengusahakan Restoran Ulik Mayang yang terletak di Gombak, Selangor.