Portal mengasuh anak
Laman sesawang istimewa ini menjadi wadah perkongsian maklumat para ibu dengan pakar-pakar perubatan dan wanita lain.
SUHU badan yang agak panas, dengan tangisan tanpa henti seorang bayi boleh membuatkan mana-mana ibu gusar melihat anaknya yang tidak berdaya menyuarakan kesihatan yang dialami.
"Pada mulanya saya menyangka ia mungkin kerana anak saya sedang tumbuh gigi ataupun perutnya berangin.
"Kegusaran saya bertambah dan terlintas di hati persoalan mungkinkah ia sesuatu yang lebih serius?" kata Ritzzamoni Rosli, 30, mengimbau semula peristiwa yang berlaku pada anaknya Ros Aqidah Rosaimi yang kini berusia setahun.
Mengakui tidak mengetahui sebarang maklumat mengenai penyakit pneumonia, Ritzzamoni dan suaminya, Rosaimi Yusoff, 34, tidak menyangka jangkitan paru-paru itu akan berlaku pada anak mereka yang pada ketika itu berusia tiga bulan.
Selepas tiga hari, bayi tersebut tidur selama empat jam tanpa sedar dan akan menangis kuat apabila disusukan.
"Pada ketika itu, saya sedar yang dia mempunyai kesukaran bernafas dan terus membawanya ke klinik untuk diperiksa. Di sana, doktor menyarankan agar saya membawa Ros Aqidah ke hospital untuk pemeriksaan lanjut," kata Ritzzamoni yang memaklumkan anaknya kemudian dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi.
"Waktu Ros Aqidah berada di hospital merupakan saat yang sukar untuk kami, terutama apabila melihat anak kita sakit dan kita sebagai ibu tidak terdaya membantunya.
Tidak mahu hanya melihat, ibu ini kemudian mengambil langkah proaktif dengan membuat kajian sendiri mengenai penyakit pneumonia.
"Melalui bacaan yang dibuat, saya mendapati terdapat vaksin yang direka khas untuk memberikan perlindungan kepada bayi dan kanak-kanak terhadap penyakit itu.
"Setelah Ros Aqidah sembuh, saya dan suami mengambil langkah agar anak-anak kami tidak mengalami nasib yang serupa dengan mendapatkan imunisasi yang diperlukan," kata beliau yang mengakui sungguhpun ia agak mahal, tetapi ia adalah suatu perkara berbaloi berbanding melihat anak yang terlantar sakit.
Semenjak peristiwa itu, Ritzzamoni, memegang hasrat untuk berkongsi pengalaman dan ilmu yang dimiliki kepada ibu bapa lain.
"Saya mengesyorkan agar orang ramai mendapat seberapa banyak maklumat yang boleh, bukan sahaja melalui perbicaraan dengan pakar-pakar perubatan, tetapi juga pengalaman ibu bapa lain dan bahan-bahan bacaan yang ada.
"Pengalaman yang ditimba harus dikongsi agar kesedihan dan kegusaran yang sama tidak berlaku pada keluarga lain, serta mereka mendapat sokongan yang diperlukan," kata Ritzzamoni semasa pelancaran ProActive Parent Group (PAG), sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO) yang membolehkan ibu bapa di negara ini berkongsi pelbagai topik seperti kesihatan, pendidikan, pemakanan dan isu keselamatan demi kesejahteraan anak-anak mereka yang diadakan di Petaling Jaya, baru-baru ini.
|
VIMALA SIVA |
PAG juga merupakan sebuah NGO yang berusaha secara kolektif untuk memperjuangkan isu kanak-kanak di Malaysia.
Organisasi itu berteras pada empat rukun 'P' dalam bahasa Inggeris. Prinsip tersebut merupakan prinsip asas PAG dalam membentuk asas keluarga bahagia, dengan setiap rukun menggalakkan asuhan positif dan pendidikan anak-anak.
*Protect my body atau lindungi badan saya - Menyentuh mengenai pemakanan kanak-kanak
*Protect my mind atau lindungi minda saya - Berkenaan pendidikan dan pengkayaan mental kanak-kanak.
*Protect my family atau lindungi keluarga saya - Membincangkan isu keselamatan kanak-kanak
*Protect my life atau lindungi hidup saya - Memberi pendedahan mengenai kesihatan kanak-kanak.
Maklumat dan sumber kolektif ini akan disebarkan melalui portal www.PAGonline. org untuk dikongsi dan kegunaan orang ramai dan ahli-ahli PAG.
"Kewujudan portal seumpama ini adalah amat berguna kepada sesiapa sahaja kerana jika tidak sekarang, suatu hari kelak kita semua akan menjadi ibu bapa ataupun penjaga.
"Berkongsi ilmu dan pengalaman memberikan pendedahan yang amat berguna kepada mereka yang lain kerana ada kalanya kita tidak dapat bertanya pakar-pakar perubatan mengenai masalah yang dihadapi," kata Ritzzamoni.
Sentimen yang sama turut diperkatakan oleh Vimala Siva Wilkinson, ibu kepada dua orang cahaya mata dan juga jurucakap tetamu PAG.
"PAG menjadi wadah saluran untuk ibu bapa belajar dan berkongsi pengetahuan, membantu ibu bapa lain dan diri mereka sendiri agar lebih prihatin dan bertanggungjawab.
"Organisasi ini meluaskan wawasan kami dengan menyediakan saluran untuk ibu bapa berkongsi petua dan nasihat berkaitan asuhan anak-anak dalam persekitaran semasa, sambil membaca kandungan interaktif percuma di laman web," kata Vimala.
Tambah beliau, "PAG percaya bahawa adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa, pembekal perkhidmatan kesihatan, NGO, pembuat dasar dan media untuk mempengaruhi pendedahan kanak-kanak kepada 4P.
"Sumber yang ditawarkan memberi keupayaan kepada semua untuk dikongsi bersama keluarga dan anak-anak."
Selain kandungan rencana yang disiarkan dari semasa ke semasa, ahli-ahli PAG juga boleh memuat turun bahan pembelajaran untuk anak-anak dan berinteraksi dengan ibu bapa lain menerusi forum dalam talian.
"PAG adalah panggilan untuk bertindak kepada semua - untuk membantu menangkis tanggapan karut tentang kanak-kanak dan menyediakan alat campur tangan awal yang berharga kepada ibu bapa dan penjaga," kata Bruce Langoulant, Pengerusi The Meningitis Centre Australia dalam satu kenyataan.
Beliau menambah, "Jika PAG dapat mempengaruhi sekurang-kurangnya seorang ibu bapa atau penjaga supaya mengambil tindakan untuk melindungi keluarga mereka, bermakna kita sudah berjaya."
Sementara itu, Azrina Zizal, ahli panel pengasas PAG menambah: "PAG menyediakan alat yang berguna untuk ibu bapa di Malaysia, terutama ibu bapa muda, yang sentiasa dicabar dalam mengasuh anak-anak mereka pada zaman ini.
"Saya berharap ibu bapa seronok menyertai PAG kerana laman web ini adalah untuk mereka."
No comments:
Post a Comment