Keperluan telefon bimbit
BERADA dalam persekitaran yang in bermaksud bercampur dengan kanak-kanak popular, dijemput ke majlis-majlis keramaian atau mengenakan fesyen terkini.
Dengan kecanggihan dunia teknologi maklumat, telefon bimbit sudah menjadi kaedah terbaru untuk remaja berhubung. Jadi, jika anak anda tidak mempunyai sebuah telefon bimbit, dia mungkin kelihatan seolah-olah ketinggalan zaman.
Biar pun anak perempuan mungkin akan menyifatkan keperluannya untuk memiliki sebuah telefon bimbit sebagai cool, kebanyakan ibu bapa lebih mementingkan soal keselamatan ketika membeli sebuah telefon bimbit.
Sebelum anda membeli telefon, mungkin anda perlu pertimbangkan juga faktor usia anak, kos telefon bimbit dan perkhidmatannya.
Anda juga perlu memastikan adakah anak anda cukup matang untuk mematuhi peraturan atau etika yang ditetapkan.
Biar pun belum ada formula tepat untuk menggunakan telefon bimbit, purata umur mereka yang memperoleh telefon bimbit adalah antara 14 hingga 16 tahun.
Untuk mengenal pasti sama ada anak anda memerlukan sebuah telefon bimbit atau pun tidak, pertimbangkan juga gaya hidupnya.
Jika dia banyak menghabiskan masa di rumah atau di depan komputer, menonton televisyen atau bergayut pada telefon, maka, telefon bimbit mungkin bukan satu keperluan.
Pada masa yang sama, jika tumpuannya banyak dihabiskan untuk latihan-latihan bersukan atau aktiviti selepas waktu bersekolah, anda mungkin memerlukan telefon bimbit untuk berhubung.
Dewasa ini, telefon-telefon bimbit dilengkapi dengan pelbagai kemudahan tambahan. Antaranya kamera, pemain video, perakam dan sebagainya.
Telefon bimbit kini membolehkan anda memuat turun lagu, menghantar sistem pesanan ringkas (SMS) mahu pun melayari laman-laman web.
Namun, pastikan anda tidak dikejutkan dengan bil telefon yang diterima. Letakkan beberapa syarat penting.
Pastikan anda memberitahu anak tentang perkhidmatan telefon yang anda bayar dan yang perlu ditanggung oleh anak.
Mungkin perkhidmatan prabayar alternatif terbaik untuk memastikan kos panggilan tidak melebihi kemampuan masing-masing.
Jangan sesekali membuat andaian bahawa anak perempuan tahu etika menggunakan telefon bimbit.
Ramai di kalangan orang dewasa juga menghadapi masalah dalam soal ini. Jadi, tidak mustahil jika anak anda masih memerlukan bantuan ibu bapa dalam aspek ini.
Tunjukkan kepada anak bahawa telefon perlu ditutup apabila berada di tempat-tempat yang boleh menganggu orang lain khasnya di panggung wayang, rumah ibadat dan bilik darjah.
Anak juga perlu dinasihatkan supaya tidak bergayut di telefon.
Telefon bimbit turut mendedahkan kanak-kanak kepada risiko spam, jenayah dalam talian, pembuli siber dan virus-virus telefon.
Maklumat-maklumat dalam telefon bimbit dengan mudahnya mendedahkan anak kepada risiko ini jika ia turut dibekalkan dengan kemudahan Internet.
Setakat ini, perisian pelindung virus masih banyak yang perlu dipertingkatkan kualitinya.
Jadi, ibu bapa perlu lebih peka terhadap keselamatan anak apabila menggunakan kemudahan Internet menerusi telefon bimbit.
Berikan peringatan di bawah kepada anak:
* Jangan sesekali memberi nombor telefon kepada orang yang tidak dikenali.
* Elakkan membalas SMS kepada penghantar yang tidak dikenali.
* Hanya melayari laman-laman web yang dibenarkan ketika menggunakan komputer di rumah.
* Belajar cara menghalang panggilan yang tidak dikehendaki.
* Gunakan alat bebas tangan ketika memandu.
No comments:
Post a Comment