Sunday, August 31, 2008

Sambutan Merdeka 51 bukti Malaysia Berjaya

Sambutan Hari Kemerdekaan teraskan perpaduan
31-08-2008 12:49:08 PM

PEMANDANGAN sambutan Hari Kemerdekaan Ke-51 di Dataran Merdeka bermula dengan perbarisan masuk Jalur Gemilang di hadapan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah, hari ini. --fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Perbarisan ulang tahun ke-51 ulang tahun kemerdekaan negara peringkat nasional di Dataran Merdeka di sini hari ini bukan sahaja meliputi pelbagai bangsa dan agama, malah juga merangkumi pelbagai peringkat umur.

Buat pertama kali kontinjen paling muda, seramai 150 pelajar pra sekolah turut menyertai perbarisan dan perarakan raksaksa ini yang disertai 16,433 peserta termasuk pesara polis.

Bertemakan "Perpaduan Teras Kejayaan", perhimpunan perbarisan bermula sebaik sahaja keberangkatan tiba Yang diPertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin serta Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah.

Sebelum itu Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bersama isteri Datin Seri Jeanne Abdullah tiba dengan memandu sendiri kereta elektrik inisiatif Malaysia Proton Persona putih.

Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor tiba dengan memandu sendiri kereta Proton Savvy berwarna merah.

Acara perhimpunan dan perbarisan dimulakan dengan berkumandangnya lagu NegaraKu yang turut diiringi dengan lintas hormat udara oleh helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dengan membawa Jalur Gemilang dan bendera Angkatan Tentera Malaysia sambil melepaskan asap berwarna merah, biru dan kuning, warna bendera Malaysia.

Tuanku Mizan turut berkenan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota Satu Rejimen Askar Melayu Diraja.

Majlis diteruskan dengan upacara menaikkan Jalur Gemilang serentak dengan nyanyian lagu "Negaraku" dan tembakan meriam 14 das.
Acara seterusnya diikuti dengan lagulagu patriotik Jalur Gemilang, Cemerlang, Gemilang, Terbilang, dan lagu tema sambutan "Perpaduan Teras Kejayaan", disampaikan oleh 2,000 peserta kumpulan koir dari institusi perguruan.

Upacara bacaan ikrar "Rukun Negara" dilakukan oleh tujuh pelajar sekolah menengah yang mewakili pelbagai kaum di negara ini diketuai oleh Mohd Hafizul Akhmal Azeman yang disusuli dengan laungan "Merdeka" sebanyak tujuh kali.

Dataran Merdeka kemudiannya bertukar suasana menjadi lebih meriah apabila seramai 2,880 orang pelajar sekolah menyajikan persembahan padang yang penuh warnawarni bertemakan "Perpaduan Teras Kejayaan" yang merangkumi gabungan persembahan puisidra (puisi dan drama), kawad formasi dan seni mempertahankan diri serta senamrobik yang diselang seli dengan pembentukan 'grafik manusia' oleh para pelajar sekolah sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Perbarisan dimulakan dengan perarakan Jalur Gemilang raksaksa dan bendera negeri oleh pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) termasuk kontinjen 30 tokoh negara dalam pelbagai bidang.

Mereka termasuk angkasawan negara Datuk Dr. Sheikh Muszapahar Shukor, jurulatih badminton negara Datuk Misbun Sidek, aktivis masyarakat Tan Sri Lee Lam Thye dan aktivis alam sekitar Karam Singh Walia yang diarak dengan kereta buatan nasional sebagai penghargaan atas sumbangan mereka kepada negara.

Perbarisan hampir dua jam yang berakhir pada pukul 10.10 pagi ini turut disaksikan ribuan rakyat Malaysia termasuk pelancong yang mula membanjiri Dataran Merdeka seawal pukul 6.30 pagi selain jutaan lagi yang menonton menerusi siaran langsung di televisyen.

Di TERENGGANU, buat julung kalinya sambutan Hari Kebangsaan diadakan di Taman Bandar Chukai, Kemaman dengan disertai 220 pasukan terdiri daripada pelajar sekolah rendah dan menengah, pasukan tentera, polis, jabatan kerajaan dan badan berkanun, Jawatankuasa Keselamatan, Kemajuan dan Kebajikan Kampung (JKKKK) dan sektor swasta.

Turut berangkat ke majlis tersebut ialah Ahli Majlis Penasihat Pemangku Raja Tengku Sri Laksamana Raja serta isteri dan Menteri Besar Datuk Ahmad Said bersama barisan Exco dan ketuaketua jabatan.

Selain perarakan yang disertai oleh 10,000 orang, beberapa persembahan diadakan termasuk persembahan tarian perang oleh Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), lompat tali berirama oleh pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kompleks Gong Badak, dan senaman Tai Chi oleh kakitangan Yayasan Pembangunan Keluarga.

Di SABAH, 150 kontinjen yang terdiri daripada pelajar sekolah, institusi pengajian tinggi, kakitangan kerajaan dan swasta dan badan bukan kerajaan dan 17 kumpulan berkenderaan menyertai acara perbarisan Hari Kebangsaan di Kota Kinabalu.

Majlis sambutan itu dihadiri Yang diPertua Negeri Tun Ahmad Shah Abdullah.

Turut hadir Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman dan menterimenteri kerajaan negeri yang lain.

Pelbagai acara diadakan bagi memeriahkan sambutan itu termasuk persembahan puisi dan kebudayaan oleh kakitangan Lembaga Kebudayaan Sabah.

No comments: