Sunday, August 31, 2008

Mata aset paling berharga

Setelah dilantik sebagai duta jam tangan Roscani, bagaimana rutin Farah Asyikin?





Apabila lagu-lagu seperti 1,000 Penipuan, Fantasi, Cinta, Get Happy dan Dari Sini Ke Bintang-Bintang berkumandang di radio, wajah penyanyi genit Farah Asyikin pasti terlintas di fikiran.

Kelunakan suara dan energi persembahannya tidak boleh disanggah lagi apabila gelaran Artis Wanita Terbaik di Anugerah Planet Muzik 2008 berjaya menjadi miliknya.

Pada awal pembabitan Farah dalam bidang seni, wanita 29 tahun itu muncul dengan lagu Kembali Lagi Di Sisimu dalam projek album Bebas terbitan Salem Cool Planet. Bagaimanapun, Farah terus menyepikan diri selepas itu.

Tidak lama kemudian, nama Farah Asyikin melonjak semula dengan kemunculannya dalam program realiti Malaysian Idol 2 (MI2) dan One In A Million (OIAM) sekali gus memberikan kekuatan pada dirinya untuk terus meraih kedudukan dalam industri seni tanah air.

Dihambat dengan beberapa kontroversi terutamanya mengenai kegagalan rumah tangganya, Farah cekal meneruskan kariernya.

Farah berkongsi serba sedikit pengalaman hidup dan penjagaan kecantikan bersama Stailo! baru-baru ini.

Stailo!: Bagaimana definisi cantik seorang wanita?

Farah: Kecantikan adalah sesuatu yang subjektif. Ia dinilai dari segi dalaman dan luaran. Bagi saya, keyakinan diri yang optimum dan hati adalah kecantikan mutlak seorang wanita.

Kita perlu yakin terhadap kehebatan diri sendiri. Usah membandingkan diri sendiri dengan orang lain. Selain kecantikan fizikal, hati yang tulus ikhlas dan pemikiran bernas penting.

Selain menyanyi, apakah aset paling berharga Farah?

Hmmm...tentunya mata. Mata umpama aset berharga dalam hidup saya.

Perhubungan mata penting sekali supaya lagu yang disampaikan indah didengari. Ia juga memaparkan kejujuran saya terhadap audiens.

Selain itu, keluarga juga aset saya. Tanpa sokongan kedua-dua ibu bapa dan adik-beradik maka mustahil bagi saya untuk sampai ke tahap ini.




Bagaimanakah Farah berhadapan dengan kontroversi peribadi dan kerjaya?

Bagi menghadapi tekanan, biasanya saya akan meluangkan masa melakukan meditasi. Meditasi dapat menenangkan jiwa.

Seutas tasbih istimewa turut disimpan walau di mana jua berada untuk melakukan meditasi apabila menghadapi tekanan. Saya juga akan meluangkan masa bersama ahli keluarga dengan meluahkan perasaan atau masalah yang dihadapi supaya beban yang dipikul akan ringan.

Koleksi aksesori kegemaran Farah?

Saya gemar mengumpul gelang tangan. Setiap kali membeli-belah pasti akan membeli pelbagai jenis gelang tangan yang sepadan dengan baju-baju yang dibeli.

Biasanya, saya suka gelang yang bersaiz besar jenama British India dan Cat Wiskers.

Kebanyakan koleksi baju pula terdiri daripada warna hitam, maka saya lebih banyak membeli gelang tangan berwarna terang.

Sehingga kini, kira-kira 30 jenis gelang tangan telah memenuhi almari saya. Bedak kompak dan pengilat bibir merupakan teman setia saya. Kedua-dua produk ini sentiasa berada dalam beg tangan.

Apakah pengalaman yang dikutip sebagai duta jam tangan Ruscani?

Rutin harian Farah berubah sama sekali. Saya terima tawaran ini kerana Roscani merupakan jenama yang sudah ada nama dan bertahan lama di pasaran antarabangsa.

Selepas ini saya akan sibuk dengan sesi jelajah ke seluruh negara yang dirancang oleh pihak Roscani. Saya juga akan mengadakan promosi di beberapa negara Asia lain. Saya akan memikul tugas sebagai duta Roscani ini selama setahun.

No comments: