Thursday, September 4, 2008

Samad adalah utusan dan utusan adalah samad ismail


A. Samad Ismail, bekas Timbalan Ketua Pengarang Utusan Melayu mempunyai episod kehidupan yang berwarna-warni.


Sekalipun Tokoh Wartawan Negara, Abdul Samad Ismail telah meninggalkan Utusan Melayu lama sebelum pemergian abadinya dengan bertugas di akhbar-akhbar lain tetapi tidak ada suatu zaman yang lebih besar dan lebih bererti sepanjang 84 tahun usianya kecuali hari-harinya di Utusan Melayu selama lebih 17 tahun.

Hari-hari inilah yang terus memburu hidupnya, menjadi ceritanya sepanjang masa, mempengaruhi dan membentuk keperibadiannya, menjadi kenang-kenangan hebat, indah dan keagungan hidupnya.

Menurut riwayat isterinya Allahyarhamah Hamidah Hassan, Samad tetap orang Utusan ketika berkerja di Berita Harian dan pada satu masa Samad adalah Utusan dan Utusan adalah Samad (lihat buku A. Samad Ismail Journalisme and Politics susunan Cheah Boon Kheng).

Memulakan kariernya di Utusan Melayu di Singapura pada umur 16 tahun ketika Utusan yang dilahirkan pada 29 Mei 12939, baru berumur setahun jagung, Samad tidak sahaja sebagai wartawan tetapi juga pejuang yang berhempas pulas bersama-sama pengasas Utusan Melayu, Yusoff Ishak dan beberapa orang wartawan yang jauh lebih dewasa daripadanya untuk memastikan Utusan Melayu terus hidup sebagai suara dan wadah perjuangan bangsa.

Samad tidak mengambil kira tentang kedudukannya dalam Utusan ketika itu sehinggalah beliau ditahan di bawah undang-undang darurat pada tahun 1951 kerana kegiatan politik kirinya dalam Parti Kebangsaan Melayu (PKM) dan Putera-AMCIA. Utusan terpaksa mencari istilah nama jawatannya.

Hanya setelah dibebaskan pada tahun 1953 barulah kedudukan beliau dirasmikan sebagai Timbalan Pengarang “tetapi itu pun tanpa surat rasmi” katanya dalam tulisannya di Utusan Melayu keluaran 50 tahun pada 29 Mei 1989.

Menurutnya pada mereka yang terdidik di Utusan sebanyak sedikit nilai hidup zaman permulaan mereka di Utusan Melayu masih kekal hingga sekarang.

“Pada kami Utusan adalah warisan bangsa yang diamanahkan kepada kami untuk membela dan memperjuangkan cita-cita kebangsaan.”

Pemisahannya daripada Utusan Melayu tanpa kerelaannya menjelang kemerdekaan Malaya pada tahun I957 adalah suatu episod yang amat melukakan hatinya.

“Sampai mati pun aku tidak akan lupa aku tidak dapat melihat perayaan kemerdekaan tanah airku,” katanya kepada wartawan anak didiknya di Utusan Melayu, Allahyarham Ali Salim yang terkenal dengan panggil Jiro.

Samad dihantar menjadi wakil Utusan Melayu di Jakarta kerana menurut apa dimaklumkan kepadanya oleh Yusoff Ishak, Ketua Pengarang dan Pengarah Urusan Utusan bahawa beliau tidak disenangi oleh kerajaan Perikatan yang bakal berkuasa di Malaya dan sekiranya beliau terus mengetuai Jabatan Pengarang Utusan Melayu, Utusan tidak akan mendapat lesen cetak apabila berpindah ke Kuala Lumpur.

Bagaimanapun singa UMNO, Syed Jaafar Albar yang mempunyai hubungan baik dengan Samad pada masa itu memberitahu Samad dalam sepucuk suratnya bertarikh 2 Julai 1957 bahawa hal itu “palsu yang direka-reka oleh kapitalis – yang oportunis.”

Siapakah di belakang perancangan pertukarannya itu tidak diketahui tetapi ramai orang tahu bahawa Lee Kuan Yew, Ketua Menteri Singapura yang pernah menjadi peguam Utusan mempunyai hubungan rapat dengan Yusoff Ishak. Kuan Yew tidak senang dengan Samad yang bersekongkol dengan kumpulan kiri dalam PAP yang diketuai Lim Chin Siong. Samad adalah salah seorang pengasas PAP bersama dengan Kuan Yew tetapi kerana tidak sefahaman, beliau mengundurkan diri.

Kuan Yew melantik Yusoff Ishak menjadi Presiden Singapura yang pertama setelah beliau meninggalkan Utusan atas desakan anggota Jabatan Pengarang dan kakitangan Utusan Melayu di Kuala Lumpur dalam tahun I959.

Pak Samad tidak disenangi dan ditakuti oleh Kuan Yew mungkin kerana kepintarannya dan juga pengaruhnya yang luas di kalangan masyarakat Melayu, puak kiri daripada semua kaum termasuk kesatuan sekerja dan kalangan pelajar menengah Cina di Singapura.

Di dalam buku memoirnya yang kedua From Third World to First World, Kuan Yew mendakwa Samad sebagai anggota Parti Komunis Malaya sejak tahun 1950. Buku ini juga menceritakan peranan Kuan Yew dalam konspirasi dengan Kerajaan Malaysia bagi menahan Samad di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dalam tahun 1976 selepas kematian Perdana Menteri, Tun Abdul Razak.

Ia menampakkan dendam yang tidak berkesudahan Kuan Yew terhadap Samad sekalipun beliau telah berhijrah ke Kuala Lumpur setelah meninggalkan Utusan Melayu untuk berkhidmat dengan Berita Harian sejak 1958 apabila pulang dari Jakarta.

Di Straits Times (ST) Kuala Lumpur di samping tugas kewartawanannya, Samad meneruskan peranannya sebagai seorang nasionalis dan pejuang politik dengan merancang pengambilan alih Straits Times daripada penguasaan asing yang bertunjang di Singapura. Ini menepati apa yang dikatakan oleh isterinya Hamidah; “He was not too anxious to surrender his individuality to his new employers.”

Berbeza

Menurut Cheah Boon Kheng yang ketika itu bertugas sebagai penulis rencana di Straits Times, Samad telah mengambil kesempatan untuk meneruskan agendanya ketika tindakan perusahaan ‘kerja perlahan’ anggota Jabatan Pengarang Straits Times di Kuala Lumpur kerana tidak puas hati dengan perbezaan gaji dan lain-lain layanan kerja yang terlalu jauh berbeza dengan pegawai-pegawai asing.

Boon Kheng menulis dalam A.Samad Ismail Journalisme and Politics bahawa Samad yang merancang gerakan yang membawa kepada Perdana Menteri, Tun Abdul Razak dan Tunku Razaleigh ketika itu Menteri Kewangan mengarahkan syarikat Straits Times memindahkan pemilikannya ke tangan rakyat Malaysia.

Sebelum itu Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) yang saya sebagai Presidennya dan Hor Sai Kong daripada Straits Times sebagai Setiausaha Agungnya telah menyampaikan sebuah memorandum yang bertajuk Expatriates in The Malaysian Press kepada Perdana Menteri Tun Abdul Razak menuntut supaya wartawan tempatan mengambil alih Jabatan Pengarang Straits Times.Bagaimanapun pada mulanya kami menghadapi masalah untuk mendapat temu janji dengan Tun Abdul Razak. Saya telah menjemput Datuk Harun Idris, Ketua Pemuda UMNO Malaysia untuk bercakap di Utusan mengenai perlunya pemilikan media oleh rakyat Malaysia sendiri terutamanya akhbar Inggeris.

Oleh kerana sudah timbul bunga-bunga persaingan politik antara Datuk Harun dengan Tun Abdul Razak pada masa itu maka langkah membawa Datuk Harun ke Utusan telah membantu memudahkan pertemuan kami dengan Tun Abdul Razak. Tiba-tiba Hor Sai Kong memberitahu saya bahawa jalan terbuka sekarang.

Saya tahu siapakah yang mengaturkan pertemuan itu. Pucuk pimpinan NUJ dengan diketuai saya (Utusan Melayu) dan disertai Hor Sai Kong (Straits Times), Philip Mathews (Straits Times) dan C.C.Liew (Sin Chew) telah menemui Tun Abdul Razak di pejabatnya untuk hanya kira-kira lima minit sahaja bagi menyampaikan memorandum berkenaan yang mempunyai fakta lengkap jumlah rakyat asing dalam Jabatan Pengarang Straits Times, pendapatan mereka dan keistimewaan yang mereka dapat yang jauh lebih baik daripada rakyat tempatan dan carta jabatan pengarang yang menunjukkan bilangan dan kedudukan wartawan asing di Straits Times termasuk dari Singapura.Memoradum itu yang bertarikh 17 Januari !972 menekankan tentang ancaman terhadap pembangunan nasionalisme dan budaya Malaysia sekiranya orang asing terus menguasai Jabatan Pengarang akhbar-akhbar di Malaysia terutamanya akhbar Inggeris tetapi tidak mencadangkan pengambilahan syarikat Straits Times oleh rakyat tempatan. Saya masih menyimpan memorandum itu hingga kini.Kami tidak bercakap panjang dengan Tun Abdul Razak kerana kami yakin segala-galanya telah diterangkan lebih dahulu kepadanya oleh Samad Ismail.Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Abdullah Majid meminta supaya kami tidak menulis berita pertemuan itu tetapi saya telah menyiarkannya di muka hadapan Utusan Melayu dan Utusan Malaysia.

Tidak lama kemudian berlakulah perubahan drastik dengan nama The Straits Times ditukar menjadi New Straits Times (NST) dan jabatan pengarang dan pengurusannya disusun semula dengan memberikan kedudukan penting kepada anak tempatan. Lembaga pengarah NST yang baru dilantik terdiri daripada semuanya rakyat Malaysia. Boon Kheng menyifatkannya sebagai suatu kejayaan kudeta Samad Ismail di The Straits Times.Sesungguhnya hubungan Samad yang begitu rapat dengan Tun Abdul Razak, tidak menyenangkan beberapa pihak dalam UMNO yang mahu mencabar kedudukan Tun Abdul Razak sebagai Presiden UMNO.Dalam pertarungan ini sekali lagi Samad Ismail dimomokan memainkan peranan ‘komunis’ di belakang layar dan Kuan Yew di Singapura yang tidak senang dengan pemulihan Samad yang rapat dengan Tun Abdul Razak kemudiannya melihat ini sebagai suatu kesempatan baginya untuk menyekat kemaraan Samad dalam politik di Malaysia.

Berikutan dengan kematian Tun Abdul Razak, berlakulah tangkapan yang popular dengan panggilan “Tiga Abdul” iaitu Abdul Samad Ismail, Abdullah Ahmad dan Abdullah Majid di bawah ISA pada tahun 1976.

Ketidakpercayaan Kuan Yew pada Samad tidak pernah berakhir walaupun Samad telah berpindah ke Malaysia. Saya sendiri dapat merasakan ini apabila di akhir tahun 1964, kami wartawan-wartawan Malaysia menghadiri suatu majlis di Temasik kediaman Pesuruhjaya Tinggi Singapura di Kuala Lumpur yang diberikan oleh Kuan Yew dalam usaha merapatkan diri dengan wartawan Malaysia.Kuan Yew bertanya kepada Firdaus Abdullah (sekarang Profesor Datuk Firdaus) dalam bahasa Melayu: Saudara dari mana? Bila Firdaus memberitahu bahawa dia dari Berita Harian, Kuan Yew terus bertanya kenapa Samad tidak datang dan Firdaus memberitahu ‘dia melawat’ US Seventh Fleet yang berlabuh di Filipina atas jemputan. Dengan spontan Kuan Yew berkata “Habislah rahsia Amerika dia tahu.”

Saya hanya berkesempatan bergaul dengan Samad sesekali ketika mengikuti lawatan Tun Abdul Razak ke negeri-negeri Pantai Timur di awal 1970-an di mana saya sedikit sebanyak dapat menyelami perasaannya terhadap Utusan dan nasionalismenya. Saya lebih banyak tahu mengenainya dari wartawan yang pernah bersama berkerja dengannya seperti Jiro, Mazlan Nordin, Pak Melan dan mereka yang pernah berkerja di bawahnya.

Nama besar

Samad telah meninggalkan nama-nama besar anak didikannya dalam dunia kewartawanan dan kesusasteraan dan juga politik tetapi beliau tidak pernah mendakwa mendidik mereka menjadi besar dalam dunia masing-masing dengan sifat kerajinan, kesungguhan, komitmen dan dedikasi yang merupakan keperibadian Samad. Antara mereka ialah sasterawan dan wartawan Keris Mas, Osman Awang, Mazlan Nordin, Melan Abdullah, Osman Wok, Azhari Taib, Samad Idris, Osman Abadi dan ramai lagi.Mazlan Nordin (Tan Sri) masih gigih membaca dan menulis hingga ke hari ini.Samad yang memperkenalkan Hadiah Kajai yang merupakan hadiah tertinggi kepada wartawan Malaysia terulung menerusi Institut Akhbar Malaysia (MPI) sebagai menghargai mahagurunya dalam dunia kewartawanan ketika usia mudanya di Utusan Melayu.

Dalam tulisannya sempena keluaran khas Utusan Melayu 29 Mei I989 sempena Utusan Melayu 50 tahun di bawah tajuk Mengenang suatu zaman yang begitu besar, Samad berkata “Daripada Kajai saya belajar budaya kerja, nilai profesional saya, komitmen kepada bidang hidup saya dan saya rasa tanpa ketegasan Yusoff Ishak barangkali Utusan tidak akan survive.Beliau telah memberikan corak dan bentuk pimpinan yang diperlukan oleh Utusan di zaman itu; “tegas dan keras.”

Samad melihat mereka yang berkerja dengan Utusan di zamannya merasakan “Utusan melambangkan segala yang luhur, mulia dan suci daripada perjuangan bangsa.”

Sesuatu yang saya ulangi membacanya berkali-kali dan mengharukan perasaan saya ialah bahagian terakhir tulisannya itu yang berbunyi:

“Seperti seorang ayah atau ibu yang lebih suka mengenang anaknya yang besar dan yang sudah dewasa, seolah-olah anaknya itu masih berusia enam tahun maka begitulah saya lebih berminat melihat Utusan bukan dalam bentuk dan rupanya sekarang, pada saat ini tahun I989 tetapi Utusan dalam zaman remajanya dan dalam zaman kecilnya.“Mungkin kerana saya ingin mengenang ciri ciri manis sahaja daripada sejarah Utusan, atau mungkin saya keberatan menghadapi kenyataan sebenarnya bahawa di sebalik yang manis,terselip juga yang pahit.“Tetapi saya akui ini adalah kelemahan saya sebagai manusia atau sebagai ayah yang hanya ingin mengenang anaknya yang sebenarnya sudah berumah tangga sekarang, ketika anaknya masih kecil lagi, ketika masih ditimbangnya lagi.“Saya tidak akan jujur kalau saya tidak mengatakan bahawa sikap dan tanggapan saya, nilai dan norma-norma saya terbentuk dalam zaman saya berjuang di Utusan.

“Zaman itu tidak akan berulang lagi. Ia telah berakhir. Tulisan ini sekadar satu nostalgia sahaja untuk mengenang satu zaman yang begitu besar ertinya pada hidup saya dan teman-teman lain.”

Ketika tersebar berita saya tersingkir daripada jawatan Ketua Pengarang Utusan Melayu pada akhir tahun 1992, anak didik kesayangan Samad, Sasterawan Negara, Osman Awang menelefon saya; “Zam, saya rasakan sepi hari ini. Saudara adalah warisan terakhir Utusan.”

Saya tidak tahu sama ada ini benar atau tidak tetapi apa pun perbezaan pandangan politik saya dengan Pak Samad, Osman Awang, Said Zahari dan Pak Sako tetapi ada suatu jalinan perasaan warisan yang mengikat erat antara kami yang diharapkan akan terus turun dari generasi ke generasi.Utusan adalah suatu lambang perjuangan berani, nekad dan penuh dengan komitmen yang dilambangkan oleh penglibatan wartawan-wartawannya menerusi penulisan dan sebagai aktivis politik secara terang-terangan sejak awal penubuhannya seperti Pak Sako, Tajuddin Kahar, Melan Abdullah, Said Zahari dan lain-lain tetapi Samad Ismail lebih tersembunyi di sebalik tabir politik yang pelbagai dari kiri hingga ke kanan.

Sekalipun tidak berada di barisan depan parti-parti politik yang disertainya sejak usianya yang begitu muda namun peranan kewartawanan politiknya menyokong gerakan anti kolonialisme menerusi gerakan nasionalisme Nusantara dan antarabangsa dan politik dalam negara dengan daya inteleknya yang tinggi dan kebijaksanaan perancangan dan penyusunan organisasi menjadikannya nama besar dalam dunia politik, berpengaruh, ditakuti dan senantiasa disyaki dan diikuti yang membawanya masuk dari zaman penjajahan hingga di tanah airnya yang merdeka.Kehidupannya yang penuh dengan tekanan, cabaran, buruan, kejayaan dan kegagalan, timbul dan tenggelam menjadikannya wartawan lain daripada yang lain, menyebabkan beliau mendapat perhatian dan simpati, disegani dan dihormati. Beliau dilihat lebih besar daripada tokoh-tokoh wartawan lain di negara ini.Kembalinya A. Samad Ismail ke rahmatullah adalah pemergian abadi seorang wira kewartawanan politik yang terhebat di negara ini.

Saya mencatatkan kembali sebuah sajak pendek dalam tulisan terakhir di kolum Awang Selamat pada Mingguan Malaysia 1 November 1992 yang rasa sesuai untuk dibacakan semula sempena pemergian A.Samad Ismail ang telah menanam benih dan idealisme perjuangan dalam Utusan Melayu.

Kawan kawan;

Dari 1939 sampai kini

Api ini tidak pernah mati

dimarakan ganti berganti

dalam chahayanya anak-anak menari

satu tangan terbakar

sejuta tangan menggengamnya

lebih erat lagi

maka keramatlah sebuah institusi

yang memahkotakan rakyat

dari generasi ke generasi.

Inilah dia Pemimpin Melayu sebenarnya..

Perkauman : Dr Mahathir bersuara…


Kontroversi kenyataan Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera ,Pulau Pinang Datuk Ahmad Ismail yang didakwa berbau perkauman semasa satu ceramah kempen pilihanraya kecil Permatang Pauh baru-baru ini hingga mencetuskan desakan minta maaf dari kalangan pemimpin kaum Cina telah mendorong Tun Dr Mahathir Mohamad bersuara.

Dalam tulisan terbarunya di laman webnya www.chedet.com bekas Perdana Menteri itu menegaskan orang Melayu hari ini sebenarnya takut jika mereka dilabelkan perkauman hingga tahap apabila hak mereka diburuk-burukkan dan diserang, mereka tidak berani mempertahankan diri.

Serentak dengan itu beliau mempersoalkan mengapa orang Melayu sering dituntut memohon maaf sekiranya mengeluarkan perkataan dan catitan yang boleh ditafsirkan sebagai perkauman sebaliknya apabila orang bukan Melayu mengeluarkan perkataan atau catitan yang boleh ditafsir sebagai perkauman, orang Melayu tidak pernah menuntut pihak tersebut memohon maaf.

Dr Mahathir memberi contoh tentang memorandum Hindraf kepada Perdana Menteri United Kingdom yang bukan sahaja penuh dengan unsur-unsur perkauman tetapi juga bersifat hasutan dan juga perbuatan penuntut universiti Wee Meng Chee telah perlekehkan Negaraku dengan mengguna lagu Negaraku tetapi dengan lirik yang mempermainkan sembahyang dan azan orang Melayu (Islam). Azan dijadikan duet lagu cinta.

'Beliau bertanya apakah mereka dikehendaki memohon maaf? Apakah pemimpin mereka dikehendaki memohon maaf? Jauh sekali.

''Sebenarnya Wee dipertahan oleh pemimpin-pemimpin parti Cina dan anggota Hindraf dibebaskan daripada tahanan dan ada yang dengan bebasnya bertanding dalam pilihan raya dan menang menjadi wakil rakyat," katanya.

Berikut ialah tulisan penuh Dr Mahathir :

"Pohon Maaf"

1. Baru-baru ini Kerajaan dan Timbalan Perdana Menteri serta Menteri-Menteri sibuk memohon maaf kepada orang Cina dan India kerana apa yang dikatakan kata-kata yang dianggap sebagai terlalu perkauman (racist) yang telah disebut oleh beberapa pemimpin Melayu.

2. Sebenarnya orang Melayu sekarang amat takut jika mereka diberi label "racist". Mereka menulis dalam akhbar yang orang Melayu bukan racist. Demikianlah ketakutan mereka sehingga apabila hak mereka di buruk-burukan dan diserang, mereka tidak berani mempertahankan diri mereka.

3. Malang bagi TPM dan Kerajaan Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi setelah memohon maaf secara terbuka permohonan maaf daripada pemimpin tertinggi Umno ditolak oleh pemimpin-pemimpin kaum berkenaan. Mereka menuntut supaya orang yang perkatakan perkataan yang dilabel "racist" sendiri memohon maaf.

4. Satu lagi peristiwa yang memalukan ialah apabila Kerajaan hantar seorang Menteri untuk minta maaf daripada Kerajaan Cina kerana kononnya wanita rakyat negara Cina telah ditelanjang oleh polis dan ini direkod dalam video.

5. Kemudian didapati wanita itu bukan rakyat negara Cina dan bukan pun Cina Malaysia. Dia adalah seorang perempuan Melayu.

6. Sebaliknya, apabila orang yang bukan Melayu mengeluar perkataan atau catitan yang boleh ditafsir sebagai racist, orang Melayu tidak pernah tuntut supaya pihak berkuasa memohon maaf.

7. Dalam Memo Hindraf ke Perdana Menteri UK banyak perkataan yang terlampau dan racist terdapat didalamnya. Contoh:

a) Kerajaan dikatakan dibantu oleh "Islamic Extremist violent armed terrorists" (orang Melayu)

b) Mereka berkata Kerajaan Malaysia melakukan "Ethnic Cleansing" iaitu Kerajaan sedang membunuh dan menghapuskan orang Tamil.

c) 100 orang keturunan India "ditetak dan dibunuh oleh Kerajaan yang dikuasai oleh UMNO." Perbuatan ini kononnya adalah "mini genocide" (pembunuhan beramai-ramai mini)

d) Tiap tiga minggu kuil Hindu diroboh.

e) Kerajaan yang kononnya dikuasai oleh UMNO telah lancar serangan bersenjata dengan 600 anggota polis, polis simpanan, pelampau Islam dan pengganas (terrorist) bersenjata (orang Melayu).

f) Pegawai Bandaraya dan Polis dikatakan membaling batu dan menyerang orang Hindu dengan pisau, kayu dan batang besi. Kononya 20 orang Hindu mengalami cedera parah.

8. Tulisan dalam memo Hindraf ini bukan sahaja racist tetapi juga "seditious" (hasutan).

9. Seorang penuntut universiti Wee Meng Chee telah perlekehkan Negaraku dengan mengguna lagu Negaraku tetapi dengan lirik yang mempermainkan sembahyang dan azan orang Melayu (Islam). Azan dijadikan duet lagu cinta.

10. Apakah mereka dikehendaki memohon maaf? Apakah pemimpin mereka dikehendaki memohon maaf? Jauh sekali. Sebenarnya Wee dipertahan oleh pemimpin-pemimpin parti Cina dan anggota Hindraf dibebaskan daripada tahanan dan ada yang dengan bebasnya bertanding dalam pilihanraya dan menang menjadi wakil rakyat.

11. Mereka menuntut supaya tidak ada diskriminasi oleh Kerajaan. Tetapi nampaknya mereka bukan sahaja bebas malah mendapat kehormatan dengan dipanggil "Yang Berhormat" setelah berkata perkataan yang amat keterlaluan bahkan merupa hasutan.

12. Soalnya kenapakah Kerajaan berat sebelah, menyembunyi kata-kata racist Hindraf tetapi melapur dengan meluas apa yang dikatakan oleh pemimpin Melayu. Kenapakah Menteri keturunan India atau ketua-ketua kaum India tidak dikehendaki memohon maaf?

13. Sesungguhnya keadaan hubungan antara kaum bukan lebih baik hasil PRU 2008, tetapi ia menjadi amat buruk. Mungkin saya dituduh sebagai menyumbang kepada keadaan melalui tulisan saya. Tetapi pada saya amatlah tidak adil jika satu pihak dapat kebebasan sedangkan pihak yang ditohmah tidak boleh buka mulut. - 4/9/2008

Wednesday, September 3, 2008

kenali simbol tandas-tandas luar negara...

Mengapa kita tidak wujudkan identiti sendiri mengenai simbol tandas .. lihatlah identiti tandas diluar negara ... mengapa kita tidak tiru dengan simbol tandas bagi lelaki berbaju melayu dan wanita berbaju kurung... fikir-fikirkanlah ...

Iran


China


France


Netherlands


Japan




Korea


Spain


USA-Georgia state

Illusi Gincu Vs Bibir.




BIBIR penuh, lembap dan mulus menjadi impian wanita. Justeru, tidak hairanlah ada yang sanggup berhabis wang walaupun terpaksa melalui proses mengerikan seperti pembedahan mahupun suntikan. Bagaimanapun, pembedahan dan suntikan kini bukan satu-satunya cara untuk mendapatkan bentuk bibir diinginkan.

Hasil kemajuan teknologi kecantikan hari ini, wanita boleh memiliki segala kecantikan diidamkan tanpa perlu menahan kesakitan akibat pembedahan mahupun suntikan. Pakar kosmetik kini lebih bijak menghasilkan bahan solekan dengan kos lebih murah dan mudah serta mampu dimiliki setiap wanita.

Teknologi terkini tawar gincu unik bantu wanita peroleh wajah lebih menawan.

DUNIA gincu mengalami banyak perubahan. Bermula dengan makan sirih bagi meninggalkan kesan merah pada bibir, ia beralih kepada gincu kertas yang ditekap pada bibir sehinggalah kepada kompak jejari, cecair dan krim. Pada 2001, gincu mengalami peralihan teknologi bagi mengekalkan gincu lebih lama menggunakan bahan berasaskan silikon.

Bagi membentuk bibir lebih cantik, penggaris bibir diperkenalkan sekitar 1980-an dengan warna bertentangan dengan gincu anda. Justeru, teknik membentuk bibir dengan penggaris bibir berwarna berbeza sudah dianggap ketinggalan zaman.

Kini pelbagai jenama termasuk Avon tampil dengan teknologi terkini yang menampakkan bibir lebih gebu dan penuh tanpa memerlukan seseorang itu menjalani prosedur menakutkan seperti menyuntik dengan kolagen atau melakukan pembedahan plastik bagi membolehkan bbir tampak seksi seperti Angelina Jolie ataupun Cameron Diaz.

Aspalin Sirat, Pengurus Pemasaran Malaysia dan Vietnam, Avon Cosmetics (M) Sdn Bhd.

Pengurus Pemasaran Malaysia dan Vietnam, Avon Cosmetics (M) Sdn Bhd, Aspalin Sirat, berkata Avon menghasilkan gincu Ultra Moisture Rich Mousse untuk ilusi bibir penuh, seksi tetapi pada masa sama memelihara kesihatan bibir pemakainya.

Katanya, teknologi unik digelar `soft lips' yang memberikan teknik dua dalam satu iaitu lembapan serta warna kepada bibir pemakainya selain terhasil menerusi rumusan lembapan yang dihasil menerusi bahan seperti gel polymeric, gel jojoba, kacang soya, asid amino serta L-Proline, membolehkan ia memberikan 43 peratus kadar lembapan pada bibir.

"Aliran terkini mencipta pelbagai teknologi hebat dalam penghasilan gincu yang memberikan kebaikan kepada pengguna. Sungguhpun mungkin wanita tidak menjadikan ia faktor utama dalam usaha memiliki sebatang gincu, sedikit sebanyak ia sebagai nilai tambahan kepada pengguna untuk tampil cantik, pada masa yang sama, menjaga kesihatan bibir tanpa menggunakan salap bibir dan sebagainya.

"Gandingan rona lebih cerah untuk bahan pelembap dan rona lebih gelap untuk gincu, bagi mendapatkan sapuan penuh dan ilusi bibir lebih tebal dan seksi. Sekiranya anda penggemar pengilat bibir kerana teksturnya yang tidak terlalu berat dan pekat, inilah gincu yang tepat buat anda. Hanya satu sapuan, sudah cukup untuk menggantikan mana-mana gincu dan pengilat bibir yang anda miliki," katanya.


Himpunan terkini ini ada 10 warna yang dijangka hangat di pasaran, termasuk rona merah saga, warna tanah serta merah lembut yang amat sesuai untuk semua jenis kulit.

Gincu yang pertama seumpamanya dihasilkan itu boleh dimiliki pada harga RM27.90 saja.

Anda perlu menimbang tiga peraturan asas memilih gincu. Pertama, bibir kecil atau nipis sebaiknya memilih warna terang kerana ia boleh membuatkan bibir lebih menyerlah. Kedua, elakkan warna gelap pada bibir yang kecil dan ketiga, bibir yang penuh boleh menggunakan apa saja warna, tetapi warna lembut lebih baik agar bibir tidak begitu menonjol.

Memilih warna gincu sesuai juga penting bagi memastikan anda tampil cantik semula jadi. Pemilihan perlu berdasarkan warna kulit dan juga bibir. Kebiasaannya bibir berwarna cerah, merah pucat dan coklat. Bibir berkulit cerah sebaiknya menggunakan tona yang tidak terlalu pucat. Warna lembut seperti merah jambu dan pic sangat sesuai untuk bibir ini.

Mereka yang memiliki bibir merah pucat sangat bertuah kerana mudah untuk menyesuaikan dengan kebanyakan gincu. Perkara utama yang harus ditekankan ialah memastikan ia tidak terlalu terang kerana tona kulit anda akan menutupinya. Pilih warna seperti beri, ceri dan merah keunguan. Kulit coklat dan gelap sebaiknya memilih warna lebih terang seperti plum, rasberi dan merah yang boleh menyerlahkan bibir anda. Elakkan warna tipis kerana ia bertentangan dengan tona kulit anda.

Selain Avon, Maybelline New York juga tampil dengan gincu kesan tiga dimensi membolehkan bibir anda kelihatan lebih menawan, penuh dan mulus. Gincu dengan formula air dan kolagen ini menjadi rahsia bibir bersinar dan penuh sebaik disapu pada bibir anda.

Kesan tiga dimensi membantu menyelesaikan masalah bibir yang lazim dihadapi wanita seperti kilauan yang mendatar tanpa dimensi, bibir kering dengan garis halus yang kelihatan kasar, bibir kelihatan lebam dan tidak sekata yang menyebabkan kurang bersinar walaupun selepas disapu gincu.

Rumusan berbentuk gel bubble yang terdapat pada gincu ini memberikan warna dimensi pelbagai dan memberikan ilusi bibir penuh bersinar. Kandungan akua kolagen mengurangkan masalah bibir kering dengan garis halus yang jelas. Akua kolagen menyegarkan semula bibir dan secara tidak langsung mengurangkan kemunculan garis halus ini.

Gincu Watershine 3D Collagen memperkenalkan 12 warna merah menarik seperti merah hati, merah gelap, merah jambu, merah kecoklatan. Ia boleh didapati pada harga RM28.90 setiap satu.

INFO: Panduan memilih gincu

  • Kebanyakan wanita juga mengadu kilauan gincu tidak tahan lama walaupun selepas disapu hanya beberapa minit. Ini disebabkan keadaan bibir yang kering menyebabkan gincu jadi berkeping. Bagi mengatasi masalah ini, rumusan khas bagi 'mengunci' kilauan mengaktifkan semula kilauan dengan hanya mengemam bibir anda.

  • Anda tidak perlu bimbang jika mempunyai tona bibir tidak sekata. Ini adalah perkara biasa dan berlaku kepada kebanyakan orang. Sememangnya terdapat faktor lain yang menyebabkan keadaan ini seperti anemia atau sememangnya anda memiliki lebih pigmen gelap. Bibir hitam pula disebabkan tabiat merokok yang sebaiknya dielakkan untuk mendapatkan bibir merah secara semula jadi. Bagi mengatasi masalah tona tidak sekata, formula minyak semula jadi dan akua kolagen melembutkan permukaan bibir dan memudahkan sapuan gincu.
  • Cara didik anak berpuasa.


    MUDAH TERPENGARUH: Jangan biarkan anak yang berpuasa melihat adiknya makan.

    Kanak-kanak perlu dilatih sedari kecil untuk jalani rutin berlapar dan dahaga

    MENDIDIK anak berpuasa bukan perkara mudah bagi sesetengah ibu bapa. Pasti ada ibu bapa yang tidak sampai hati melihat anak merengek meminta makanan. Malah, ada juga yang tidak membenarkan anak berpuasa kerana bimbang anak akan kelaparan atau mendapat natijah kerana perut kosong sepanjang hari tanpa makanan.

    Hakikatnya, berpuasa adalah wajib bagi individu beragama Islam, akil baligh dan waras. Kanak-kanak juga digalakkan berpuasa sekiranya mereka berkemampuan dan dilatih sejak kecil. Apabila kanak-kanak diajar berpuasa sejak kecil, ada banyak kebaikan seperti memberi 'rehat' kepada usus dan organ dalaman daripada memproses makanan sepanjang hari. Seperti individu dewasa yang berasa satu kemenangan apabila berjaya menyelesaikan ibadat puasa selepas sehari suntuk menahan lapar dan dahaga, kanak-anak juga akan merasai perkara yang sama, lebih-lebih lagi apabila ibu bapa menjanjikan ganjaran tertentu sekiranya mereka berjaya berpuasa sehingga sebulan.

    Justeru, kebijaksanaan mendidik anak berpuasa terletak di tangan ibu bapa bagi mendisiplinkan si anak berminat melakukan ibadat berkenaan.

    Guru sekolah di Hulu Langat, Zalina Nasir, 41, mempunyai cara istimewa bagi mendidik anak lelakinya belajar berpuasa. Seperti ketika dilatih ibunya dulu dengan penuh tanggungjawab, beliau melakukan hal yang sama terhadap Aqeef Aiman, empat tahun.

    DORONGAN: Zalina membacakan buku cerita supaya Aiman tidak terlalu memikirkan soal makanan

    "Aiman memang bayi yang sihat sejak kecil. Dia sentiasa berselera terhadap makanan. Jadi, saya dan suami terpaksa mengikut rentaknya untuk melatih dia berpuasa. Pada mulanya memang dia mengadu susah, tetapi saya pujuk dan terangkan kebaikan berpuasa kepadanya," katanya.

    Zalina yang mengajar pada sesi pagi berkata, beliau menawarkan ganjaran berbentuk makanan kepada Aiman bagi meningkatkan semangat anaknya untuk berpuasa kerana mengetahui Aiman gemar makan.

    "Memang dia berselera pada semua jenis makanan, terutama aiskrim. Begitupun, saya tetap mengawasi jumlah makanan yang diambil supaya tidak memudaratkan Aiman. Jadi, dia berpeluang makan semua yang diingini, tetapi dengan jumlah yang sedikit," katanya.

    Zalina rajin menerangkan pada Aiman kebaikan berpuasa seperti sesiapa yang rajin berpuasa akan mendapat pahala yang diberikan Allah. Selain itu, Aiman juga diberitahu Tuhan sayang kepada orang yang rajin berpuasa dan jika berpuasa, makanan tidak boleh diambil selagi belum tiba waktu berbuka.

    Beliau berkata, pada peringkat awal percubaan melatih Aiman, beliau tidak membenarkan Aiman makan selama tiga jam. Apabila tiga jam pertama berjaya dilakukan, beliau akan menambah sebanyak tiga jam lagi. Jadi dengan pertambahan masa sedikit demi sedikit, Aiman tidak rasa terbeban walaupun kerap bertanya bilakah beliau boleh makan.

    "Kadang-kadang Aiman sendiri rajin bertanya apakah makanan yang dia akan dapat sekiranya berjaya puasa penuh. Saya tahu dia teringin makan banyak jenis makanan, tetapi pada peringkat usia sebegini, tarikan utama dia adalah aiskrim. Tahun depan, dia akan mencecah usia lima tahun dan saya akan pastikan dia berupaya berpuasa.

    "Buat masa ini, dia hanya berjaya sehingga jam 2 petang saja. Apabila melihat adiknya, Ain Najwa, menjamah makanan, dia juga teringin menikmatinya," katanya.

    Zalina dan suami, Hamka Istamar, sedaya upaya memastikan makanan tidak diletakkan di atas meja atau di tempat yang Aiman mudah mencapainya bagi memastikan anak mereka berjaya memanjangkan tempoh puasa percubaan dan teknik berkenaan agak berkesan kerana Aiman akan leka bermain sekiranya permintaannya untuk makan tidak dilayan.

    INFO: Latih anak berpuasa

    • Pastikan tiada makanan didedahkan kepada anak.

    • Setiap kali anak meminta makanan, cuba lengahkan permintaan anak.

    • Janjikan ganjaran yang baik seperti Tuhan sayang orang yang berpuasa.

    • Jangan paksa anak berpuasa kerana setiap kanak-kanak mempunyai daya ketahanan diri yang berbeza.

    • Cuba beri tempoh masa tertentu kepada anak supaya dia dapat menyesuaikan diri tanpa makan selama beberapa jam terlebih dulu.

    • Cuba layan setiap pertanyaan anak supaya dia tidak terlalu memikirkan mengenai makanan.

    • Berlembut dengan anak supaya dia tidak rasa tertekan untuk melakukan puasa.

    Kurma - Antara khasiat & Faedahnya



    BERKHASIAT: Kurma kaya serat dan mengandung
    pelbagai zat yang sesuai untuk badan.


    RAMADAN dan kurma seakan sinonim walaupun buah yang dikatakan berasal dari tanah Arab itu boleh didapati pada bila-bila masa saja di pasar raya. Malah, kurma juga menjadi buah yang wajib dibawa balik jemaah setiap kali menunaikan rukun haji yang kelima selain pemanis mulut ketika berbuka puasa.

    Berdasarkan senario berkenaan, kita mengetahui bahawa kurma mempunyai keistimewaan tersendiri selain sesuai dinikmati pada bila-bila masa.

    Pengarah Institut Kajian Rantau Asia Barat (IKRAB), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Siti Rugayah Tibek, berkata pada zaman Rasulullah SAW, hanya buah itu saja yang boleh didapati dengan begitu mudah, justeru kurma menjadi buah kesukaan masyarakat Arab.

    “Tuhan jadikan setiap negara itu ada keistimewaan masing-masing. Seperti negara kita yang terkenal dengan durian, tanah Arab pula memang tersohor dengan kurma atau tamar. Ada pelbagai jenis kurma sama ada yang kering atau pun yang segar. Semuanya ada khasiat tersendiri dan boleh dimakan oleh semua peringkat usia,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

    Kandungan kurma yang kaya serat membuatkan ia baik dijadikan menu penting untuk diet. Termasuk dalam kategori pokok berpelepah atau palma, kurma kaya zat besi, kalsium, fosforus, sodium, potasium, vitamin A dan C serta niasin. Memandangkan zat besi yang terkandung pada buah berkenaan jugalah menyebabkan wanita berpantang sesuai menjadikan kurma sebagai hidangan mereka tanpa keraguan, selain sesuai untuk berpuasa.

    “Dari segi logiknya, zat yang ada pada kurma boleh membuatkan badan mendapat tenaga mencukupi walaupun hanya dimakan sebiji dan segelas air. Sebab itulah ada individu yang memilih berbuka puasa dengan hanya sebiji kurma dan badan sudah berupaya mendapat tenaga kembali selepas sehari suntuk berpuasa,” katanya.

    Justeru, katanya, wanita berpantang digalakkan meminum jus kurma atau memakan kurma kerana zat dan galian yang terkandung dalam buah berwarna coklat kehitaman itu berupaya mengembalikan kekuatan badan, malah badan akan berasa lebih segar dan bertenaga sekiranya diambil secara berkala.

    Katanya, sejak zaman Rasulullah dulu lagi, kurma sudah mencipta sejarah tersendiri kerana seribu satu kebaikan yang ada padanya. Ada kisah meriwayatkan ketika Sayyidatina Aishah dikunjungi peminta sedekah, Rasulullah menyarankan Aisyah memberikan separuh daripada kurma itu kepada hamba berkenaan kerana ia sudah mencukupi untuk Aisyah dan juga kepada hamba itu.

    “Daripada kisah berkenaan, teladan yang boleh kita ambil ialah betapa kurma itu kaya dengan khasiat. Walaupun hanya sedikit saja dimakan, anda akan mendapat manfaat yang sangat bagus. Kalau kurma itu tidak baik, Rasulullah tidak akan menyarankan umatnya memakan buah berkenaan,” katanya.

    Selaras dengan kehebatan Islam yang tidak menyusahkan umatnya, kurma adalah buah yang memancarkan sebaik-baik kejadian Allah bagi manusia untuk menilai anugerah yang tidak terhingga kerana hanya dengan buah yang kecil itu, ia dapat membekalkan pelbagai jenis zat yang diperlukan badan.

    “Saranan saya, kurma boleh dijadikan bekal ketika bermusafir atau menghadapi perjalanan jauh. Zat yang terkandung pada kurma boleh mengembalikan kekuatan badan. Tambahan pula, kurma kering senang dibawa ke mana saja tanpa perlu risau ia buruk atau berkulat. Bagi yang mengetahui kebaikan kurma, menu bersahur juga digantikan dengan tiga biji kurma,” katanya.

    Kini dengan adanya reka cipta dalam dunia masakan, kurma boleh dinikmati pelbagai cara. Ia tidak hanya dimakan sebagai buah semata-mata kerana ada pakar masakan mula menjadikan kurma sebagai bahan utama dalam resipi yang dicipta. Peniaga juga memberi wajah baru kepada kurma dengan membuang biji dan digantikan dengan badam, dipakej dengan cara yang menarik dan kemas.

    INFO: Kurma

    • Nama saintifik kurma ialah phoenix dactylifera L.

    • Mengandungi karbohidrat yang tinggi dan membekalkan tenaga kepada manusia.

    • Boleh dijadikan jem, sirap dan halwa.

    • Kurma yang terdapat di pasaran antaranya kurma nabi, kurma madu, kurma merah dan kurma ajwa.

    • Selain kaya zat besi, kurma juga kaya kalium yang berfungsi menstabilkan tekanan darah dan mencegah risiko lumpuh separuh badan.

    • Pengambilan kurma boleh mengurangkan panas badan.

    • Boleh meningkatkan daya pemikiran kanak-kanak.

    • Kurma kaya zat besi, kalsium, fosforus, sodium, potasium, vitamin A dan C.

    Kisah Kasut Vs Kaki

    Rahsia sepasang kasut

    Oleh Hidayah Mohammad
    hidayah@bharian.com.my




    KASUT cantik bergaya selalunya tidak membekalkan ciri-ciri keselesaan kepada pemakainya. Orang kata, sakit macam mana sekali pun, asalkan ada gaya. Secara tidak langsung, wajah anggun 'rosak' dek memakai kasut sempit, ketat mahupun terlalu tinggi kerana kesakitan mampu terpancar pada wajah.

    Kebanyakan wanita dan juga lelaki dewasa tidak menyedari bahawa saiz ataupun potongan kasut tidak bersesuaian mampu memberi kesan buruk pada anggota badan. Selain sakit pada kulit ketika memakainya, kesan pada dalaman badan boleh berlaku dalam jangka masa panjang malah mengambil masa lama untuk sembuh.

    Lebih-lebih lagi jika anda banyak berjalan terutama pada musim perayaan ini. Jangan biarkan kasut menjadi punca anda tidak dapat menikmati Aidilfitri dengan gembira. Paling penting, jangan amalkan kecantikan melalui penderitaan! TAHAP kesedaran orang ramai mengenai punca dan penyelesaian terhadap masalah sakit kaki masih berada pada peringkat rendah. Maka, tidak hairanlah dianggarkan kira 80 hingga 90 peratus orang dewasa di Malaysia menderita akibat sakit kaki.

    Pakar kaki ortoprostetik untuk jenama Schein Orthopaedics dari Jerman, Guido Fahrentrapp, berkata berdasarkan kajian yang dijalankan, jumlah peratusan berkenaan mendapati sesetengah daripada mereka menderita masalah kaki serius seperti sindrom kaki diabetik atau reumatisme.

    BERI PENERANGAN: Guido dan Daniel (kanan) bersama arca tulang, bentuk kaki bermasalah dan beberapa produk kasut serta tapak dalam kasut yang dihasilkan dari Schein Orthopaedics.

    Bagaimanapun, katanya, peratusan selebihnya pula mempunyai masalah sakit pada kaki yang disebabkan oleh pemakaian kasut salah.

    “Lazimnya, pemilihan kasut salah boleh mengakibatkan masalah pada kaki, lutut dan tulang belakang. Malah, selain itu gejala ini boleh mengakibatkan juga kesakitan pada punggung, betis serta masalah peredaran darah dalam badan,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

    Beliau yang juga pakar kraf dalam bidang menghasilkan kasut, tapak dalam kasut serta kaki palsu berkata, kedua-dua tapak kaki manusia selalunya tidak sama dan sempurna. Ada antara manusia mempunyai kaki pengkar atau kaki yang bengkok ke dalam. Mereka yang menderita akibat lengkung kaki tinggi, lengkung kaki rendah, kaki leper, tumit pecah dan juga bunion sukar mendapatkan kasut yang bersesuaian.

    “Rekaan kasut terkini yang nampak lebih cantik mendorong masyarakat membelinya sehingga mengabaikan kesan masa depan terhadap kesakitan kaki. Walaupun nampak cantik dengan tawaran lebih baik, masyarakat seharusnya perlu menitikberatkan soal keselesaan.

    “Pemakaian kasut yang tidak berpadanan atau keras secara tidak langsung mengubah bentuk asal kaki. Masalah perubahan bentuk asal kaki berlaku juga disebabkan beberapa faktor lain antaranya kasut terlalu tinggi serta tidak ruang cukup untuk kulit kaki bernafas.

    “Namun begitu, jangan terkejut kerana perubahan itu juga boleh berlaku disebabkan oleh faktor genetik. Sekiranya sejarah keluarga sebelum ini ada menunjukkan keluarga mempunyai masalah kaki, maka tidak hairan ada keluarga seterusnya mengalami masalah sama,” katanya.

    Guido berkata, selalunya kesakitan pada tapak kaki itu dibiarkan saja. Paling tidak pun mereka sekadar pergi mendapatkan urutan atau melakukan refleksologi. Namun, kaedah mengurut saja tidak akan membantu memulihkan kesakitan kaki atau badan sekiranya masih lagi menggunakan kasut sama serta tidak bersesuaian.

    Bagi menangani masalah sakit dan perubahan bentuk kaki yang mendadak, beliau menyarankan supaya memakai kasut yang mempunyai tapak luar dan bahagian dalam yang lembut. Setidak-tidaknya, menggunakan tapak dalam kasut yang lembut.

    Sedia khidmat pemeriksaan kaki

    Schein Orthopaedics menawarkan khidmat pemeriksaan imbasan kaki dan khidmat nasihat dengan analisa cara berjalan yang terperinci di semua kedainya. Jenama terkenal dari Jerman itu menyediakan kedai kasut yang mengkhusus dalam membekalkan kasut dan tapak dalam kasut ortopedik untuk mereka yang mempunyai masalah kaki.

    Pengarah Urusan ScheinOrthopaedics (M) Sdn Bhd, Daniel Berkemeier, berkata kedai kasut berkenaan menawarkan khidmat membantu memberi nasihat dan penyelesaian kepada masalah kaki

    “Biarpun masalah kaki yang dihidapi adalah lazim, ia juga tidak diberi perhatian. Oleh sebab itu, Schein Orthopaedics menawarkan perkhidmatan berkenaan bagi mengurangkan kesakitan pada kaki mereka dengan melakukan pemeriksaan imbasan menerusi teknologi yang disediakan khusus.

    “Sasaran Schein Orthopaedics terdiri daripada semua peringkat tidak kira dewasa mahupun kanak-kanak. Malah, kita turut membantu mereka yang gemar bersukan kerana golongan ini lebih banyak mengamali masalah sakit kaki,” katanya.

    Daniel berkata, Guido bertanggungjawab dalam membuat pemeriksaan pelanggan bagi menghuraikan secara terperinci masalah penyakit kaki pelanggan yang membuat pemeriksaan. Dalam kes tertentu, Guido akan bekerjasama dengan doktor dan pakar terapi yang lain serta menggunakan pendekatan yang lebih holistik ini diambil bagi mendapatkan hasil yang terbaik untuk pesakit.

    Selain memberi khidmat pemeriksaan kaki, malah ScheinOrthopaedics turut menawarkan pelbagai jenis kasut selesa (comfort shoes), kasut Diabetik dan Ortopedik (Diabetic and Rheumatoid-Shoes), tapak dalam Ortopedik (Orthopaedic Inserts) dan kasut pemulihan kanak-kanak (Corrective Children shoes).

    Mereka yang menderita akibat pelbagai masalah kaki, lutut atau tulang belakang berikutan terbabit dalam aktiviti yang membabitkan tekanan terhadap kaki boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada kedai berkenaan.