Wednesday, September 3, 2008

Kurma - Antara khasiat & Faedahnya



BERKHASIAT: Kurma kaya serat dan mengandung
pelbagai zat yang sesuai untuk badan.


RAMADAN dan kurma seakan sinonim walaupun buah yang dikatakan berasal dari tanah Arab itu boleh didapati pada bila-bila masa saja di pasar raya. Malah, kurma juga menjadi buah yang wajib dibawa balik jemaah setiap kali menunaikan rukun haji yang kelima selain pemanis mulut ketika berbuka puasa.

Berdasarkan senario berkenaan, kita mengetahui bahawa kurma mempunyai keistimewaan tersendiri selain sesuai dinikmati pada bila-bila masa.

Pengarah Institut Kajian Rantau Asia Barat (IKRAB), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Siti Rugayah Tibek, berkata pada zaman Rasulullah SAW, hanya buah itu saja yang boleh didapati dengan begitu mudah, justeru kurma menjadi buah kesukaan masyarakat Arab.

“Tuhan jadikan setiap negara itu ada keistimewaan masing-masing. Seperti negara kita yang terkenal dengan durian, tanah Arab pula memang tersohor dengan kurma atau tamar. Ada pelbagai jenis kurma sama ada yang kering atau pun yang segar. Semuanya ada khasiat tersendiri dan boleh dimakan oleh semua peringkat usia,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Kandungan kurma yang kaya serat membuatkan ia baik dijadikan menu penting untuk diet. Termasuk dalam kategori pokok berpelepah atau palma, kurma kaya zat besi, kalsium, fosforus, sodium, potasium, vitamin A dan C serta niasin. Memandangkan zat besi yang terkandung pada buah berkenaan jugalah menyebabkan wanita berpantang sesuai menjadikan kurma sebagai hidangan mereka tanpa keraguan, selain sesuai untuk berpuasa.

“Dari segi logiknya, zat yang ada pada kurma boleh membuatkan badan mendapat tenaga mencukupi walaupun hanya dimakan sebiji dan segelas air. Sebab itulah ada individu yang memilih berbuka puasa dengan hanya sebiji kurma dan badan sudah berupaya mendapat tenaga kembali selepas sehari suntuk berpuasa,” katanya.

Justeru, katanya, wanita berpantang digalakkan meminum jus kurma atau memakan kurma kerana zat dan galian yang terkandung dalam buah berwarna coklat kehitaman itu berupaya mengembalikan kekuatan badan, malah badan akan berasa lebih segar dan bertenaga sekiranya diambil secara berkala.

Katanya, sejak zaman Rasulullah dulu lagi, kurma sudah mencipta sejarah tersendiri kerana seribu satu kebaikan yang ada padanya. Ada kisah meriwayatkan ketika Sayyidatina Aishah dikunjungi peminta sedekah, Rasulullah menyarankan Aisyah memberikan separuh daripada kurma itu kepada hamba berkenaan kerana ia sudah mencukupi untuk Aisyah dan juga kepada hamba itu.

“Daripada kisah berkenaan, teladan yang boleh kita ambil ialah betapa kurma itu kaya dengan khasiat. Walaupun hanya sedikit saja dimakan, anda akan mendapat manfaat yang sangat bagus. Kalau kurma itu tidak baik, Rasulullah tidak akan menyarankan umatnya memakan buah berkenaan,” katanya.

Selaras dengan kehebatan Islam yang tidak menyusahkan umatnya, kurma adalah buah yang memancarkan sebaik-baik kejadian Allah bagi manusia untuk menilai anugerah yang tidak terhingga kerana hanya dengan buah yang kecil itu, ia dapat membekalkan pelbagai jenis zat yang diperlukan badan.

“Saranan saya, kurma boleh dijadikan bekal ketika bermusafir atau menghadapi perjalanan jauh. Zat yang terkandung pada kurma boleh mengembalikan kekuatan badan. Tambahan pula, kurma kering senang dibawa ke mana saja tanpa perlu risau ia buruk atau berkulat. Bagi yang mengetahui kebaikan kurma, menu bersahur juga digantikan dengan tiga biji kurma,” katanya.

Kini dengan adanya reka cipta dalam dunia masakan, kurma boleh dinikmati pelbagai cara. Ia tidak hanya dimakan sebagai buah semata-mata kerana ada pakar masakan mula menjadikan kurma sebagai bahan utama dalam resipi yang dicipta. Peniaga juga memberi wajah baru kepada kurma dengan membuang biji dan digantikan dengan badam, dipakej dengan cara yang menarik dan kemas.

INFO: Kurma

  • Nama saintifik kurma ialah phoenix dactylifera L.

  • Mengandungi karbohidrat yang tinggi dan membekalkan tenaga kepada manusia.

  • Boleh dijadikan jem, sirap dan halwa.

  • Kurma yang terdapat di pasaran antaranya kurma nabi, kurma madu, kurma merah dan kurma ajwa.

  • Selain kaya zat besi, kurma juga kaya kalium yang berfungsi menstabilkan tekanan darah dan mencegah risiko lumpuh separuh badan.

  • Pengambilan kurma boleh mengurangkan panas badan.

  • Boleh meningkatkan daya pemikiran kanak-kanak.

  • Kurma kaya zat besi, kalsium, fosforus, sodium, potasium, vitamin A dan C.

No comments: