Wednesday, September 3, 2008

Illusi Gincu Vs Bibir.




BIBIR penuh, lembap dan mulus menjadi impian wanita. Justeru, tidak hairanlah ada yang sanggup berhabis wang walaupun terpaksa melalui proses mengerikan seperti pembedahan mahupun suntikan. Bagaimanapun, pembedahan dan suntikan kini bukan satu-satunya cara untuk mendapatkan bentuk bibir diinginkan.

Hasil kemajuan teknologi kecantikan hari ini, wanita boleh memiliki segala kecantikan diidamkan tanpa perlu menahan kesakitan akibat pembedahan mahupun suntikan. Pakar kosmetik kini lebih bijak menghasilkan bahan solekan dengan kos lebih murah dan mudah serta mampu dimiliki setiap wanita.

Teknologi terkini tawar gincu unik bantu wanita peroleh wajah lebih menawan.

DUNIA gincu mengalami banyak perubahan. Bermula dengan makan sirih bagi meninggalkan kesan merah pada bibir, ia beralih kepada gincu kertas yang ditekap pada bibir sehinggalah kepada kompak jejari, cecair dan krim. Pada 2001, gincu mengalami peralihan teknologi bagi mengekalkan gincu lebih lama menggunakan bahan berasaskan silikon.

Bagi membentuk bibir lebih cantik, penggaris bibir diperkenalkan sekitar 1980-an dengan warna bertentangan dengan gincu anda. Justeru, teknik membentuk bibir dengan penggaris bibir berwarna berbeza sudah dianggap ketinggalan zaman.

Kini pelbagai jenama termasuk Avon tampil dengan teknologi terkini yang menampakkan bibir lebih gebu dan penuh tanpa memerlukan seseorang itu menjalani prosedur menakutkan seperti menyuntik dengan kolagen atau melakukan pembedahan plastik bagi membolehkan bbir tampak seksi seperti Angelina Jolie ataupun Cameron Diaz.

Aspalin Sirat, Pengurus Pemasaran Malaysia dan Vietnam, Avon Cosmetics (M) Sdn Bhd.

Pengurus Pemasaran Malaysia dan Vietnam, Avon Cosmetics (M) Sdn Bhd, Aspalin Sirat, berkata Avon menghasilkan gincu Ultra Moisture Rich Mousse untuk ilusi bibir penuh, seksi tetapi pada masa sama memelihara kesihatan bibir pemakainya.

Katanya, teknologi unik digelar `soft lips' yang memberikan teknik dua dalam satu iaitu lembapan serta warna kepada bibir pemakainya selain terhasil menerusi rumusan lembapan yang dihasil menerusi bahan seperti gel polymeric, gel jojoba, kacang soya, asid amino serta L-Proline, membolehkan ia memberikan 43 peratus kadar lembapan pada bibir.

"Aliran terkini mencipta pelbagai teknologi hebat dalam penghasilan gincu yang memberikan kebaikan kepada pengguna. Sungguhpun mungkin wanita tidak menjadikan ia faktor utama dalam usaha memiliki sebatang gincu, sedikit sebanyak ia sebagai nilai tambahan kepada pengguna untuk tampil cantik, pada masa yang sama, menjaga kesihatan bibir tanpa menggunakan salap bibir dan sebagainya.

"Gandingan rona lebih cerah untuk bahan pelembap dan rona lebih gelap untuk gincu, bagi mendapatkan sapuan penuh dan ilusi bibir lebih tebal dan seksi. Sekiranya anda penggemar pengilat bibir kerana teksturnya yang tidak terlalu berat dan pekat, inilah gincu yang tepat buat anda. Hanya satu sapuan, sudah cukup untuk menggantikan mana-mana gincu dan pengilat bibir yang anda miliki," katanya.


Himpunan terkini ini ada 10 warna yang dijangka hangat di pasaran, termasuk rona merah saga, warna tanah serta merah lembut yang amat sesuai untuk semua jenis kulit.

Gincu yang pertama seumpamanya dihasilkan itu boleh dimiliki pada harga RM27.90 saja.

Anda perlu menimbang tiga peraturan asas memilih gincu. Pertama, bibir kecil atau nipis sebaiknya memilih warna terang kerana ia boleh membuatkan bibir lebih menyerlah. Kedua, elakkan warna gelap pada bibir yang kecil dan ketiga, bibir yang penuh boleh menggunakan apa saja warna, tetapi warna lembut lebih baik agar bibir tidak begitu menonjol.

Memilih warna gincu sesuai juga penting bagi memastikan anda tampil cantik semula jadi. Pemilihan perlu berdasarkan warna kulit dan juga bibir. Kebiasaannya bibir berwarna cerah, merah pucat dan coklat. Bibir berkulit cerah sebaiknya menggunakan tona yang tidak terlalu pucat. Warna lembut seperti merah jambu dan pic sangat sesuai untuk bibir ini.

Mereka yang memiliki bibir merah pucat sangat bertuah kerana mudah untuk menyesuaikan dengan kebanyakan gincu. Perkara utama yang harus ditekankan ialah memastikan ia tidak terlalu terang kerana tona kulit anda akan menutupinya. Pilih warna seperti beri, ceri dan merah keunguan. Kulit coklat dan gelap sebaiknya memilih warna lebih terang seperti plum, rasberi dan merah yang boleh menyerlahkan bibir anda. Elakkan warna tipis kerana ia bertentangan dengan tona kulit anda.

Selain Avon, Maybelline New York juga tampil dengan gincu kesan tiga dimensi membolehkan bibir anda kelihatan lebih menawan, penuh dan mulus. Gincu dengan formula air dan kolagen ini menjadi rahsia bibir bersinar dan penuh sebaik disapu pada bibir anda.

Kesan tiga dimensi membantu menyelesaikan masalah bibir yang lazim dihadapi wanita seperti kilauan yang mendatar tanpa dimensi, bibir kering dengan garis halus yang kelihatan kasar, bibir kelihatan lebam dan tidak sekata yang menyebabkan kurang bersinar walaupun selepas disapu gincu.

Rumusan berbentuk gel bubble yang terdapat pada gincu ini memberikan warna dimensi pelbagai dan memberikan ilusi bibir penuh bersinar. Kandungan akua kolagen mengurangkan masalah bibir kering dengan garis halus yang jelas. Akua kolagen menyegarkan semula bibir dan secara tidak langsung mengurangkan kemunculan garis halus ini.

Gincu Watershine 3D Collagen memperkenalkan 12 warna merah menarik seperti merah hati, merah gelap, merah jambu, merah kecoklatan. Ia boleh didapati pada harga RM28.90 setiap satu.

INFO: Panduan memilih gincu

  • Kebanyakan wanita juga mengadu kilauan gincu tidak tahan lama walaupun selepas disapu hanya beberapa minit. Ini disebabkan keadaan bibir yang kering menyebabkan gincu jadi berkeping. Bagi mengatasi masalah ini, rumusan khas bagi 'mengunci' kilauan mengaktifkan semula kilauan dengan hanya mengemam bibir anda.

  • Anda tidak perlu bimbang jika mempunyai tona bibir tidak sekata. Ini adalah perkara biasa dan berlaku kepada kebanyakan orang. Sememangnya terdapat faktor lain yang menyebabkan keadaan ini seperti anemia atau sememangnya anda memiliki lebih pigmen gelap. Bibir hitam pula disebabkan tabiat merokok yang sebaiknya dielakkan untuk mendapatkan bibir merah secara semula jadi. Bagi mengatasi masalah tona tidak sekata, formula minyak semula jadi dan akua kolagen melembutkan permukaan bibir dan memudahkan sapuan gincu.
  • No comments: