Wednesday, September 3, 2008

Kisah Kasut Vs Kaki

Rahsia sepasang kasut

Oleh Hidayah Mohammad
hidayah@bharian.com.my




KASUT cantik bergaya selalunya tidak membekalkan ciri-ciri keselesaan kepada pemakainya. Orang kata, sakit macam mana sekali pun, asalkan ada gaya. Secara tidak langsung, wajah anggun 'rosak' dek memakai kasut sempit, ketat mahupun terlalu tinggi kerana kesakitan mampu terpancar pada wajah.

Kebanyakan wanita dan juga lelaki dewasa tidak menyedari bahawa saiz ataupun potongan kasut tidak bersesuaian mampu memberi kesan buruk pada anggota badan. Selain sakit pada kulit ketika memakainya, kesan pada dalaman badan boleh berlaku dalam jangka masa panjang malah mengambil masa lama untuk sembuh.

Lebih-lebih lagi jika anda banyak berjalan terutama pada musim perayaan ini. Jangan biarkan kasut menjadi punca anda tidak dapat menikmati Aidilfitri dengan gembira. Paling penting, jangan amalkan kecantikan melalui penderitaan! TAHAP kesedaran orang ramai mengenai punca dan penyelesaian terhadap masalah sakit kaki masih berada pada peringkat rendah. Maka, tidak hairanlah dianggarkan kira 80 hingga 90 peratus orang dewasa di Malaysia menderita akibat sakit kaki.

Pakar kaki ortoprostetik untuk jenama Schein Orthopaedics dari Jerman, Guido Fahrentrapp, berkata berdasarkan kajian yang dijalankan, jumlah peratusan berkenaan mendapati sesetengah daripada mereka menderita masalah kaki serius seperti sindrom kaki diabetik atau reumatisme.

BERI PENERANGAN: Guido dan Daniel (kanan) bersama arca tulang, bentuk kaki bermasalah dan beberapa produk kasut serta tapak dalam kasut yang dihasilkan dari Schein Orthopaedics.

Bagaimanapun, katanya, peratusan selebihnya pula mempunyai masalah sakit pada kaki yang disebabkan oleh pemakaian kasut salah.

“Lazimnya, pemilihan kasut salah boleh mengakibatkan masalah pada kaki, lutut dan tulang belakang. Malah, selain itu gejala ini boleh mengakibatkan juga kesakitan pada punggung, betis serta masalah peredaran darah dalam badan,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Beliau yang juga pakar kraf dalam bidang menghasilkan kasut, tapak dalam kasut serta kaki palsu berkata, kedua-dua tapak kaki manusia selalunya tidak sama dan sempurna. Ada antara manusia mempunyai kaki pengkar atau kaki yang bengkok ke dalam. Mereka yang menderita akibat lengkung kaki tinggi, lengkung kaki rendah, kaki leper, tumit pecah dan juga bunion sukar mendapatkan kasut yang bersesuaian.

“Rekaan kasut terkini yang nampak lebih cantik mendorong masyarakat membelinya sehingga mengabaikan kesan masa depan terhadap kesakitan kaki. Walaupun nampak cantik dengan tawaran lebih baik, masyarakat seharusnya perlu menitikberatkan soal keselesaan.

“Pemakaian kasut yang tidak berpadanan atau keras secara tidak langsung mengubah bentuk asal kaki. Masalah perubahan bentuk asal kaki berlaku juga disebabkan beberapa faktor lain antaranya kasut terlalu tinggi serta tidak ruang cukup untuk kulit kaki bernafas.

“Namun begitu, jangan terkejut kerana perubahan itu juga boleh berlaku disebabkan oleh faktor genetik. Sekiranya sejarah keluarga sebelum ini ada menunjukkan keluarga mempunyai masalah kaki, maka tidak hairan ada keluarga seterusnya mengalami masalah sama,” katanya.

Guido berkata, selalunya kesakitan pada tapak kaki itu dibiarkan saja. Paling tidak pun mereka sekadar pergi mendapatkan urutan atau melakukan refleksologi. Namun, kaedah mengurut saja tidak akan membantu memulihkan kesakitan kaki atau badan sekiranya masih lagi menggunakan kasut sama serta tidak bersesuaian.

Bagi menangani masalah sakit dan perubahan bentuk kaki yang mendadak, beliau menyarankan supaya memakai kasut yang mempunyai tapak luar dan bahagian dalam yang lembut. Setidak-tidaknya, menggunakan tapak dalam kasut yang lembut.

Sedia khidmat pemeriksaan kaki

Schein Orthopaedics menawarkan khidmat pemeriksaan imbasan kaki dan khidmat nasihat dengan analisa cara berjalan yang terperinci di semua kedainya. Jenama terkenal dari Jerman itu menyediakan kedai kasut yang mengkhusus dalam membekalkan kasut dan tapak dalam kasut ortopedik untuk mereka yang mempunyai masalah kaki.

Pengarah Urusan ScheinOrthopaedics (M) Sdn Bhd, Daniel Berkemeier, berkata kedai kasut berkenaan menawarkan khidmat membantu memberi nasihat dan penyelesaian kepada masalah kaki

“Biarpun masalah kaki yang dihidapi adalah lazim, ia juga tidak diberi perhatian. Oleh sebab itu, Schein Orthopaedics menawarkan perkhidmatan berkenaan bagi mengurangkan kesakitan pada kaki mereka dengan melakukan pemeriksaan imbasan menerusi teknologi yang disediakan khusus.

“Sasaran Schein Orthopaedics terdiri daripada semua peringkat tidak kira dewasa mahupun kanak-kanak. Malah, kita turut membantu mereka yang gemar bersukan kerana golongan ini lebih banyak mengamali masalah sakit kaki,” katanya.

Daniel berkata, Guido bertanggungjawab dalam membuat pemeriksaan pelanggan bagi menghuraikan secara terperinci masalah penyakit kaki pelanggan yang membuat pemeriksaan. Dalam kes tertentu, Guido akan bekerjasama dengan doktor dan pakar terapi yang lain serta menggunakan pendekatan yang lebih holistik ini diambil bagi mendapatkan hasil yang terbaik untuk pesakit.

Selain memberi khidmat pemeriksaan kaki, malah ScheinOrthopaedics turut menawarkan pelbagai jenis kasut selesa (comfort shoes), kasut Diabetik dan Ortopedik (Diabetic and Rheumatoid-Shoes), tapak dalam Ortopedik (Orthopaedic Inserts) dan kasut pemulihan kanak-kanak (Corrective Children shoes).

Mereka yang menderita akibat pelbagai masalah kaki, lutut atau tulang belakang berikutan terbabit dalam aktiviti yang membabitkan tekanan terhadap kaki boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada kedai berkenaan.

No comments: