Ayat al-Quran turut memiliki rahsia tersendiri mengenai kehidupan yang disampaikan kepada manusia secara jelas atau memerlukan kajian mendalam. Hal ini diakui Allah menerusi firman-Nya: "Inilah ayat-ayat al-Quran yang mengandungi hikmah." (Surah Yunus, ayat pertama). Ayat al-Quran mengandungi 114 surah diturunkan selama 23 tahun dengan 13 tahun di Makkah (1,456 ayat) dan sepuluh tahun di Madinah (4,780 ayat).
Allah sudah menerangkan secara jelas mengenai pelbagai fakta sains yang melampaui pemikiran manusia walaupun pada masa ayat al-Quran diturunkan, zaman ketika itu masih dianggap kuno dan belum terdedah kepada ilmu sains.
Antara fakta sains yang ditemui dalam al-Quran iaitu semua cakerawala bergerak secara terapung (Yaasiin: 40), bumi bergerak (An-Naml: 88), atom adalah benda terkecil (Yunus: 61), semakin tinggi semakin sukar bernafas (Al-An'aam: 125), makhluk berpasangan (Adz-Dzaariyaat: 49), proses kejadian manusia (Al-Mu'minuun), kegunaan besi (Al-Hadiid: 25) dan langit yang terkawal (Al-Anbiyaa': 32).
Selain itu, kajian lain yang dijalankan mendapati jumlah sesetengah perkataan yang berlawanan dalam bahasa Arab adalah sama antaranya perkataan dunia dan akhirat disebut masing-masing sebanyak 115 kali.
Perkataan lain adalah malaikat dan syaitan (88 kali), hidup dan mati (145 kali), faedah dan kerugian (50 kali), kesusahan dan kesabaran (114 kali), lelaki dan perempuan (24 kali), ummah dan penyampai (50 kali), iblis dan memohon perlindungan daripada iblis (11 kali), musibah dan bersyukur (75 kali), bersedekah dan berpuas hati (73 kali) serta zakat dan berkat (32 kali).
Golongan muslimin dan jihad (41 kali), emas dan kemurahan hidup (lapan kali), keajaiban dan fitnah (60 kali), minda dan nur (49 kali), lidah dan sumpah (25 kali), nafsu dan ketakutan (lapan kali), bercakap di khalayak ramai dan berdakwah (18 kali).
Jumlah perkataan lain yang dianggap ajaib ditemui adalah solat (lima kali), bulan (12 kali), tahun (365), lautan (32 kali) dan daratan (13 kali). Jumlah lautan dan daratan ini apabila ditukar dalam bentuk peratus adalah bersamaan dengan jumlah sebenar kawasan laut dan darat yang ada di dunia ketika ini iaitu masing-masing 71.111 peratus dan 28.889 peratus.
Misteri yang terkandung dalam ayat al-Quran ini membuktikan kitab berkenaan bukanlah rekaan seorang manusia melainkan ia dihasilkan oleh suatu kuasa yang mentadbir seluruh alam ini yakni Allah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment