Renunglah bersama-sama apakah faedah dan kebaikan rencana ini utk memperkukuhkan UMNO atau orang Melayu. Sewajarnya tulisan yang boleh menyakitkan hati sesama insan khususnya dalam bulan puasa harus dihindarkan ... jika pun betul mengapa dalam keadaan yang semakin sukar kita harus mengajak orang melihat semakin payah ... sama-samalah kita berfikirkan untuk kebaikan semua..
Kaca Mata: Sorotan dua dekad politik serlah pelbagai keanehan - Oleh Hishamuddin Aun (Mingguan Malaysia 14 Sept 2008)
ABDULLAH mempertahankan pelan peralihan kuasa pada 2010 yang dipersetujui Majlis Tertinggi Umno dan Kabinet. |
Hanya lebih sedikit daripada dua dekad lalu atau secara khususnya pada pemilihan Umno 1987, gembar-gembur di kalangan ahli Umno berkisar kepada kekuatan pasukan 'AIDS' yang menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad, di samping menyerang musuh Perdana Menteri ketika itu. 'AIDS' bermaksud kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tun Daim Zainuddin dan Tan Sri Sanusi Junid. Ketiga-tiganya amat setia kepada Dr Mahathir untuk mendepani cabaran Tengku Razaleigh Hamzah, Tun Musa Hitam, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Shahrir Samad dan sesiapa saja yang mengkritik kepemimpinan Dr Mahathir. Kesudahannya, pasukan Dr Mahathir menang kerana AIDS sangat berkuasa dan juga kerana AIDS � khususnya Anwar dan Daim � menguasai media arus perdana yang diketuai orang mereka.
Apa yang dikatakan Dr Mahathir terhadap Ku Li ketika itu harus disorot dalam konteks yang sama dengan apa yang dicadangkannya hari ini � iaitu untuk Ku Li mengetuai Umno dan menjadi Perdana Menteri. Pada 1987 juga, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang ketika itu Menteri Besar Johor, baru hendak menonjolkan dirinya. Beliau dilihat melawan arus dengan menyokong Dr Mahathir, yang kemudian memberikannya tempat dalam 'Team Wawasan' yang ditubuhkan Anwar enam tahun selepas itu.
Menyusul selepas itu ialah Team Wawasan berebutkan jawatan nombor dua ke bawah � cuma kali ini Sanusi dikeluarkan daripada AIDS untuk bergabung dengan Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Tun Ghafar Baba dan agak menghairankan juga, Abdullah. Pemilihan tahun itu menyaksikan politik wang yang disuburkan Team Wawasan pimpinan Anwar, amat berleluasa. Hasilnya, Ghafar, Abdullah dan Sanusi semuanya terkeluar. Pada masa sama, Ku Li pula tidak lagi bersama Umno, sebaliknya menerajui parti serpihan Umno, Semangat 46, untuk tidur sebantal dengan DAP dan Pas.
Seterusnya tiba pemilihan Umno 1996. Sekali lagi politik wang menjadi bualan hangat, di sebalik pelbagai ikhtiar membanterasnya. Dr Mahathir, dalam ucapan dasarnya yang penuh beremosi, menyelar pertukaran wang untuk undi. Tanpa perlu beliau memperincikannya secara khusus, setiap perwakilan memahami gesaannya sebagai mensasarkan seseorang. Akibatnya, Muhyiddin kehilangan kerusi Naib Presidennya. Sebaliknya, ia membuka laluan semula kepada Abdullah untuk diangkat ke jawatan kanan berkenaan.
Seterusnya, Umno menjadi saksi kepada keretakan hubungan Mahathir-Anwar. Dr Mahathir memecat Timbalannya itu pada 1998 yang memuncakkan kemarahan orang Melayu. Berselang beberapa bulan, Dr Mahathir melantik Abdullah � orang yang digugurkan daripada Kabinetnya pada 1987 � selaku orang nombor duanya. Abdullah, pada kaca mata Dr Mahathir dan Umno pada waktu itu, memiliki latar belakang agama dan dihormati akar umbi.
Lebih daripada itu, berlawanan dengan kebanyakan orang lain, Abdullah tidak pernah condong kepada Anwar. Seakan-akan takdir menghendakinya, populariti Dr Mahathir turut semakin terhakis dan kesudahannya � selepas 23 tahun di puncak kuasa � beliau dengan berat hati memilih untuk berundur dan menyerahkan kepemimpinan kepada Abdullah. Dr Mahathir, bagaimanapun, tidak mampu terlalu lama berdiam diri. Apabila Abdullah memutuskan untuk tidak meneruskan projek mega yang diwarisinya, Dr Mahathir memulakan serangan terhadap penggantinya itu � bertali arus kepada gesaannya supaya orang ramai tidak memberikan Barisan Nasional (BN) mandat terlalu besar pada pilihan raya umum 8 Mac lalu. Dan apabila keputusan diumumkan � dengan BN kehilangan majoriti dua pertiga buat julung kalinya � Dr Mahathir menyalahkannya bulat-bulat kepada Abdullah dan menyarankan agar Datuk Seri Najib Razak mencabar Perdana Menteri. Najib, mengambil resmi seorang Timbalan yang setia, enggan menurut. Sebaliknya, apa yang dipersetujuinya ialah pelan peralihan kuasa yang dihajati berlaku pada pertengahan 2010.
Kerana itu, sokongan Dr Mahathir segera beralih. Pilihannya terarah pula kepada Muhyiddin � lantaran beliau semakin kritikal terhadap Abdullah � yang menyerlahkan kesediaan untuk mencabar Perdana Menteri mahupun Najib. Laksana seorang opportunis politik, Muhyiddin harus melihatnya sebagai kesempatan terbaik, apatah lagi bertali arus kepada kekecewaan terdahulunya apabila Abdullah memilih Najib selaku orang nombor dua. Namun, apabila Abdullah dan Najib bersepakat terhadap pelan peralihan kuasa pada 2010 yang diperakui Majlis Tertinggi Umno, Muhyiddin dilihat terdesak dan tersepit.
Satu-satunya pilihan buat Muhyiddin � beberapa ketika dilihat sebagai budak nakal Umno � ialah untuk memendamkan saja hasratnya itu dan menyokong pelan peralihan berkenaan. Tapi, selepas pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh, 26 Ogos lalu, yang menyaksikan Umno kalah teruk, Muhyiddin menghidu sentimen terhadap Umno sudah kembali berubah.
Mungkin benar, mungkin tidak, tetapi itulah perkiraan Muhyiddin yang segera memanfaatkan kesempatan � dengan alasan mewakili kehendak ahli Umno pada peringkat akar umbi � untuk menekan Abdullah semula. Pada masa sama, Dr Mahathir pula membayangkan hasrat untuk kembali ke pangkuan Umno � parti yang ditinggalkannya dengan amarah dan kecewa apabila gesaannya agar Abdullah dan Najib ditentang sambil gandingan Ku Li-Muhyiddin dijulangnya, tidak mendapat sambutan.
Tidak pun segelintir yang menurut jejak Dr Mahathir keluar daripada parti, tidak juga anaknya, Mukhriz, yang memilih untuk berlawan dari dalam.
Kini, Dr Mahathir berada pada pihak yang sama dengan Anwar, dengan masing-masing menuntut supaya Abdullah dikeluarkan. Apa yang harus berbeza ialah, kedua-dua, Dr Mahathir dan Anwar � berlawanan dengan keadaan pada 1987 � tidak lagi tidur sebantal melainkan memasang mimpi yang sama. Turut tidur sebantal dengan Dr Mahathir ialah Ku Li dan Muhyiddin dan harus juga Sanusi. Betapa ia tidak berkemungkinan, tetapi itulah politik � seni pelbagai kebarangkalian! Persamaan yang kekal tidak berubah ialah pasukan asal yang menggabungkan Dr Mahathir, Sanusi dan Anwar masih terus berkira-kira untuk Abdullah disingkirkan.
No comments:
Post a Comment