Sunday, September 14, 2008

Mangsa Nahas Kapal terbang Sek Penerbangan Terengganu

Syukur masih hidup

KUALA LUMPUR: “Saya bersyukur masih lagi hidup. Saya mahu segera sembuh dan kembali menjalani latihan (di sekolah penerbangan HM Aerospace Sdn Bhd) untuk mencapai cita-cita menjadi juruterbang.Tugas saya belum selesai. Saya mahu bantu keluarga, terutama ibu yang sentiasa di sisi sejak saya terlantar di hospital,” kata Mohd Farid Abdullah, 21, juruterbang pelatih yang terselamat apabila pesawat Diamond 40 MAHA 443 dinaikinya terhempas di kawasan hutan Bidong, Setiu, Terengganu, 20 Ogos lalu.Bagaimanapun rakannya, Muhamad Ariff Ahmad Fuad, 20, juruterbang pelatih yang memandu pesawat dua tempat duduk itu, terkorban dalam nahas berkenaan.Pertama kali ditemubual selepas mampu bercakap, Mohd Farid mengakui Ramadan kali ini dirasakan sangat berlainan buatnya.

Sukar untuk luahkan perasaan saya ketika ini. Saya masih menanggung kesakitan, terutama di kaki, sehingga tidak dapat tidur lena dan hanya mampu berbaring.“Namun saya tidak putus semangat. Saya sentiasa bersemangat untuk segera bebas daripada situasi sukar ini walaupun doktor memberitahu saya perlukan sekurang-kurangnya tiga bulan untuk sembuh sepenuhnya dan kembali berjalan,” katanya.Mohd Farid kini menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh sejak dipindahkan dari Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu, 29 Ogos lalu.Menurut anak kedua daripada empat beradik itu, sehingga hari ini dia tidak dapat mengingati bagaimana detik cemas yang dilalui sebelum pesawat terhempas.

“Yang saya ingat, dalam keadaan separuh sedar, saya keluar daripada pesawat dan selepas itu terus tidak sedarkan diri. Saya hanya sedarkan diri di hospital.“Sukar untuk bayangkan bagaimana keadaan saya ketika itu kerana dalam keadaan cedera parah, saya bersendirian di hutan. Yang pasti, saya dihurung nyamuk kerana kesan gigitannya masih kekal sehingga hari ini,” katanya.Mohd Farid berkata, hatinya pilu mengenangkan nasib rakan baiknya yang terkorban dalam nahas itu.“Di dalam kelas (di sekolah penerbangan) saya duduk di sebelah Muhamad Ariff. Dia pendiam, tetapi saya selalu mengusiknya untuk menceriakannya.“Banyak peristiwa suka duka kami lalui bersama, tetapi ketika ini saya tidak mampu mengingatinya,” katanya yang mendapat tajaan Penerbangan Malaysia (MAS) untuk bergelar juruterbang.Sementara itu ibu Mohd Farid, Safiah Omar, 48, kini ‘berumah’ di hospital demi memastikan anaknya dalam keadaan baik.“Saya tidak sanggup berjauhan dengannya. Sejak di Terengganu saya menjaga makan minumnya. Jika mahu ke tandas, saya bantu dia menggunakan kerusi roda. Saya tak sanggup tinggalkan dia bersendirian,” katanya.

Menurut Safiah, jika sebelum ini dia mencari rezeki dengan menerima upah katering secara kecil-kecilan, kini dia kehilangan sumber pendapatan kerana masanya dihabiskan dengan menjaga Mohd Farid.Begitupun, dia tidak kisah kerana yang lebih penting dia dapat sentiasa di sisi anaknya untuk memberi sokongan dan melihatnya sembuh.“Dua tahun lalu saya kehilangan suami kerana terbabit dengan kemalangan jalan raya. Saya tak sanggup lagi kehilangan orang yang saya sayang.“Mohd Farid anak yang baik dan sangat bertanggungjawab. Dalam keadaan terlantar di atas katil, dia tak jemu-jemu memberitahu mahu membela nasib keluarga,” katanya.Safiah berkata, suasana Ramadan kali ini perlu dilalui dengan penuh ketabahan.“Memang sukar berdepan situasi seperti ini. Bagaimanapun, saya reda kerana ia ditakdirkan,” katanya yang berterima kasih kepada MAS kerana banyak membantu.

No comments: