Thursday, April 24, 2008

Suruhanjaya buat UMNO lebih rosak - Roslan

KUALA TERENGGANU - Lebih 50 peratus wakil rakyat di negeri ini yang berkhidmat pada penggal lalu didakwa bersikap angkuh dan sombong terhadap rakyat. Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Roslan Awang Chik ketika mendedahkan perkara itu berkata, sikap sedemikian bukan sahaja berlaku di kalangan wakil rakyat Terengganu sahaja, sebaliknya para pemimpin UMNO di negeri lain juga. Beliau berkata, sikap negatif seumpama itu menyebabkan rakyat sudah mula berasa bosan dan kecewa terhadap calon terbabit menyebabkan mereka mula mengubah haluan dengan memilih calon lain hingga membawa kepada kekalahan kepada UMNO.

Lebih mengecewakan kata Roslan, wakil rakyat yang diberikan amanah menjaga kebajikan dan kepentingan rakyat seolah-olah lupa dengan tanggung jawab sebenar mereka, sebaliknya apa yang lebih diberikan tumpuan ialah mengumpulkan kekayaan. “Ada di antara mereka sibuk kumpul harta untuk kepentingan diri sendiri dan tidak menjalankan tanggung jawab sebagai wakil rakyat,” ujarnya yang juga merupakan Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) kepada Sinar Harian, semalam.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang itu memberitahu, ada wakil rakyat yang begitu sukar untuk berjumpa dengan penduduk setempat yang mempunyai masalah tertentu hingga memaksa mereka membuat temu janji terlebih dahulu. Katanya, perlakuan seumpama itu bukan sikap sebenar wakil rakyat kerana ia bukan sahaja mengundang kemarahan masyarakat semata-mata, malah ahli-ahli UMNO lain juga yang selama ini berdiri teguh di belakang pemimpin berkenaan. “Perkara seumpama ini turut menjadi salah satu faktor berlakunya ‘tsunami’ kecil dalam pilihan raya umum baru-baru ini. Tapi saya tidak boleh memberi komen mengenai wakil rakyat baru kerana prestasi mereka masih belum dapat dinilai,” ujarnya. Sehubungan itu, Roslan menasihatkan semua pemimpin UMNO terutama yang baru dipilih oleh rakyat pada bulan Mac lalu supaya sentiasa melaksanakan program dan aktiviti yang membawa kebaikan kepada masyarakat.

“Selain itu, masalah rakyat setempat juga harus diutamakan dan saya yakin Menteri Besar, Datuk Ahmad Said turut memberi bantuan kepada wakil rakyat untuk membangunkan kawasan masing-masing,” jelasnya. Mengulas mengenai saranan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Dr Rais Yatim supaya satu suruhanjaya khas ditubuhkan bagi menyiasat punca kemerosotan sokongan terhadap parti itu, beliau berpendapat ia tidak perlu dilakukan.

Menurut Roslan, semua ahli MT UMNO tahu dan sedar tentang apa yang berlaku dan penubuhan sebarang jawatankuasa atau suruhanjaya tidak mampu membawa apa-apa perubahan dalam parti. “Apa yang penting, tindakan segera perlu diambil bagi menyelesaikan masalah yang sedang berlaku supaya ia tidak menjadi lebih parah. Lebih banyak penubuhan dan pandangan menjadikan UMNO semakin rosak,” katanya.

No comments: