Thursday, April 24, 2008

Tiga Sektor Akan Diberi Tumpuan

Klik Untuk Besarkan Gambar
Dato' Mohamed Awang Tera bermesra dengan Dato' Ir. Tengku Ismail Tengku Jaafar ketika merasmikan mesyuarat agung DPMMT kali ke-35. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.
Kerajaan Negeri akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada tiga sektor – minyak dan gas, pelancongan dan pertanian kerana mampu memberi pulangan lumayan kepada penduduk meningkatkan kualiti hidup dan ekonomi masing-masing. Ketiga-tiga sektor itu sudah sekian lama dimonopoli oleh warga asing dan mereka yang berpendidikan tinggi. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi Negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera, berkata Kerajaan Negeri yakin ketiga-tiga sektor itu boleh menjadi penyumbang kepada peningkatan ekonomi penduduk di samping dapat memperluas bidang perniagaan serta menambah bilangan usahawan di Terengganu. Katanya, dalam sektor minyak dan gas, Kerajaan Negeri mula mengambil pendekatan dengan memberi latihan berkaitan sektor itu kepada mereka yang berminat termasuk menempatkan mereka di beberapa universiti dan institut berkaitan. “Warga asing sememangnya beruntung kerana mereka sudah lama terdedah dan menerokai sektor yang memberi keuntungan lumayan ini. Oleh itu, bagi mendapat keadilan, Kerajaaan Negeri akan menggandakan usaha membantu penduduk untuk bersama-sama merasai keistimewaannya. “Bagi menjayakannya, Kerajaan Negeri berharap penduduk terutama siswazah yang mengambil bidang yang berkaitan supaya berusaha bersungguh-sungguh menerokai ilmu mengenainya” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Terengganu, di Primula Beach Resort, Batu Burok, Kuala Terengganu, hari ini (24 April). Bagaimanapun, penduduk sudah mula menerima angin perubahan dan perkembangan yang memberangsangkan dalam sektor pelancongan dan pertanian. “Maklum balas positif itu di terima selepas mendapat bimbingan daripada beberapa agensi yang berkaitan untuk memperluaskan bidang perniagaan masing-masing. “Sebagai contoh, ada penduduk yang tinggal di luar bandar mampu meningkatkan ekonomi dengan membina `homestay’ selain memasarkan hasil tanaman masing-masing di beberapa pasar raya di negeri ini,” katanya. Menurutnya, lebih menarik lagi, hasil tanaman seperti pisang, ubi kayu dan mangga dikomersialkan bagi meraih keuntungan dengan menghasilkan pelbagai produk yang berasaskan makanan segera.

No comments: