RAMAI orang, seperti saya, memang tidak suka matematik sejak kecil lagi.Namun, hari ini sebagai jurutera, matematik merupakan sumber rezeki saya.Hati saya terbuka kepada matematik apabila menyedari pentingnya subjek ini yang memiliki banyak kegunaan.
Sesudah membaca dan menulis, setiap orang perlu tahu mengira. Semakin tinggi bidangnya, semakin canggih cara pengiraan atau disebut matematik.
Pakar ekonomi, jurutera, ahli fizik, akauntan, pilot sehingga juruukur memerlukan perhitungan matematik walaupun kekerapannya tidak sama.Cerita matematik ini membuat saya merenung kisah hidup Sufiah Yusof, anak Islam yang mengagumkan dunia apabila diterima masuk ke Universiti Oxford pada usia 13 tahun.Namun, 10 tahun kemudian, setelah berkahwin dengan seorang peguam Britain yang sudah memeluk Islam tetapi sayangnya bercerai pula, tiba-tiba Sufiah dihebohkan oleh berita sensasi - beliau menjadi seorang pelacur!
Apakah Sufiah silap perkiraan moralnya?
Kata pakar, matematik tidak punya nilai moral kecuali angka-angka yang perlu ditafsirkan dengan bijaksana.Matematik di sekolah umumnya bersifat latih tubi mengenai persamaan (equation) dan bilangan (sums). Hal ini penting, namun yang jauh lebih penting adalah memastikan seorang anak memahami konsep dan penggunaannya serta menerapkannya dalam kehidupan nyata.Di sekolah rendah, seorang anak perlu dilatih merubah nilai daripada sentimeter kepada meter dengan mengambil pembaris dan mengukur panjang sisi meja.
Di sekolah menengah, seorang anak perlu mengetahui bahawa pertumbuhan tinggi badan seseorang itu boleh didekati dengan fungsi kuadratik.
Di maktab rendah, seorang pelajar sudah dapat menghitung isi padu mangkuk dengan kamilan.
Pengenalan guna pakai atau aplikasi matematik ini perlu disampaikan tanpa tekanan. Dengan cara ini, matematik menjadi semacam kecintaan seperti yang dialami oleh ahli matematik yang turut membina tamadun silam Islam - Al-Khwarizmi (penemu algebra dan logarithm), Omar Khayyam sehinggalah Ibn Sina atau sehingga Albert Einstein.Apabila anda naik kapal terbang, duduklah di jendela dekat sayapnya. Perhatikan hujung sayap yang terpesong (defleksi) ke atas namun tidak patah. Mengapakah ini terjadi? Sebab sayap pesawat ini dikira dengan tepat oleh jurutera dengan menggunakan aplikasi matematik.
Merenung kejadian alam dengan tidak terkira jumlah planet dan bintang - semua dapat bergerak menurut orbitnya dengan tepat (tanpa berlanggar), matahari terbit dan terbenam dan pantulan cahaya purnama, jelas keagungan Ilahi dalam matematik-Nya.Pemahaman mengenai matematika tidak memerlukan pacuan. Namun, ini yang berlaku pada Sufiah.Ayahnya, Farooq Yusof, dan ibunya, Halimaton, menerapkan kaedah belajar pacuan atau disebut hothousing - anak dilatih untuk tertumpu pada satu mata pelajaran, biasanya matematik.
Tidak syak, Sufiah dan adik- adiknya memang pintar. Sufiah mencapai prestasi sehingga diterima oleh Oxford, antara 10 universiti terbaik di dunia.Di Oxford, Sufiah masih dipacu oleh ibu bapanya sehingga mengeluh tidak mempunyai banyak teman. Kesan ini dan selanjutnya ketegangan antara ibu bapanya (bapanya dituduh mencabul murid perempuan dan ibunya kini dalam proses menuntut cerai) menjejas jiwa Sufiah.Ibu bapa Sufiah tentu berniat baik untuk masa depan anak- anaknya. Namun, hal ini mencetuskan keadaan tidak seimbang dalam pertumbuhan Sufiah, termasuk kekeliruan pada matlamat dan harga dirinya.
Hari ini, ramai orang berdoa, mengharapkan dan mahu menolong Sufiah menjadi orang yang baik. Kembali ke jalan yang lurus.Namun, Sufiah yang punya paradigma realistik dan logik tentu bertanya: aku harus jadi apa?Penjelmaan menjadi 'yang baik' sukar dirumuskan dalam matematik yang tidak punya nilai moral.
No comments:
Post a Comment