DUA minggu lalu, jiran lama Nenek semasa tinggal di kampung dulu meninggal dunia akibat sakit barah. Allahyarhamha, yang kami panggil Kak Long, berusia 75 tahun.Ketika melawat, memang ramailah jiran lama yang Nenek jumpa. Ramai yang bercerita tentang kebaikannya, keramahannya dan sikapnya yang ringan tulang. Pantang ada jiran yang membuat kenduri-kendara, beliau yang paling rajin datang membantu, kadangkala dari pagi sampai ke malam.
'Memang arwahnya itu satu contoh terbaik. Dialah yang selalu menjadi 'ketua' kumpulkan kami, kaum wanita, apabila ada sesuatu majlis di kampung,' kata Kak Zainah, yang usianya muda dua tahun daripada arwahnya.Pendek kata, memang banyaklah jasa dan pengorbanan yang dibuat arwahnya itu.
Selepas jenazah dibawa ke pusara, kami sempat berbual-bual dengan anak sulung arwahnya, Salamah, yang berusia sekitar 57 tahun.'Kami rasa puas dapat menjaga emak tidak kira semasa arwahnya sakit di rumah atau semasa dirawat di hospital,' kata Salamah.
Untungnya dapat anak cucu yang memang sangat mengambil berat orang tua mereka.Yalah... Nenek ini pun dah tua dan tentu sekali Nenek dapat rasakan perasaan orang-orang tua yang sebaya Nenek. Kami, golongan yang sudah berumur ni, biasanya sensitif, apatah lagi jika sedang sakit.
Kadangkala, anak-anak tidak datang menjenguk atau bertanya khabar pun mereka dah kecil hati.Lebih kecil hati dan kadangkala sampai merajuk jika anak-anak bercakap kasar kepada mereka, atau tidak melayan cakap-cakap mereka.
'Kita ni jadi emak, jadi nenek... janganlah asyik nak membebel aje... nanti anak cucu naik bosan,' kata Sumiati, kawan sebaya Nenek.'Ya betul. Budak-budak sekarang ni mesti nak dilayan dengan baik.
'Cakap kasar tak boleh, cakap lembut pulak kadang-kadang dia orang 'naik toncet' pula. Isy... susah juga ya,' tambah Tipah, nenek dua cucu.Memang betul apa yang mereka semua katakan.
Anak-anak sekarang bukan macam anak-anak zaman Nenek remaja dulu. Pergaulan mereka kini lebih bebas, fikiran lebih terbuka dan mereka lebih suka berterus-terang.'Bagi saya, apa yang terpenting ialah didikan sejak kecil lagi. Kita sebagai orang tua pun mesti tunjuk teladan. Didikan agama juga amat penting dan justeru tidak boleh diabaikan,' kata Nenek.
No comments:
Post a Comment