Friday, July 11, 2008

Beli-belah dalam talian

VirtualMalaysia.com portal e-pelancongan rasmi Kementerian Pelancongan, telah menambahkan lagi keseronokan beli-belah melalui peraduan secara dalam talian Shopping Mania: Tag the Bag yang dianjurkan sempena Karnival Jualan Mega Malaysia 2008.

Peraduan yang bermula dari 16 Jun hingga 31 Ogos ini merupakan sebahagian daripada kempen selama 11 minggu VirtualMalaysia.com untuk mempromosikan aktiviti membeli-belah di seluruh negara. Sempena dengan karnival jualan mega selama 59 hari (bermula 5 Julai hingga 1 September 2008), peraduan ini menyediakan peluang kepada para pelancong tempatan dan luar negara untuk memenangi hadiah-hadiah hebat serta baucar yang boleh digunakan semasa pesta jualan.

"Malaysia merupakan syurga beli-belah dan kami sangat teruja untuk menampilkan daya tarikan yang ada di negara kita," kata Ketua Pegawai Eksekutif, VirtualMalaysia.Com, Rohizam Md Yusoff.

"Kami mahu membuat sesuatu yang menyeronokkan untuk para pengunjung VirtualMalaysia.com dan itulah sebabnya kami mencipta permainan Tag the Bag, yang boleh disertai oleh semua lapisan umur, tidak kira tua atau pun muda."




Tag the Bag adalah permainan mudah yang memerlukan para peserta mengumpulkan mata dengan menangkap seberapa banyak beg beli-belah yang boleh dalam masa 20 saat.

Tiada had dikenakan kepada para peserta untuk bermain permainan ini. Lebih kerap peserta bermain, maka lebih besar peluang mereka untuk menang. Para penganjur pertandingan ini termasuklah MasterCard, Gap, Suria KLCC, The Mall, Zon Johor, Gurney Plaza, Kiara Holidays, Dragon-I, dan banyak lagi.

Pemenang peraduan akan dipilih setiap minggu dan diumumkan melalui laman web. Untuk menyertai peraduan, layari www.virtualmalaysia.com dan klik pada Mega Sale Mania: Tag the Bag untuk memulakan permainan.

Mengurus anak angkuh

Dalam kesungguhan anak-anak berbangga dengan kebolehan diri, mereka mungkin tidak sedar bahawa tindakan itu mungkin menyinggung perasaan orang lain.


SIKAP menunjuk-nunjuk adalah perkara biasa bagi kebanyakan kanak-kanak. - Gambar hiasan


PADA usia yang muda, kebanyakan kanak-kanak sudah belajar untuk berkata, 'lihat saya'. Majoritinya berbuat demikian semata-mata ingin mendapatkan perhatian daripada orang dewasa.Kelibat seorang lelaki dan anak perempuannya yang berusia empat tahun menarik perhatian. Si anak dilihat cuba memperkenalkan diri kepada seorang kakak yang berdiri berdekatannya. Kemudian dia cuba membuat gaya somersault di atas rumput sambil menjerit, 'tengok ni... tengok ni!' Dalam situasi apakah, keangkuhan seseorang anak mungkin bertukar menjadi satu masalah atau bencana?Kanak-kanak lazimnya terlalu muda dan agak mudah bertoleransi dengan keangkuhan kanak-kanak lain. Mereka sama ada akan membiarkan sahaja sikap menunjuk-nunjuk itu atau berkumpul di sekitar anak yang bongkak.

Sebagai ibu bapa, kita akan memberi galakan kepada anak-anak muda untuk berpuas hati dan berbangga dengan apa juga pencapaian mereka.Misalnya, kali pertama anak perempuan anda berjaya dalam pertandingan bercerita, sudah tentu anda memberi pujian sewajar kepadanya sebagai dorongan untuk kejayaan masa hadapan.Menurut seorang profesor dalam jurusan pendidikan karakter, Dr. Marvin Berkowitz, sikap menunjuk-nunjuk dalam kalangan kanak-kanak pra-sekolah adalah sesuatu yang sihat."Salah satu tugas paling penting bagi seseorang anak ialah membentuk rasa sayang pada diri sendiri dan keyakinan diri. Anak-anak perlu merasakan diri akan berjaya dan mampu menjayakan sesuatu," katanya.Anak sering diberitahu oleh ibu bapa bahawa mereka mampu melakukan kerja dan kenyataan ini perlu diterima. Atas sebab ini, anak-anak memperoleh keberanian dan keinginan untuk berkongsi cerita dengan sesiapa sahaja tentang segala kemampuan yang dilakukan oleh mereka. Namakan sahaja, daripada mengira sehingga 10, mengetahui nama penuh atau bermain dengan bakul.

Namun, dalam kesungguhan mereka bercerita atau berbangga dengan kebolehan diri, mereka mungkin tidak sedar tindakan itu mungkin menyinggung perasaan orang lain.Pakar kanak-kanak berpendapat, anak yang meluahkan kegembiraan terhadap pencapaian mereka adalah sesuatu yang normal asalkan mereka tidak dipaksa melakukannya untuk orang lain. Maklum balas anda sebagai ibu bapa boleh membantu mengajar anak-anak tentang bagaimana menjadi sensitif terhadap perasaan kanak-kanak lain.Seiring dengan peningkatan usia, sebab seseorang anak menunjuk-nunjuk juga berubah. Sekiranya, sikap menunjuk-nunjuk terlalu melampau berbanding rakan sebayanya, ini mungkin bermakna dia tidak memperoleh perhatian secukupnya daripada ibu bapanya.Oleh sebab itu, dia mengambil peluang untuk menunjuk-nunjuk agar diri berasa dihargai. Sesetengah anak-anak mungkin berasa angkuh apabila mereka dilanda ketidakpastian terhadap diri sendiri atau ingin diri diterima. Pada masa yang sama, ia mungkin bermakna si anak telah menerima terlalu banyak pujian sehinggakan sikap menunjuk-nunjuk dirasakan tiada masalah.

Tetapi seiring dengan tumbesarannya, mereka sepatutnya belajar dan mengetahui bahawa sikap yang menunjuk-nunjuk tidak lagi boleh diterima. Mereka mungkin semakin sukar untuk menerima bahawa tindakan itu boleh memakan diri.Sebagai ibu bapa, anda boleh membantu membuang tabiat menunjuk-nunjuk si anak dengan menaikkan tahap keyakinan diri mereka. Bantulah anak sedar bahawa mereka mampu berdikari dan tidak perlu terlalu berbangga atau terlampau menunjuk-nunjuk akan pencapaian diri.Tunjukkan kepada anak-anak tentang bagaimana sikap menunjuk-nunjuk mereka mungkin boleh menyinggung perasaan orang lain. Gunakan diri sebagai contoh untuk menunjukkan kepada anak, bagaimana gaya menunjuk-nunjuk itu boleh memberi maksud sebaliknya kepada orang di sekeliling.

Walaupun menunjuk-nunjuk adalah perkara biasa bagi kebanyakan kanak-kanak, mereka perlu dididik tentang kepentingan mengelakkan keangkuhan melampau.

Thaksin yang ke-16 terkaya


THAKSIN bergambar bersama anak perempuannya, Paetongtarn selepas majlis konvokesyen di Universiti Chulalongkorn, Bangkok semalam.


BANGKOK – Bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra disenaraikan antara orang terkaya di negara berkenaan walaupun hartanya berjumlah AS$2 bilion (RM6.5 bilion) dibekukan.Menurut majalah Forbes, Thaksin yang digulingkan pada 2006 adalah orang ke-16 paling kaya di Thailand dengan harta bernilai AS$400 juta (RM1.3 bilion) bertambah sebanyak AS$100 juta (RM325 juta).

Bagaimanapun, nilai sebenar harta Thaksin dianggarkan lebih tinggi kerana sebahagian aset beliau yang bernilai AS$2 bilion (RM6.5 bilion) dibekukan oleh pihak berkuasa Thailand.Aset Thaksin dibekukan selepas beliau didakwa menyalahgunakan kuasa berhubung penjualan saham syarikatnya, Shin Corp kepada sebuah syarikat Singapura, Temasek Holdings pada 2006.Thaksin dan isterinya, Pojaman hadir di mahkamah pada Selasa lalu bagi menghadapi beberapa tuduhan rasuah yang berlaku sepanjang pemerintahan beliau

Serah kepada Najib Jun 2010 - Proses peralihan kuasa Perdana Menteri sudah bermula




KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam mengumumkan akan menyerahkan jawatan Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) kepada Datuk Seri Najib Tun Razak pada pertengahan 2010.Katanya, proses peralihan kuasa itu bermula semalam dan dengan keputusan itu beliau tidak akan memimpin BN pada pilihan raya umum akan datang yang dijangka pada 2012 atau 2013."Saya ambil kesempatan memaklumkan kepada anggota Majlis Tertinggi pada mesyuarat tadi bahawa saya telah mencapai kesepakatan dengan Datuk Seri Najib bahawa saya tidak akan memimpin parti BN dan UMNO pada pilihan raya yang akan datang yang ke-13."Dan ini juga bermakna satu peralihan kuasa perlu diwujudkan. Saya maklumkan kepada MT ia bermula dengan apa yang saya umumkan hari ini (semalam)."Iaitu saya bercadang untuk menyerahkan jawatan kepada Datuk Seri Mohd. Najib untuk ambil alih jawatan presiden parti dalam pertengahan Jun atau pertengahan tahun 2010," katanya.Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Taklimat Khas Tertutup dengan pemimpin UMNO bahagian dan pemimpin ketiga-tiga sayap parti iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Ketika ditanya sama ada sebarang keputusan dibuat bahawa jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti tidak dipertandingkan pada pemilihan parti nanti, Abdullah berkata, tidak ada sebarang keputusan dibuat berhubung perkara itu dan berharap Najib akan terus menjadi timbalannya sehingga beliau menyerahkan kuasa nanti."Saya dapati hubungan itu adalah baik. Niat dan tujuan saya ialah untuk mengukuhkan parti dan meneruskan program-program yang banyak dirancang termasuk janji-janji pilihan raya."Maka saya rasa senang hati jika sekiranya timbalan saya Najib sampai tarikh (itu) nanti, (apabila) saya menyerahkan jawatan saya.

"Inilah penghargaan saya kepadanya dan saya memilih beliau menjadi pengganti saya kerana saya yakin dan percaya beliau dapat memimpin parti dengan baik," katanya.Dalam tempoh peralihan itu, Abdullah berkata, mereka berdua akan berusaha meningkatkan kekuatan parti dan mengembalikan semula parti kepada kedudukan yang mendapat sokongan kuat daripada rakyat dengan bilangan yang lebih ramai daripada dahulu iaitu sewaktu parti menghadapi pilihan raya dan melaksanakan program-program yang lain.Abdullah juga menghargai kesediaan Najib untuk menerima cadangannya itu yang mendapat restu baik daripada pemimpin UMNO pada pertemuan tertutup semalam iaitu dengan mendapat tepukan dan standing ovation daripada mereka.Ditanya mengapa pertengahan tahun 2010 dipilih untuk peralihan kuasa itu, Abdullah berkata, jangka masa itu dilihat mencukupi untuk beliau melaksanakan pelbagai projek dan rancangan yang diaturkan bersama dengan Najib.

Thursday, July 10, 2008

Bertani memberi hasil lumayan


CILI ... Pekebun, Mohd Hisham Md Isa, 34, menunjukkan pelbagai jenis cili yang terdapat di Pusat Jualan dan Semaian Cili miliknya di Batu 8, Jalan Alor Star-Sungai Petani dekat sini, hari ini. Beliau yang sebelum ini menjalankan perniagaan pakaian terpakai beralih arah kepada berkebun bagi menyahut seruan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bahawa pertanian adalah perniagaan yang menguntungkan. Selepas sembilan bulan mengusahakan tanaman tersebut, kini beliau mampu memperolehi pendapatan harian antara RM200 hingga RM300. -foto BERNAMA

ALOR STAR: Bagi sesetengah orang, bercucuk tanaman dan menternak dianggap tidak boleh menampung kehidupan seharian. Tetapi bagi seorang petani di Alor Star, bidang pertanian mendatangkan hasil lumayan.Bagi Mohd Hisham Md Isa, 34, yang menanam sayur-sayuran dan mengusahakan pusat jualan dan tapak semaian sayur-sayuran di Batu 8, Jalan Alor Star-Sungai Petani dekat sini, dia mampu memperolehi pendapatan antara RM200 hingga RM300 sehari.

Antara sayuran yang ditanam dan dijualnya ialah pelbagai jenis cili seperti cili hidup, cili api, cili oren, cili hijau muda, cili strawberi, cili unggu, cili hitam, cili paprika dan cili jambu, sayuran lain seperti terung, tomato, halia dan cekor betik madu.Selain menanam kira-kira 1,000 batang pokok cili, dia juga memelihara 2,000 ekor ikan keli dalam bekas gentian kaca dan 15 ekor kambing kampung."Modal permulaan saya hanyalah sebanyak RM700 yang dipinjam dari ahli keluarga dan rakan-rakan," katanya.Mohd Hisham yang sebelum ini berniaga pakaian terpakai, turut menjual baja dan racun serangga tanaman serta menyediakan khidmat pemasangan paip untuk saluran pengairan tanaman.

Kronologi kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi

Jawatan kerajaan

  • Sejak Oktober 2003: Perdana Menteri Kelima
  • Januari 1999 - Oktober 2003: Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri
  • 1999: Timbalan Pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN)
  • 1991 - 1999: Menteri Luar
  • 1986 - 1987: Menteri Pertahanan
  • 1984 - 1986: Menteri Pelajaran
  • 1981 - 1984: Menteri di Jabatan Perdana Menteri
  • 1980 - 1981: Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan
  • 1978 - 1980: Setiausaha Parlimen Kementerian Wilayah Persekutuan
  • 1974: Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan
  • 1971 - 1973: Ketua Pengarah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan
  • 1969 - 1971: Ketua Penolong Setiausaha Majlis Operasi Negara (NOC), Jabatan Perdana Menteri
  • 1964 - 1969: Penolong Setiausaha, Jabatan Perkhidmatan Awam

Jawatan politik

  • Sejak 2004: Presiden Umno
  • Mei 2000: Timbalan Presiden Umno
  • 1978: Ahli Parlimen Kepala Batas (sehingga sekarang)
  • 1998: Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang
  • 1996: Naib Presiden Umno
  • 1993 - 1996: Anggota Majlis Tertinggi Umno
  • 1984 - 1990: Naib Presiden Umno
  • 1981: Anggota Majlis Tertinggi Umno
  • 1979: Ketua Umno Bahagian Bertam
  • 1979: Ketua Umno Bahagian Kepala Batas

Sah, Pak Lah serah Najib kepimpinan Jun 2010

Align Center

INI PENGGANTI SAYA... Mungkin ini yang cuba disampaikan oleh Abdullah Ahmad Badawi dengan menepuk bahu Mohd. Najib Tun Razak (kiri) pada sidang akhbar yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur petang tadi. - foto The Star Art Chen

(Mutakhir) KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengumumkan beliau akan menyerahkan tampuk kepimpinan negara dan parti secara berperingkat kepada timbalannya, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak menjelang pertengahan 2010.Peralihan kuasa Abdullah-Najib berkuat kuasa mulai hari ini dan akan lengkap sepenuhnya Jun 2010.Perkara ini diumumkan oleh Abdullah selepas majlis Taklimat Presiden di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini sebentar tadi.

Kata Abdullah, keputusan mengatur peralihan kuasa ini tidak dipengaruhi oleh sebarang bentuk tekanan dalam Umno supaya beliau meletakkan jawatan.Abdullah telah didesak oleh pelbagai pihak supaya beliau berundur daripada jawatan Presiden Umno dan Perdana Menteri ekoran keputusan kurang memberangsangkan parti itu dan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum ke-12 8 Mac lalu.Malah, Abdullah yang mengambil alih kepimpinan parti dan kerajaan pada Oktober 2003 juga mengulangi bahawa beliau akan mempertahankan jawatannya pada Disember ini dan mahu Najib kekal sebagai timbalannya.Pada sidang akhbar hari ini Abdullah juga mengumumkan bahawa jawatan Presiden dan Timbalan Presiden boleh ditandingi oleh sesiapa sahaja.

Kata Abdullah, proses peralihan kuasa itu bermula hari ini dan dengan keputusan itu beliau tidak akan memimpin BN pada pilihan raya umum akan datang yang dijangka pada 2012 atau 2013.

"Saya ambil kesempatan memaklumkan kepada anggota Majlis Tertinggi pada mesyuarat tadi bahawa saya telah mencapai kesepakatan dengan Datuk Seri Najib bahawa saya tidak akan mempimpin parti BN dan Umno pada pilihan raya yang akan datang yang ke13."Dan juga ini bermakna satu peralihan kuasa perlu diwujudkan. Saya maklumkan kepada MT ia bermula dengan apa yang saya umumkan hari ini."Iaitu saya bercadang untuk menyerahkan jawatan kepada Najib untuk ambil alih jawatan presiden parti dalam pertengahan Jun atau pertengahan tahun 2010," katanya.Kira-kira tiga minggu lalu ketika berada di Kelantan dan Terengganu, Abdullah mengumumkan bahawa beliau telah mencapai kata sepakat dengan Najib berhubung peralihan kuasa dan tarikhnya akan diumumkan kelak.

Ketika ditanya mengapa memilih tempoh 23 bulan untuk menyerahkan kuasa, Abdullah memberitahu, beliau mahu memberi masa yang cukup kepada Najib untuk bersedia memikul tanggungjawab tersebut.Selain itu, kata Abdullah, beliau mahu memastikan program pembangunan yang dirancang termasuk Rancangan Malaysia Kesembilan dilaksanakan dengan sebaik yang mungkin menjelang tahun 2010.Abdullah menggantikan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri lima tahun lalu dengan Najib menjadi timbalannya.Kedua-dua mereka menang tanpa bertanding jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada 2004.Majlis Tertinggi (MT) Umno selesai mengadakan mesyuaratnya kira-kira pukul 5.30 petang tadi dan disusuli dengan Taklimat Presiden di Dewan Merdeka.Taklimat diberikan oleh Abdullah yang turut mempengerusikan mesyuarat MT lebih dua jam.Mesyuarat MT dan Taklimat Presiden diadakan kira-kira seminggu menjelang mesyuarat agung tahunan lebih 20,000 cawangan Umno.Taklimat Presiden diberikan kepada 191 ketua Umno bahagian.