Thursday, July 10, 2008

Sah, Pak Lah serah Najib kepimpinan Jun 2010

Align Center

INI PENGGANTI SAYA... Mungkin ini yang cuba disampaikan oleh Abdullah Ahmad Badawi dengan menepuk bahu Mohd. Najib Tun Razak (kiri) pada sidang akhbar yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur petang tadi. - foto The Star Art Chen

(Mutakhir) KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengumumkan beliau akan menyerahkan tampuk kepimpinan negara dan parti secara berperingkat kepada timbalannya, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak menjelang pertengahan 2010.Peralihan kuasa Abdullah-Najib berkuat kuasa mulai hari ini dan akan lengkap sepenuhnya Jun 2010.Perkara ini diumumkan oleh Abdullah selepas majlis Taklimat Presiden di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini sebentar tadi.

Kata Abdullah, keputusan mengatur peralihan kuasa ini tidak dipengaruhi oleh sebarang bentuk tekanan dalam Umno supaya beliau meletakkan jawatan.Abdullah telah didesak oleh pelbagai pihak supaya beliau berundur daripada jawatan Presiden Umno dan Perdana Menteri ekoran keputusan kurang memberangsangkan parti itu dan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum ke-12 8 Mac lalu.Malah, Abdullah yang mengambil alih kepimpinan parti dan kerajaan pada Oktober 2003 juga mengulangi bahawa beliau akan mempertahankan jawatannya pada Disember ini dan mahu Najib kekal sebagai timbalannya.Pada sidang akhbar hari ini Abdullah juga mengumumkan bahawa jawatan Presiden dan Timbalan Presiden boleh ditandingi oleh sesiapa sahaja.

Kata Abdullah, proses peralihan kuasa itu bermula hari ini dan dengan keputusan itu beliau tidak akan memimpin BN pada pilihan raya umum akan datang yang dijangka pada 2012 atau 2013.

"Saya ambil kesempatan memaklumkan kepada anggota Majlis Tertinggi pada mesyuarat tadi bahawa saya telah mencapai kesepakatan dengan Datuk Seri Najib bahawa saya tidak akan mempimpin parti BN dan Umno pada pilihan raya yang akan datang yang ke13."Dan juga ini bermakna satu peralihan kuasa perlu diwujudkan. Saya maklumkan kepada MT ia bermula dengan apa yang saya umumkan hari ini."Iaitu saya bercadang untuk menyerahkan jawatan kepada Najib untuk ambil alih jawatan presiden parti dalam pertengahan Jun atau pertengahan tahun 2010," katanya.Kira-kira tiga minggu lalu ketika berada di Kelantan dan Terengganu, Abdullah mengumumkan bahawa beliau telah mencapai kata sepakat dengan Najib berhubung peralihan kuasa dan tarikhnya akan diumumkan kelak.

Ketika ditanya mengapa memilih tempoh 23 bulan untuk menyerahkan kuasa, Abdullah memberitahu, beliau mahu memberi masa yang cukup kepada Najib untuk bersedia memikul tanggungjawab tersebut.Selain itu, kata Abdullah, beliau mahu memastikan program pembangunan yang dirancang termasuk Rancangan Malaysia Kesembilan dilaksanakan dengan sebaik yang mungkin menjelang tahun 2010.Abdullah menggantikan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri lima tahun lalu dengan Najib menjadi timbalannya.Kedua-dua mereka menang tanpa bertanding jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada 2004.Majlis Tertinggi (MT) Umno selesai mengadakan mesyuaratnya kira-kira pukul 5.30 petang tadi dan disusuli dengan Taklimat Presiden di Dewan Merdeka.Taklimat diberikan oleh Abdullah yang turut mempengerusikan mesyuarat MT lebih dua jam.Mesyuarat MT dan Taklimat Presiden diadakan kira-kira seminggu menjelang mesyuarat agung tahunan lebih 20,000 cawangan Umno.Taklimat Presiden diberikan kepada 191 ketua Umno bahagian.

No comments: