Friday, July 11, 2008

Serah kepada Najib Jun 2010 - Proses peralihan kuasa Perdana Menteri sudah bermula




KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam mengumumkan akan menyerahkan jawatan Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) kepada Datuk Seri Najib Tun Razak pada pertengahan 2010.Katanya, proses peralihan kuasa itu bermula semalam dan dengan keputusan itu beliau tidak akan memimpin BN pada pilihan raya umum akan datang yang dijangka pada 2012 atau 2013."Saya ambil kesempatan memaklumkan kepada anggota Majlis Tertinggi pada mesyuarat tadi bahawa saya telah mencapai kesepakatan dengan Datuk Seri Najib bahawa saya tidak akan memimpin parti BN dan UMNO pada pilihan raya yang akan datang yang ke-13."Dan ini juga bermakna satu peralihan kuasa perlu diwujudkan. Saya maklumkan kepada MT ia bermula dengan apa yang saya umumkan hari ini (semalam)."Iaitu saya bercadang untuk menyerahkan jawatan kepada Datuk Seri Mohd. Najib untuk ambil alih jawatan presiden parti dalam pertengahan Jun atau pertengahan tahun 2010," katanya.Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Taklimat Khas Tertutup dengan pemimpin UMNO bahagian dan pemimpin ketiga-tiga sayap parti iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Ketika ditanya sama ada sebarang keputusan dibuat bahawa jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti tidak dipertandingkan pada pemilihan parti nanti, Abdullah berkata, tidak ada sebarang keputusan dibuat berhubung perkara itu dan berharap Najib akan terus menjadi timbalannya sehingga beliau menyerahkan kuasa nanti."Saya dapati hubungan itu adalah baik. Niat dan tujuan saya ialah untuk mengukuhkan parti dan meneruskan program-program yang banyak dirancang termasuk janji-janji pilihan raya."Maka saya rasa senang hati jika sekiranya timbalan saya Najib sampai tarikh (itu) nanti, (apabila) saya menyerahkan jawatan saya.

"Inilah penghargaan saya kepadanya dan saya memilih beliau menjadi pengganti saya kerana saya yakin dan percaya beliau dapat memimpin parti dengan baik," katanya.Dalam tempoh peralihan itu, Abdullah berkata, mereka berdua akan berusaha meningkatkan kekuatan parti dan mengembalikan semula parti kepada kedudukan yang mendapat sokongan kuat daripada rakyat dengan bilangan yang lebih ramai daripada dahulu iaitu sewaktu parti menghadapi pilihan raya dan melaksanakan program-program yang lain.Abdullah juga menghargai kesediaan Najib untuk menerima cadangannya itu yang mendapat restu baik daripada pemimpin UMNO pada pertemuan tertutup semalam iaitu dengan mendapat tepukan dan standing ovation daripada mereka.Ditanya mengapa pertengahan tahun 2010 dipilih untuk peralihan kuasa itu, Abdullah berkata, jangka masa itu dilihat mencukupi untuk beliau melaksanakan pelbagai projek dan rancangan yang diaturkan bersama dengan Najib.

No comments: