Busana Muslimah kian gah
Oleh Nor Affizar Ibrahim
affizar@bharian.com.my
ARUS perubahan dunia fesyen di Barat tidak dinafikan, sentiasa disanjungi dan dikagumi kerana setiap tahun atau musim ada saja pembaharuan yang dibawa serta dicipta pereka fesyen. Namun, melihat lebih terperinci perkembangan fesyen di Malaysia ia juga tidak kurang hebat dan boleh dibanggakan, bahkan ada keunikan tersendiri.
Antara keunikan fesyen di negara ini ialah perkembangan rekaan busana yang menutup aurat atau Muslimah, dikhususkan untuk umat Islam. Biarpun, perkembangan semasa menyaksikan pelbagai perubahan dalam aliran fesyen terkini, kebanyakan umat Islam di negara ini masih berpaksikan hakikat yang kemodenan itu tidak pernah menghakis nilai syariat.
Justeru, bagi yang berpegang pada nilai itu rekaan busana gaya Muslimah yang menutup aurat dan menyerlahkan ciri kesopanan tetap menjadi pilihan. Dengan adanya permintaan itu, secara tidak langsung industri busana Muslimah semakin pesat sehingga merancakkan lagi lakaran dunia fesyennya yang tersendiri. KESEDARAN semakin tinggi masyarakat terhadap tuntutan memilih busana yang menyerlahkan ciri Muslimah dan penuh kesopanan bukan sekadar menjadi suatu adat, sebaliknya ia seiring dengan tuntutan agama. Maka itulah juga menyebabkan mengapa rekaan busana Muslimah kini semakin mendapat perhatian.
Apa yang lebih menarik, perkembangan fesyen semasa menyaksikan pelbagai gaya pilihan busana menutup aurat yang diketengahkan. Pilihan bukan saja semakin banyak, tetapi memenuhi aspirasi wanita yang bertudung litup untuk bergaya lebih menarik, anggun dan menawan.
GAYA Manis dan sopan sesuai digayakan pada hari raya. |
Pemborong pakaian koleksi busana Muslimah dan Tudung, Idaman Hawa Sdn Bhd, Jeffery Azemi, berkata perkembangan fesyen rekaan busana Muslimah yang diilhamkan oleh pereka tempatan kini seiring dengan fesyen antarabangsa yang lebih canggih, malah rekaan yang ditampilkan bukan saja memenuhi cita rasa umat Islam di negara ini, tetapi juga dari rantau lain.
Justeru, beliau berkata, wanita yang bertudung litup tidak boleh mengehadkan pemikiran bahawa gaya bertudung itu membosankan kerana ia adalah penyebab utama yang membantutkan keinginan bergaya cantik dan deria fesyen seseorang itu.
“Wanita Islam yang bertudung khususnya tidak lagi terhad dengan pakaian seperti baju kurung dan kebaya kerana sejak kebelakangan ini, beberapa pereka fesyen giat mencipta pakaian yang sesuai untuk mereka. Hakikatnya, wanita bertudung boleh bergaya mengikut arus aliran dan pada masa sama kesopanan tetap dijulang tinggi,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Jeffery Azemi yang juga pereka busana Muslimah berkata, apa yang menarik pada masa kini pelbagai cetusan rekaan idea kontemporari fesyen Muslimah diketengahkan. Rekaan bukan saja menutup aurat dan sopan, tetapi lebih menyerlahkan gaya kewanitaan dan menjadikan si pemakainya tampak ayu apabila menggayakannya.
Katanya, berbanding dulu kebanyakan pereka fesyen busana Muslimah lebih senang menonjolkan jubah yang ditampilkan dengan rekaan gedoboh serta langsung tidak mengikut potongan badan. Selain itu jubah konvensional juga dilihat menggunakan warna suram seperti hitam, kelabu, biru pekat dan hijau tua, manakala pilihan fabrik adalah tebal serta tidak selesa atau sesuai dipakai dengan keadaan iklim di negara ini.
“Rekaan busana Muslimah pada masa kini lebih banyak menerapkan unsur kontemporari. Bagi rekaan jubah misalnya, untuk tidak kelihatan terlalu besar dan longgar, potongan jubah hari ini kebanyakan berlisu pada bahagian depan dan belakang. Malah, bagi menampilkan gaya lebih menarik dan anggun ada jubah yang menggunakan rekaan dwi lapis dengan gaya potongan istimewa pada bahagian tertentu seperti lengan, bahagian depan dan sebagainya.
“Begitu juga dengan pilihan fabrik lebih selesa, lembut dan menawan. Bahkan, kebanyakan rekaan jubah menggunakan fabrik bermutu dan setanding dengan rekaan pakaian lain. Ini termasuklah, penggunaan fabrik seperti sifon, sutera sifon, denim lembut dan sebagainya,” katanya.
Jeffery berkata, apa yang penting ialah wanita yang memilih fesyen bertudung litup mestilah bijak menyesuaikan penampilan dan tidak keterlaluan bergaya sehingga terkeluar daripada landasan niat sebenar. Ilham kreatif fesyen menutup aurat yang segar diketengahkan mesti selari dengan tuntutan agama dan pada masa sama, masih boleh tampil anggun serta lebih ceria dengan pemilihan warna harmoni.
Katanya, penggemar aliran fesyen yang berciri sopan dalam busana kontemporari sewajarnya memerlukan sedikit ilmu untuk bergaya supaya pakaian itu mampu menyerlahkan diri yang sebenar.
Melengkapkan gaya, Jeffery berkata, pilihan tudung juga perlulah bijak, manakala gaya memakai atau mengikatnya seharusnya dipelajari supaya lebih berseri dan tampak sempurna apabila menggayakan pakaian busana Muslimah.
“Pada masa kini tudung daripada fabrik jersi antara yang paling popular. Tudung daripada fabrik ini bukan saja mudah diikat dan dibentuk tetapi juga lebih selesa dipakai. Malah, fabriknya juga lembut dan jatuh cantik beralun apabila dipakai. Selain menampilkan gaya kreatif mengikat tudung untuk bergaya lebih menarik, seseorang itu juga mesti memberanikan diri untuk menyuai padankan warna tudung dan pakaiannya.
“Tidak kira selendang panjang, tudung empat segi, tiga segi dan sebagainya, semuanya boleh diikat dengan cara menarik dan tampak lebih kreatif jika digandingkan dengan dua rona warna serasi. Walaupun tudung polos, ia juga boleh kelihatan berseri jika bijak dan berani mengadunkan warna,” katanya.
Untuk pilihan lebih luas dan menceriakan sambutan Syawal, Jeffery berkata, Idaman Hawa tidak ketinggalan turut menampilkan beberapa koleksi fesyen pakaian baru. Koleksi pakaian baru yang diketengahkan merangkumi, fesyen pakaian potongan jubah, blaus yang digandingkan dengan celana dan baju kurung dan boleh didapati dari saiz kecil hinggalah untuk yang bertubuh besar.
Katanya, koleksi pakaian baru lebih banyak mengetengahkan konsep suai padan dan kebanyakan didatangkan dengan elemen corak abstrak bagi memperlihatkan gaya baru untuk mereka yang bertudung litup.
No comments:
Post a Comment