KUALA TERENGGANU 9 Ogos — Kerajaan Terengganu tidak akan melaksanakan sebarang projek mega ketika ini, sebaliknya akan memberi tumpuan kepada program-program yang boleh memberikan manfaat kepada rakyat terutama golongan miskin.Menteri Besar Datuk Ahmad Said berkata langkah itu bertujuan meningkatkan taraf hidup kumpulan sasar itu, seiring dengan pembangunan yang dilaksanakan dalam negeri.“Konsep pembangunan kerajaan negeri sekarang adalah berpaksikan kepentingan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Himpunan Perpaduan dan Mesra Rakyat bersama Menteri Besar di Stadium Tertutup, Gong Badak dekat sini hari ini.
Turut hadir pada majlis yang menghimpunkan kira-kira 5,000 orang penduduk tempatan itu ialah Timbalan Menteri Dalam Negeri Senator Datuk Wan Farid Wan Salleh dan Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Razali Ismail.
Ahmad berkata bagaimanapun kerajaan Terengganu tidak akan menolak, malah mengalu-alukan sekiranya kerajaan Pusat bercadang untuk melaksanakan projek-projek mega di Terengganu.Sementara itu Ahmad melahirkan rasa kecewa dengan prestasi beberapa syarikat milik kerajaan negeri yang mengalami kerugian dalam bidang perniagaan yang diceburi mereka.
“Kerajaan negeri memandang serius perkara ini. Bedah siasat akan dibuat terhadap syarikat berkenaan dan prestasinya akan sentiasa dipantau. Kami akan melihat sekiranya syarikat itu perlu disuntik dengan perubahan pengurusan,” katanya.Dalam pada itu, beliau menggesa anak syarikat kerajaan Terengganu seperti Eastern Pacific Industrial Corporation Bhd (EPIC), TDM Berhad, Golden Pharos dan anak-anak syarikat Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) supaya membuat penilaian dan pembaharuan sesuai dengan cabaran globalisasi.Ahmad berkata kerajaan negeri berharap perubahan pengurusan bagi beberapa syarikat yang ada kepentingan kerajaan itu akan memberi nafas baru dalam mengharungi hala tuju yang lebih fokus dan bermakna bagi penjanaan ekonomi negeri.
No comments:
Post a Comment