Saturday, August 9, 2008

Bukit Puteri Kuala Terengganu


Antara pengunjung yang melawat Bukit Puteri yang baru dibuka semula kepada orang ramai di Kuala Terengganu, baru-baru ini.


KUALA TERENGGANU 8 Ogos - Destinasi pelancongan Bukit Puteri yang terletak berhampiran Pasar Besar Kedai Payang di sini dibuka semula kepada pengunjung baru-baru ini setelah ditutup dua tahun lalu.

Pengarah Muzium Negeri Terengganu, Mohd. Yusof Abdullah berkata, Bukit Puteri yang terkenal sebagai tempat bersejarah yang menempatkan pelbagai bahan antaranya genta dan kubu pertahanan, ditutup kerana kerja-kerja pembinaan Bazar Warisan di lokasi berhampiran.

Beliau memberitahu, sepanjang tempoh itu pihak muzium mengambil langkah membaik pulih kawasan tersebut yang menjadi tumpuan pelancong apabila singgah di Pasar Payang.

Jelasnya, lokasinya yang terletak di tengah-tengah pusat bandar dan berhampiran muara Sungai Terengganu dengan ketinggian kira-kira 200 meter dari aras laut dan keluasan 0.688 hektar, menjadikan Bukit Puteri satu destinasi bersejarah terkenal di negeri ini.

''Sejajar dengan pembukaan semula Bukit Puteri, pengunjung tidak perlu lagi menaiki anak tangga yang banyak untuk sampai ke puncak Bukit Puteri kerana kita menyediakan tangga bergerak," katanya di sini baru-baru ini.Mohd. Yusof berkata, selain dapat melihat bahan-bahan bersejarah yang ditempatkan di situ, orang ramai berpeluang melihat keindahan Kuala Terengganu dan persekitaran muara Sungai Terengganu dari atas Bukit Puteri.Beliau menambah, mengikut legenda rakyat negeri ini, Bukit Puteri dahulunya menjadi tempat tinggal puteri bunian dan penduduk tempatan seringkali meminjam pinggan mangkuk untuk majlis kenduri.

''Bagaimanapun puteri itu merajuk apabila pinggan mangkuk yang dipinjam tidak dipulangkan atau dikembalikan dengan keadaan rosak menyebabkan puteri tersebut lari ke Besut," ujar beliau.Selain itu katanya, Bukit Puteri juga merupakan kubu pertahanan terutama semasa pergolakan politik Kesultanan Terengganu antara 1831 hingga 1839 membabitkan Tengku Umar dengan Sultan Mansur 11.Jelasnya, sempena dengan pembukaan itu, pengunjung dinasihatkan supaya sentiasa menjaga kebersihan kawasan tersebut dan tidak merosakkan kemudahan yang disediakan di situ.Menurut beliau, Bukit Puteri dibuka kepada pengunjung setiap hari mulai pukul 9 pagi hingga 5 petang termasuk cuti umum kecuali hari Jumaat mulai pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari dan 3 petang hingga 5 petang.Jelasnya, setiap pengunjung dikenakan bayaran iaitu 50 sen untuk kanak-kanak dan RM1 bagi orang dewasa.

No comments: