Sunday, September 28, 2008

Rahsia Pembikinan Lemang




TUGAS mencari, menebang dan memotong ruas buluh lemang serta membawanya pulang memerlukan kesabaran yang tinggi.

Selain risiko miang buluh yang ditebang terlekat di badan, 'nyanyian' nyamuk yang berlagu rancak membingitkan telinga dan mendatangkan ketidakselesaan.Di Kampung Pulau Besar, Rembau, Negeri Sembilan, kami ditemani Mohd. Sani Shariff dan dua remaja, Muhd. Rijal Mohd. Nor serta Mohd. Saiful Sahar. Misi kami ialah untuk mencari dan menebang buluh tidak jauh dari kampung tersebut.


PENJAGAAN api amat penting dalam proses pembakaran lemang.


Menurut Mohd. Sani, terdapat beberapa pantang larang yang perlu dipatuhi ketika mencari dan menebang buluh untuk dibuat lemang. Jika tidak, lemang yang dibuat mungkin tidak menjadi.

"Kata orang tua-tua, buluh yang sudah ditebang atau siap dipotong mengikut ruasnya tidak boleh dilangkah kerana ia boleh menyebabkan lemang membuak keluar atau muntah sewaktu dibakar."Oleh itu, sewaktu proses mencari buluh berkenaan, setiap orang perlu berhati-hati agar tidak melakukan perkara tersebut. Jika telah dibawa pulang ke rumah pun, pantang tersebut harus dipatuhi," jelas Mohd. Sani, 45, yang berpengalaman luas mencari buluh lemang.


IKUT putaran jam. Beras pulut dimasukkan ke dalam kelongsong daun pisang. Diikuti dengan dimasukkan santan. Beras pulut sedia dibakar.


Antara petua lain ialah buluh yang ingin ditebang harus mempunyai ruas yang panjang dan tidak boleh terlalu pendek. Ini memudahkan proses memasukkan daun pisang.Tambah Mohd. Sani, setiap buluh yang diambil harus mempunyai ketebalan yang sederhana atau tidak terlalu tebal di permukaan hingga ke rongga dalam.



"Paling elok diameter ketebalan sesuatu buluh ialah 0.5 sentimeter. Ia bertujuan untuk memudahkan proses pembakaran lemang. Jika buluh terlalu tebal, lemang akan lambat masak dan rasanya tidak begitu enak," ujar Mohd. Saiful sambil menambah, miang buluh boleh dihilangkan dengan menggosok rambut pada bahagian badan yang terkena.Lazimnya, rutin mencari buluh akan dilakukan sehari atau dua hari sebelum lemang dibuat sekitar pukul 8 atau 9 pagi. Proses tersebut akan mengambil masa lebih satu atau 2 jam bergantung kepada kepakaran seseorang menebang buluh. Buluh yang siap dipotong itu perlu diterbalikkan bagi mengelak bahagian dalamnya kering sebelum diproses untuk dibuat lemang.
BULUH yang baik dipilih sebelum ditebang.


Sementara itu, seorang lagi individu yang sudah lali dengan tugas mencari buluh lemang, Abdul Rahman Ahmad, 73, berkata, buluh yang ditebang tidak boleh terlalu muda atau terlalu tua."Sebaik-baiknya buluh tersebut sederhana usianya. Kalau buluh terlalu tua atau disebut sebagai buluh bayan, ia kurang air ketika dibakar sekali gus menjadikan lemang tidak begitu sedap."Kalau nak tahu buluh yang elok, biasanya buluh tersebut baru saja ditumbuhi daun. Tetapi jika terlalu muda, ia akan menyebabkan buluh menjadi kecut apabila dibakar," jelas Abdul Rahman atau lebih dikenali dengan gelaran Haji Rahman.




Haji Rahman menegaskan, golongan muda masa kini perlu mengetahui cara dan petua untuk mencari buluh dan membuat lemang. Jika tidak ujarnya, generasi akan datang mungkin akan melupakan tradisi membuat lemang sewaktu musim perayaan.

Pandangan Haji Rahman disambut baik oleh tunang kepada cucunya, Mohd. Amir Rashid, 25, yang menganggap tugas mencari buluh ini tidak harus dilupakan oleh generasi muda.

"Kalau bukan kita yang mewarisinya, siapa lagi. Oleh itu, penting untuk golongan muda khususnya remaja mempelajari teknik atau petua-petua bagi mencari dan menebang buluh untuk dibuat lemang," kata Amir yang bertugas sebagai penguatkuasa di Majlis Perbandaran Nilai (MPN).

Perkara ini turut dipersetujui oleh Muhd. Rijal dan Mohd. Saiful yang masing-masing berusia 20 tahun. Menurut mereka, tugas ini sebenarnya menjanjikan pengalaman yang menarik."Walaupun tubuh anda terasa gatal-gatal akibat miang rebung dan dihujani 'nyanyian' nyamuk ketika di hutan, tetapi percayalah anda akan berasa puas setelah melihat lemang yang dibuat hasil daripada buluh yang anda cari, masak dan siap dihidang untuk dimakan bersama keluarga," ujar Muhd. Rijal penuh makna.

Kesimpulannya, jika kerjaya ini semakin dilupakan apakah kita masih dapat merasai keenakan lemang yang dimasak secara tradisi?

No comments: