Tuesday, September 9, 2008

Pak Samad - Satu Pemikiran Malaysia

Membaca' pemikiran A. Samad Ismail

Allahyarham A. Samad Ismail adalah seorang manusia pelbagai dimensi yang mempunyai bermacam warna dalam hidupnya.


NEGARA kini kehilangan seorang tokoh wartawan dan pejuang.


PETANG khamis lalu, 4 September 2008, negara kehilangan seorang tokoh wartawan dan pejuang kemerdekaan, Tan Sri A. Samad Ismail atau lebih akrab dengan panggilan Pak Samad. Selama hayatnya yang sudah menjangkau 84 tahun, Allahyarham Pak Samad telah mengabdikan diri sebagai wartawan dan sasterawan lebih daripada 61 tahun meliputi zaman sebelum perang, zaman pendudukan Jepun, zaman selepas perang dan setelah negara mencapai kemerdekaan. Keluasan pengalaman dan kesempatan berada serta menyaksikan peristiwa-peristiwa penting dalam sejarah pembinaan negara menjadikannya seorang tokoh Melayu dan pejuang 'multi-warna' yang mempunyai kekuatan fikiran dan analisis yang tajam serta dikagumi oleh anak bangsanya. Allahyarham Pak Samad bukan sekadar tokoh wartawan negara tetapi juga terbabit dalam politik, budaya, kesusasteraan dan bahasa serta sering menjadi mastermind bagi meneroka pelbagai hal dalam pelbagai dimensi. Pernah diberi pelbagai 'label' oleh musuh-musuhnya, namun tidak pula mengurangkan sanjungan orang terhadapnya. Novelis terkenal Amerika, James A. Mitchener mengaguminya sebagai seorang intelektual Melayu terulung. Itulah Allahyarham Pak Samad dengan segala keunikannya tersendiri. Benarlah apa yang diperkatakan oleh bekas Naib Canselor UKM, Tan Sri Prof. Dr Abd. Hamid Abd. Rahman ketika mengumumkan A. Samad Ismail sebagai penerima Ijazah Kehormat Doktor Persuratan Melayu pada 1987. Pada pengumuman itu, Allahyarham Pak Samad dinobatkan sebagai seorang wartawan yang pintar, intelektual yang tajam pemikirannya, nasionalis tulen, pejuang bahasa dan kesusasteraan Melayu, penulis kreatif yang giat, pembimbing bakal penulis dan wartawan, pengasas beberapa pertubuhan penulis dan parti politik. Dan lebih daripada segala-galanya ialah Allahyarham Pak Samad adalah seorang Melayu yang perjuangannya sangat kompleks dan tidak dapat dilupakan daripada sejarah perkembangan keintelektualan negara ini.

Bertolak daripada kenyataan ini, A. Karim Abdullah telah menyelenggara buku bertajuk Antara Pemikiran A. Samad Ismail yang mengumpul esei-esei dan pemikiran tersebar Allahyarham Pak Samad dari tahun 1980 hingga 1997 yang menyentuh pelbagai aspek kewartawanan, media, politik, sosial, kesusasteraan dan komunikasi. Antara esei menarik dalam buku ini ialah Pak Samad menceritakan hubungannya dengan Abd.Rahim Kajai di Utusan Melayu. Dikisahkan bagaimana keinginan Pak

ALLAHYARHAM A. SAMAD ISMAIL


Samad untuk menulis rencana bagi dimasukkan di dalam akhbar dan Pak Samad menulis rencana panjang dan diberikan kepada Kajai. Lalu, Kajai meneliti rencana itu tanpa berkata apa-apa kepada Pak Samad yang berdiri di hadapannya menunggu komen Kajai sama ada rencana itu sesuai atau tidak untuk disiarkan. Tiba-tiba Kajai merobek-robek rencana itu dan begitu cepat pula melontarkannya ke dalam bakul sampah. Kerana terlalu kaget dengan reaksi Kajai, Pak Samad tidak dapat berkata apa-apa melainkan hairan melihat keganjilan perbuatan Kajai itu. Kemudian Kajai tersenyum lebar lalu bertanya kepada Pak Samad secara terus terang. "Samad,…kau pernah tiduri betina?" Pak Samad tersipu-sipu malu menjawab: "Belum pernah, Pak Kajai". "Kau tahu, mengapa aku buang artikel kau ke dalam bakul itu?" tanyanya tersenyum lebar. "Tak tahu, Pak Kajai?", jawab Samad. "Sebab…otak engkau masih lembut, hingus engkau masih hijau….tapi kau nak beri nasihat kepada orang seperti aku…kau mahu jadi tukang khutbah, tukang nasihat kepada bangsa tetapi ilmu engkau masih cetek, kau belum tahu erti dunia lagi, masih mentah…budak muda macam engkau perlu belajar lagi. Kau mahu jadi wartawan tetapi wartawan bukan pengarang, bukan tukang artikel, tukang tulis rencana…wartawan mesti harus cari berita…dah pandai cari berita, barulah tulis rencana…".

Demikian sekelumit kisah Allahyarham Pak Samad dan Kajai di Utusan Melayu. Allahyarham Pak Samad memang mengagumi Kajai. Daripada Kajai, Allahyarham Pak Samad belajar disiplin sebagai editor, pemberita dan wartawan. Lebih daripada itu, Allahyarham Pak Samad pernah berkata: "Kajai ialah seorang complete journalist, the first Malay professional journalist yang menerapkan nilai-nilai profesionalisme pada bidangnya". Dalam sudut lain, Allahyarham Pak Samad memberi tanggapannya yang tersendiri terhadap perjuangan Ibrahim Yaakob yang merupakan perintis awal perjuangan kemerdekaan yang akhirnya menimbulkan pelbagai kontroversi mengenai peranannya. Menurut Allahyarham Pak Samad: "Ibrahim adalah satu 'figura legenda'. Banyak teka-teki menyelubungi perjuangannya yang masih belum terjawab. Tanggapan pengkaji Barat termasuk pengkaji kita cenderung memberikan imej warna hitam putih kepada beliau iaitu Ibrahim adalah collaborator atau 'tali barut' Jepun dan yang demikian tidak layak dianggap sebagai pejuang nasionalis dan kemerdekaan tulen". Untuk itu, Allahyarham Pak Samad berpendapat perlu dijalankan kajian mendalam, adil dan objektif mengenai perjuangan Ibrahim Yaakob.

Memang Allahyarham Pak Samad merupakan tokoh istimewa yang berkesempatan menyaksikan peristiwa-peristiwa penting dalam sejarah pembinaan negara sama ada sebelum merdeka mahupun selepas kemerdekaan. Yang paling menarik sekali Allahyarham Pak Samad bukan sahaja menyaksikannya, bahkan turut terlibat secara aktif dalam peristiwa-peristiwa penting tersebut.

No comments: