Tidak cukup tempoh hari percutian jika hendak merentas ke seluruh negeri terbesar di Malaysia ini. Kunjungan ke Kampung Budaya Sarawak merumus segala inti sejarah, budaya dan keistimewaan masyarakatnya.
VARIASI ucapan yang menyambut kedatangan tetamu sejurus melewati pintu masuk kampung di kaki Gunung Santubong ini amat jelas mewakili sistem sosial majmuk yang menghuni di dalamnya.
Selain 'apa khabar' dan 'ni how' yang biasa didengari di Semenanjung Malaysia, sesekali terdengar juga ucapan salam yang lain bunyinya. 'inou dengah', 'damea brita', 'nama brita', dan 'nu denge', itu semua bersahut-sahut daripada bibir mereka yang kelihatan bangga menyarung pakaian tradisional masing-masing.
|
|
Selepas diamati wajah, pakaian dan dibantu pemandu pelancong yang arif dalam pelbagai bahasa Malaysia Timur, barulah dapat membezakan satu-persatu orang yang menyambut penuh senyum itu.
Melanau, Bidayuh, Iban dan Orang Ulu, terasa sungguh istimewa dan betapa bumi Sarawak ini kaya dengan entiti seumpamanya.
"Kepelbagaian kaum dan etnik adalah tarikan utama di kampung yang bertindak sebagai muzium hidup ini.
"Bukan sahaja warga asing, malah rakyat Malaysia yang datang dari Semenanjung juga kagum dengan apa yang mereka temui," ujar Pengurus Jualan dan Pemasaran Kampung Budaya Sarawak (KBS), Zaini Zanuddin.
|
|
Terletak sejauh 35 kilometer dari bandar raya Kuching dan tersorok di tengah-tengah kehijauan hutan hujan, KBS mencanang pakej dan agenda lawatan yang unik lagi menyeronokkan.
Dalam keluasan 14 ekar landskap semula jadinya, KBS menghimpunkan diversiti kumpulan etnik utama Sarawak dalam persekitaran yang benar-benar serupa dengan kehidupan mereka di seluruh Bumi Kenyalang.
Mendaki tangga tinggi rumah Orang Ulu, bermain buai di bawah rumah Melanau dan belajar menyumpit di pondok Penan adalah antara aktiviti yang boleh dicuba.
Di rumah ladang yang sinonim dengan etnik Cina, kumpulkan maklumat menarik tentang penanaman pokok lada dan pemprosesannya.
Berminat pada tekstil, kraf tangan dan gaya hidup tempatan? Sesiapa pun tentu terpesona pada kehalusan seni pada tenunan Pua Kumbu Iban, terendak Melanau, ukiran kayu orang Penan dan tambok Bidayuh. Apatah lagi kalau diajak menumbuk padi, menggoreng snek tradisi dan memproses sago.
"Paling mudah, semua rangkuman kehidupan itu boleh disaksikan dalam persembahan budaya selama 45 minit di panggung KBS," kata Zaini yang sering mengalu-alukan langkah pengunjung ke hadapan pentas.
Jangan pula terkejut kalau tiba-tiba disergah oleh pahlawan-pahlawan Iban yang bersenjatakan parang dan tombak. Juga bersedialah untuk menyerah diri kalau tempat duduk dijadikan sasaran sumpit.
Di atas pentas yang sarat ciri teater itu juga, saksikan kenakalan bakat-bakat ini mengusik para tetamu wanita di panggung itu. Sememangnya menghiburkan!
"Kami sentiasa melihat potensi perkembangan tarikan di KBS dan berusaha merealisasikannya. Antara produk kami yang paling berjaya adalah Festival Muzik Dunia Hutan Hujan yang tidak pernah gagal memanggil pelawat dari serata dunia," ulas Zaini.
Turut difahamkan, KBS menyediakan pakej perkahwinan yang membolehkan pasangan pengantin meraikan hari bersejarah mereka dengan persediaan persalinan dan sambutan yang mengikut adat Melayu, Iban, Bidayuh, Orang Ulu, Melanau atau Cina.
Memetik kata Pengurus Besar KBS, Jane Lian Labang, di laman web rasminya: "Komitmen kami adalah untuk menghiburkan tetamu kami selain menawarkan perkhidmatan dan maklumat terbaik mengenai budaya kami. Semoga tetamu berpuas hati dengan pengalaman di Kampung Budaya Sarawak."
Disambut aneka ucapan salam kaum etnik, merentas sungai dengan titi buluh, hampir 'disumpit', dan kemudian diajak menari tarian tradisional, tidak mungkin kalau satu pun daripada pengalaman itu tidak membuatkan tetamu tersenyum dan terkenang-kenang kembali saat melangkah pulang!
No comments:
Post a Comment