Kolaborasi Rizalman dan butik Brenna of Italy mempamerkan nilai-nilai estetika yang tinggi di dalam mempersembahkan keindahan fabrik juga potongan melalui tema yang mengujakan.
|
|
Asal Brenna of Italy ialah dari daerah Lombardy di sebuah tempat bernama Como, Itali. Syarikat ini mengeluarkan pelbagai jenis fabrik seperti sutera, sifon hinggalah fabrik kapas yang bermutu tinggi."Bagi saya ini satu penghormatan yang amat tinggi buat Kuala Lumpur kerana jika mereka tidak mempercayai kekuatan pasaran fesyen kita tentu mereka tidak akan memilih untuk membuka butik di sini," pintas Rizalman dan menambah, "Mungkin pembabitan saya nampak kecil tetapi saya melihat kepercayaan tersebut sebagai satu petanda baik bagi industri fesyen kita."
Kata beliau, sekiranya mana-mana pihak mendapat peluang seperti ini, ia harus disahut penuh tabah dan perlu bersikap bertanggungjawab. Apa yang beliau maksudkan ialah penuhi kemahuan dan cuba capai mutu kemahiran setinggi yang mampu seperti yang diharapkan oleh orang luar."Saya akan cuba sedayanya untuk memenuhi permintaan dan mutu yang mereka harapkan kerana saya percaya saya bukan sahaja mewakili jenama saya tetapi juga Kuala Lumpur."
Koleksi Sex and The City
Bagi himpunan Resort 2008, Rizalman memilih tema Sex and The City. Itu merupakan versi kedua selepas versi pertama yang beliau hasilkan lebih setahun lalu dengan meminjam idea daripada siri TV saluran HBO yang memaparkan gaya hidup empat wanita metropolitan."Untuk versi pertama saya hanya memberi fokus kepada gaya Sarah Jessica Parker kerana dia merupakan watak utama dalam siri tersebut tetapi bagi versi kedua ini saya memilih untuk menyuntik semangat daripada keempat-empat watak yang tidak kurang menarik dan mempunyai elemen-elemen penting yang ada dalam diri wanita hari moden ini."Melalui tema dan elemen yang beliau suntik ilham daripada filem Sex and The City, Rizalman telah menghasilkan satu koleksi lengkap mengandungi empat rangkaian iaitu pakaian malam, perkahwinan, koktel dan kasual.Menurut Rizalman, jika diperhatikan watak dalam cerita tersebut memang ketara perbezaannya. Ini memberikan beliau ruang bermain dengan rekaan dan memberi fokus kepada pasaran yang bakal membelinya. Bagi menghasilkan kelainan, beliau menggunakan fabrik mewah bermutu untuk rangkaian kasual misalnya.
Terdapat juga kaftan menarik berlengan cerut dan berbelah di depan yang diperbuat daripada sutera crepe bercorak bunga-bunga atau geomatrik dalam warna-warna menawan. Untuk gaun pengantin, Rizalman menggunakan fabrik mewah seperti sutera dan sutera taffeta dengan perincian seperti lisu halus dan gaun bertingkat.
Sementara itu pakaian malam, menjadi trademark jenama Rizalman Ibrahim; fabrik mewah, potongan menawan dan perincian menakjubkan. Terdapat banyak sifon sutera mewah yang digunapakai dan disatukan atau dilapikkan dengan satin sutera dalam warna-warna mewah seperti hijau zamrud dan ungu manggis.Apakah pengalaman yang ditimba setelah bekerjasama dengan jenama antarabangsa seperti Brenna of Italy? Rizalman mengakui bahawa beliau belakar banyak perkara, profesionalisme dalam setiap urusan dan mereja begitu terperinci.Cawangan pertama di dunia buat Brenna of Italy di Pavilion, Kuala Lumpur juga harus dilihat dari sudut dan pendekatan yang lebih besar dan meluas. Ini kerana ia secara tidak langsung adalah satu pengiktirafan kepada industri fesyen tempatan."Saya berasa bangga kerana dapat diberi peluang berkolaborasi dengan jenama unggul ini dan saya percaya peluang sebegini jarang datang dan akan gunakan sebaik mungkin. Siapa tahu kolaborasi kecil ini boleh menjurus kepada sesuatu yang lebih besar suatu hari nanti."
Bagi Rizalman, kolaborasi tersebut bukan sahaja satu penghormatan buat dirinya tetapi juga melihatnya sebagai platform yang boleh membantu meletakkan jenama Rizalman ke peringkat antarabangsa.
No comments:
Post a Comment