Monday, August 4, 2008

Promosi Malaysia Di London

Filem bantu promosi budaya negara


TEKUN: Shafie bersama sebahagian daripada delegasi ke London menyaksikan persembahan sempena Program Minggu Malaysia 2008.

Program Minggu Malaysia menjadi acara tahunan

KERAJAAN menaruh keyakinan beberapa filem kita bukan saja dilihat sekadar hiburan semata-mata tetapi juga dijadikan bahan untuk mempromosikan budaya dan cara hidup rakyat Malaysia seterusnya memberi kefahaman mengenai negara ini secara keseluruhannya.

Sehubungan itu, Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KPKKW) akan menggunakan sektor perfileman sebagai sebahagian daripada bahan persembahan dalam Program Minggu Malaysia pada tahun akan datang.Menterinya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, usaha yang dilakukan oleh kementeriannya juga diharap dapat mendedahkan aktiviti perfileman tanah air di pentas antarabangsa. "Usaha ini kita lakukan bukan saja hanya boleh mempamerkan filem tempatan kepada masyarakat luar negara, tetapi juga dapat mendedahkan filem atau industri perfileman negara di pentas antarabangsa. "Dan, ia juga dilakukan dengan tujuan dan harapan filem tempatan juga dapat menembusi pasaran antarabangsa seperti produk filem dari Hollywood dan Bollywood," katanya kepada media selepas melancarkan Program Minggu Malaysia di Potters Field, London, baru-baru ini.

AKSI SI CILIK: Penari ini adalah sebahagian Artis yang mengikuti rombongan ke London.

Enam filem ditayangkan sepanjang Program Minggu Malaysia 2008 di London ini yang bermula 30 Julai hingga 3 Ogos. Filem itu ialah 1957: Hati Malaya, Sepi, Duyung, Evolusi: KL Drift, Congkak dan Apa Kata Hati. Ia mewakili genre atau kategori filem patriotik, cinta, drama, aksi, komedi romantik, fantasi dan seram.

Semua filem ini ditayangkan percuma di Panggung Odeon Covent Garden, dalam kawasan West End, London yang terkenal dengan persembahan teater pada setiap hari.

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) yang bertanggungjawab dalam program tayangan ini turut mengatur sesi apresiasi bersama pengarah dan pelakon filem Congkak dan Evolusi: KL Drift.

"Saya yakin kita mempunyai keupayaan dan kebolehan terhadap produk filem yang sesuai untuk ditayangkan di kota London. Enam filem yang ditayangkan di sini memaparkan kehidupan rakyat di Malaysia dan juga budaya yang ada," tegas Mohd Shafie.

RANCAK: Persembahan tarian kebudayaan Sabah menjadi tumpuan tetamu.

Mengenai Program Minggu Malaysia 2008, beliau berkata, berbeza pada dua tahun sebelumnya, program ini diadakan di tempat yang strategik iaitu di antara London Tower dan pejabat Datuk Bandar London selain buat pertama kalinya mempamerkan budaya masyarakat Malaysia daripada kepelbagaian etnik, tarian dan barangan kraftangan yang bukan saja dipamerkan tetapi dijual kepada pengunjung.

"Kita juga mempamerkan lukisan tempatan yang akan turut memberi penjelasan dan penerangan yang diperlukan. Jadi, pendekatan ini agak interaktif. Perkara yang baru kita lakukan tahun ini berbanding tahun yang sudah, pertamanya, ialah pameran lukisan, keduanya penayangan filem. "Ini adalah dua produk yang baru kita ketengahkan. Selain itu, seperti tahun lalu kita juga pamerkan masakan dan makanan dan penjualan kraf di London. "Saya lihat dari segi persembahan dan produk yang kita bawa, ada penambahan dari segi acaranya seperti pameran lukisan. Ia agak baru. Satu daripada pameran yang kita bawa ialah lukisan sepanjang satu kilometer (bertajuk Satu Mata Dunia),' yang akan dipersembahan oleh S Amin Shahab. Ini satu keunikan dan jadi tarikan kepada masyarakat di ibu kota London. "Satu lagi keunikan yang disebutkan tadi adalah pameran sektor perfileman," katanya. Menjawab soalan lain, Mohd Shafie berkata, beliau faham keadaan ekonomi semasa menyebabkan kebanyakan rakyat mengurangkan belanja untuk pelancongan, namun langkah dan usaha menarik pelancong dan memperkembang budaya harus diteruskan.

"Program budaya dan seni ini tidak ketinggalan walaupun kita lakukan dengan skil yang menurun. Walaupun keadaan ekonomi sekarang agak bermasalah tetapi ia tidak bermakna kita harus hentikan semua kegiatan (kebudayaan, kesenian dan warisan). "Kegiatan ini membabitkan perkembangan budaya, terutamanya yang perlu kita ketengahkan," katanya. Menurutnya, beliau mensasarkan Program Minggu Malaysia 2008 menerima 80,000 pengunjung walaupun sasaran awal ialah 100,000 pengunjung.

"Pada tahun pertama diperkenalkan pada 2005, program ini menerima 55,000 pengunjung, pada tahun kedua 70,000. Dan dengan keadaan sekarang kita harap program ini dapat dihadiri 80,000 pengunjung walaupun sasaran awal 100,000 pengujung. "Kemungkinan keadaan ekonomi yang melanda ibu kota London akan menarik banyak pelancong tempatan yang tidak berupaya melancong ke luar negara. Saya yakin tidak semua keluar dari London. Tarikan ini bukan khusus untuk penduduk London saja. Kita yakin ada pelancong yang turut datang ke London sekitar Eropah, Sepanyol dan Jerman. "Pada tahun 2006 dan 2007, pertambahan jumlah pelancong ke United Kingdom meningkat 9.6 peratus. Jadi, kementerian akan teruskan program ini di London pada tahun depan," katanya.

Sebelum itu, pelancaran program Minggu Malaysia 2008 berlangsung dalam suasana meriah walaupun musim panas di London menyebabkan suhu waktu siang mencecah sehingga 22 darjah selsius kerana Portters Fields Park adalah lokasi yang menjadi tumpuan utama kepada pelancong yang melawat kota London. Ia diserikan dengan persembahan kebudayaan daripada penari Istana Budaya, pelajar Akademi Seni, Budaya dan Warisan (Aswara) dan Sekolah Tunas Budaya dari Kota Kinabalu, Sabah. Majlis pelancaran ini turut dihadiri oleh Timbalan Datuk Bandar London, Ian Clement, Datuk Bandar Southwalk, Eliza Mann, Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di United Kingdom, Rustam Yahya dan Timbalan Ketua Setiausaha (Warisan), Kementerian tersebut, Datuk Nor Azmal Mohd Nazir.

No comments: