Monday, August 4, 2008

Menjenamakan semula teksi, kereta sewa

KUALA TERENGGANU 3 Ogos - Usaha sedang dijalankan oleh kerajaan negeri Terengganu untuk menjenamakan semula teksi dan kereta sewa dalam usaha meningkatkan imej pengangkutan awam itu seiring dengan perkembangan dan peningkatan terhadap perkhidmatannya.Ini kerana, teksi dan kereta sewa merupakan antara pengangkutan awam yang menjadi pilihan orang ramai termasuk pelancong asing untuk ke pelbagai destinasi pelancongan di negeri ini.

Usaha itu juga dibuat dalam usaha meningkatkan pemahaman pemandu teksi dan kereta sewa mengenai peranan mereka sebagai antara petugas barisan hadapan sektor pelancongan.Ia dilakukan bukan sahaja untuk keperluan Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2008 tetapi juga kerana negeri ini akan menjadi hos beberapa acara sukan antarabangsa yang akan menjadikan Terengganu tumpuan masyarakat dari seluruh dunia.Mengikut permit yang dikeluarkan oleh Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), sebanyak 766 buah teksi dan kereta sewa beroperasi di seluruh negeri ini.

Pada peringkat awal langkah itu, sebanyak 160 pemandu kereta sewa dan teksi bandar dibantu mendapatkan kenderaan baru di bawah program penjenamaan semula pengangkutan awam itu.

Pengerusi Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Mohamed Awang Tera berkata, kerajaan negeri membelanjakan kira-kira RM2 juta bagi mencapai tujuan tersebut."Ini merupakan langkah awal kerajaan negeri untuk membantu kira-kira 1,192 buah kereta sewa dan teksi bandar di seluruh negeri secara berperingkat-peringkat.

"Langkah penjenamaan semula pengangkutan awam ini dijangka selesai dilaksanakan pada tahun 2012."Ia dilaksanakan bagi meningkatkan imej Terengganu sempena Tahun Melawat Terengganu 2008 dan pengisytiharan Kuala Terengganu sebagai bandar raya," katanya ketika ditemui di sini hari ini.Beliau berkata, ia juga merupakan usaha kerajaan negeri meningkatkan mutu perkhidmatan awam bagi menyambut kedatangan pelancong dalam dan luar negara serta penduduk tempatan.Menurutnya, melalui program peningkatan imej dan penjenamaan kereta sewa itu, pemilik pengangkutan awam itu akan diberi bantuan sebanyak RM10,000 seorang serta kemudahan mengecat kereta sewa kepada warna korporat yang telah ditetapkan iaitu kuning dan hitam.

"Ketika ini, peruntukan RM2 juta tersebut juga membantu tiga teksi dan kereta sewa yang terpilih di setiap daerah," katanya.Katanya, usaha tersebut akan diteruskan sehingga tujuan asal dicapai namun peruntukan untuk pelaksanaannya tahun depan masih belum ditentukan lagi.

Beliau memberitahu, kerajaan negeri sebelum ini melancarkan penjenamaan semula teksi di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) dalam usaha meningkatkan imej pemandu teksi di lapangan terbang itu.Menurutnya, mereka juga diberi latihan untuk berinteraksi dengan pelancong terutama dari luar negara melalui kursus-kursus yang disediakan termasuk mengasah kebolehan bertutur dalam bahasa Inggeris.

No comments: