Foto: Kidchan Studio
Oleh: ROSLI MANAH Foto: SHAHRIL AZMAN ZAIN
Maya Karin kini sedang meniti bahagia setelah bergelar isteri kepada seorang guru, Steven David Shorthose pada 14 Ogos 2008 lalu. Semua tahu majlisnya berlangsung di Bellagio, Itali.
Maya bertemu pihak media pertama kali pada 26 Ogos 2008 dan sedia berkongsi bahagia yang sedang dilaluinya setelah lebih seminggu menjalani hidup sebagai seorang isteri. Maya nampak riang dan bahagia walaupun kelihatan kurang sihat. Dia alami selesema aja.
Maya hadir sendiri dalam majlis ringkas yang juga turut memperkatakan pasal kemenangannya sebagai Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia baru-baru ini. Dia tidak dapat menerima trofi sendiri kerana sudah berada di Itali semasa majlis berlangsung.
"Suami saya memang tidak suka pada glamor... mungkin dia akan rasa tidak selesa apabila berdepan dengan situasi macam ini. Anda boleh bertemunya dalam majlis resepsi perkahwinan saya pada 29 Ogos ini. Mungkin selepas itu dia tidak akan bersama saya dalam urusan kerja saya," kata Maya.
Semakin bahagia Maya selepas kahwin.
Maya juga belum memikirkan untuk mengurangkan aktiviti seninya. Malah pada minggu kedua puasa dia akan ke Bangkok. Thailand untuk menjalani penggambaran iklan L'Oreal selama seminggu. Selepas itu memulakan latihan untuk wataknya dalam filem Pisau Cukur arahan Bernard Chauly. Filem itu terbitan Red Communications.
"Jadual kerja suami saya sudah tetap dan dia sudah tahu sejak setahun bilakah masa dia bercuti, sedangkan rutin pelakon tidak tetap... saya tidak boleh tentukah apa yang akan berlaku dalam masa sebulan, tapi segalanya boleh disesuaikan.
"Saya tak adalah dikenakan peraturan, tapi untuk keluarga... saya akan pastikan akan memiliki masa untuk diri sendiri dan keluarga," kata Maya yang belum merancang memiliki anak dalam masa terdekat.
Akhirnya Maya Karin menang juga anugerah Pelakon Wanita Terbaik di FFM.
Apatah lagi banyak perkara yang sudah diatur dan bakal dilakukan. Malah memiliki tawaran berlakon dua buah filem lagi selepas ini. Suami juga mahukan dia terus berdikari dan melakukan kerja yang dilakukan.
"Ikut giliranlah... kita dah ada apa yang nak dilakukan. Sekarang ini baru berkahwin, biarlah saya tak fikirkan pasal anak dulu. Lagipun sekarang ini keperluan membesarkan anak semakin banyak. Untuk memberikan pendidikan yang sempurna memerlukan kos dan juga banyak masa.
"Saya tak rancang memiliki anak ramai, dua pun sudah cukup. Lagipun sekarang populasi dunia semakin ramai. Suami saya juga mempunyai pemikiran yang sama dengan saya pasal pertambahan penduduk dunia. Itu salah satu perkara yang saya boleh berkongsi bersamanya," kata Maya.
Memasak untuk suami
Apabila ditanya pasal peranan isteri untuk memasak dan menyediakan apa-apa keperluan suami, Maya akui itu satu taggungjawab. Tapi Maya ada cara sendiri untuk sentiasa happy melakukan apa sahaja.
"Kalau kita fikir apa-apa yang dilakukan itu satu tanggungjawab, mungkin kita akan rasa beratnya nak buat. Tapi saya dan suami lakukan apa sahaja dengan rasa gembira. Contohnya apabila mahu memasak, kita buka peti sejuk dan tengok apa yang ada dan fikirkan apa yang boleh dimasak.
"Saya memang jenis yang suka memasak, jadi tak ada masalah, suami saya juga suka memasak dan kami juga lakukan bersama-sama," kata Maya.
Kad jemputan ringkas
Kad jemputan majlis perkahwinan Maya pada 29 Ogos 2008 ringkas sahaja. Ada yang mempertikaikan mengapa dia tidak membuat kad yang lebih baik. Maya yang begitu menyayangi alam sekitar itu ada sebab munasabah di atas apa yang dilakukannya.
Kad jemputan Maya hanyalah sekeping kad manila yang memuatkan maklumat ringkas majlis. Kad tersebut dihasilkan dengan idea dia sendiri.
"Kad jemputan ini hanya untuk khabarkan dan menjemput tetamu hadir. Selepas itu orang buang kad itu. Saya fikir tak ada guna kita berhabis membuat kad yang cantik-cantik kalau akhirnya untuk dibuang.
"Lagipun kad itu juga menggambarkan betapa ringkasnya majlis perkahwinan saya nanti. Majlis saya cukup ringkas, santai dan tak ada protokol," jelas Maya pasal majlis yang akan berlangsung di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) itu.
Ia juga sebuah majlis sederhana untuk meraikan kenalan dan keluarga.
No comments:
Post a Comment