Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, YB Abdul Hakim Tan Sri Wan Mokthar melancarkan Karnival Terengganu di Menara Kuala Lumpur. -Foto SHUHAIMI AHMAD
Oleh : Farezul Fadzal
Pemilihan lokasi menara telekomunikasi keempat tertinggi di dunia, Menara Kuala Lumpur sebagai lokasi Festival Terengganu 2008 berjaya menarik 4,000 pengunjung terutama pelancong asing pada hari pertama penganjuran itu, 14 Ogos (Khamis) lalu. Kejayaan penganjuran program yang sama, `Street Fest 2007’ yang diadakan di Bukit Bintang, Kuala Lumpur menjadi batu loncatan bagi meneruskan promosi dan meningkatkan sasaran pelancong ke Terengganu.
Melalui festival ini, pelancong dapat mengenali Terengganu dengan lebih dekat malah dapat mencuba beberapa permainan tradisional seperti congkak dan gasing. Program yang berkonsepkan gerbang maklumat turut menampilkan produk kraftangan antaranya demonstrasi anyaman, tembaga, seni ukiran kayu, batik dan songket serta produk makanan tradisional termasuklah sata, keropok lekor, nasi dagang dan ketupat sotong.
Menariknya, selain 4,000 pengunjung terutamanya pelancong asing direkodkan pada hari pertama, dijangka kira-kira 15 ribu pengunjung akan membanjiri festival itu sepanjang empat hari yang berakhir pada hari ini (Ahad). Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Datuk Za’abar Mohd Adib, berkata Kerajaan Negeri sentiasa mempelbagaikan program promosi dalam usaha menjayakan Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2008.
“Kita bermula pada awal 2007 lagi dalam mempromosikan Terengganu di dalam dan luar Negara dan kita jangka program promosi tidak akan terhenti dalam tahun ini malahan akan diteruskan pada tahun-tahun akan datang,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Karnival Terengganu serta `Soft Launch’ Festival Gamelan Antarabangsa (Peringkat Kebangsaan) di Menara Kuala Lumpur, semalam (15 Ogos). Tambahnya, melalui program ini Kerajaan Negeri turut berhasrat untuk memperkukuhkan imej dan penjenamaan produk Terengganu bagi lebih berdaya saing di peringkat serantau.
“Konsep gerbang maklumat yang kita perkenalkan ini turut menampilkan produk utama Terengganu termasuklah makanan tradisional, kraftangan, tarian, batik dan songket malahan sukan rakyat. “Pemilihan lokasi Menara Kuala Lumpur tepat memandangkan lokasi ini menjadi tumpuan para pelancong domestik dan antarabangsa sepanjang masa membantu kita menyampaikan maklumat kepada kumpulan sasar kita,”jelasnya. Menurut Datuk Za’abar, kejayaan promosi di Menara Kuala Lumpur akan menjadi pemangkin bagi menjalankan promosi seumpama itu di beberapa bandar utama di seluruh negara nanti. “Kita mensasarkan 3.5 juta pengunjung melawat Terengganu sempena TMT 2008 dan sehingga Jun lalu, sejumlah 1.9 juta pengunjung direkodkan. Dengan adanya banyak program bertaraf antarabangsa kita yakin mampu menarik lebih ramai pelancong ke Terengganu,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment