KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Idris Harun menjangkakan pasaran kerja yang memerlukan kemahiran akan dibanjiri pekerja lelaki manakala pekerja wanita mendominasi sektor pekerjaan yang memerlukan keupayaan kognitif di masa depan.
Beliau berkata jangkaan itu dibuat berdasarkan kepada nisbah pelajar yang sedang mengikuti pengajian tinggi dan bakal memasuki pasaran pekerjan di masa depan.
"Sebanyak 65.3 peratus pelajar wanita sedang mengikuti pengajian di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) pada sesi akademik 2008/2009, berbanding dengan hanya 34.7 peratus pelajar lelaki.
"Isu pelajar perempuan lebih ramai daripada pelajar lelaki di IPTA sudah lama kedengaran. Untuk mengimbangi keadaan ini, kementerian menggalakkan pelajar lelaki yang tidak berpeluang melanjutkan pelajaran ke IPTA untuk menyambung pengajian ke politeknik atau kolej komuniti," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Idris berkata setakat ini politeknik sudah menerima kira-kira 75 peratus permohonan kemasukan pelajar lelaki bagi sesi kemasukan tahun ini, manakala 65 peratus pula menyertai kolej komuniti.
"Orang lelaki bernasib baik sebab kementerian mengiktiraf politeknik sebagai sebahagian dari IPT. Jadi angka itu nampak seimbang," katanya.
Idris berkata lebih ramai pelajar lelaki mengikuti pengajian peringkat doktor falsafah di IPTA dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta berbanding pelajar wanita.
Terdahulu semasa menjawab soalan Senator Wan Ramlah Wan Ahmad pada persidangan Dewan Negara, Idris berkata kerajaan tidak boleh melaksanakan pengurangan sistem meritokrasi untuk pelajar lelaki yang ingin memasuki IPTA.
"Ini kerana pada hari ini kita telah kenal pasti pelajar perempuan memberikan tumpuan kepada membaca, menulis, mengira. Maka Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan periksaan lain di matrikulasi telah meletakkan pencapaian pelajar perempuan lebih tinggi daripada pelajar lelaki," katanya.
Idris berkata pada sesi akademik 2008/2009, Universiti Malaya menerima 3,334 pelajar baru dan 62 peratus daripadanya adalah pelajar perempuan, Universiti Kebangsaan; 3,892 pelajar dengan 70 peratus pelajar perempuan dan Universiti Sains Malaysia; 3,562 pelajar dan 65 peratus pelajar perempuan.
"Universiti teknikal pun mengalami tsunami yang serupa apabila 58 peratus daripada pelajar baru ialah pelajar perempuan," katanya menjawab soalan Senator Osman Bungsu.
Idris berkata, bagaimanapun beberapa universiti teknikal seperti Universiti Kuala Lumpur mencatatkan 80 peratus pelajar lelaki mendaftarkan diri untuk mengikuti pengajian pada sesi akademik kali ini. BERNAMA
No comments:
Post a Comment