Bagaimana membina motivasi berpasukan?
June 9th, 2008 | by Fadzli Yusof |Selain daripada motivasi individu, sesebuah pasukan juga memerlukan motivasi secara berpasukan. Ini juga sangat penting untuk memastikan pasukan itu sendiri mempunyai motivasi yang mendorong. Antara perkara yang anda perlu lakukan ialah:
a) Menggalakkan pasukan saling tolong-menolong sesama sendiri
Ini adalah asas utama sistem pasukan yang diajar oleh Nabi Muhammad semasa membina pengikutnya di Mekah. Beliau mengajar pengikutnya supaya sentiasa tolong menolong dan lengkap-melengkapi (ta’awun dan takaful) sesama manusia. Hasilnya, apabila beliau berpindah ke Madinah, penduduk Madinah telah menyerahkan seluruh kehidupan mereka untuk membantu pendatang dari Mekkah. Walaupun dari latarbelakang yang berbeza, mereka telah menunjukkan satu contoh pasukan yang paling hebat dalam sejarah, dan akhirnya mereka diiktiraf oleh Nabi Muhammad sebagai sebaik-sebaik generasi.
Semasa mengendalikan Seminar Motivasi
Atlet Jabatan Kesihatan Selangor
b) Berkongsi maklumat yang penting atau rahsia dengan mereka
Ini boleh menjadikan ahli-ahli pasukan terasa diri mereka penting dan diterima dalam kumpulan tersebut. Berkongsilah maklumat-maklumat ‘sensasi dan penting’ dengan setiap ahli pasukan. Namun begitu, anda perlu berhati-hati. Jangan pula sebarkan berita tentang keaiban dan keburukan orang lain. Maklumat yang boleh anda kongsi ialah maklumat yang rahsia, tetapi yang baru sahaja menjadi tidak rahsia. Contohnya, sebuah persatuan pelajar sedang mencari seorang tokoh pelajar untuk diberikan anugerah pelajar contoh. Sebagai ketua persatuan, anda boleh bertemu dengan ahli-ahli dan berkongsi sesuatu yang ‘rahsia’ seperti apa yang Azri lakukan di bawah:
Dalam satu mesyuarat mingguan persatuan:
“ Salam sejahtera rakan-rakan semua. Anda semua tahu yang persatuan kita sedang mencari tokoh pelajar bagi tahun ini. Selama tiga bulan lepas pihak panitia telah membuat pemilihan, dan sehingga hari ini kita sudahpun mempunyai nama tokoh pelajar itu” . Kata Azri, presiden persatuan.
“ Bolehkah kami tahu apakah kriteria yang diambil kira oleh lembaga panitia tersebut?. Tanya Nurul, seorang AJK persatuan.
“ Sebenarnya soal kriteria adalah perkara sulit dan rahsia. Tetapi memandangkan kita sudahpun memilih tokoh tersebut, saya kira lebih baik saya berkongsi maklumat rahsia ini dengan rakan-rakan semua. Adakah anda semua berminat?” Azri mengangkat kening dan senyum.
Hampir semuanya mengangguk-angguk. Mata mereka bersinar-sinar kerana terlalu ingin tahu ‘maklumat rahsia’ itu. Azri kemudiannya menerangkan satu persatu apakah kriteria untuk pemilihan pelajar contoh.
“ Terima kasih Azri kerana sudi berkongsi dengan kami maklumat tersebut. Kami sangat menghargainya. Tetapi bolehkah kami tahu siapakah pelajar yang sudah terpilih itu”. Tanya Hazmir pula. Azri senyum dan memandang Hazmir.
“ Saya berharap sangat untuk beritahu anda semua sekarang, tetapi saya juga mesti mematuhi peraturan panitia. Namun, saya boleh beritahu anda, tarikh majlis penyampaian hadiah tersebut. Saya yakin anda semua masih belum tahu bukan?” . Terang Azri.
“Bila ?”. Tanya Palanavelu. Rakan-rakan lain pun kelihatan teruja dengan perkara tersebut.
Azri kemudiannya memberitahu tarikh hari penyampaian anugerah tersebut. Rakan-rakannya yang lain berasa ‘puas’ dengan apa yang mereka perolehi pada petang itu. ‘Maklumat rahsia’ itu benar-benar menjadikan mereka berasa penting dan dihargai. Keinginan untuk bersama pasukan semakin teguh dan padu.
Anda juga boleh melakukan perkara yang sama dengan rakan-rakan anda. Tetapi ingat, pastikan maklumat itu benar-benar rahsia (sebelum ia didedahkan). Jika anda memberitahu maklumat yang biasa dan diketahui ramai, maka anda akan ‘hilang bisa’ dan integriti. Jangan jadi ular yang tidak berbisa, nanti akan dipukul orang!
c) Latihlah mereka bersama-sama
Ada satu prinsip yang mudah, “Jika anda melakukan kerja bersama-sama, anda akan semakin rasa bersama”. Dengan prinsip ini, anda boleh membina pasukan dengan melakukan aktiviti dan tugasan secara bersama. Anda boleh memilih aktiviti santai seperti berkelah, bersukan, memancing, dan sebagainya. Semakin intim aktiviti itu, semakin erat pasukan anda. Contohnya, memanjat gunung memerlukan aktiviti yang lebih intim berbanding dengan memancing. Begitu juga bermain catur berbanding membaca bersama. Anda perlu memilih aktiviti yang paling berkesan untuk membina rasa bersama dalam pasukan.
d) Anggap setiap orang sebagai sebahagian daripada pasukan
Pasukan terbina dengan gabungan manusia-manusia. Tanpa setiap daripada mereka, maka tiadalah pasukan. Oleh itu, anda mesti menghargai setiap daripada mereka, tidak kira samada dia adalah presiden, setiausaha, bendahari, Exco, AJK, ataupun hanya bertugas sebagai pembancuh kopi dalam pejabat. Mereka adalah sebahagian daripada pasukan yang besar. Oleh pastikan mereka diterima sebagaimana yang sepatutnya.
No comments:
Post a Comment